Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan beli tanah Kampung Baru diumum Jun

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru dijangka dapat diumumkan pada Jun ini.

Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) masih mempergiat usaha memberi penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.

“Ini kerana, semua sesi keterlibatan secara kelompok kecil mendapat maklum balas positif. Kami dapati mereka memahami apa yang sebenarnya ingin kami lakukan, dan hasil daripada itu mereka memberikan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan kira-kira 1,500 peserta Konvoi Bermotor pelbagai kuasa anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka semalam.

Dilaporkan pada Oktober tahun lepas, PKB menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk di situ berhubung pembangunan semula kawasan berkenaan.

Daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilapor berkata tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sokongan terhadap pembangunan semula Kampung Baru.

Khalid menyifatkan tanda sokongan itu sebagai satu isyarat dan kepercayaan terhadap perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) membangunkan ikon Kuala Lumpur tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah Kampung Baru RM1,000 bagi setiap kaki persegi

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kerajaan hari ini menawarkan RM1,000 bagi setiap kaki persegi sebagai harga muktamad untuk membeli tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru, di sini.

Kadar itu ditetapkan berdasarkan perbincangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khalid berkata, daripada kadar RM1,000 satu kaki persegi itu, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Katanya, bagi bayaran kadar RM850 pemilik boleh memilih sama ada dibayar tunai, atau dalam bentuk pulangan unit siap; kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas seperti yang dinyatakan dalam opsyen tawaran jual beli ketika sesi townhall 21 September lepas.

“Kita nak galakkan supaya orang Melayu datang balik dan duduk di Kampung Baru selepas pembangunan (siap) dan mereka ada saham.

“Bila dia (pemilik tanah) ada saham dia boleh bersuara, beri cadangan (terhadap) apa yang kita bentangkan, mereka tidak hilang kawalan sepenuhnya, bukan jual habis dan tak boleh kata apa-apa dah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kata beliau, bagi pemilik yang memilih untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk unit siap, tambahan potongan harga sejumlah 15 peratus akan diberikan.

Katanya, perincian dari segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin menyeru semua pemilik tanah Kampung Baru yang terlibat untuk mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula sebelum 30 November ini,” katanya.

Pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi bagi pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru dan ia adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Khalid dilaporkan berkata, pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perincian ambil tanah Kampung Baru diumum Khamis ini

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Satu pengumuman terperinci berhubung pengambilan tanah Kampung Baru akan dibuat pada Khamis ini di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, kata Menteri Wilayah Persekutan, Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, beliau telah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta ahli lembagai Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berhubung isu berkenaan.

“Secara umumnya dalam pertemuan saya dengan ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, saya dapati bahawa mereka kesemua kelihatan begitu positif, begitu seronok dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Ramai menggambarkan satu sikap yang optimistik, yang positif dan optimis bahawa kali ini InsyaAllah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan InsyaAllah akan dapat mencapai kejayaan. Daripada segi perinciannya hari Khamis nanti,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Jubli Emas Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-50 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pengumuman pada Khamis ini adalah berita gembira dan penambahbaikan daripada pengumuman sebelum ini, beliau hanya menjawab: “Dia (pengumuman) mestilah tambah baik, kalau tak tambah baik tak payahlah saya buat (sidang media)… InsyaAllah”.

Pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi dalam pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru. Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Pada 6 Oktober lepas, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain.

Beliau berkata, agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

– BERNAMA