Categories
SELANGOR

Tanjung Karang (Singgah Selangor) dan Hulu Selangor (Kenali Selangor) – Salam Selangor

Episod 67

Sinopsis:

Saksikan secara langsung “Salam Selangor” yang memaparkan tempat-tempat menarik di sekitar Negeri Selangor.

Layari http://www.selangorkini.net

tg karang

hulu sel

Categories
NASIONAL

Abdul Khalid : PKNS Tidak Jual Aset Komersial, Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 30102012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 30 OKTOBER 2012 :

1. Abdul Khalid : PKNS Tidak Jual Aset Komersial, Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian
2. Anwar : Mampu Tawan Putrajaya Dengan Politik Bersih
3. Kerajaan Negeri Peruntuk Tanah 50 Ekar Bina Rumah Generasi Baru Felda
4. Lagi Petani Tanjong Karang Berdemo Bantah Subsidi Benih Padi Tidak Berkualiti

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Lagi 3.2 Ekar Diserah Pada Umno Tanjong Karang

SHAH ALAM, 10 APR: Pemimpin Umno ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini sekali lagi didapati menyalahguna kuasa dengan memindah milikan tanah milik kerajaan negeri kepada Umno Tanjong Karang demi kepentingan parti dan politik individu tertentu dalam parti itu.

Dalam satu carian rasmi yang dibuat mengikut Seksyen 385, Kanun Tanah Negara yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor telah mendapati tanah tersebut telah dipindah milik kepada Umno Tanjung Karang pada 3 Ogos 2005

Tanah seluas 12,100 meter persegi atau atau 3.195 ekar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjung Karang, bernombor Hakmilik HSD 15384 dan lot PT 303.

Demikian menurut satu lagi pendedahan berhubung tindakan salahguna kuasa Umno ketika berkuasa yang dibuat oleh Naib Yang DiPertua Pas Tanjung Karang, Misran Serman baru-baru ini.

“Saya dah teliti dokumen rasmi pejabat tanah dan memang tanah yang asalnya milik Kerajaan Negeri kini telah dimiliki oleh Umno Tanjung Karang.

“Ini jelas merupakan salah guna kuasa mempergunakan kuasa yang ada di dalam kerajaan untuk kepentingan parti politik dan peribadi.

“Ini merugikan rakyat Selangor kerana Kalau tanah ini dibangunkan kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dapat manfaatnya, tetapi bila diserah kepada Umno, Umno sahajalah yang dapat manfaatnya,” kata Misran.

Menurut Misran, sebuah syarikat swasta, Bumi Utama Constructions yang beralamat di 12-02, Tingkat 1, USJ 21/4, UEP Subang Jaya, Selangor turut mempunyai kepentingan atas tanah tersebut apabila syarikat terbabit mengkaveat tanah itu pada 3 Ogos 2007.

“Selain itu, tanah tersebut telah dikaveatkan oleh Bumi Utama Constructions pada Ogos 2007,” katanya lagi.

Kaveat Persendirian (Private Caveats) adalah kaveat atau sekatan yang boleh dimasukkan oleh individu atau badan persendirian yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu tanah.

Apabila kaveat dikenakan kepada mana-mana hartanah, hartanah tersebut tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai dengan kebenaran pihak berkuasa dan pihak yang membuat kaveat itu untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam tahun.

Misran yang juga merupakan Ahli Majlis Kuala Selangor turut memberitahu satu permohonan untuk mendirikan bangunan yang dinamakan Kompleks umno Bahagian Tanjung Karang telah dikemukakan kepada Majlis Daerah terbabit.

“Saya difahamkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, kompleks Umno akan dibina di situ, tetapi tak tahu bila mula,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa isu berkaitan pemilikan tanah secara meragukan turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin setempat yang membabitkan Umno Tanjung Karang.

Antara yang didedahkan termasuk pemilikan tanah bekas milik Kerajaan Negeri Selangor bernombor hakmilik HSD 10440, nombor lot PT115, terletak di Pekan Tanjung Karang yang diserahkan kepada Umno Bahagian Tanjung Karang.

Tanah seluas 4,370 meter persegi itu kemudiannya dijual kepada Bumi Utama Building Material Sdn Bhd sekaligus membolehkan Umno memperolehi keuntungan mudah.

Syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan untuk mendirikan sebuah hotel di atas tanah terbabit, tetapi telah ditolak dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Kuala Selangor.

Pada masa ini Umno Tanjung Karang menempatkan bilik gerakan Barisan  Nasional, Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Karang dan sebuah dewan gimnasium yang telah dikosongkan.

Misran turut memberitahu TVS pagi ini, satu laporan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

Categories
NASIONAL

Lagi Tanah Rizab Melayu Di Tg Karang Di Gadai Umno

SHAH ALAM, 4 APR: Hutan Rizab Banjar Selatan yang terletak di Mukim Api-Api, Tanjung Karang musnah begitu sahaja apabila kerajaan negeri terdahulu menyerahkan tanah seluas 86 ekar itu kepada Api-api Aquaculture Sdn Bhd.

Hutan paya bakau bernombor PT 3797 yang merupakan kawasan pemampan semulajadi hakisan pantai itu telah diteroka bagi membolehkan aktiviti ternakan udang harimau dijalankan di kawasan terbabit.

Menurut Naib Yang Dipertua Pas Tanjung Katang, Misran Serman hari ini, projek ternakan udang harimau tersebut telah menyebabkan nelayan tempatan kehilangan pendapatan sampingan.

“Apabila pantai hutan paya bakau diteroka ia telah menyebabkan hidupan marin seperti mentarang dan kerang pupus di sini.

“Sepanjang pantai Selangor ini mempunyai benih kerang bermutu tinggi dan juga mentarang yang tiada di pantai-pantai negeri lain.

“Tetapi apabila pantai hutan paya bakau diteroka dijadikan tempat ternak udang ia menyebabkan kerang dan mentarang pupus di sini dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai di sini,” kata beliau.

Misran turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak menghiraukan warta yang telah dibuat oleh Jabatan Perhutanan.

“Kerajaan Negeri dahulu memang tak hormat agensi-agensi kerajaan dan ini terbukti dengan tindakan yang tidak menghiraukan kawasan tersebut yang telah diwartakan sebagai Hutan Rizab Banjar Selatan oleh Jabtan Perhutanan.

Sementara itu dalam isu yang sama, hasil carian rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kepentingan Api-api Aquaculture Sdn Bhd dimonopoli oleh tiga pemegang syer bukan bumiputra.

“Saya dah buat carian di SSM, tiga pemegang syer syarikat Api-api  Aquaculture bukan bumiputera.

“Saya nak tanya Umno, betulkan mereka ini jaga kepentingan Melayu? Betulkah mereka ini tak gadai tanah Melayu?

“Saya tanya Umno sebab pada masa itu, mereka yang mentadbir dan berkuasa di negeri Selangor ini.

“Umno kena ambil perhatian serius apa yang dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor dalam Sidang DUN baru-baru ini berhubung usaha memelihara tanah rizab melayu,” katanya lagi.

Manakala hanya satu dari lima lembaga pengarahnya adalah bumiputra iaitu Abdul Wahab Bin Abdullah dan selebihnya berbangsa Cina.

Sehingga kini TVS masih belum memperolehi butiran lanjut berhubung ahli-ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.

Bagaimanapun menurut beberapa penduduk kampung yang namanya enggan didedahkan berkata tanah tersebut diperolehi melalui saluran politik ketika Umno menguasai kerajaan negeri.

Sebelum ini, tanah bernombor lot PT 115 yang terletak di Pekan Tanjung Karang milik kerajaan negeri telah dianugerahkan kepada Umno Bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun, selepas itu Umno Tanjung Karang didakwa telah menjual tanah seluas 4370 meter persegi itu kepada Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd.

Tindakan tersebut sekaligus membolehkan parti itu memperolehi keuntungan ‘atas angin’ yang dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Kes ini sedang dalam pertimbangan dan pengumpulan bukti oleh PR untuk diketengahkan sedikit masa lagi.

Categories
NASIONAL

Yahya Sahri: “Noh Bela Kroni, Aniaya Penanam Nenas”

TANJONG KARANG, 1 APRIL : Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya membela nasib kebajikan peserta penanam Nanas dan bukan membela kroninya Hamzah Apandi yang menerajui syarikat Grand Entity Holding Sdn Bhd (GEHSB).” tegas Pegawai Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri di sini.

Menurut Yahya, dua individu yang perlu tampil memberikan penjelasan iaitu Noh Omar yang juga Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani  dan pemilik GEHSB, Hamzah Apandi,digesa tidak melarikan diri daripada menyelesaikan masalah bayaran balik kepada bank.

” Noh Omar sewajarnya bukan membela Hamzah Apandi, Noh kena membela peserta kerana peserta yang membuat pinjaman,di sini dikatakan projek perkongsian pintar tetapi akhirnya menjadi perkongsian yang putar belit,” kata Yahya dalam sidang media di Dewan JKKK Kampung Gulang-Gulang di sini.

Yahya berkata syarikat GEHSB yang mengendalikan projek penanaman Nanas itu mempunyai rekod pencapaian yang buruk.

” Kalau tengok kertas kerja yang ditulis sendiri oleh pengurus GEHSB, Hamzah Apandi dia sebut sendiri pengalaman bermula pada 2006 dan gagal , ini dia sebut sendiri, pada 2007 yang mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian projek itu pun gagal, 2008 terus mendapat projek ini dan disokong oleh agensi di bawah Noh Omar dan Agro Bank.

” Bagaimana kedua-dua agensi ini memberikan sokongan sedangkan rekod menunjukkan syarikat ini gagal dalam menunjukkan kejayaan dalam melaksanakan projek.

” Peserta mengambil pinjaman, duit tidak sampai kepada peserta dan terus ke akaun GEHSB, bagaimana bank buat undertaking itu, prosedurnya adalah salah.

” Kita minta Noh Omar menjawab bagaimana Agro Bank langsung tidak telus dan menganiaya,bank sepatutnya memasukkan duit itu kepada peserta,” kata Yahya.

Yahya juga mendakwa beliau sudah membuat semakan terhadap pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati GEHSB tidak pernah memfailkan penyata kewangan kepada pihak SSM serta tidak patuh kepada Akta Syarikat.

“Seorang menteri yang menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang ini langsung tidak prihatin, beliau yang hanya menyokong Hamzah Apandi kerana dia adalah orang dia, kita mahu Noh Omar jawab persoalan ini,” ujarnya.

Jumlah keseluruhan wang yang dilaburkan oleh peserta ialah RM408,000 dan jumlah ini tidak termasuk kadar bantuan yang diberikan oleh Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) sebanyak RM2,400 seekar.

Dalam perjanjian itu agihan keuntungan projek ini ialah 60 peratus kepada GEHSB dan 40 peratus kepada peserta.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Di Dakwa Aniaya Penanam Nenas

TANJONG KARANG,1 APRIL :Seramai 34 peserta penanaman Nenas berkelompok di Taman Agroteknologi (TKPM) di Bestari Jaya kecewa dengan sikap Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani,Datuk Seri Noh Omar yang didakwa lepas tangan ekoran kegagalan projek itu seraya menggesa beliau turun padang melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku dan berdialog secara terbuka.

Bertempat di Dewan JKKK Kampung Gulang-Gulang di sini,seramai lebih 10 peserta yang mewakili kumpulan itu menyatakan perasaan kesal dengan sikap Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menteri bertanggungjawab.

Dalam sidang media semalam, para peserta memprotes dengan Noh dengan pelbagai slogan yang berbunyi ” Kami Peserta Dianiaya,Noh Sila Jawab” , “Hamzah Penipu,Mana Duit Kami RM400,000” dan “Noh Omar Sokong Pandi” sambil membawa sebiji Nenas sebagai simbolik mendesak Noh Omar agar serius menyelesaikan masalah itu.

Menurut jurucakap peserta penanaman Nenas, Mohd Fadzli Sharif, peserta terpaksa berhadapan dengan tuntutan mahkamah daripada pihak Agro Bank  di mana para peserta merasakan diri mereka dianiaya apabila janji untuk pulangan hasil projek ini dimungkiri.

” Masalah utama yang timbul sekarang ialah kegagalan GEHSB untuk membayar ansuran bulanan kepada Agro Bank. Akaun pinjaman telah tertunggak lebih setahun dan tuntutan saman berjumlah purata RM17,000 untuk seorang peserta.

“Pihak kami telah beberapa kali menemui pihak pengurusan GEHSB iaitu Hamzah Apandi untuk menyelesaikan masalah-masalah ini namun tiada apa-apa tindakan dan beliau dihubungi malah talian telefon juga tidak aktif,” katanya.

Fadzli menjelaskan, pihak Agro Bank sepatutnya menuntut bayaran bagi melunaskan pinjaman kepada pihak GEHSB kerana termaktub dalam akujanji bahawa syarikat itu yang akan membuat bayaran balik.

Beliau juga berkata,perkara ini akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis jika hal sedemikian tidak menemui jalan penyelesaian seraya menuntut siasatan dilaksanakan pihak berkuasa jika wujud unsur salah laku.

“Pihak Agro Bank telah menyalurkan pinjaman atau dana sebanyak RM100,000 lagi dipercayai untuk memulihkan projek ini. Pihak kami hairan bagaimana Agro Bank begitu mudah menyalurkan pinjaman walaupun mengetahui keadaan GEJSB yang tenat dan tidak berdaya maju.

” Pihak Agro Bank juga perlu menarik balik segala tuntutan saman terhadap peserta kerana wang RM12,000 telah dikreditkan terus kepada akaun GEHSB dan akujanji daripada GEHSB untuk membayar balik pinjaman peserta perlu dikuatkuasakan,”katanya.

Tambah Fadzli lagi,pihak GEHSB telah berjumpa dengan Noh Omar dan membuat sidang akhbar menyatakan dakwaan kononnya pihak PKPS telah mengambil alih 50 ekar tanah untuk diusahakan tanaman nanas tetapi projek itu gagal.

“Kami menuntut agar segala bantuan,insentif dan apa jua kemudahan daripada LPNM diberikan kepada peserta.Pihak GEHSB perlu membayar hasil jualan Nanas untuk tahun 2010 dan 2011 mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

“Pihak GEHSB perlu mematuhi terma-terma dalam perjanjian yang ditandatangani dengan peserta. Bukan niat kami untuk mempolitikkan perkara ini tetapi kami mahu hak kami sebagai peserta yang telah melabur lebih RM400,000 dalam projek penanaman Nanas ini,” katanya.

Sementara itu menurut Surirumah, Salbiah Senan,50, yang ditemui berkata yang tidak mempunyai pendapatan  merasa kecewa dengan kejadian ini kerana dahulu beliau dijanji dengan pulangan yang lumayan menyertai projek ini.

” Apabila kami mendapat surat saman, dan sudah jatuh hukum maka kita merasa sedih, minta pihak syarikat tersebut membayar hutang itu kepada pihak Agro Bank.

” Kami termakan dengan janji-janji yang akan diberi faedah-faedah dalam projek ini, jadi kami semua teraniaya,” kata.

Categories
SELANGOR

Tuisyen Rakyat Dapat Sambutan Menggalakkan

TANJUNG KARANG, 8 MAC: Bersemangat untuk memperolehi keputusan peperiksaan lebih cemerlang, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Dun Sungai Burung menerima sambutan hangat di kalangan pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Menurut Penyelaras Dun Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo, kira-kira 140 orang pelajar yang layak telah mendaftarkan diri dalam program tersebut.

“Sebenarnya kouta cuma seratus pelajar sahaja untuk setiap Dun, tetapi sambutan amat menggalakkan hingga mencecah 140 pelajar.

“Jadi kami masukan semua 140 pelajar yang layak tu sertai program PTRS ini,” kata beliau.

Mohamad Judi turut berharap agar pelajar-pelajar yang berpeluang menyertai program ini tidak mensia-siakan kemudahan percuma yang disediakan kerajaan negeri.

PTRS merupakan sebuah program yang diwujudkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma khusus untuk calon-calon SPM.

Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Program yang diadakan di semua 56 kawasan Dun ini ditawarkan kepada pelajar bakal menduduki SPM di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana atau lemah.

Empat matapelajaran yang ditawarkan dalam program ini adalah matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Seramai 8,841 pelajar dari seluruh Selangor telah mengikuti program ini semenjak ianya dimulakan pada 2009.

Categories
NASIONAL

Projek Benteng Haram Tenggelamkan Kg Ampangan

TANJUNG KARANG, 7 MAC: Pembinaan benteng  di Tanah Simpanan Kekal Pembuangan Air (Water Encashment Area) Sungai Tengi oleh Kerajaan Pusat telah menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Ampangan kerap dinaiki air dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Ketua Kampung Ampangan, Hamidon Salim, kawasan pembuangan air tersebut telah diteroka untuk pembinaan benteng oleh pihak kerajaan pusat melalaui Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan mengakibatkan aliran air ke Sungai Tengi tersekat.

“Tanah ini adalah kawasan tadahan untuk pembuangan air Sungai Tengi bagi bendung kenaikan air naik ketika hujan lebat.

“Tetapi bila dibina benteng-benteng ini, ianya menyebabkan aliran air tersekat dan air jadi cepat naik.

“Apabila hujan lebat di Hulu Selangor, paras air akan meningkat dengan cepat dan memakan masa yang lama untuk surut semula.

“Kalau pihak kerajaan pusat berbincang dengan kerajaan negeri atau pihak tempatan tentu kejadiaan seperti ini tak akan berlaku.

“Ini tidak, main langgar sahaja, Kerajaan negeri dan Jabatan Parit dan pejabat tanah pun tak tahu apa-apa” kata Hamidon.

Hamidon juga memberitahu, pokok kelapa sawit yang ditanam oleh pendduk setempat turut berhadapan risiko mati dan tanamannya ditenggelami air sekaligus menjejaskan pendapatan.

Selain itu, beliau turut melahirkan kehairanan apabila papan tanda projek yang baru siap dibina dua bulan lalu ditulis tarikh siap projek pada 24 Disember 2009.

“Yang saya hairan di papan tanda ni ditulisnya tarikh mula dibina pada 17 Disember 2009 dan siap pada 24 Disember 2009, tetapi sebenarnya baru siap kira-kira dua bulan lepas,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam isu yang sama, Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan pusat  menyalahgunakan dana awam dengan menjalankan projek yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Selain itu, menurut beliau ianya turut menyalahi penggunaan tanah yang telah digazetkan sebagai kawasan pembuangan air Sungai Tengi dan menggesa pihak berkuasa negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk membetulkan keadaan.

“Dana awam mestilah digunakan untuk projek yang beri manfaat kepada rakyat, bukannya projek haram yang bukan sahaja tak beri manfaat tapi dah tahap menyusahkan rakyat.

“Tanah ini semenjak sebelum merdeka lagi dah digazetkan sebagai kawasan pembuangan air Sungai Tengi, jadi saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk betulkan keadaan ini,” beritahu beliau kepada TVS hari ini.

Categories
NASIONAL

Nelayan Berputih Mata,Hak Diserah Kepada LKIM

TANJUNG KARANG 28 FEB: Persatuan Nelayan dan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Kampung Sungai Yu terpaksa berputih mata apabila hak pengurusan kemudahan di jeti Kampung Sungai Yu diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Antara kemudahan yang baru siap dibina di jeti kawasan tersebut ialah kedai makan dan chalet yang sepatutnya memberi sumber pendapatan kepada persatuan dan nelayan-nelayan di kampung terbabit.

“Persatuan dan PKSP di sini berusaha keras untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan dan membangunkan kawasan ini termasuklah membayar surat perjanjian selama lima tahun berjumlah RM5,800.

“Tetapi apabila mereka melihat potensi kawasan ini boleh dibangunkan, mereka bangunkan kawasan ini tanpa berbincang dengan persatuan.

“kononnya bila dah siap nanti persatuan yang akan dapat seperti sewa chalet dan kedai sebagai sumber pendapatan persatuan tetapi akhirnya diberi kepada LKIM,” beritahu Ketua Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan KPSP, Dimyati Dualo memberitahu pihak persatuan  membuat perancangan rapi untuk membangunkan kawasan terbabit sebelum diambil alih oleh LKIM.

“Persatuan merancang untuk membangunkan kawasan ini dengan aktiviti yang dapat menjana sumber pendapatan seperti aktiviti ekonomi dan pelancongan seperti pasar malam dengan tarikan utamanya ikan bakar.

“Aktiviti pelancongan lain yang telah dirancang oleh persatuan ialah aktiviti meninjau burung helang, melihat kelip-kelip, tuntung bertelur,  pakej memancing, pakej menjaring dan makan di dalam sampan seperti yang kita lihat di Thailand.

“Bayangkan perasaan nelayan di sini yang merancang semenjak dahulu lagi, berkerja keras bangunkan kawasan ini dan usahakan permit dari Jabatan Perhutanan.

“Bila sahaja dah dapat permit dan persatuan dah pun bayar RM5,800 kepada Jabatan Hutan, tiba-tiba usaha kami nelayan di sini dipotong oleh Kerajaan Pusat di bawah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan diberi kepada LKIM,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tambakkan Tebing Sg Yu Baru Siap, Runtuh

TANJUNG KARANG, 27 FEB: Projek tambakkan tebing sungai di kawasan jeti Kampung Sungai Yu runtuh walaupun projek di bawah peruntukkan Kementerian Pertanian dibawah menterinya Datuk Seri Noh Omar itu hanya baru siap dibina beberapa bulan lalu.

Tambakkan yang dibuat dengan menggunakan batang kelapa sebagai penahan tersebut gagal menahan tekanan air sungai apabila kunci air berhampiran dibuka.

“Kononnya nak buat lanskap di tebing sungai itu, tetapi bila dah ditambak, sungai tu jadi sempitlah.

“Ia dekat dengan kunci air, bila kunci tu dibuka maka arus jadi kuat dan batang kelapa yang jadi penahan tu tak boleh tahan arus dan tumbang.

“Akhirnya tambakan tebing tu menurun atau hakis sebab mana boleh jadikan batang kelapa sebagai penahannya” demikian menurut Ketua Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga berkata projek tambakkan dibawah kementerian yang di terajui Noh itu dilaksana tanpa perancangan dan pemantauan semasa kerja pembinaan projek tersebut berjalan.

“Kalau mereka buat perancangan sebelum buat, mereka takkan gunakkan batang kelapa sebagai penyendal sebab batang kelapa takkan mampu bertahan.

“Semasa projek tengah berjalan pun harus ada pemantauan, tetapi ini tidak, inilah sikap tak bertanggungjawab masing-masing jalankan projek main sambil lewa sahaja.

“mereka kena sedar setiap projek ini melibatkan wang orang ramai dan harus beri manfaat kepada orang ramai juga,” beritahunya lagi.

Menurutnya lagi, sepatutnya kerajaan lebih mengutamakan projek yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat kampung ini.

“Sepatutnya kerajaan lebih menumpukan projek yang memberi manfaat kepada penduduk kampung, bukannya buat projek yang tak beri faedah kepada masyarakat yang akhirnya tak menjadi dan membazir duit seperti ini,” katanya lagi.

Selain itu beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan yang menyatukan semua projek-projek yang ada menyebabkan hanya kontraktor kelas B sahaja yang layak memohon tender untuk pembinaan projek terbabit.

“Semua projek-projek peruntukan kerajaan pusat di kampung ini disatukan menyebabkan hanya kontraktor kelas B sahaja yang layak, anak-anak kampung ini kelas F tak layak.

“Tetapi akhirnya tengoklah sendiri hasil kerja mereka, sangat teruk, asalkan siap sahaja tetapi tak boleh tahan lama.

“Sepatutnya projek kecil seperti ini boleh diberikan kepada anak-anak tempatan kampung ini yang memiliki lesen kontraktor kelas F,” ujarnya lagi.

 

 

 

Categories
NASIONAL

Kunci Air Ancam Keselamatan Penduduk Tanjung Karang

TANJUNG KARANG, 27 FEB: Setelah 54 tahun memerintah, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menumpukan usaha-usaha melindungi keselamatan masyarakat Tanjung Karang.

Keselamatan penduduk di Pekan Tanjung Karang dan kampung-kampung sekitarnya bakal terancam sekiranya kunci air yang berusia lebih 40 tahun gagal menampung tekanan air Sungai Tengi.

Demikian menurut Naib Yang Dipertua Pas Tanjung Karang, Haji Misran Serman ketika ditemui wartawan TVS baru-baru ini.

“Dahulu ada dua kunci air, satu yang besar dibina sebelum merdeka pada tahun 30an lagi dan satu lagi dibina oleh Kerajaan pada sekitar tahun 60an tetapi lebih kecil.

“Malangnya, kunci air besar itu telah runtuh gara-gara kerakusan BN yang kononnya nak menaikkan taraf kunci air lama itu sekitar tahun 2006.

“Disebabkan kecuaian perancangan, semasa projek itu sedang dijalankan kunci air tersebut jadi condong kerana cerucuk yang ditanam mungkin telah terkena asas bangunan tali air itu dan akhirnya runtuh.

“Akhirnya projek menaiktaraf tersebut dihentikan begitu sahaja sekaligus telah berlaku bukan sahaja pembaziran dana awam tetapi melenyapkan satu khazanah bersejarah yang ada di situ.

“Bila kunci air besar tadi dah runtuh, kunci air yang ada sekarang cumalah kunci air kecil yang dibina pada tahun 60an. 

“Bayangkanlah apa akan jadi pada kampung-kampung dan Pekan Tanjung Karang sekiranya kunci air tersebut tidak dapat membendung tekanan air yang kuat dan pecah terutama pada masa air naik,” kata Misran.

Misran turut kesal kecuaian yang dilakukan oleh pihak terlibat dalam kerja menaiktaraf kunci air yang dibina pada 30an itu telah mengakibatkan sebuah bangunan bersejarah yang ada musnah.

“Di negara kita hanya ada dua atau tiga sahaja bangunan kunci air dan salah satu darinya adalah bangunan kunci air setinggi empat tingkat yang runtuh ini.

“Ia mempunyai nilai-nilai sejarah yang tinggi untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

“Tetapi sayang kunci air itu dah runtuh dan sekarang mereka buka satu galeri yang dinamakan Galeri Jabatan Pengairan Selangor yang nampak macam tidak terurus,” beritahunya lagi.

 

Categories
NASIONAL

Jalan Kg Ampangan Rosak Tak Sampai Dua Bulan

TANJUNG KARANG, 27 FEB: Tidak sampai dua bulan disiapkan, jalan di Kampung Ibu Ampangan mula rosak akibat kerja menaiktaraf jalan terbabit tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurut ketua Kampung Ampangan, Hamidon Salim, projek menaiktaraf di Sepanjang Jalan RB menerusi peruntukan dari Kerajaan Persekutuan tersebut tidak dibuat dengan bahan binaan yang secukupnya dan sambil lewa.

“Jalan ini baru sahaja siap tak sampai pun dua bulan, tetapi banyak tempat, batu pasirnya dah disebabkan kenderaan lalu-lalang di sini

“Patutnya mula-mula kena letak batu kasar lepas itu barulah batu pasir, jadi jalan boleh tahan lama, batu pasir tak lari.

“Apa yang kita lihat tadi, tak sampai dua kilo meter sahaja yang ditambak dengan bahan yang betul.

“Tetapi kemudiannya ada yang ditaburkan batu kasar sahaja dan ada juga yang ditaburkan batu pasir sahaja.

“Tempat yang diletakkan batu kasar tanpa batu pasir itulah yang menyebabkan permukaan jalan tadi jadi kasar. 

“Tempat yang awak tengok cuma diletakkan batu pasir pasir sahaja tadi pulak menyebabkan jalan jadi ‘botak’ sampai banyak yang dah nampak tanah merah.

“Sudahlah tu, tambakkan batu-batu tu pun cuma nipis sahaja, sekejap sahaja jalan dah mula rosak semula,” beritahu beliau.

Hamidon turut melahirkan kebimbangan peruntukan projek tersebut telah diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan jalan tersebut dibina dengan bahan yang tidak mencukupi.

“Saya bimbang Peruntukan Kerajaan Pusat ini telah diselewengkan oleh pihak tertentu menyebabkan peruntukan yang turun cuma berapa peratus sahaja sebab dipotong di tengah jalan.

“Akhirnya yang jadi mangsa ialah masyarakat kampung ini dapat prasarana yang dibina dengan tidak sempurna,” ujarnya lagi.

Dipercayaai projek menaik taraf jalan di seluruh Selangor merupakan salah satu projek kerajaan Pusat yang diperuntukan kepada Umno Selangor bernilai RM2.71b.

Projek tersebut diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno Selangor untuk tujuan pembangunan setempat bagi tujuan mengabui mata rakyat.

Projek-projek pembangunan tersebut akan dilakukan secara sambil lewa bagi mengaut lebih banyak keuntungan

Hakikatnya wang tersebut bertujuan diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno Selangor bagi menghadapi PRU13.