Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tanaman kontan di tanah rizab dibenar dengan permohonan – MB

SHAH ALAM, 9 DIS: Individu yang berhasrat mengusahakan tanaman kontan di atas tanah rizab Kerajaan Negeri boleh memohon di Pejabat Tanah Daerah.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Mohd Sany Hamzan sama ada Kerajaan Selangor membenarkan mereka yang mengusahakan tanah Kerajaan Negeri bagi aktiviti pertanian.

“Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2019…telah meluluskan garis panduan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di atas Tanah Rizab Kerajaan di Selangor yang menetapkan permohonan LPS di atas tanah rizab dibenarkan untuk tujuan pertanian (tanaman kontan).

“Garis panduan LPS ini diterjemahkan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bil.4/2015 yang berkuat kuasa pemakaiannya pada 23 September 2015,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu mereka yang berhasrat mengusahakan tanaman kontan boleh mengemukakannya ke Pejabat Tanah Daerah untuk pertimbangan selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil.4/2015.

“Aktiviti pertanian terhad kepada tanaman kontan sahaja di atas Tanah Rizab Kerajaan seperti rizab sungai, rizab jalan, rentis talian elektrik dan lain-lain tanah rizab negeri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Cadang tanaman kontan di 1,700 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan

KUALA LANGAT, 30 JUN: Kerajaan Negeri bercadang mengeluarkan permit penggunaan tanah di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) sebagai kawasan sementara pertanian kontan.

EXCO alam sekitar berkata ia bertujuan mengekang kejadian pencerobohan dan kebakaran hutan terus berlaku saban tahun.

Hee Loy Sian berkata namun hanya 1,700 hektar daripada kawasan hutan seluas 8,000 hektar itu dicadang untuk kegunaan sementara pertanian.

“Lesen sementara 21 tahun akan dikeluarkan kepada syarikat atau mana-mana individu berminat menjalankan aktiviti pertanian kontan,” katanya selepas meninjau kawasan kebakaran di Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang semalam.

Loy Sian berkata siasatan setakat ini mendapati pembakaran hutan dilakukan petani haram yang menggunakan warga asing bagi perbersihan tanah sebelum menanam ubi, keladi dan buah naga.

Terdahulu kebakaran hutan itu berlaku sejak empat hari lalu melibatkan kawasan seluas lebih 2.8 hektar.

Categories
ADN SELANGOR

Pesawah digalak usahakan tanaman kontan

SHAH ALAM, 12 MAC: Pesawah di Sungai Panjang dan Bagan Terap disaran mencari alternatif seperti mengusahakan tanaman kontan sekiranya tapak sawah padi tidak lagi sesuai untuk tujuan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata bagaimanapun mereka diminta bersabar kerana perlu menunggu hasil kajian Agensi Nuklear Malaysia terlebih dahulu.

Ng Suee Lim berkata pihaknya memahami masalah yang dihadapi hingga menyebabkan golongan terlibat kerugian.

“Selepas isu tersebut dikenal pasti dan jika didapati ia tidak lagi sesuai, kita boleh benarkan mereka mengusahakan tanaman kontan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bersedia menjadi orang tengah membantu petani memerlukan bantuan mendapatkan khidmat nasihat berhubung tanaman sesuai sekiranya tidak boleh mengusahakan sawah.

Sebelum ini dilaporkan Agensi Nuklear Malaysia akan mengkaji tapak sawah bermasalah seluas 1,500 hektar sekitar di kawasan berkaitan sebelum proses menanam pada Julai.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata inisiatif Kerajaan Selangor bagi memastikan tapak tanaman kembali subur sekali gus pesawah tidak lagi mengalami kerugian.