Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli MPT Bersatu: PM dijangka buat pengumuman esok

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas esok, demikian menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

“Insya-Allah ada pengumuman (oleh Muhyiddin)… apa pun kita tunggulah esok,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat khas Bersatu di Publika, Jalan Dutamas, di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti.

Antara yang kelihatan hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 9 pagi itu ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan ahli MPT iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Kamarudin Jaafar, Datuk Mansor Othman serta Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Selain pimpinan Bersatu, turut kelihatan hadir adalah Ahli Parlimen Kuala Langat (Bebas), Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan reaksi perdana menteri tidak berjaya selepas difahamkan beliau beredar mengikut laluan lain selain ahli MPT Bersatu yang lain juga enggan memberikan komen lanjut.

Jumaat lalu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas antara lain menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain, namun tawaran itu ditolak majoriti parti pembangkang.

Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Redzuan, yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Melaka, berkata mesyuarat berkenaan membincangkan hala tuju sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Perdana Menteri telah mengkaji setiap pilihan terakhir semata-mata untuk kepentingan rakyat dalam keadaan kita krisis hari ini. Tetapi kita akur kepada Perlembagaan, (dan) sekiranya menarik sokongan atas kepentingan peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat, maka kita kena uruskanlah dengan yang terbaik.

“Itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan negara ini terus diterajui oleh kepimpinan yang boleh beri keprihatinan kepada rakyat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parti-parti pembangkang tolak tawaran, dakwa Muhyiddin belakangi kuasa Agong

SHAH ALAM, 13 OGOS – Parti-parti pembangkang dan kumpulan Umno yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional menolak tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) dan kumpulan Umno itu turut menyifatkan ahli parlimen Pagoh membelakangi fungsi dan kuasa di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan perdana menteri.

Parti Muda, Parti Warisan Sabah, Parti Sarawak Bersatu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) secara bersama turut menolak tawaran yang dianggap mereka sebagai cubaan membeli sokongan.

Dalam tiga kenyataan berasingan, semua parti-parti tersebut senada mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan mahu proses demokrasi dijalankan semula.

PAKATAN menganggap tawaran yang dibuat perdana menteri dalam pengumuman khas petang tadi tidak ikhlas dan sekadar cubaan meraih sokongan pembangkang

“Ini juga kali pertama seorang perdana penteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menganggap tawaran berkenaan sebagai sogokan terbuka untuk memanjangkan hayat politik Muhyiddin.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin jumpa ketua parti gabungan PN dua jam

PUTRAJAYA, 11 OGOS : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini.

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini.

Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam dan diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil.

Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Usul bahas, ungkai Ordinan Darurat dijadual September

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan akan membincangkan usul bagi perbahasan dan mengungkaikan Ordinan Darurat yang bakal dibawa dalam sidang Parlimen dijadual pada September ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana disembah nasihat jemaah menteri pada 23 Julai tidak dapat disempurnakan.

“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan perkara berkenaan secara harmoni dan berperlembagaan.

Katanya, selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen dijadualkan pada September ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Agensi boleh beli vaksin asal lulus NPRA

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tiada halangan jika ada pihak di negara ini yang berhasrat membeli sendiri vaksin Covid-19 tetapi pihak itu mesti mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Katalah sesetengah agensi, misalnya Petronas dan sebagainya (hendak membeli), kita tak boleh halang. Syaratnya ia mesti diuji selamat (oleh NPRA) dan kenalah ada lesen… tak boleh curi-curi, seludup bawa masuk,” katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM dan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha membekalkan vaksin kepada hospital dan pihak swasta bagi mempercepat proses pemberian vaksin kepada rakyat.

“Dia (proses vaksin di fasiliti swasta) tak kena caj pasal ia tanggungan kerajaan. Kita minta mungkin hospital itu boleh caj RM14 (dibiayai kerajaan) sekali suntikan macam tu dan vaksin tu percuma,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa sasaran mewujudkan imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai berikutan jaminan penghantaran bekalan vaksin yang ditempah akan tiba sebelum akhir tahun ini.

“Saya diberitahu oleh menteri (berkaitan), bekalan ini (vaksin) dah mula sampai bahkan saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual. Dahulu kalau jadualnya tahun depan, 2022 baru dapat selesai, tetapi sekarang ini saya telah diberi jaminan katanya sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.

“Maknanya kita boleh dapat capai imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin (untuk penduduk Malaysia) sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Bagi melancarkan proses vaksinasi, Muhyiddin berkata lebih 600 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan setakat ini dengan PPV mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang boleh memuatkan 8,000 orang.

Katanya kerajaan juga menyasarkan seramai 150,000 orang mampu divaksin setiap hari tidak lama lagi dengan kemudahan PPV yang ada.

Beliau juga berkata Malaysia akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin berhubung tempoh selang masa antara suntikan pertama dan kedua dalam proses pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat.

“Saya dinasihatkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) kita ikut cara yang diberi oleh pengeluar vaksin. Contohnya Pfizer tetapkan buat suntikan kedua lepas 21 hari, jadi kita ikut kata dia (Pfizer) kerana mereka ada pakar yang telah membuat kajian kenapa perlu disuntik selepas 21 hari, kita tidak ada masalah dengan ini.

“Bagi saya, tak kira apa pun setiap orang berhak dapat, jika Johnson&Johson sekali suntik sahaja kita ikut, jika dua dos kita ikut dua dos. Kita ikut dan patuh,” katanya.

Dilaporkan berkuat kuasa 19 Mei lepas, Singapura melaksanakan strategi melanjutkan selang masa antara suntikan vaksin pertama dan kedua selama enam hingga lapan minggu berbanding tiga hingga empat minggu sebelum ini.

Strategi mengutamakan pemberian dos pertama seperti yang turut dilaksanakan oleh negara seperti United Kingdom dan Jerman itu adalah bagi melindungi lebih ramai orang menerusi pemberian dos pertama vaksin dengan lebih cepat.

Muhyiddin turut menitipkan pesanan bagi mereka yang telah lengkap mendapatkan vaksin supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerana jangkitan masih boleh berlaku.

“Jangan langgar SOP. Macam saya dah dua dos vaksin, setakat ini semua ujian saya negatif tapi saya tak boleh bangga diri kerana jangkitan di luar ini masih berlaku. Kita takkan rasa selamat di Malaysia kalau seluruh dunia masih belum selamat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM: PEMERKASA bernilai RM20 bilion kurangkan beban rakyat

SHAH ALAM, 17 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata pakej baharu itu turut membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

Antara pengumuman penting:

– Kerajaan mungkin tidak lagi perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, sebaliknya kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Bantuan untuk rakyat:

– Usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terima bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000. Permohonan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 itu dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini.

– Pembelian motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000 bagi program TEKUN Mobilepreneur.

– Majlis Pekerjaan Negara (NEC) akan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan. Sehingga akhir Februari, 66,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

– Bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM600 kepada pengusaha inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

– Diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 30 Jun depan.

– Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

– Subsidi RM300 khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu.

– Bayaran sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan.

– Bayaran tambahan sebanyak RM500 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

– RM100 juta diperuntuk bagi program bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar.

– Jumlah bantuan eBelia naik daripada RM100 kepada RM150.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM dahului program suntikan vaksin Covid-19 petang ini

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin itu pada kira-kira 3 petang.

Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Februari (Jumaat) itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut untuk fasa pertama ini yang akan berlangsung hingga April depan.

Selain Muhyiddin, turut dijadualkan menerima vaksin itu pada petang ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat lagi warga kerja Kementerian Kesihatan.

Mereka bakal menerima vaksin tersebut di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya yang merupakan antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Pada Ahad lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dihantar ke negara ini dengan sebahagian diterbangkan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sementara sebahagian lagi ke Johor. Vaksin tersebut dibawa dari Singapura yang merupakan hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara-negara Asia Pasifik.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan telah mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus adalah anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Program ini menyasarkan untuk memberi imunisasi terhadap jangkitan Covid-19 kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperoleh sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 iaitu melalui Fasiliti COVAX dan lima pengeluar, yang terdiri daripada Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Gamaleya.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, seramai 288,229 orang telah dijangkiti virus itu setakat 23 Februari, selain 1,076 kematian direkodkan bagi tempoh sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bangunkan pusat kuarantin Maeps 2.0, PM anggap tindakan luar biasa

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Perdana Menteri menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibangunkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang dalam tempoh tiga hari sebagai satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Menzahirkan rasa bangga dengan usaha barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi membangunkan fasiliti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan langkah bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

“Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit,” katanya dalam satu catatan kemas kini di laman Facebook rasminya malam tadi.

Semalam, beliau meluangkan masa melawat Hospital Bersepadu Maeps 2.0 di Serdang bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit-pesakit Covid-19.

Beliau diiringi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam kemas kini sama, Muhyiddin berkata beliau sempat berinteraksi dengan pesakit yang sedang dirawat salah satu dewan di pusat berkenaan dan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau juga tidak lupa menitipkan doa kepada semua pesakit Covid-19 agar terus bersemangat menjalani tempoh sukar dan diberikan kesembuhan serta barisan hadapan dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang pandemik tersebut.

PKRC Maeps kini meliputi tujuh buah dewan yang telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Fasiliti itu kini dinaik taraf secara berfasa sebagai Hospital Bersepadu Maeps 2.0 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 24 Januari ini bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi di hospital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

MB iringi PM lawat pusat kuarantin di Maeps

SEPANG, 19 JAN: Dato’ Menteri Besar mengiringi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersiko Rendah (PKRC) di Serdang hari ini.

Selain Dato’ Seri Amirudin Shari, turut sama ke pusat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Muhyiddin yang tiba di sini pada jam 5 petang, meluangkan masa hampir sejam mendengar taklimat serta melawat pesakit Covid-19.

Sebelum ini, pusat berkaitan dibuka pada Mac tahun lalu tetapi ditutup pada Julai namun beroperasi kembali pada 6 Disember dan dikenali PKRC Maeps 2.0.

Kini sebanyak 9,000 katil disediakan bagi menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Amirudin Shari ketika ditemui SelangorKini berasa yakin pusat berkenaan mampu menangani beban hospital bagi mengurangkan jumlah pesakit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program Subsidi Upah 3.O ditambah baik, majikan di kawasan PKP layak memohon

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditambah baik dengan semua majikan yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika membuat pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung TV dan platform sosial media di sini, hari ini.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, perdana menteri berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).

“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikro kredit, seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikro kredit disediakan, merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional, RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN,” jelasnya.

Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Melalui kempen berkenaan, para usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian.

Untuk Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP Tambahan) pula, beliau berkata kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan kepada 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta setuju rawat pesakit Covid-19 – PM

SHAH ALAM, 18 JAN: Hospital swasta bersetuju menerima pesakit Covid-19 bagi menampung peningkatan kes positif, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata persetujuan tersebut hasil semangat kerjasama dengan matlamat meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam negara.

“Justeru kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan matlamat ini,” katanya pada pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan turut menambah lebih 3,500 kakitangan kesihatan yang bakal bertugas hujung bulan ini melibatkan peruntukan RM150 juta.

“Petugas kesihatan ini terdiri penolong pegawai perubatan, paramedik, juru teknologi makmal dan jururawat. Saya memberi jaminan sekiranya terdapat keperluan akan datang, kerajaan bersedia membuat pengambilan baharu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: 27 juta rakyat terima vaksin Covid-19 pada Mac

SHAH ALAM, 18 JAN: Hampir 27 juta rakyat negara ini bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada awal Mac, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata suntikan vaksin akan terus dilaksanakan sehingga suku pertama tahun depan.

“Garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu perlu mengambil vaksin akan dihebahkan yang dijangka berjalan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rayat Malaysia (PERMAI) hari ini.

Pada 15 Januari menteri kesihatan berkata pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 akan dibuka tidak lama lagi.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata setiap individu akan menerima dua dos vaksin bagi memastikan perlindungan penuh daripada jangkitan virus itu.