Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tawar dos penggalak tanpa janji temu di Lembah Klang mulai esok

SHAH ALAM, 26 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan suntikan dos penggalak tanpa janji temu kepada individu yang tinggal di Lembah Klang mulai esok.

Kementerian menerusi kenyataan berkata mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin jenis AstraZeneca itu di empat pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi yang tersenarai.

PPV terbabit ialah di World Trade Centre, Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkal, Klang.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Dos Penggalak (PICK-Booster) bermula pada 13 Oktober tahun lalu sebagai langkah mengawal perebakan Covid-19.

Bermula 15 Januari lalu, empat PPV integrasi dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

2,000 slot vaksin hadir tanpa janji temu di lima PPV

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sebanyak 2,000 slot suntikan tanpa janji temu (walk in) ditawarkan di lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri ini bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Menurut penyelaras Selvax Komuniti PPV Hotel De Palma slot disediakan setiap hari bermula semalam sehingga 13 Ogos memberi peluang kepada individu yang belum menerima tarikh janji temu mendapat vaksin segera.

Ahmad Afendi Adham berkata tawaran untuk rakyat tempatan membabitkan PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala, untuk warga asing pula dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos bertempat di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

“Individu yang hadir ke PPV tetap perlu memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sukarelawan akan membantu cara mengisi kod baucar mengikut lokasi,” katanya ketika ditemui pada program Selvax Komuniti di sini hari ini.

Peserta boleh menggunakan kod baucar tertera di poster bagi mendapatkan vaksin di PPV berhampiran yang dibuka mulai 9 pagi hingga 6 petang.

Berikut proses perlu dilakukan:
1. Muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan butang ‘Temujanji’
4. Tekan butang ‘Semak temujanji’
5. Tekan kotak berwarna ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Pilih ‘Tarikh’

Orang ramai boleh menonton video tutorial pendaftaran melalui link berikut: https://youtu.be/gxPkFBcMc98

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.