Categories
NASIONAL

Kolam Udang Haram Cemar Paya Bakau Di Tanjung Karang

TANJUNG KARANG, 21 FEB: Keunikan hutan bakau semula jadi sepanjang pantai di Tanjung Karang tercemar akibat penerokaan secara haram dengan menjalankan projek penternakan udang secara haram.

Projek penternakan udang ini didakwa oleh Naib Yang Dipertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman sebagai milik kroni Umno.

“Pantai Selangor ini memang unik, mempunyai hidupan akuatik yang bernilai tinggi seperti kerang, mentarang dan sebagainya yang tidak terdapat di negeri-negeri lain dalam Malaysia Barat ini.

“Tetapi sayang, kawasan pantai lumpur sepatutnya dijadikan kawasan ini hutan simpan negeri Selangor,” jelasnya.

Jelasnya lanjut, akibat aktiviti penternakan haram itu menyebabkan kawasan pantai Selangor yang terkenal dengan kerang dan benihnya yang bermutu tercemar.

Pencemaran ini menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi haiwan-haiwan akuatik di kawasan paya bakau itu.

“Sekarang, benih kerang yang bermutu tinggi dari sepanjang pantai Jeram hingga Kuala Selangor sudah tidak lagi sebanyak dahulu, dah susut banyak,” beritahu Misran ketika membuat tinjauan ke lokasi terbabit baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu, keadaan ini menyebabkan penduduk di sepanjang kawasan ini termasuk di Sungai Burong kehilangan salah satu sumber mata pencarian mereka.

“Disebabkan benih kerang dah terjejas teruk, maka pendapatan penduduk di sini terjejas dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan lenyap terus dari pantai Selangor,” beritahu beliau lagi.

Misran turut mendakwa mempunyai dokumen yang mengandungi senarai nama pemilik kolam ternakan udang terbabit yang didakwanya adalah milik kroni pemimpin Umno tempatan.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Gagal Bela Nasib Rakyat Di Tanjung Karang

SHAH ALAM 1 FEB : Gagal menunaikan janji pilihanraya umum ke-12 dan sikap sambil lewa Datuk Seri Noh Omar merupakan faktor utama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Melaka, Osman Shamsudin meletakan jawatan selepas 28 tahun berkhidmat.

Menurut Osman, beliau meletakkan jawatan sebagai JKKKP secara rasmi pada tahun 2010 kerana kecewa dengan sikap kerajaan BN dan Ahli Parlimen Tanjong Karang yang gagal melunaskan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, segala permohonan bantuan untuk urusan kemudahan infrastrukur dan baik pulih surau juga tidak pernah dilayan.

“Umno-BN hanya mementingkan kroni semata-mata. Segala permohonan peruntukan untuk tujuan pembangunan surau dan jalan raya tidak diluluskan, malah tidak diendahkan.

“Sebaliknya, mereka menyuruh saya meminta dana daripada kerajaan negeri. Tetapi apabila tiba musim pilihanraya, tidak perlu suruh pun mereka akan buat,” tegasnya.

Jelasnya, sebelum Noh dilantik sebagai menteri, beliau begitu mesra dengan penduduk setempat dan memenuhi setiap janji yang dibuat, namun kini tidak lagi.

Ujarnya, keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat setelah melihat tiada perubahan dari segi kepimpinan Noh sebagai ahli parlimen di kawasan itu.

“Bila saya mintak peruntukan, satu pun tidak dapat. Sebagai contoh, kalau saya minta empat, sekurang-kurangnya berilah satu. Ini langsung tak dapat. Mereka kata tiada duit, malah meminta saya untuk memohon dana daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor sekarang,” katanya.

Osman dalam pada itu turut berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri kerana banyak menghulurkan bantuan untuk urusan baik pulih kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

Beliau berkata, walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai JKKKP, namun sokongan padu akan terus diberikan kepada Pakatan Rakyat.