Categories
AGENDA NASIONAL

3,856 kes baharu Covid-19, lebih 99 peratus kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Sebanyak 3,856 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini menurun sedikit daripada 4,116 kes semalam menjadikan kes kumulatif wabak itu kepada 2,832,945 setakat 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 35 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,821 kes (99.1 peratus) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 3,856 kes itu, sebanyak 492 adalah kes import dan 3,364 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 121 kes dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,814 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih setakat ini ialah 2,755,933 orang.

Katanya sebanyak 13 kluster baharu direkodkan dengan 235 kluster masih aktif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menyeru orang ramai yang langsung belum mendapat vaksin Covid-19 supaya berbuat demikian dengan mendaftarkan diri mereka untuk mendapatkan janji temu vaksin.

“Bagi yang telah mendaftar, Kementerian Kesihatan memohon agar anda hadir ke janji temu itu demi melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

Bagi mereka yang telah mendapatkan vaksin pula, dinasihat mengambil dos penggalak agar dapat melindungi orang sekeliling daripada jangkitan wabak itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak untuk pastikan imuniti kekal tahap optimum

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Dos penggalak Covid-19 perlu diberikan selepas tempoh tertentu bagi memastikan imuniti individu yang telah lengkap vaksinasi kekal pada tahap optimum.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saranan itu dikeluarkan kerana didapati berlaku penurunan imuniti selepas penerimaan vaksin Covid-19 dalam tempoh tertentu.

“Daripada pemantauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia, penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang telah mengambil dos lengkap.

“Bagi penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelbagai kajian dari Israel, United Kingdom dan Chile mendapati penurunan tahap antibodi peneutralan kepada Covid-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap dan menyebabkan risiko dijangkiti wabak itu meningkat terutama bagi kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata setakat semalam, seramai 10,235,759 atau 43.7 peratus populasi negara ini yang berumur 18 tahun dan ke atas telah mendapatkan dos penggalak.

Beliau juga berkata kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini meningkat kepada 4,046 berbanding 3,764 semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,824,973 setakat 12 tengah hari.

Sebanyak 0.8 peratus daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 99.2 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 4,046 kes itu, sebanyak 489 adalah kes import dan 3,557 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 149 kes dan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,804 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,750,261 orang.

Katanya sebanyak 12 kluster baharu direkodkan dengan 220 kluster masih aktif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

186 kes varian Omicron dikesan sejak 14 Jan – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Sebanyak 186 kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 14 Januari lepas hingga hari ini oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Integrative Pharmacogenomics Institute Universiti Teknologi Mara (iPROMISE-UiTM) mengenal pasti 46 kes baharu, The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) masing-masing 43 kes, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) (28) manakala Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) (26).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,432 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 6,412 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kes baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan dengan 3,245 kes dilaporkan hari ini berbanding 2,342 semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,813,934 setakat 12 tengah hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu, sebanyak 98.8 peratus atau 3,206 kes adalah pesakit kategori satu dan dua manakala hanya 39 kes atau 1.2 peratus kategori tiga, empat dan lima.

“Kes sembuh pula adalah sebanyak 3,093 menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,741,355 kes manakala 183 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 84 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 188 manakala nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini adalah pada paras 0.98.

Beliau berkata bilik gerakan banjir di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pula telah ditutup secara berperingkat bermula dengan Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Melaka, Sarawak, dan Johor.

Beliau berkata tiada kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhan sepanjang kejadian banjir adalah kekal 471 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia rekod trend peningkatan kes Covid-19 pada Minggu Epidemiologi kedua

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Malaysia merekodkan trend peningkatan terhadap purata kes aktif Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi kedua (ME 2/2022) dari 9 hingga 15 Januari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata purata kes aktif meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 39,507 kes pada ME 2/2022 daripada 38,581 kes pada ME pertama (ME 1/2022) (2 hingga 8 Januari).

“Peningkatan 0.7 peratus turut direkodkan ke atas kes baharu iaitu daripada 21,859 kes (ME 1/2022) kepada 22,006 kes (ME 2/2022).

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 11.3 peratus dengan 126 kematian pada ME 2/2022 berbanding 142 kematian pada ME 1/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan lapan peratus kepada 185 kes (ME 2/2022) berbanding 201 kes (ME 1/2022), dengan penurunan berterusan secara konsisten itu dilaporkan sejak sembilan minggu lepas pada ME 45/2021.

Beliau berkata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 18.1 peratus kepada 68 kes (ME 2/2022) berbanding 83 kes (ME 1/2022), dengan purata itu kekal menunjukkan penurunan sejak 21 minggu lepas pada ME 33/2021.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 15 daripada 43 kluster baharu yang dilaporkan pada ME 2/2022 melibatkan pusat pendidikan, 10 (tempat kerja), sembilan (komuniti), lima (kumpulan berisiko tinggi), tiga (import) dan satu (keagamaan).

“Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400 peratus dan 350 peratus pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula pada 9 Januari lepas.

“Peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka dan seterusnya merebak ke komuniti,” katanya.

Mengenai kapasiti hospital, Dr Noor Hisham memaklumkan penggunaan katil bukan ICU dan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menunjukkan peningkatan pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022, sementara penggunaan katil ICU dan alat bantuan pernafasan pula menunjukkan penurunan dua peratus dalam tempoh sama.

Sementara itu, sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang peningkatan kes dalam masa terdekat susulan kebolehjangkitan tinggi bagi varian Omicron, beliau berkata Kementerian Kesihatan bersiap sedia untuk menggunakan hospital daerah sebagai hospital hibrid untuk merawat pesakit Covid-19 kategori satu hingga tiga.

Selain itu, KKM juga bersedia merujuk pesakit Covid-19 kategori empat dan lima ke hospital berpakar; dan pesakit Covid-19 yang stabil pula akan dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sehingga selesai tempoh pengasingan; selain akan menggunakan ubat antiviral yang dikenal pasti lebih awal di peringkat CAC dan PKRC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

3,010 kes baharu Covid-19, 99 peratus kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Jumlah kes Covid-19 dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan untuk hari ketiga berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 3,010 kes iaitu berkurangan sedikit berbanding 3,074 kes, semalam.

Sebelum itu, sebanyak 3,346 kes dilaporkan pada 14 Januari iaitu menurun berbanding 3,684 kes yang dilaporkan pada 13 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata daripada 3,010 kes dilaporkan hari ini, 99.1 peratus atau 2,982 kes dalam kategori satu dan dua.

“Hanya 28 kes atau 0.9 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 2,584 kes sembuh yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 2,735,355 kes.

Menurut Dr Noor Hisham daripada 3,010 kes baharu yang dilaporkan hari ini 2,747 adalah kes tempatan manakala 263 adalah kes import.

Beliau berkata sebanyak tujuh kluster baharu dikesan KKM pada hari ini menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 176 kluster.

Katanya, kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara pada hari ini ialah 0.99 dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 1.08 dan empat negeri pada kadar sifar. Keempat-empat negeri tersebut ialah Sarawak, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham berkata tiada kes baharu positif Covid-19 mahupun kluster baharu dikesan dalam kalangan mangsa terjejas banjir hari ini dan jumlah kes positif yang dicatatkan kekal 471 kes dan satu kluster.

Beliau berkata tiada penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan kes baharu Covid-19 babit mangsa banjir dikesan hari ini

SHAH ALAM, 2 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sembilan kes baharu positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir hari ini, menjadikan keseluruhan 460 jangkitan.

Ketua pengarah kesihatan berkata keseluruhan kes terbabit dilaporkan dalam kalangan mangsa di Kelantan, Sabah, Pahang, Terengganu, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Tiada pertambahan kluster baharu dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan keseluruhan kluster dikesan masih lagi satu.

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS kekal 15 kes tanpa pertambahan kes hari ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau mengingatkan mangsa banjir memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat jika disahkan positif dan dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Mangsa juga diminta patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan serta sepanjang tempoh berada di PPS dengan mengelak berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 63 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini membabitkan 42 kes jangkitan saluran pernafasan akut, acute gastroenteritis (11) dan penyakit kulit (10).

Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes bagi ketiga-tiga penyakit selain konjunktivitis serta penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 2,038 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Janji temu dos penggalak melalui SMS, MySejahtera – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Janji temu bagi penerima dos penggalak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi MySejahtera bagi mempercepatkan pemberian vaksin itu, kata ketua pengarah kesihatan.

Sehubungan itu, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat agar sentiasa ambil tahu tentang pemakluman di telefon bimbit masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu dan menyatakan sama ada bersetuju menerima dos penggalak atau tidak.

“Sekiranya terlepas tarikh janji temu yang diberikan, orang ramai disarankan agar hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan sejak ia diluluskan pada November lepas.

Katanya, pemberian dos penggalak itu dimulakan dengan individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan petugas Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung serta individu ada keperluan ke luar negara.

Mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baharu hari ini kembali menurun ke paras bawah 4,000 iaitu 3,900 kes berbanding 4,097 kes semalam.

Beliau berkata sebanyak 4,552 kes sembuh pula direkodkan.

“Daripada 3,900 kes baharu hari ini, 86 kes atau 2.2 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 3,814 kes atau 97.8 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dimuat naik ke laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada pukul 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan harian, kes sembuh Covid-19 pada paras 4,000

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kes baharu Covid-19 meningkat kepada 4,097 kes hari ini setelah dua hari merekodkan jumlah di bawah angka 4,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh yang dicatatkan pada hari ini pula ialah 4,301 kes.

“Daripada 4,097 kes baharu dilaporkan hari ini, 86 kes atau 2.1 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 4,011 kes atau 97.9 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada hari ini ialah 0.94 dengan negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi ialah Negeri Sembilan dengan 1.02 dan terendah ialah Sarawak (0.73).

Beliau berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my .

Data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian individu tidak divaksin 20 kali ganda lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kematian akibat Covid-19 adalah 20 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan populasi yang tidak divaksin berbanding populasi yang telah divaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi akaun Twitternya Dr Noor Hisham berkata trend kematian Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dengan liputan vaksinasi yang meluas.

“Data kami (Kementerian Kesihatan) menunjukkan kematian dalam kalangan yang tidak divaksinasi dan sebahagiannya divaksinasi adalah 3,200 orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk. Bagi individu yang telah lengkap divaksin adalah 160 orang/kematian bagi satu juta penduduk dan kematian bagi mereka yang telah mendapat dos penggalak adalah empat orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data Kematian Covid-19 Kebangsaan dari 1 Januari hingga 4 Disember 2021, jumlah kematian tertinggi diumumkan pada 11 September dengan 592 kes.

Jumlah kematian tertinggi bagi BID iaitu kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital adalah pada 13 September dengan 176 kes. Data itu berdasarkan jumlah laporan kematian yang diterima setiap hari, katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini bagi tahun 2021 sejumlah 24,014 individu meninggal dunia di hospital dan 6,046 kes BID.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan harian Covid-19 catat 5,446 kes

SHAH ALAM, 9 DIS: Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini kekal pada paras 5,000 dengan 5,446 kes, menurut ketua pengarah kesihatan.

Angkat tersebut menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 5,020 semalam.

Perkongsian Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook memaklumkan pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,678,465 kes.

Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman CovidNow: https://covidnow.moh.gov.my

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan harian Covid-19 catat 4,965 kes

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak 4,965 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini iaitu meningkat sedikit berbanding 4,262 semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Maklumat menerusi Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan angkat tersebut menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 2,667,999 kes.

Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman CovidNow: https://covidnow.moh.gov.my

Categories
AGENDA NASIONAL

98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Sebanyak 98.2 peratus atau 4,184 daripada keseluruhan 4,262 kes baharu Covid-19 dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 78 kes atau 1.8 peratus pula dalam kategori tiga, empat dan lima, iaitu mereka yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini 2,663,034 selepas 4,262 kes baharu direkodkan.

“Sebanyak 463 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 249 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 5,894 kes sembuh dicatatkan menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada jangkitan itu kini 2,572,053.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga 4 Dis, Minggu Epidemiologi (ME) ke-48, sebanyak 2,654,474 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 62,670 kes aktif dan 30,574 kes kumulatif kematian.

“Meskipun nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara meningkat sedikit pada minggu lepas, semua indikator utama jangkitan Covid-19, kini mencatatkan penurunan berbanding ME ke-47.

“Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan tren penurunan kecuali kluster pendidikan,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.