Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 20 OKT: Ahli Parlimen bebas memilih sama ada hendak menyokong atau menolak usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak yang diusulkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, berkata kedudukan Perdana Menteri terletak kepada undi tidak percaya itu sekiranya berjaya dilaksanakan.
“Itu terpulang pada mereka saya tak kena mengena dengan usul undi tak percaya mereka.
“Ahli Dewan Rakyat bebas memberi pendapat dalam soal ini kerana seseorang diangkat sebagai Perdana Menteri mendapat mandat keyakinan sebahagian besar mereka yang berada di Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun sekiranya dah terhakis sokongan terbanyak itu, dengan sendirinya gugur dan Agong melantik seseorang yang diyakini mempunyai sokongan majoriti,” kata veteran Umno itiu kepada media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
Katanya lagi, selain undi tidak percaya, terdapat beberapa cara lain untuk menurunkan seseorang Perdana Menteri dari kuasanya.
Bagaimanapun Tengku Razaleigh tidak menjelaskan mekanisme lain yang membolehkan seseorang Perdana Menteri disingkirkan.
Dalam sidang media semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu beliau akan memfailkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
EZY