Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP: Tarikh mohon Geran Padanan Digital PKS dilanjut hingga 15 Jun

SHAH ALAM, 10 MEI: Tarikh tutup permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor dilanjutkan sehingga 15 Jun ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi kenyataan berkata lanjutan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini.

“Kita terima maklum balas daripada peniaga bahawa PKP memberi kesan besar terhadap operasi perniagaan dan mereka memerlukan lebih masa untuk menyiapkan permohonan Geran Padanan Digitalisasi.

“Justeru, diharapkan agar lanjutan tarikh tutup permohonan geran ini dari 15 Mei kepada 15 Jun dapat membantu lebih banyak PKS memacu perniagaan mereka melalui jangkauan digitalisasi,” katanya.

Geran itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April lalu untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sejak pendaftaran dibuka pada 15 April, inisiatif itu menerima sambutan memberangsangkan yang mana 200 permohonan diterima setakat 10 Mei.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) dan gerbang pembayaran.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi http://sidec.com.my/selangorsmegrant2021

Syarat-syarat kelayakan PKS:

– Berdaftar di bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– Untuk PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Sudah beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Harus mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Sidec.