Categories
PBT SELANGOR

329 peniaga mohon tapak bazar Ramadan, MPKS umum keputusan Mac

SHAH ALAM, 16 FEB: Sebanyak 329 permohonan petak bazar Ramadan diterima Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mulai 7 Februari hingga semalam.

Permohonan bagi 505 tapak bazar dibuka secara dalam talian sehingga 21 Februari manakala keputusan diumum pada 11 Mac, kata Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat.

“Antara kriteria dinilai ialah peniaga perlu lengkap suntikan vaksin dan mendapat suntikan anti-typhoid (TY2) selain tiada sebarang tunggakan kompaun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemohon perlu melampirkan dokumen sokongan dan mereka yang berdaftar bawah Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) mempunyai kelebihan untuk mendapat slot.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ip3ks.mpks.gov.my/ membabitkan sembilan lokasi.

Lokasi tersebut ialah hadapan IADA, Jalan KP1/ Pusat Bandar Tanjong Karang, Jalan Naluri Sukma Bandar Puncak Alam, hadapan Balai Raya Saujana Utama dan Jalan Sejati 1 Kampung Ijok.

Kawasan lain antaranya Jalan DC 4/1 Desa Coalfields, Tapak Pasar Awam Lama Sungai Buloh, Tapak Penjaja Bestari Jaya dan Jalan Puncak Alam Jaya 10 Bandar Puncak Alam.