Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kawalan sempadan negara perlu terus dipertingkat

PUTRAJAYA, 25 OGOS: Kawalan sempadan negara perlu terus dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dari 3 April sehingga 23 Ogos, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring, dengan 103,289 telah dikuarantinkan sama ada di rumah atau pusat kuarantin.

“Kes positif Covid-19 yang dikesan pula adalah sebanyak 899 kes yang mana mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital. Sekiranya terdapat kelemahan, sistem ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, bagi memastikan tiada penularan jangkitan, pematuhan kepada undang-undang dan tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan amat penting, katanya.

“Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh situasi di Malaysia,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua petugas barisan hadapan untuk terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan.

Menurutnya sekiranya mereka menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ia dapat dirungkai dan diselesaikan.

Dr Noor Hisham berkata ia adalah penting untuk memastikan undang-undang serta SOP dipatuhi, dan petugas barisan hadapan adalah terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan.

Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah amat penting untuk digunakan bagi memutuskan penularan Covid-19 dan ketidakpatuhan terhadap akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit, katanya.

“Sekali lagi diingatkan kepada semua petugas untuk patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan dan orang ramai untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Masyarakat memainkan peranan amat penting dengan mematuhi sepenuhnya akta ini dan segala SOP yang ditetapkan, tidak kira siapa dan di mana sekali pun. Hanya dengan kepatuhan 100 peratus terhadap akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 11 kes baharu, lapan dirawat ICU

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak 11 kes Covid-19 direkodkan hari ini melibatkan sembilan kes tempatan dan dua kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan tersebut menjadikan jumlah terkumpul 9,285 kes dengan 189 daripadanya merupakan kes aktif.

“Sehingga kini lapan kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Selain itu enam kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh 8,971 kes atau 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kematian direkodkan hari ini dan jumlahnya kekal 125 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiada kes baharu Kluster Tawar hari ini

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan bagi Kluster Tawar hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata bagaimanapun saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan seperti biasa.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 3,436 orang disaring dalam kluster ini membabitkan 2,907 di Kedah, 518 di Pulau Pinang dan 11 di Perak,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Berikut perincian saringan mengikut negeri:
i. Kedah:
• 54 kes dikesan positif Covid-19
• 2,393 individu negatif
• 460 individu masih menunggu keputusan.

ii. Pulau Pinang:
• 11 kes dikesan positif Covid-19
• 506 individu negatif
• Satu individu masih menunggu keputusan.

iii. Perak: Kekal 11 saringan, semua negatif. Tiada saringan baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kes baharu Covid-19 hari ini, lima penularan tempatan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan lima penularan tempatan dan dua kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 9,274 kes.

“Lima kes itu adalah dua warganegara dan tiga warga asing di Sarawak manakala dua kes import mendapat jangkitan di Filipina dan Amerika Syarikat melibatkan rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan lima individu memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham enam pesakit disahkan sembuh dan tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlahnya kekal 125 iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Perincian kes baharu Covid-19 dalam negara:
• Sarawak (bukan warganegara)
– Dua kes saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak
– Satu kes sebelum balik ke negara asal

• Sarawak (warganegara)
– Satu kes saringan di tempat kerja. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak
– Satu kes saringan sebelum bersalin juga tidak bergejala dan dimasukkan ke hospital sama