Categories
AGENDA NASIONAL

Mendiang Tan Sri JJ Raj, hero Bukit Kepong selamat disemadi

SHAH ALAM, 8 NOV: Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia pada Sabtu lalu, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam hari ini.

Mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi akibat masalah jantung (cardiac arrhythmia) di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis) Datuk Sulaiman Salleh dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Sharul Lalli Masduki.

Zaini berserta beberapa kepimpinan kanan polis memberi tabik hormat di hadapan keranda mendiang serta menyampaikan ucapan takziah dan menyerahkan bendera Malaysia kepada waris mendiang, sebagai tanda penghormatan terakhir Polis Diraja Malaysia dan negara kepada mendiang.

Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950.

Pada tahun 1974, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum bersara wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.

Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh (1950), Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).

Mendiang juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua tahun selepas itu.

Selepas bersara, mendiang membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan sukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir takziah pemergian hero Bukit Kepong

SHAH ALAM, 7 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berdukacita atas pemergian pesara polis berusia 100 tahun itu akibat masalah jantung.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, mendiang pernah berkhidmat sebagai ketua polis Selangor pada 1973 selain rapat dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Pernah menjawat pelbagai jawatan tertinggi semasa berkhidmat dengan polis, mendiang diingati sebagai hero apabila mengetuai Skuad Harimau ketika menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong semasa tragedi serangan komunis pada 1950,” katanya.

Tan Sri JJ Raj (Jr) (kiri) ketika memegang jawatan ketua polis Selangor bersama Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar tahun 1970an. Foto Facebook Selangor Royal Office

Atas jasa dan baktinya, Almarhum Sultan Salahuddin turut mengurniakan gelaran Dato’ Sri Sentosa Setia Diraja kepada mendiang pada 1980, menurut kenyataan tersebut.

Mendiang yang lahir pada 27 Julai 1921 dilapor meninggal dunia pada jam 1.55 pagi semalam di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

JJ Raj mendapat pendidikan awal di Sekolah St Michael’s Institution di Ipoh, Perak sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada 1952 dan dikurniakan empat anak serta tiga cucu.

Beliau menyertai polis sebagai inspektor pelatih pada 1946 dan menjadi ketua polis Pagoh pada 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong.

Beberapa jawatan penting disandang mendiang antaranya ketua polis Tangkak (1952), ketua polis Kuala Lumpur (1958), ketua polis Pahang (1961), ketua polis Negeri Sembilan (1967) dan pengarah pengurusan Bukit Aman pada 1974.

Beliau mempunyai rekod cemerlang dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara polis Tan Sri JJ Raj meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri J.J Raj yang terkenal menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong, Johor satu masa dahulu, meninggal dunia hari ini di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi tadi akibat Cardiac Arrhythmia, semasa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, pada petang ini.

“Mendiang sebelum ini, terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh dalam mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas Komunis, sewaktu era Darurat tahun 1950.

“Kemuncak karier mendiang dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan mendiang sangat besar, dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada PDRM dan negara.

Beliau bersama timbalannya Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Mendiang J.J. Raj dilahirkan pada 27 Julai 1921 di Chemor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Michael’s Institution Ipoh, sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada tahun 1952, dan dikurniakan dengan empat anak serta tiga cucu.

Beliau mula menyertai PDRM sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1946 dan menjadi Ketua Polis Daerah Pagoh pada tahun 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong, sewaktu darurat di Tanah Melayu pada 23 Feb 1950.

Sepanjang perkhidmatan beliau dalam PDRM, beberapa jawatan penting pernah disandang beliau iaitu Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) (sebelum KL menjadi Wilayah Persekutuan), Ketua Polis Pahang (1961), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967) dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 1974 serta bersara pada tahun 1976.

Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam pasukan PDRM dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.

— BERNAMA