Categories
AGENDA NASIONAL

Individu positif Covid-19 tidak perlu ujian ulangan selepas kuarantin

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan ujian ulangan tidak perlu bagi individu positif Covid-19 yang selesai menjalani kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian yang sangat sensitif seperti Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) masih dapat mengesan kehadiran bahan genetik virus pada sampel saluran pernafasan sehingga dua hingga tiga bulan setelah dijangkiti.

“Misalnya dalam tempoh viral shedding. Namun, virus tersebut sudah tidak dapat membiak dan individu tersebut tidak mungkin boleh menyebarkan jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan ujian Covid-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) boleh mengesan jangkitan wabak itu pada hari ketiga hingga ketujuh selepas terdedah kepada pesakit Covid-19.

Selain itu, ujian RT-PCR boleh mengesan jangkitan seawal hari kedua hingga ke-14 selepas dijangkiti, justeru, ketepatan kedua-dua jenis ujian itu bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil.

“Penggunaan RTK-Ag adalah disarankan kepada individu bergejala atau berada dalam kumpulan berisiko tinggi sekiranya tidak bergejala.

“RTK-Ag membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan Covid-19 kerana kaedah ini adalah ringkas, mudah, murah, dan boleh dilakukan di lapangan dan proses pengujian adalah pantas dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam masa 20 hingga 30 minit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pesakit yang dikesan positif RTK-Ag kendiri perlu melaporkan keputusan ujian melalui aplikasi MySejahtera, mengemas kini status kesihatan (Home Assessment Tool) dan perlu menjalani isolasi seperti yang ditetapkan KKM.

Katanya bagi ujian RT-PCR dan RTK-Ag profesional pula, pihak makmal atau pengamal perubatan yang menjalankan ujian tersebut perlu melaporkannya segera kepada KKM melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“KKM menyarankan semua ujian RTK-Ag kendiri atau professional ataupun RT-PCR yang dijalankan perlu dilaporkan kepada KKM melalui MySejahtera atau SIMKA, tidak kira sama ada keputusannya adalah positif atau negatif, bagi membantu KKM mendapatkan gambaran lebih jelas kadar jangkitan yang berlaku dalam komuniti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

27,500 jangkitan harian direkodkan semalam, kekal bawah 30,000 kes

SHAH ALAM, 3 MAC: Angka jangkitan Covid-19 melonjak 1,646 kepada 27,500 kes berbanding 25,854 semalam.

Daripada jumlah itu, 27,072 adalah kes tempatan, manakala baki 428 adalah kes import.

Kadar jangkitan kekal di bawah paras 30,000 sejak 26 Februari lalu.

Seramai 1,841 pesakit dimasukkan ke hospital semalam dengan 36.8 peratus atau 677 kes daripada kategori 3, 4 dan 5. Kategori 1 dan 2 pula seramai 1,164 pesakit.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 9,292 kes (33.79 peratus)
Kategori 2 : 18,019 kes (65.52 peratus)
Kategori 3 : 71 kes (0.26 peratus)
Kategori 4 : 38 kes (0.14 peratus)
Kategori 5 : 80 kes (0.29 peratus)

Daripada 189 kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 yang direkodkan semalam sebanyak 114 kes atau 60.32 peratus membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak. Sebanyak 38 kes atau 20.11 peratus pula individu yang sudah menerima dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“KKM menasihatkan individu ini segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19.

“Bagi individu positif Covid-19 kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, mereka dikehendaki hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, angka kematian mencatatkan rekod 115 termasuk 36 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,591 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,496,090.

Categories
AGENDA NASIONAL

0.59 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sebanyak 152 kes atau 0.59 peratus daripada 25,854 kes harian yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 25,702 kes atau 99.41 peratus pula terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 152 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan semalam, 25 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 89 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Selain itu, 38 kes kategori tiga hingga lima telah menerima dos penggalak, 65 kes membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, 51 kes mempunyai komorbid dan satu kes membabitkan ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata semalam, sebanyak 1,754 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital terdiri daripada 575 kes kategori tiga hingga lima, manakala 1,179 kes daripada kategori satu dan dua.

Dalam pada itu, 25,548 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,142,112 kes.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 374 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 213 kes memerlukan bantuan pernafasan menjadikan peratusan penggunaan alat bantuan penafasan kini sebanyak 36 peratus.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU Covid-19 di hospital, beliau memaklumkan lapan negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu di Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Melaka (63 peratus), Kelantan (58 peratus), Perlis (55 peratus), Selangor (55 peratus), dan Sabah (53 peratus).

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kes harian Covid-19 turun kepada 23,100

SHAH ALAM, 1 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 menurun lebih 1,000 kes dengan mencatat 23,100 semalam berbanding 24,466 kelmarin.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 22,914 kes atau 99.19 peratus daripada jumlah itu adalah kategori satu dan dua manakala 186 kes (0.81 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

Petambahan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,442,736 kes.

Manakala kes sembuh sebanyak 30,624 dengan jumlah keseluruhan 3,116,564.

Pecahan pesakit Covid-19 mengikut kategori:

Kategori 1: 8,304 kes (35.95 peratus)
Kategori 2: 14,610 kes (63.24 peratus)
Kategori 3: 96 kes (0.42 peratus)
Kategori 4: 39 kes (0.17 peratus)
Kategori 5: 51 kes (0.22 peratus)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP kesihatan: Dos penggalak mampu lawan gelombang Omicron

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Keberkesanan dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data terkini dari empat minggu lepas iaitu dari 24 Januari hingga 21 Februari menunjukkan kumpulan individu tidak divaksin adalah yang paling berisiko dijangkiti COVID-19 yang serius terutama kategori empat dan lima bagi semua kumpulan umur.

“Perkara ini dibuktikan dengan kes Covid-19 per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi meningkat kira-kira 10 hingga 80 kes direkodkan untuk kategori (3,4 dan 5) bagi semua kumpulan umur

“Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung, apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu kategori 3, 4, dan 5 dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini sejumlah 14,078,456 atau 59.8 peratus dos penggalak diberikan kepada golongan individu dewasa dalam Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) sejak 1 Oktober 2021 hingga semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka menunjukkan pengisian lebih 50 peratus.

“Penggunaan katil ICU di Johor pada 70 peratus dikuti Kelantan (61 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), dan Melaka (54 peratus).

“Selain itu sejumlah 25,099 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779 dan daripada jumlah kes baharu itu, 25,014 kes tempatan dan 85 kes import,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 100 daripada kes baharu adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 24,499 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Bagi kes sembuh pula sebanyak 17,749 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,955,404,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Lebih 300,000 warga emas dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Sebanyak 336,848 warga emas atau 11.5 peratus daripada golongan itu di negara ini telah dijangkiti Covid-19 sehingga 7 Februari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata jumlah kematian melibatkan kumpulan itu pula adalah sebanyak 61.3 peratus atau 19,646 kes daripada keseluruhan 32,034 kes direkodkan bagi tempoh yang sama.

“Bagi suntikan vaksinasi pula, seramai 2,258,521 atau 67.7 peratus warga emas telah menerima dos penggalak dan 3,335,309 atau 96 peratus daripada populasi tersebut telah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.

“Lindungi warga emas daripada jangkitan Covid-19, lengkapkan vaksinasi dan dos penggalak,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin, dos penggalak bantu kurang kes masuk hospital, ICU dan kematian

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya beliau berkata bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama Covid-19 juga tinggi.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 dijangka melonjak sehingga 15,000 sehari – menteri

SHAH ALAM, 6 FEB: Gelombang Omicron dijangka melonjak kes Covid-19 dalam negara sehingga 15,000 kes sehari tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter, hari ini.

“Fully into Omicron wave (berdepan sepenuhnya gelombang Omicron). Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak.

“Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan Twitter ketua pengarah kesihatan mengenai model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menunjukkan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 30 Mac depan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan liputan vaksin dan dos penggalak yang meluas dapat mengurangkan keparahan kes Covid-19 yang kembali meningkat.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 dengan 10,089 kes berbanding 9,117 semalam.

Ia menunjukkan peningkatan 972 kes hari ini iaitu hampir separuh daripada pertambahan dicatat semalam 1,883.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 hari ini lepasi paras 10,000

SHAH ALAM, 6 FEB: Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 dengan 10,089 kes berbanding 9,117 semalam.

Ia menunjukkan peningkatan 972 kes hari ini iaitu hampir separuh daripada pertambahan dicatat semalam 1,883.

Maklumat dikongsi menerusi Twitter Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pertambahan kes itu menjadi jumlah kumulatif setakat ini 2,914,220 kes.

Daripada 10,089 kes itu, 10,012 atau 99.24 peratus adalah kategori satu dan dua manakala baki 77 kategori tiga, empat dan lima.

Pecahan mengikut kategori seperti berikut:

– Kategori 1: 2,482 kes (24.6 peratus)
– Kategori 2: 7,530 kes (74.64 peratus)
– Kategori 3: 52 kes (0.51 peratus)
– Kategori 4: 17 kes (0.17 peratus)
– Kategori 5 : lapan kes (0.08 peratus)

Manakala jumlah kes mengikut negeri:

– Selangor (2,549)
– Johor (1,582)
– Sabah (1,285)
– Kedah (904)
– Pahang (624)
– Pulau Pinang (542)
– Kuala Lumpur (491)
– Kelantan (471)
– Negeri Sembilan (464)
– Melaka (457)
– Perak (321)
– Terengganu (213)
– Putrajaya (61)
– Sarawak (58)
– Perlis (44)
– Labuan (23)

Maklumat terperinci berhubung kes harian dimuat naik ke laman web https://covidnow.moh.gov.my dan dikemas kini sekali gus selepas tengah malam.

Categories
AGENDA NASIONAL

26,365 kes demam denggi dicatat tahun lalu, terendah sejak sedekad

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Malaysia merekodkan sebanyak 26,365 kes demam denggi sepanjang 2021 iaitu penurunan sebanyak 70.8 peratus berbanding 90,304 kes tahun sebelumnya (2020), kes terendah sejak sedekad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh sama kematian disebabkan demam denggi juga menurun daripada 145 kematian pada 2020 kepada 20 kematian tahun lepas.

“Ini merupakan kali pertama Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad itu.

“Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan, namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ia bersempena sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia semalam (30 Januari).

Bagaimanapun katanya, berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, KKM mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada 2010, 2015 dan 2019.

Wabak denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran.

“Oleh demikian, kes demam denggi dijangka akan meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan lebih tinggi daripada jumlah kes dicatatkan pada 2019,” katanya.

Berkongsi kisah kejayaan kawalan denggi di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia berfokus kepada langkah kesihatan awam terutama pengesanan awal dan pengurusan vektor memandangkan setakat ini belum ada mekanisme berkesan mengatasi virus denggi.

Antaranya mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988, menambah baik kaedah pemakluman sistem dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue, mengenal pasti sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital dan membangun sistem pemetaan risiko bagi memudahkan perancangan aktiviti kawalan vektor di lapangan.

Katanya lagi, dari aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, denggi tidak menpunyai rawatan khusus seperti antivirus.

“Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang telah disarankan oleh WHO yang menetapkan kadar seroprevalensi denggi sekurang-kurangnya 80 peratus pada usia sembilan tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan.

“Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya,” katanya.

Bagi perancangan masa depan, beliau berkata Bahagian Kawalan Penyakit telah bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS).

Katanya kerjasama ini bertujuan meneroka prospek untuk menggabungkan amaran awal dan ciri-ciri ramalan sistem pengawasan denggi kebangsaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan aktiviti pencegahan yang lebih intensif.

KKM juga menasihati orang ramai mencegah penularan denggi di peringkat isi rumah termasuk penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes; perlindungan daripada gigitan nyamuk mengikut kapasiti individu dan mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami simptom demam denggi seperti demam, sakit otot dan sendi, sakit belakang dan ruam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

162 kes varian Omicron dikesan sejak 23 Jan – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Sebanyak 162 kes baharu varian Omicron dikesan sejak 23 Januari lepas hingga hari ini oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 89 kes, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) mengesan 71 kes manakala dua kes dikesan Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian yang dibimbangi (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 7,056 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,036 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat 6,188 kes varian Delta, 601 (Omicron), 233 (Beta) dan 14 (Alpha).

Menurutnya bagi kes VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Mengenai kes baharu Covid-19, Dr Noor Hisham berkata 4,066 kes dicatatkan hari ini dengan 50 kes (1.2 peratus) daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,016 kes (98.8 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 4,066 kes itu, 442 adalah kes import dan 3,624 pula adalah kes tempatan dengan 131 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata 13 kluster baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif adalah 244 manakala kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) Malaysia semalam pula adalah 1.09.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia rekod trend peningkatan kes Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ketiga

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Malaysia merekodkan trend peningkatan kes baharu Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi ketiga (ME 3/2022) dari 16 hingga 22 Januari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu itu meningkat sebanyak 7.9 peratus iaitu daripada 22,006 kes pada ME 2/2022 (9 hingga 15 Januari) kepada 23,752 kes pada ME 3/2022.

“Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan purata sebanyak 39,507 kes pada ME 2/2011 kepada 40,473 kes pada ME 3/2022.

“Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan konsisten sebanyak 19.0 peratus dengan 102 kematian pada ME 3/2022 berbanding 126 kematian pada ME 2/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan sebanyak 30.3 peratus iaitu 129 kes (ME 3/2022) berbanding 185 kes (ME 2/2022).

Katanya penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan kepada kes ICU pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU secara konsisten dicatatkan sejak 10 minggu lalu pada ME 45/2021.

Selain itu, katanya purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 23.5 peratus iaitu 52 kes (ME 3/2022) berbanding 68 kes (ME 2/2022) dengan purata itu kekal menurun semenjak 22 minggu yang lalu, manakala purata nilai RT meningkat sebanyak 2.0 peratus daripada 0.99 pada ME 2/2022 kepada 1.01 pada ME 3/2022.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 88 kluster baharu dilaporkan pada ME 3/2022, melibatkan pusat pendidikan (62), tempat kerja (18), kumpulan berisiko tinggi (empat) dan masing-masing satu membabitkan komuniti, keagamaan, import dan pusat tahanan.

Mengenai kes baharu Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 3,214 kes dicatatkan hari ini dengan 35 kes (1.1 peratus) daripadanya adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,179 kes (98.9 peratus) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 3,214 kes itu, sebanyak 406 adalah kes import dan 2,808 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di ICU ialah 112 kes dengan 40 kes memerlukan bantuan pernafasan.

– BERNAMA