Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais cadang bangun aplikasi permudah sedekah ketika pandemik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bercadang membangunkan aplikasi sebagai salah satu inisiatif kepada jemaah yang tidak dapat hadir ke masjid atau surau untuk bersedekah.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pandemik Covid-19 telah menyebabkan bilangan jemaah yang hadir kini terhad dan secara tidak langsung sumbangan bagi menampung keperluan rumah ibadat turut terkesan.

“Pada masa ini sumbangan diterima melalui kotak derma. Mais sedang berusaha membangunkan aplikasi tersebut dan walaupun jemaah tidak hadir tetapi mereka boleh menyumbang menerusi dalam talian.

“Kita dalam peringkat kajian dan insya-Allah apabila perkara itu disediakan ia memberi manfaat kepada masjid dan surau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek cura Mais kepada masjid, surau dan pusat tahfiz di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini semalam.

Pada 1 Jun, Kerajaan Selangor menetapkan hanya enam jemaah dibenarkan bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid, surau dan musolla seluruh negeri.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata keputusan itu hanya melibatkan pentadbir hingga ke suatu tempoh ditetapkan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mais agih RM3 juta fidyah untuk 20,000 keluarga terjejas

SHAH ALAM: 13 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.

“Insyallah kita akan tambah lagi selepas ini apabila ramai yang memberi sumbangan dan akan pulangkan kepada fakir miskin,” katanya selepas menyerahkan cek cura Mais kepada masjid, surau dan pusat tahfiz yang terkesan akibat Covid-19 di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Pada 2 April, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasarkan mengagihkan RM1 juta wang fidyah kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahrir Mahktar berkata daripada jumlah itu seramai 10,000 keluarga akan dibantu pada fasa kedua Ramadan tahun ini.

“Fasa pertama kita selesai mengagihkan yang mana setiap keluarga diperuntuk RM100 dengan pemberian berupa pek makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

“Manakala fasa kedua diteruskan dengan jumlah sama dan penerima adalah daripada individu atau keluarga golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga dan penjaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman sesawang Mais di www.mais.gov.my atau membuat bayaran menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais yakin usaha perkasa ummah menjelang 2024 berjaya dicapai

SHAH ALAM, 10 OGOS :  Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yakin pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini ke arah lebih bersistematik berjaya dicapai menerusi Pelan Strategik Mais 2020-2024.

Pengerusinya berkata perancangan yang disusun mampu dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama semua istitusi agama Islam di negeri ini meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang kian mengganas.

“Pelan lima tahun itu antara lain menggariskan pemerkasaan ummah dan generasi Rabbani (berpegang kepada al-Quran dan sunnah) selaras tema Maal Hijrah 1443H iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.

“Mais telah menstruktur modal Insan Rabbani sebagai panduan menyeluruh bagi mengukur pencapaian tadbir Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat, ” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi program `Mais Bermunajat dan Perutusan Tahun Baharu Hijrah 1443H di Facebook malam tadi.

Beliau berkata Mais menggariskan lima komponen Rabbani iaitu penguasaan ilmu fardu ain dan kifayah, pemantapan pengurusan, pemerkasaan dakwah, penyuburan kerohanian serta pengukuhan adab dan sahsiah.

Pada 22 September tahun lepas, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Pelan Strategik Mais 2020-2024.

Perancangan itu dibangunkan bersama beberapa agensi negeri bagi mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah Selangor.

Melalui pelan lima tahun itu sembilan strategi dan 16 inisiatif disasarkan merangkumi aspek ekonomi, modal insan, undang-undang, pendidikan dan agama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kalimah Allah: Mais fail permohonan sebagai pencelah

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan memfailkan permohonan sebagai pencelah dalam rayuan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah.

Pengerusinya berkata permohonan menerusi Mahkamah Rayuan itu dibuat demi menjaga kesucian kalimah Allah yang berkait rapat dengan akidah umat Islam.

“Mais menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan persekutuan untuk merayu keputusan tersebut.

“Sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, majlis memfailkan permohonan untuk menjadi pihak pencelah,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya agensi berpegang teguh bahawa perkataan Allah merupakan kalimah suci hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa iaitu asas keimanan orang Islam dan tidak boleh diguna atau disamakan dengan tuhan agama lain.

“Mais sebagai pihak berkuasa utama dalam pentadbiran agama Islam selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertanggungjawab memelihara dan menjaga kesucian Islam,” katanya.

Pada Selasa, Sultan Sharafuddin bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan menganggap pihak berkaitan sentiasa akur seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Baginda turut menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menggesa kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah tersebut.

Sultan Selangor juga menitahkan Mais memohon mahkamah untuk bertindak sebagai pencelah dalam rayuan tersebut dan menggesa majlis agama Islam negeri-negeri lain mengambil tindakan sama.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin memutuskan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah“, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Katanya, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan itu, Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua peserta misi bantuan banjir Mais ke Temerloh kemalangan

SHAH ALAM, 16 JAN: Dua peserta misi bantuan banjir Majlis Agama Islam Selangor (Mais) ke Temerloh, Pahang menghadapi kemalangan petang semalam.

Pengerusi Mais memaklumkan kemalangan berlaku melibatkan salah sebuah lori yang turut serta dalam konvoi berkenaan.

“Pemandu dan pembantu lori yang cedera telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Berita ini amat mengejutkan namun ujian daripada Allah SWT kepada kita ini tetap perlu diterima dengan redha. Banyakkanlah bersabar,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan di Facebook Mais.

Konvoi misi banjir itu turut disertai kakitangan Mais, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Selangor.

Dilaporkan rombongan berkenaan yang bertolak pagi semalam membawa sumbangan 200 pek makanan kering kepada mangsa banjir di Kampung Baduk dan Kampung Teluk Sentang, Temerloh, Pahang.

Pek makanan kepada 200 keluarga mengandungi beras, tepung gandum, susu pekat, air mineral, biskut dan garam dihantar melalui konvoi berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA

Bekas pengerusi SPR kini ketuai Mais, ganti Mohammed Khusrin

SHAH ALAM, 30 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baharu kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkuat kuasa 1 Januari ini menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Setiusaha Mais berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut melantik 20 anggota majlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-undang, Datuk Salim Soib@Hamid dan Pegawai Kewangan, Datuk Nor Azmie Diron bagi sesi 2021-2023.

Katanya, lantikan juga dibuat kepada Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan bekas Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Mazlan Mansor.

“Tiga anggota Mais iaitu Tan Sri Hashim Meon, Tengku Datuk Ardy Esfandiari Alhaj Tengku Abdul Hamid Alhaj dan Datuk Mohd Effendi Abdullah dilanjutkan pelantikan mereka.

“Ketua polis Selangor turut dilantik namun ketika ini jawatan berkenaan masih belum diisi manakala bilangan selebihnya adalah dari kalangan ahli sebelum ini,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Penerima watikah pelantikan bersama selepas istiadat pengurniaan watikah pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bagi sesi 2021 – 2023 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 30 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Sultan Sharafuddin menyempurnakan watikah pelantikan itu di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Dr Ahmad berkata, dalam majlis sama Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (ALPA LZS) sesi 2021-2023 diketuai Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pula dilantik sebagai timbalan pengerusi ALPA LZS.

“Pelantikan ini mengikut kelulusan Mais dan perkenan Sultan Selangor. Baginda berkenan melantik Mohamed Khalid Share@Shaii sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkuat kuasa 16 Disember lalu dan semoga ia dapat mengukuhkan lagi tadbir urus hal ehwal Islam seterusnya memacu kemajuan ummah,” katanya.

Categories
NASIONAL

PAS mampu pertahan kerusi DUN Sungai Limau

anwar whiteKUALA LUMPUR, 3 OKTOBER :  PAS memiliki peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, Kedah semasa pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu pada 4 November nanti, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan seluruh jenteranya membantu calon PAS untuk memenangi pilihan raya itu.

“Insya Allah kita yakin (menang) ekoran pelbagai isu timbul sekarang antaranya kenaikan harga barang, petrol dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober – yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.

Penyandang kerusi tersebut, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas, Azizan yang juga mantan menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan Mohd Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Api Perkauman Untuk Alih Perhatian Rakyat – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 15052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Barisan Nasional (BN) dilihat semakin terhimpit dan terdesak untuk mengalih perhatian rakyat daripada realiti perit, bahawa sesungguhnya mereka adalah sebuah kerajaan yang menerajui negara ini tanpa memenangi undi popular, dengan berterusan mengapi-apikan sentimen perkauman.

2. Pakatan Rakyat bersedia berdepan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mengemukakan dakwaan salah laku Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

3. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menyiasat kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

4. Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersedia untuk turut sama dalam Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat selain mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Nasional memandangkan polemik perkauman dibangkitkan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

pic buletin 13 - 7Mei13 3ptg

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tian Chua : SPR Bohong Tentang Dakwat Kekal

dakwat kekal hilang kuala selangor 5 mei 01

PETALING JAYA 08 MEI : Parti Keadilan Rakyat membidas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menurut PKR, telah berbohong berkenaan kualiti dakwat kekal.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata SPR sebelum ini telah mengadakan demonstrasi di hadapan media, serta memberi jaminan melalui pelbagai ujian dalam memastikan kualiti dakwat sesuai untuk PRU13.

Namun alasan demi alasan dari SPR dari dakwat tidak digoncang, kandungan halal, dan telah disimpan terlalu lama, menunjukkan badan itu tidak jujur.

“Kalau liquid ini mengandungi silver nitrit, kalau you goncang atau tidak goncang, dia tidak akan berubah kualitinya.”

“Ini menunjukkan pengerusi SPR telah memberi keterangan yang tidak munasabah dan cuba membodohkan rakyat. Kimia ini kita tidak boleh tipu.”

Semasa proses pengundian pada 5 Mei lalu, NGO yang memantau pilihanraya dan Pakatan Rakyat mendapat banyak laporan daripada individu yang mendakwa dakwat kekal yang dicalit di tangan mereka boleh ditanggalkan.

Individu-individu tersebut tampil melaporkan kejadian itu setelah mendapati dakwat di jari mereka yang dicalit semasa pembunangan undi luntur apabila dicuci dengan sabun.

Beberapa hari sebelum itu, SPR berkata dakwat tersebut boleh tahan sehingga lima hari, malah badan itu mengadakan pertunjukkan di hadapan media bagi membuktikan kualiti dakwat itu.

Tian Chua juga meminta agar pihak SPR menjelaskan siapakah tiga orang individu yang pihak SPR telah berikan amanah untuk menyimpan dan menjaga botol-botol tersebut.

Categories
NASIONAL

Izzah Sanggah SPR, Kemuka Surat Aduan Sebagai Bukti

Izzah SPR 01

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyanggah kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman membatalkan senarai pemilih yang didakwa meragukan sebelum memfailkan permohonan semakkan.

Sebaliknya Izzah mendedahkan satu surat yang ditandatangani Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria bagi membuktikan bahawa pihak suruhanjaya telah menerima surat berkenaan.

Selain itu, surat peguam melalui Tetuan Chooi & Company turut diterima dan disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan SPR, Nur Ezdiani Rolen.

“Pembatalan nama-nama yang alamat berdaftarnya tidak lengkap atau tidak wujud terkandung dalam Rang-Rang Daftar pemilih Lembah pantai P121 yang mana semua nama yang kita bantah kita maklumkan kepada SPR.

“Kita sebut di perenggan terakhir sila maklumkan secara bertulis dalam masa tujuh hari dari tarikh di sini sama ada pihak tuan akan membatalkan nama-nama terkandung yang dilampirkan bersama surat.

“Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan atau jawapan yang tidak boleh diterima, kami telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tuan tanpa notis selanjutnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa soal tidak menghubungi SPR sebelum difailkan ke mahkamah dibangkitkan sedangkan pihaknya melakukan perkara berkenaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Pada saya kenyataan ini lagilah menghancurkan sebarang kredibiliti yang masih ada dalam SPR. Bukan sahaja mereka (tidak) mengambil serius dengan (dakwaan) pengundi hantu kita tonjolkan tapi boleh membuat dakwaan yang tidak berasas,” ujarnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan lebih 4,600 pengundi yang didakwanya meragukan dalam Rang Daftar Pemilih dalam Parlimen Lembah Pantai.