Categories
SELANGOR

Pelajar lega tangguh bayaran balik pinjaman Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Pengumuman penangguhan bayaran balik pinjaman tajaan Yayasan Selangor memberi kelegaan kepada mahasiswa.

Salah seorang peminjam, Siti Aisyah Mohd Shah, 24, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap golongan mahasiswa.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, keputusan menangguhkan bayaran pinjaman ini beri peluang kepada saya untuk membelanjakan duit tersebut bagi keperluan lain,” kata pelajar Universiti Malaya itu ketika dihubungi.

Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman, Brennen Joseph Maria, 24, pula berkata penangguhan itu memberi peluang untuk beliau dan rakan yang lain mendapat pekerjaan terlebih dahulu.

“Saya bimbang jika gagal mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian nanti kerana ketika ini lebih banyak syarikat buang pekerja berbanding menawarkan pekerjaan,” katanya.

Pelajar Universiti Selangor, Nurzahirah Abdul Rasid, 25, berkata penangguhan itu memberi ruang dan masa untuk mendapat pekerjaan tanpa risau mengenai hutang pengajian.

“Penangguhan ini sedikit sebanyak memberi kami ruang dan masa untuk terus berusaha mendapat pekerjaan,” katanya.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan pembayaran balik kepada 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menamatkan pelajaran pada tahun ini kepada bulan Januari 2022.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahasiswa boleh tangguh bayaran balik pinjaman – Amirudin

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri setuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman pengajian kepada mahasiswa dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan melibatkan yang peruntukkan RM6.07 juta itu dilaksana secara automatik bermula 1 April hingga 30 September.

“Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan makanan percuma melalui pihak univeristi,” katanya di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.3 juta bagi memudah cara urus diri mahasiswa menerusi bantuan sara diri sekali bayar (one-off) RM200 seorang kepada 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak yang tidak dapat pulang kerana penularan Covid-19 serta makanan percuma untuk pelajar di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej INPENS.