Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh di Hulu Langat, semua mangsa terselamat

SHAH ALAM, 21 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) menyelamatkan 19 mangsa termasuk lima kanak-kanak dalam insiden tanah runtuh di Jalan Genting Peras di Kuala Klawang, Hulu Langat semalam.

Komander Operasi Mohd Asri Tak berkata, dua panggilan diterima melibatkan dua lokasi berbeza dan untuk kes pertama, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 petang dan mangsa dijumpai pada jam 1.34 pagi, lapor Astro Awani.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun terperangkap dan salah seorangnya mengalami kecederaan di kaki.

“Mangsa cedera di pergelangan kaki kerana dihempap pokok tumbang,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya kemudian turut mendapat maklumat ada keluarga terperangkap di lokasi berbeza dalam insiden tanah runtuh tersebut.

“Anggota kemudian diarahkan bergerak ke kawasan itu dan pada jam 7.40 pagi (Isnin), seramai 17 mangsa dapat diselamatkan dan dalam proses untuk dibawa ke tempat selamat.

“Pada jam 12.52 tengah hari, semua mangsa telah berjaya dibawa ke tempat selamat dan mereka juga sudah diberikan bantuan awal pada jam 10.10 pagi,” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes melibatkan lokasi kedua itu.

“Jarak mangsa dengan pusat kawalan adalah sejauh enam kilometer dan semuanya ditemukan dalam keadaan selamat,” ujarnya.