Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: 25 cerun berisiko dibaik pulih, elak kes tanah runtuh berulang

SHAH ALAM, 27 JAN: Cerun berisiko tinggi di negeri ini akan dibaik pulih bagi mengelak insiden tanah runtuh atau mendap berulang dalam tempoh jangka panjang, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata hasil perbincangan bersama Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mendapati 25 kawasan di Gombak dan Hulu Langat dikenal pasti antara berisiko untuk berlaku kejadian tersebut.

“Peristiwa tanah mendap di Lestari Perdana Seri Kembangan baru-baru ini walaupun tidak melibatkan kawasan yang tinggi tetap menjadi perhatian untuk kita mengambil langkah jangka masa panjang.

“Justeru, selain menangani masalah di Seri Kembangan, kita turut memastikan masalah sama tidak berlaku di kawasan lain di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini.

Mengulas kejadian tanah mendap di Seri Kembangan, Izham berkata pihaknya turut mengarahkan Majlis Bandaraya Subang Jaya menyiapkan segera cerucuk bagi mengelak insiden lebih bahaya.

“Saya turut meminta pihak IKRAM membuat siasatan keadaan tanah yang tidak stabil di situ. Selepas mendapat maklumat kita mungkin akan membangunkan longkang monsun besar di kawasan tersebut.

“Saya yakin ada pergerakan air di bawah tanah menyebabkan ia menjadi longgar dan berlaku runtuhan,” katanya lagi.

Kelmarin, sebanyak lima kenderaan terjunam ke longkang besar susulan mendapan tanah di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana.

Insiden sama pernah berlaku pada 2017, iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Pertimbang bantuan kenderaan rosak akibat tanah mendap

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bagi membantu pemilik kereta yang terjejas ekoran mendapan tanah di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai semalam.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pertemuan bersama unit pengurusan bencana negeri di bawah portfolio Dato’ Menteri Besar diadakan petang ini, lapor Sinar Harian.

“Kereta terjatuh dalam longkang ini mempunyai tuannya memandangkan ia sedang dibaiki pihak bengkel, jadi kita lihat langkah yang akan diambil,” katanya selepas melawat lokasi kejadian.

Ir Izham berkata perbincangan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya serta pejabat daerah dan tanah juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyiasat punca insiden selain mengambil langkah jangka panjang.

Beliau menjelaskan kejadian semalam lebih teruk berbanding 2018 berikutan terdapat pergerakan tanah.

“Kita perlu buat siasatan tanah bagi melihat punca sebenar sebelum laksana pengukuhannya untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tebing runtuh, lima kenderaan terjunam ke longkang besar

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang dekat sini rosak selepas berlaku mendapan tanah di kawasan itu petang tadi.

Penolong Penguasa II Balai Bomba dan Penyelamat Serdang Saharudin Abdul Razak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 6.38 petang, namun ia tidak membabitkan sebarang mangsa.

Menurutnya, lima kenderaan tersebut diletakkan di hadapan bengkel kereta yang jarak antara tebing yang mula runtuh dengan bengkel tersebut adalah tujuh meter.

“Keadaan hujan ketika kejadian itu menyebabkan longkang pecah sehingga berlakunya mendapan tanah dan lima kereta tersebut jatuh sedalam lima hingga enam meter.

“Susulan itu, anggota menutup kawasan kejadian kepada orang awam sebelum menyerahkannya kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Saharudin berkata kejadian mendapan tanah pernah berlaku di kawasan tersebut pada 2017 iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Kinabalu arah Cheras ditutup dua hari

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menutup Jalan Kinabalu di sini dari arah Cheras berikutan kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan jalan berlubang.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata jalan berkenaan ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi kepada semua kenderaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dijangka akan mengambil masa dua atau tiga hari.

“Polis menasihatkan supaya pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan.

Polis dalam pada itu menyediakan laluan alternatif antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

Sementara itu, kenderaan daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching manakala kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian penting JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah mendap, laluan Sri Hartamas 1 ditutup sepenuhnya

SHAH ALAM, 20 OKT: Laluan kedua-dua arah Jalan Sri Hartamas 1, dari arah Jalan Dutamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri, ditutup sepenuhnya berikutan berlaku mendapan besar susulan hujan lebat di ibu negara hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun orang ramai dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan.

Jelas beliau, kejadian tanah mendap kecil mulanya berlaku semalam kira-kira jam 11.30 malam.

“Rentetan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur bermula dari jam 2 petang mengakibatkan kejadian mendapan tanah menjadi lebih besar sehingga menyebabkan dua lorong di Jalan Sri Hartamas 1 ke arah Pejabat Kementerian Dalam Negeri, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur tidak boleh dilalui.

“Pada 7.30 malam kedua-dua arah Jalan Sri Hartamas 1 ditutup sepenuhnya. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor tanggung kos baik pulih tanah mendap Pangsapuri Indah Ria

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri bersedia menampung kos untuk membaik pulih tanah mendap di Pangsapuri Indah Ria, Seksyen 22 di sini berjumlah RM17 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk melihat keadaan itu dan membuat tindakan susulan.

“Kerajaan Negeri beri komitmen membantu dan kita sasar masalah ini akan selesai antara satu hingga dua tahun akan datang,” katanya selepas meninjau sekitar pangsapuri itu semalam.

Keretakan pangsapuri 15 tingkat terbabit dikesan berlaku di kawasan parkir sebulan selepas penduduk menerima kunci rumah sekitar Februari 2009.

Struktur bawah bangunan juga semakin teruk berikutan hakisan tanah selain retakan pada bahagian cerucuk yang menyokong binaan pangsapuri.

Keadaan itu turut menyebabkan puluhan keluarga berpindah berikutan bimbang mendapan tanah berterusan setiap kali berlaku gegaran termasuk ketika dilalui kenderaan berat.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Insiden tanah mendap di Kuala Selangor, kampus Unisel selamat

SHAH ALAM, 19 JAN: Kampus utama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya dalam keadaan selamat selepas kejadian tanah mendap berhampiran lombong di Kuala Selangor pada Sabtu lalu.

Pengarah komunikasi korporat universiti berkata jarak kawasan kejadian dengan kampus utama sejauh kira-kira sembilan kilometer serta mengambil masa 30 minit perjalanan.

“Ini kerana ada beberapa laporan media tempatan yang mengaitkan kawasan kejadian mendapan tanah di Kampung Bestari Jaya berdekatan kampus utama Unisel di Bestari Jaya.

“Justeru, penjelasan ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan tentang jarak sebenar lokasi kejadian,” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau pihak universiti berharap proses pemantauan di tapak kejadian oleh pihak berkuasa berjalan lancar dan semua pihak mengambil dapat ikhtibar.

Sabtu lalu, dilaporkan berlaku insiden tanah menggelongsor masuk ke tapak operasi lombong di mukim Hulu Tinggi, Kuala Selangor.

Jabatan Perhubungan Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata pasukan khas ditubuhkan dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tanah mendap di Bestari Jaya 67 pekerja dipindahkan

SHAH ALAM, 17 JAN: Seramai 67 pekerja daripada dua syarikat di Bestari Jaya dekat sini dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang selepas berlaku tanah mendap di sebuah kawasan lapang berhampiran premis berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian pada kira-kira 6.50 petang kelmarin itu, berlaku tanah mendap sedalam 10 meter (m) dengan berkeluasan 500m x 100m berhampiran Jalan PKPS di Kampung Bestari Jaya dekat sini.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 6.51 petang dan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, JBPM Selangor diberitahu bahawa terdapat seorang mangsa tertimbus akibat tanah mendap berkenaan, bagaimanapun selepas melakukan kiraan pekerja di dua premis berhampiran didapati tiada mangsa hilang atau tertimbus,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tambah Hafisham pemeriksaan pihaknya mendapati masih berlaku runtuhan kecil dan mendapan dan turut dikesan satu rekahan sedalam 10 meter di kawasan tanah mendap berkenaan.

Kata Hafisham lagi oleh itu pihak JBPM Selangor dan pihak polis menasihati supaya operasi di dua premis itu diberhentikan sementara waktu dan para pekerja yang tinggal di asrama berhampiran lokasi tanah mendap dipindahkan ke PPS SK Rantau Panjang.

“JBPM Selangor menjalankan kerja sanitasi di sekolah berkenaan sebelum pekerja ladang ternak ayam itu dipindahkan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Tanah mendap dekat tapak lombong Kuala Selangor, tiada kemalangan jiwa

SHAH ALAM, 16 JAN: Insiden tanah mendap dilaporkan berlaku berdekatan kawasan perlombongan mukim Hulu Tinggi, Kuala Selangor pada jam 6.45 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata tanah berkenaan menggelongsor masuk ke tapak operasi lombong.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Namun tapak operasi telahpun ditutup dan semua aktiviti operasi dan penjualan dihentikan.

“Pasukan tindakan kecemasan kami sedang bekerjasama dengan bomba dan polis untuk memantau keadaan tapak operasi,” kata Suhaimi Khalidi dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti kerosakan dan kerugian lain di kawasan tapak dan lokasi berhampiran.

Menurutnya, pasukan khas juga ditubuhkan dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.

“Keselamatan tetap menjadi keutamaan KSSB dan kami ingin meyakinkan pihak awam bahawa keadaan terkawal dan tidak terdapat risiko kesihatan dan alam sekitar setakat ini,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO yakin Jalan Klang-Banting selamat digunakan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia yang dibuka semula pada 31 Julai lalu dijamin selamat digunakan selepas kerja baik pulih selesai.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata laporan lengkap berhubung kejadian tanah mendap di laluan itu masih dalam proses.

“Masyarakat tidak perlu bimbang melalui jalan tersebut kerana kerja penyelenggaraan selesai dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 20 Julai lalu, insiden tanah mendap berlaku ketika pekerja projek Transit Aliran Ringan 3 menanam cerucuk di kawasan tidak rata yang menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan berlaku.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Baik pulih tanah mendap di Johan Setia siap minggu depan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Proses baik pulih tanah mendap di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia siap seminggu lagi.

EXCO kerajaan tempatan berkata ketika ini laluan berkenaan sudah dibuka pada Khamis dan Jumaat lalu namun tidak sepenuhnya.

“Tempoh dijangka dua minggu daripada kejadian berlaku. Kita harap minggu depan siap proses membaiki dan kesesakan jalan raya di situ selesai,” kata Ng Sze Han ketika ditemui selepas Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Beliau berkata pemaju LRT3 juga diberikan tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian mendapan terbabit.

“Mereka kena teliti punca masalah selain memerlukan pemetaan lokasi. Pemaju sebelum ini tidak dapat mengenal punca sebenar dan kita beri masa untuk siasatan forensik,” katanya.

Minggu lalu, insiden tanah mendap berlaku di tapak pembinaan LRT3 kira-kira jam 3 petang ketika pekerja projek menanam cerucuk di kawasan tidak rata.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah kawasan tanah mendap selesai

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di Jalan Klang-Banting di Kampung Johan Setia, siap sepenuhnya jam 4 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata tempoh menyiapkan kerja berkenaan selesai lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Bekalan air mula disalurkan ke dua kawasan di wilayah Klang dan lapan kawasan di wilayah Kuala Langat dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok, 23 Julai,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Bagi kawasan yang masih dalam proses pemulihan, bantuan air melalui lori tangki terus digerakkan bagi membantu pengguna terjejas. Mereka disarankan menggunakan air secara berhemat.

Semalam dilaporkan, beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah di lokasi tanah mendap di tapak kerja Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) GS10.