Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara perlu jelaskan keputusan lepas, bebas Musa Aman – PAKATAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) meminta penjelasan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, pagi tadi.

Majlis terbabit memaklumkan keputusan itu membingungkan dan mengecewakan memandangkan semua pertuduhan terhadap mantan Ketua Menteri Sabah itu membabitkan nilai lebih RM50 juta.

“Satu negara menyaksikan hakim Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskan Musa Aman, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik kesemua 46 pertuduhan terhadap beliau.

“Ini bukan jumlah pertuduhan dan jumlah wang yang kecil. Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan ini kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini,” kata kenyataan itu.

Ia adalah kenyataan bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiusaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Hakim juga membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu untuk membatalkan tuduhan dan permohonan bagi mencabar keperlembagaan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Rayuan pulihkan perintah Mahkamah Sesyen benar kembalikan pasport Musa Aman

PUTRAJAYA, 23 JUL: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman boleh mendapatkan semula pasportnya daripada mahkamah untuk membolehkannya ke luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada hakim-hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof membenarkan pemohonannya untuk memulihkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkannya mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

“Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perintah Mahkamah Sesyen dipulihkan tertakluk kepada penjadualan semula tarikh-tarikh janji temu Musa dengan doktornya,” kata Hakim Abdul Rahman yang menjadi pengerusi panel.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan tidak menemui sebarang kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan pasport Musa dipulangkan kepadanya.

Musa, 68, dituduh pada 5 November 2018, dengan 35 pertuduhan rasuah membabitkan US$63.3 juta (RM263 juta) berkaitan kontrak konsesi pembalakan di Sabah. Dia dibenarkan diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin.

Pada 7 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Musa untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk membolehkannya mendapatkan rawatan di London.

Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonannya dengan syarat Musa mesti melakukan perjalanannya hanya ke Singapura dan London dalam tempoh itu – jika tidak, wang jaminannya dirampas.

Beliau berkata, Musa perlu melapor diri di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, dan di London, beliau dikehendaki melapor diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia setiap tiga hari sepanjang tempoh dia di sana, dari 23 Januari hingga 8 Februari, tahun ini.

Pihak pendakwaan telah memfailkan semakan semula kes itu di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Pada 16 Januari tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan oleh pendakwaan dan mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen.

Musa diwakili peguam Ng Aik Guan manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar menjalankan pendakwaan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Musa, Amer Hamzah Arshad memberitahu pemberita bahawa anak guamnya perlu menghubungi doktor-doktornya terlebih dahulu bagi menetapkan tarikh janji temu baharu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sebutan kes Musa Aman pada 13 Disember

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan sebutan kes membabitkan tuduhan rasuah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, pada 13 Disember ini.

Keputusan itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob selepas mendengar hujah pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Musa diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad.

Sebelum itu, Sri Ram menawarkan Musa ikat jamin RM5 juta bagi semua tuduhan dan hakim kemudiannya membenarkan beliau diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Mahkamah mengarahkan wang jaminan RM1 juta dibayar, pada hari ini manakala baki dibayar, pada Rabu ini dan memerintahkan pasport antarabangsa serta diplomatik Musa diserahkan kepada mahkamah.

Sebagai syarat tambahan, Musa perlu berada di Kuala Lumpur sehingga wang jaminan selesai dibayar.

Terdahulu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak, di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta).

Musa yang memakai kot hitam dan bersongkok serta memakai tongkat memahami setiap pertuduhan dibacakan dua jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri beliau suapan daripada enam individu, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Wang suapan itu ialah dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal beliau memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa syarikat antaranya Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J V Lestari Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 1.25 tengah hari ini untuk untuk didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 hari ini.
–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tujuh bank dan institusi kewangan di luar negara, antaranya HSBC Bank, Claymore Plaza dan Ocean Tower serta Credit Suisse, Raffles Place di Singapura dan Citi Bank Kowloon, UBS AG Bank, Central dan JP Morgan Chase Manhattan Bank di Hong Kong, China

Semua tuduhan terhadap Musa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 29 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

 

Categories
NASIONAL

Musa Aman berdepan 35 pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka berdepan 35 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, lapor BHOnline.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan mendedahkan pertuduhan berkenaan membabitkan beberapa kes konsesi pembalakan, di Sabah yang dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM250.05 juta)

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu dipanggil SPRM, pada jam 8.30 pagi tadi dan dijangka didakwa di mahkamah, pada jam 3 petang ini.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berkata, Musa ditahan selepas pihaknya mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini.

“Penahanan itu dibuat pada jam 10.05 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Susulan itu, Musa akan menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan, Musa akan dibawa ke Mahkamah Sesyen jam 2 petang ini untuk pertuduhan berkenaan.