Categories
AGENDA NASIONAL

Lima pegawai Mara beri keterangan kepada SPRM

PUTRAJAYA, 11 FEB: Lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp).

Mereka, yang merupakan antara 17 individu dikenal pasti bagi membantu siasatan kes itu, tiba di ibu pejabat SPRM pada kira-kira 3 petang secara berasingan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

“(Mereka) akan dilepaskan setelah tamat percakapan. Mereka dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, SPRM dilapor telah menerima laporan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Pada Ahad lepas pula, lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menafikan pembabitan mereka.

SPRM menyerbu ibu pejabat Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas dan antara yang dirampas ialah kertas cadangan serta minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: PM jangan diam diri, Parlimen perlu bincang isu ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) gesa Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sambil menyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh lagi berdiam diri, HARAPAN mahu penjelasan bagaimana pentadbiran SPRM menjadi rosak hingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi itu.

Kata kenyataan itu, perkara tersebut termasuk dakwaan kecurian RM25 juta wang kes bekas ketua pengarah organisasi perisikan luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid melibatkan pegawai-pegawai SPRM.

“Oleh itu, kami mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja ketua pesuruhjaya sedia ada malah juga terhadap ketua-ketua pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata kontroversi tersebut telah menjejas integriti dan melumpuhkan kredibiliti suruhanjaya itu pada mata rakyat malah di peringkat antarabangsa seperti kenyataan dibuat Transparency International.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN desak ketua pesuruhjaya SPRM disiasat badan bebas, isu miliki berjuta saham

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat badan bebas ekoran kontroversi berkaitan pemilikan saham melibatkan akaunnya.

Tegas HARAPAN tindakan sama perlu dilakukan terhadap pengerusi lembaga penasihat suruhanjaya itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang selain direhatkan sementara siasatan berjalan atas kemungkinan gagal menjalankan tugas mengikut undang-undang.

“Kenyataan ketua pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, polis perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti  didakwa pelbagai pihak.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Semalam laporan menyebut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan berhubung dengan ketua pesuruhjaya SPRM dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemilikan saham membabitkannya.

SC dalam kenyataan menjelaskan, di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Rabu lepas, Abu Zahar dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Menurutnya, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Justeru katanya, lembaga penasihat mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut.

Terdahulu Azam dalam sidang akhbarnya berkata, beliau tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang diurus niaga adiknya itu.

“Saya telah menjelaskan kepada lembaga penasihat pencegahan rasuah bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada kepentingan atau mendapat faedah ke atas saham yang dibeli itu,” katanya.