Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat sambut baik kempen Wanita PAKATAN di Tanjung Piai

PONTIAN, 13 NOV: Gerak kempen Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjaya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat berbilang kaum dalam kawasan Parlimen itu.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh kempen, kebarangkalian untuk parti itu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan adalah sangat tinggi.

“Saya mendapat persepsi dan pandangan yang positif kebolehan kita untuk menang kerusi Tanjung Piai.

“Malahan sambutan masyarakat Cina, India dan sebagainya juga amat menggalakkan. Saya tidak menafikan kebarangkalian untuk (PAKATAN) menang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Program Kayuhan Bomba Komuniti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di sini, hari ini.

Berhubung program berkenaan, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata seramai 100 anggota bomba komuniti menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer bermula dari Pejabat Jabatan Kastam sehingga Taman Negara Tanjung Piai.

Katanya ia bertujuan menyerahkan kit keselamatan kepada ketua kampung dan pengerusi masjid di beberapa buah kampung.

“Sebulan sekali bomba komuniti atau sukarelawan akan membuat aktiviti seperti kayuh basikal dan sebagainya.

“Ini antara latihan kerana ada ketika mereka harus gunakan basikal untuk cepat sampai ke kawasan terbakar, kecemasan memandangkan kebanyakan kawasan kampung kecil…jadi mereka boleh beri bantuan dengan cepat,” katanya.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 2,500 bomba komuniti seluruh negara.

“Hampir separuh daripadanya berada di Sabah kerana (Sabah) mempunyai kawasan pedalaman yang banyak, jadi banyak bomba komuniti diwujudkan.

“Kita memang menggalakkan sekurang-kurangnya satu (bomba komuniti) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi ini lebih (jumlah bomba komuniti) daripada kita harapkan.

“Memang perlu ada untuk bantu pasukan bomba induk apabila ada kecemasan ataupun kebakaran di kawasan pedalaman tertentu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

280 polis undi awal esok

PONTIAN, 11 NOV: Seramai 280 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai melibatkan anggota polis akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua mereka akan mengundi di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini.

“Pusat Pengundian Awal di Bangunan Perkep, IPD Pontian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, proses pengundian awal tersebut akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

Beliau berkata, SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis.

“Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 16 Nov ini, di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN, Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN saksama, parti berbilang kaum

PONTIAN, 11 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah sebuah parti gabungan yang mengamalkan sistem kesamarataan dan saksama antara satu sama lain, dengan anggota pentadbiran kerajaannya yang benar-benar berbilang kaum.

Ketua Setiausahanya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selepas PAKATAN berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran parti gabungan itu sentiasa meletakkan parti komponennya terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah, memegang jawatan tertentu secara adil dan seimbang.

Malah, katanya perkara ini adalah bukti bahawa PAKATAN mengamalkan sistem pentadbiran yang mementingkan perpaduan kaum serta menghormati antara satu sama lain.

“PAKATAN adalah parti yang saksama. Apabila kita menang pada PRU14, memang jumlah kerusi Ahli Parlimen dalam empat parti PAKATAN tak sama…PKR paling banyak, nombor dua DAP, nombor tiga Bersatu dan (keempat) Amanah.

“Macam mana kita (PAKATAN) nak seimbangkan, apabila kita melantik ahli Dewan Negara kita cuba seimbangkan. Contohnya parti yang paling banyak kerusi dalam Dewan Rakyat adalah PKR, apabila lantik Senator pula, kita tidak lantik terlalu ramai daripada PKR…kita seimbangkannya dengan melantik Senator daripada DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, manakala undi awal pada 12 November ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PAKATAN, Karmaine Sardini, Datuk Seri Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional, calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pertembungan agenda PAKATAN-BN

PONTIAN, 10 NOV: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai memasuki hari kesembilan hari ini dan ketika ini parti serta calon bertanding sepatutnya sudah dapat membaca kedudukan mereka di mata penduduk dan pengundi di Tanjung Piai.

Walaupun PRK kali ini membabitkan pertandingan enam penjuru, tetapi saingan sebenar adalah ‘two-horse race’ antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Barisan Nasional (BN) dan yang menariknya, menampilkan calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PAKATAN dan BN masing-masing mempunyai agenda tersendiri, dengan PAKATAN mahu menggunakan ‘pertempuran’ kali ini untuk melihat sejauh mana rakyat masih bersama dengan gabungan itu selepas lebih setahun menjadi kerajaan susulan kemenangan pada PRU14.

BN, yang turut mendapat sokongan PAS, pula sudah tentu mahu memanfaatkan pentas ini untuk bereksperimentasi dengan konsep Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan PAS yang secara tidak langsung melibatkan BN, bagi meraih sokongan segenap lapisan pengundi khususnya masyarakat Melayu, yang merupakan kira-kira 57 peratus pengundi di Parlimen Tanjung Piai.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PAKATAN Johor memperkenalkan Karmaine Sardini, 66, sebagai calon PAKATAN untuk PRK Parlimen Tanjung Piai di Dewan Hai Kee Hall Batu 34 Pontian pada 28 Oktober 2019. Foto BERNAMA

Hakikatnya kedua-dua parti meletakkan wakil yang dianggap calon ‘kitar semula’ yang mungkin tidak begitu dilihat oleh pengundi, namun masing-masing pasti mempunyai kekuatan tersendiri untuk pucuk pimpinan parti terus menaruh harapan terhadap mereka.

Di pihak BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, adalah Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Farid Md Rafik pada PRU14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Calon PAKATAN Karmaine Sardini, 66, pula bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian namun tewas kepada calon BN Datuk Seri Ahmad Maslan, juga dengan majoriti tipis 833 undi.

Wee mungkin lebih dikenali kerana pernah dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008, tetapi Karmaine, walaupun belum dikenali sepenuhnya penduduk setempat, beliau antara pengasas Bersatu Tanjung Piai dan menjadi Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai serta membantu kemenangan PAKATAN tahun lepas.

Beliau juga mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan untuk mampu memainkan lebih peranan dalam membawa pembangunan ke Tanjung Piai.

Bagi Wee, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lepas kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai dan mahu terus berbakti di Tanjung Piai.

Karmaine pula mahu menggunakan tempoh berkempen untuk mendekati sebanyak mungkin pengundi kerana berpendapat ramai yang hanya mengenali namanya sahaja tetapi belum pernah melihat dan mengenali keperibadian beliau dari dekat.

“Saya bertanding kali ini sebab saya calon anak tempatan. Saya orang kampung (di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai) sini. Ini adalah kampung saya dan fokus utama saya lebih kepada untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi seluruh penduduk di Tanjung Piai,” kata Karmaine.

Bagi penganalisis politik Dr Md Akbal Abdullah, kekuatan PH adalah kerana mereka adalah kerajaan dan kehadiran pemimpin-pemimpin PH yang memegang jawatan dalam kerajaan memberikan peluang kepada rakyat untuk terus menyuarakan masalah mereka dan pihak kerajaan pula patut mengambil peluang mendengar secara terus masalah rakyat.

“Sebenarnya dalam faktor ini, PAKATAN sudah mempunyai kekuatan asas kerana mereka adalah kerajaan dan boleh menjanjikan pembangunan, tidak seperti pembangkang (BN) kerana mereka bukan kerajaan lagi,” katanya.

Namun, katanya BN datang ke Tanjung Piai kali ini membawa semangat tiga kemenangan PRK sebelum ini iaitu Parlimen Cameron Highlands serta DUN Semenyih dan Rantau.

“Tanjung Piai juga menjadi lokasi pertama untuk menonjolkan penyatuan ummah (melibatkan kerjasama PAS dan UMNO) kerana babitkan calon bukan muslim (daripada MCA), jadi semangatnya lebih berbeza berbanding PRK lain,” katanya.

Md Akbal juga berkata mana-mana parti juga tidak boleh terlalu selesa dengan undi kaum Cina yang pernah diterima sebelum ini kerana undi mereka adalah di luar jangkaan.

PAKATAN dan BN juga tidak seharusnya memandang mudah penyertaan parti Gerakan dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas yang mampu memecahkan undi.

“Sejauh mana bilangan pecah itu, kita (PAKATAN) tidak pasti, tidak tahu tetapi memang ada cabaran walaupun (calon-calon lain) tidak mendatangkan kesan yang nyata berbanding Wee (calon BN),” kata Karmaine.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. Hari mengundi ditetapkan pada 16 Nov manakala undi awal pada 12 November.

Selain PAKATAN dan BN, PRK kali ini turut melibatkan Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MCA mahu rampas kerusi Tanjung Piai

PONTIAN, 28 OKT: Ahli MCA diingatkan supaya dapat bekerja lebih keras dalam satu pasukan agar dapat merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual 16 November ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya juga mengharapkan agar semua ahli parti berkenaan dapat berperanan menjadi pembangkang yang efektif serta berkesan di Tanjung Piai ini.

Katanya, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, terdahulu pihaknya tewas pada PRU-14 hanya dengan 524 undi melalui calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

“Mulai hari ini kita perlu bersedia untuk PRK di sini (Parlimen Tanjung Piai) dan perlu merampasnya kembali,” katanya ketika merasmikan Pusat Gerakan Jentera MCA bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nenas di sini, hari ini.

Jelas Ka Siong, pihaknya berharap para pengundi dapat memilih calon yang tepat pada kali ini.

Terdahulu, pada PRU lepas, Jeck Seng kalah tipis dengan calon daripada Bersatu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan perbezaan 524 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan setelah kematian penyandangnya, Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Turut serta dalam perasmian pusat gerakan terbabit ialah Ketua Bahagian MCA Parlimen Tanjung Piai, Jeck Seng.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Saksi Gerhana Matahari Cincin di Tanjung Piai hujung tahun ini

PONTIAN, 14 OKT: Dikenali sebagai Penghujung Benua Asia, sudah pasti tarikan utama ke kawasan Tanjung Piai adalah taman rekreasi dan pelancongan, ditambah dengan kekayaan budaya dan warisan termasuk masyarakat Bugis.

Antara kawasan utama yang menjadi “magnet” pengunjung dalam dan luar negara pastinya Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Johor Pulau Kukup, yang mana keduanya disenaraikan sebagai tapak Ramsar (Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa), yang berkepentingan bagi konservasi burung air dan tanah lembap.

Taman Negara Johor Pulau Kukup merupakan sebuah pulau bakau yang tidak didiami dengan kawasan seluas 647 hektar, manakala Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak di selatan Pulau Kukup, mempunyai pantai pesisir hutan bakau dan dataran lumpur.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Hanis Musalman Salehan berkata, tarikan ke Taman Negara Tanjung Piai misalnya, spesies pokok-pokok bakau yang tiada di tempat lain.

“Taman Negara Johor Tanjung Piai ini menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara disebabkan faktor geografi dan flora serta faunanya yang tidak ada di tempat lain, contohnya burung hijrah yang datang dari India, negara-negara lain,” kata beliau ketika ditemui di taman negara itu, baru-baru ini.

Jadi, tidak hairanlah jika kedua-dua taman negara itu turut menjadi tumpuan penyelidik-penyelidik luar, kerana kekayaan biodiversitinya.

Pada tahun lepas, pengunjung ke Taman Negara Johor Tanjung Piai mencapai 97,431 orang.

“Untuk tahun ini, sehingga Ogos, kita sudah catat pengunjung seramai 62,283 orang. Kita akan ada satu acara besar, iaitu melihat ‘Gerhana Matahari Cincin’ dan ‘Air Pasang Besar’ pada penghujung Disember nanti, yang kita jangka akan tarik lebih ramai pengunjung lagi,” kata Hanis.

Sementara itu, kawasan Tanjung Piai juga menjadi salah satu pintu masuk ke negara ini melalui jalan laut dari Tanjung Balai, Indonesia, iaitu menerusi Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Kebiasaannya, ia sesak dengan warga Indonesia, terutama bila menjelang Aidilfitri dan selepas musim berkenaan.

Bagaimanapun, terminal itu ditutup buat sementara waktu sejak 1 September lepas dan dijangka beroperasi kembali pada 1 November ini.

Pekan Kukup yang menempatkan terminal itu, turut menjadi tumpuan pelbagai perniagaan daripada kecil sehingga besar, dan menjadi nadi kepada sebilangan masyarakat di situ.

Kira-kira 10 minit dari pekan itu, tersergam indah Rumah Daeng Haddadek, yang menjadi simbolik kepada kepelbagaian warisan masyarakat Bugis di Johor, terutama di daerah Pontian.

Gambar-gambar lama sejarah salasilah keluarga Daeng Haddadek turut dipamerkan di rumah berkenaan, selain pelbagai perabot antik yang diwarisi turun-temurun.

Pengunjung juga boleh mengenakan pelbagai busana masyarakat Bugis di situ, sekali gus membolehkan mereka merakam kenangan tersendiri, ketika berkunjung ke rumah warisan itu.

Selain pelancongan dan warisan, masyarakat Tanjung Piai juga menjalankan aktiviti pertanian dengan menanam kelapa sawit, nanas serta tanaman kontan, manakala ada juga yang menjadi nelayan.

Dianggarkan terdapat lebih 300 nelayan di sekitar Tanjung Piai setakat ini.

Tidak hairanlah Pasar Awam Pontian agak terkenal dengan bekalan ikan segar dari laut, sehingga menarik pelawat dari Singapura semata-mata mahu mendapatkan bekalan ikan yang disifatkan berkualiti tinggi, pada harga yang berpatutan.

Mengambil kira semua faktor penarik itu, maka kawasan Tanjung Piai mempunyai identitinya tersendiri dan berpotensi untuk terus dibangunkan pada masa hadapan.

– BERNAMA