Categories
AGENDA NASIONAL

Hiasan tanglung lebih 100 meter pikat pengunjung ke ‘Little Beijing’

ALOR GAJAH, 27 JAN: Dihiasi pelbagai lampu neon dan lebih 3,000 tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru di sini diibaratkan seperti ‘Little Beijing’ sekali gus mendapat perhatian pengunjung merakam gambar sebagai kenangan.

Tinjauan Bernama di Kampung Baru Machap Umboo di sini malam tadi mendapati selain kepelbagaian bentuk lampu hiasan dan tanglung merah berbentuk sfera, terdapat juga hiasan tanglung segi empat tepat yang dipasang bersama lampu berwarna-warni di Jalan Lampu Langit sepanjang lebih 100 meter serta tanglung gergasi lebih lima meter berhampiran Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo.

Di Kampung Machap Baru pula, laluan di dalam kawasan penempatan itu dihiasi dengan tanglung selain terdapat ‘Meihua Walk’ yang menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar.

Madeline Chua Lin Mei, 23, yang datang bersama empat lagi ahli keluarganya dari Bukit Katil ketika ditemui di Kampung Baru Machap Umboo berkata beliau mengetahui tentang ‘Little Beijing’ itu menerusi perkongsian pengguna media sosial yang merakam gambar kenangan di kampung tersebut.

“Saya teruja untuk datang dan melihat sendiri keindahan lampu serta tanglung di sini serta tidak mahu lepaskan peluang mengambil gambar. Sudah dua tahun sambutan Tahun Baharu Cina agak suram namun tahun ini kembali meriah,” kata pekerja swasta itu.

Nuradila Alias, 36, dari Cheng pula berkata suasana di kampung tersebut mengembalikan kenangan beliau ketika melancong di Beijing, China lima tahun lepas dan beliau serta tiga lagi rakannya tidak melepaskan peluang untuk bergambar di Jalan Lampu Langit dan tanglung gergasi.

“Suka sangat lihat lampu yang cantik dan tanglung berwarna-warni. Walaupun tidak meraikan Tahun Baharu Cina tetapi sekurang-kurangnya dapat ambil gambar yang cantik-cantik di sini,” kata pekerja sektor perhotelan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya Ngwe Hee Sem berkata pemasangan pelbagai lampu hiasan dan lebih 3,000 tanglung di dua kampung berkenaan melibatkan peruntukan lebih RM100,000 dan ia bertujuan memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.

Beliau yang juga Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata kerja-kerja menghias dan mencantikkan kampung berkenaan dilakukan secara gotong-rotong oleh penduduk dua kampung berkenaan lebih seminggu lepas.

“Sudah dua tahun suasana sambutan Tahun Baharu Cina di kedua-dua kampung tersebut tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelum ini ekoran pelbagai prosedur operasi standard (SOP) disebabkan penularan Covid-19 yang agak membimbangkan.

“Namun, tahun ini kita dapat lihat Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru telah berubah wajah seperti Little Beijing dan kedua-dua kampung tersebut menerima sumbangan dana daripada pelbagai pihak untuk melakukan kerja-kerja menghias termasuk daripada wakil rakyat dan penduduk kampung,” katanya.

Ngwe berkata ‘Little Beijing’ itu berpotensi menjadi antara ikon pelancongan Melaka dan beliau dimaklumkan tempahan inap desa di kedua-dua kampung berkenaan menjelang Tahun Baharu Cina telah penuh.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor cemar duli ke pesta tanglung terbesar

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERI KEMBANGAN, 9 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menghadiri pertunjukan ‘Unity ASEAN Lantern’ yang berlangsung di Mines Wellness City, di sini, semalam.

Baginda tiba kira-kira jam 8.00 malam, diiringi Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Timbalan Setiausaha Agung ASEAN untuk Komuniti dan Hal Ehwal Korporat, Dr A.K.P Mochtan, duta ASEAN dari pelbagai negara dan Exco Negeri.

mines 1Sultan Sharafuddin yang mengenakan baju batik meluangkan masa hampir setengah jam menyaksikan pertunjukan air pancut berirama sebelum diiringi ke pameran tanglung gergasi pertama di Malaysia.

Tarikan terbaru itu menyaksikan penglibatan beberapa negara ASEAN seperti China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, India termasuk Malaysia.

Menariknya, 22 tanglung gergasi itu dinyalakan dengan sejuta mentol sebagai simbolik mewakili negara ASEAN dan turut dihiasi 15 lampu warna-warni mengelilingi Tasik The Mines.

Selain itu, turut disediakan lebih 100 tanglung mini, 8,000 hiasan lampu dan Payung Tanglung Diraja setinggi 12 meter khusus buat Sultan Selangor.

mines 3Pertunjukan itu dianjurkan syarikat Country Heights Holdings Berhad dan dibuka kepada orang awam pada Jumaat hingga Ahad bermula 11 Disember ini, jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

Harga tiket bagi dewasa dengan MyKad adalah RM35, kanak-kanak 3 hingga 12 tahun dengan MyKad (RM25), manakala warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapat harga serendah RM18.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pesta Tanglung lambang penyatuan bangsa

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 27 SEP: Penganjuran Pesta Tanglung 2015 memupuk perpaduan kaum dengan kehadiran ramai tanpa mengira bangsa dan fahaman agama.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya menggalakkan acara seperti itu kerana jelas membawa banyak kebaikan kepada semua pihak.

hisham“Pesta tanglung ini lebih kepada semua kaum di Subang Jaya.

“Walaupun ia (sesuatu kaum) berbentuk merah, hijau dan kuning, yang penting adalah cahaya itu ketika memancar tidak kira warna tetapi penting untuk semua di kawasan yang gelap ini,” katanya di sini, pada 26 September lalu.

Beliau berkata, acara diadakan jelas berjaya menyatukan semua bangsa yang ada dan situasi itu adalah lambang keharmonian di negara ini.

tanglung2“Pesta tanglung ini meriah dan diharap akan lebih ceria pada masa akan datang,” katanya.

Pesta Tanglung 2015 dianjurkan bersama Pejabat Adun Subang Jaya dan Ahli Parlimen Kelana Jaya yang memasuki tahun keenam penganjuran.

Nor Hisham bersama Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan hadirin lain menyaksikan persembahan sempena pesta terbabit yang berlangsung di Laman Sukan USJ 1, di sini.

-NFN-