Categories
PENDAPAT RENCANA

Pelbagai inisiatif disedia galak taska, pusat jagaan berdaftar

Oleh Erda Khursyiah Basir & Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 2 DIS: ‘Jom Daftar’ dan khidmat nasihat pendaftaran adalah antara program advokasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggalak serta memudahkan lebih banyak premis taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan berdaftar dengan agensi itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh, mesyuarat ‘Pusat Sehenti’ juga kerap diadakan JKM negeri bersama agensi teknikal yang terlibat bagi mengatasi masalah pendaftaran.

“Bagi taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak mempunyai usaha untuk berdaftar pula, JKM akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas mereka,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Wajib jalani kursus asuhan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius isu pengasuh yang bekerja di taska dengan memastikan mereka menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kursus Asuhan Permata/KAP) di bawah kelolaan JKM.

Mana-mana individu samaada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib untuk mengikuti dan lulus KAP.

“Tiada sijil KAP bermakna tidak layak untuk menjadi pengusaha, pengurus dan penyelia taska. Walaupun masih ada pengasuh yang belum melengkapkan kursus KAP, mereka masih boleh bekerja di taska berdaftar dengan JKM. Namun begitu, mereka perlu hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan mulai tarikh mereka berkhidmat di taska dan menjadi pengasuh berdaftar.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, sekiranya pengusaha gagal memastikan pengasuh hadir dan lulus KAP dalam tempoh 12 bulan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Bermula 1 Januari 2013, KAP diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh, bagi menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang dilaksanakan sejak 1988.

Ia bertujuan memenuhi syarat pekerjaan sebagaimana yang digariskan di dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 kepada semua bakal pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh taska.

Sehingga Ogos 2021, sebanyak 5,436 buah taska di seluruh negara berdaftar dengan JKM manakala sebanyak 1,858 pusat jagaan, mendaftar sehingga September 2021.

Untuk pengasuh pula, sehingga Oktober 2021, seramai 18,385 orang telah berdaftar dan daripada jumlah itu, seramai 9,310 orang pengasuh mempunyai sijil KAP manakala selebihnya belum mempunyai sijil berkenaan.

Fatimah Zuraidah pada masa sama menolak dakwaan KAP tidak diwajibkan untuk pengasuh dan pengusaha di taska kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) kerana syarat kelayakan pengasuh di taska adalah sama untuk semua kategori sebagaimana termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Suasana pembelajaran di taska yang mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai.

Proses daftar 21 hari

Beliau yang turut menjawab dakwaan proses mendaftar taska dan pusat jagaan yang dikatakan rumit dan memakan masa yang lama menjelaskan, di peringkat JKM, permohonan pendaftaran taska yang lengkap akan diproses untuk kelulusan dalam tempoh 21 hari bekerja.

Menurut beliau, permohonan yang lengkap bermaksud, dokumen yang dihantar lengkap dengan kelulusan pendaftaran perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapat kelulusan tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

Di samping itu, semua dokumen yang diperlukan oleh JKM juga hendaklah dilengkapkan seperti sijil KAP, menu makan, jadual aktiviti, pelan lantai dan sebagainya.

Fatimah Zuraidah menjelaskan, selepas dokumen lengkap dikemukakan kepada pihak JKM, semakan dokumen dan pemeriksaan ke taska akan dilakukan.

Langkah seterusnya ialah penyediaan laporan oleh pegawai dan kemudian akan dibawa untuk kelulusan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.

“Sijil perakuan pendaftaran untuk sah tempoh selama lima tahun akan dikeluarkan bagi setiap permohonan yang diluluskan. Semua syarat yang ditetapkan dalam Panduan Permohonan Pendaftaran Taska adalah berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang perlu dipatuhi agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di taska terjamin,” katanya.

Kaji pasaran

Bagi mempercepatkan urusan pendaftaran taska di peringkat JKM, pemohon dinasihatkan membuat kajian pasaran permintaan dan penawaran, mengenal pasti syarat pendaftaran dan agensi teknikal yang terlibat serta mendapat khidmat nasihat daripada agensi berkaitan.

Pemohon juga boleh mendapatkan khidmat nasihat PBT, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Tanah dan Survei untuk Sarawak sahaja, selain membuat kajian dengan masyarakat setempat serta mendapatkan kebenaran penubuhan taska.

“Pengusaha boleh merujuk kepada Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau merujuk kepada PBT,” katanya.

Mengenai dakwaan kesukaran memohon lesen untuk pusat jagaan OKU, Fatimah Zuraidah berkata, permohonan untuk penubuhan pusat jagaan OKU adalah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan tertakluk kepada beberapa perkara.

Antaranya, kelulusan serta sokongan agensi teknikal seperti PBT, JBPM dan Jabatan Kesihatan, serta memenuhi standard minimum yang ditetapkan seperti pematuhan nisbah penjaga dan penghuni iaitu seorang penjaga untuk 10 OKU, manakala seorang penjaga untuk empat OKU terlantar.

Turut termaktub dalam keperluan standard minimum itu ialah pematuhan nisbah penghuni dan ruang lantai, penjaga mempunyai kelayakan atau pengalaman bersesuaian, penyediaan menu yang seimbang yang disahkan oleh JKM, penyediaan program/aktiviti harian yang disahkan oleh JKM, penyediaan kemudahan perabot dan peralatan, penyimpanan dan penyelenggaraan rekod-rekod, pengawalan kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis pusat jagaan.

Yuran, kualiti perkhidmatan

Dalam menjawab isu yuran taska dan pusat jagaan berdaftar yang dikatakan mahal sehingga mengakibatkan ramai ibu bapa terpaksa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat yang tidak berdaftar, beliau berkata kadar yuran bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah taska atau pusat jagaan.

Taska berdaftar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagai contoh, menu makan yang mencapai standard Kementerian Kesihatan (KKM), gaji minimum pengasuh yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia selain bergantung kepada pengalaman dan kelayakan pengasuh di samping beberapa faktor lain.

“Kadar yuran adalah di luar kawalan JKM. Ibu bapa bebas untuk memilih taska berdaftar yang menawarkan yuran mengikut kemampuan mereka kerana ada taska yang menawarkan harga berpatutan bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Kerajaan pada masa sama turut menyediakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa antaranya subsidi yuran pengasuhan taska untuk taska yang berdaftar dengan kadar RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang layak.

“Syarat kelayakan adalah pendapatan isi rumah per kapita RM800 sebulan dan ke bawah di kawasan bandar dan RM500 sebulan dan ke bawah di kawasan luar bandar, manakala syarat kelayakan subsidi yuran pengasuhan taska komuniti dan taska di tempat kerja sektor awam adalah jumlah pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah,” jelasnya.

Selain itu, bagi individu yang membayar cukai pendapatan, pelepasan cukai sebanyak RM3,000 setahun juga dibenarkan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke taska.

Sementara itu, geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam juga disediakan untuk agensi kerajaan bermula 2019 dan diteruskan pada 2022.

Taska yang ditubuhkan di pejabat agensi kerajaan dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa selain kadar yuran taska di tempat kerja lebih berpatutan untuk kumpulan sasar berkenaan.

Di samping itu, potongan cukai turut diberikan kepada majikan tempat kerja sektor swasta yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke taska dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska mulai tahun taksiran 2013.

“Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha taska mulai tahun taksiran 2013, serta elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus turut diberi kepada sektor swasta yang mengusahakan taska mulai tahun taksiran 2010,” katanya.

Tempat perlindungan selamat

Menyifatkan isu pengasuh, taska dan pusat jagaan tidak berdaftar menjadi intipati penting buat JKM untuk memastikan negara memiliki tempat perlindungan sah berdaftar, selamat dan dipercayai untuk kanak-kanak, Fatimah Zuraidah berkata kerajaan antara lain turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan pada tahun 2020, kerajaan menyediakan bantuan khas kepada pengusaha taska yang berdaftar dengan JKM.

Untuk tahun 2021, bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) disediakan bagi meringankan beban pengusaha taska yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tujuan inisiatif ini bagi menggalakkan pengusaha taska untuk berdaftar dan memperbaharui pendaftaran. Sebanyak 2,623 buah taska diluluskan bantuan pada tahun 2020 dan sebanyak 2,667 buah taska diluluskan bantuan sehingga Oktober 2021,” katanya.

Di samping itu, menerusi pakej Pemulih, bantuan kewangan dengan jumlah RM3,000 diberikan untuk semua kategori taska manakala untuk taska yang beroperasi di rumah, bantuan RM800 disalurkan bagi mengurangkan beban pengusaha untuk membayar bil walaupun tidak beroperasi dalam tempoh PKP.

Taska di tempat kerja

Antara inisiatif lain JKM, dalam memastikan lebih banyak taska dan pusat asuhan berdaftar ialah membuka lebih banyak taska di tempat kerja.

Sejak 2019, JKM mula memperuntukkan Geran Penubuhan Taska di Tempat Kerja dan sehingga kini sebanyak 167 buah agensi kerajaan di seluruh Malaysia mendapat kelulusan.

Menurut Fatimah Zuraidah, dalam ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober lepas, kerajaan sekali lagi menyediakan RM30 juta geran bagi penubuhan taska di tempat kerja sektor awam.

Penambahan taska di tempat kerja memerlukan kerjasama daripada semua kementerian dan kerajaan negeri, termasuk majikan sektor swasta kerana penubuhan taska di ruang/premis/lokasi yang sesuai adalah di bawah bidang kuasa kementerian/kerajaan negeri serta majikan masing-masing.

Pada masa yang sama, kata beliau, agensi kerajaan atau majikan boleh menggunakan ruang dalam pejabat atau premis yang berdekatan dengan pejabat atau kuarters kakitangan untuk dijadikan taska di tempat kerja bagi tujuan memberi kemudahan kepada pekerja, terutama mereka yang bekerja mengikut giliran.

“Penubuhan taska di tempat kerja amat penting untuk meningkatkan produktiviti pekerja kerana taska yang berdaftar sentiasa dipantau oleh JKM, keselamatan anak-anak akan terjamin berbanding dengan anak yang dihantar ke rumah pengasuh atau pusat jagaan yang tidak berdaftar,” katanya dengan menambah, sehingga kini, sebanyak 365 buah taska di tempat kerja didaftarkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Beliau turut menegaskan, taska yang berdaftar dengan JKM akan dipantau sekurang-kurangnya dua kali setahun selain pemeriksaan mengejut turut diadakan bila perlu. Manakala bagi pusat jagaan, pemeriksaan berkala dijalankan setiap enam bulan dan jika terdapat keperluan, pemeriksaan mengejut turut dilakukan.

Selain itu, pengendali pusat jagaan berdaftar hendaklah melaksanakan penilaian kendiri setiap enam bulan melalui Sistem Penilaian Kendiri Pusat Jagaan (myKendiri) secara dalam talian bagi memastikan operasi pusat jagaan mematuhi standard minimum yang ditetapkan di dalam Akta Pusat Jagaan 1993 dan dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

“JKM turut melaksanakan pemantauan pematuhan penularan Covid-19 di taska dan pusat jagaan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pengasuh, taska tidak berdaftar boleh beri kesan psikologi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir & Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi emosi, psikologi dan tumbesaran kanak-kanak yang diletakkan di rumah pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) atau pusat jagaan berdaftar, berbanding dengan yang tidak berdaftar.

Berkongsi perspektif beliau mengenai faktor berkenaan, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi Prof Datin Dr Mariani Md Nor antaranya mengutarakan suasana persekitaran fizikal yang lebih kondusif, bersih dan selamat di samping aktiviti harian disusun secara sistematik dan berjadual bagi proses perkembangan kanak-kanak.

Beliau juga berpandangan, pemakanan yang disediakan mengikut menu yang sesuai untuk kanak-kanak itu juga mempunyai pengaruh dan perlu dititikberatkan.

Dalam masa yang sama, Dr Mariani berkata, pengasuh, taska dan pusat jagaan berdaftar perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terjamin sepanjang tempoh jagaan mereka.

Menurut beliau, senario ini pastinya berbeza dengan pengasuh, taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar kerana mereka tidak terikat dengan sebarang SOP atau peraturan.

“Tidak dinafikan ada pengasuh yang baik, berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, namun ianya banyak bergantung kepada ‘nasib’.

“Alhamdulillah jika ada ibu bapa yang mendapat pengasuh sedemikian. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan sebarang risiko kejadian buruk berlaku kepada anak-anak mereka.

“Namun begitu, lazimnya dalam persekitaran yang tidak kondusif dan keadaan bebas tanpa peraturan di bawah penjagaan tidak bertauliah, perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak serta sosialisasi mereka pastinya berbeza,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Ilmu keibubapaan

Mengulas lanjut, Dr Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia berkata, kesan psikologi yang dapat dilihat adalah lebih kepada proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara holistik.

Dengan persekitaran fizikal yang tidak kondusif terutama di taska atau tadika tidak berdaftar, kanak-kanak berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk bersosial dan mengembangkan kemahiran insaniah mereka

“Ini ditambah dengan ketiadaan aktiviti sepatutnya mengikut peringkat umur seperti bertukar pendapat, membuat keputusan termasuk menerima keadaan ‘kalah dan menang’ yang sepatutnya dipelajari dalam sistem pendidikan yang lebih sistematik, ” katanya.

Keadaan ini, kata beliau, sudah tentu akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, apatah lagi sekiranya diberi makanan yang tidak sepatutnya (jika berlaku) yang turut mempengaruhi pertumbuhan fizikal mereka.

Menurut Mariani, jika taska dan pusat jagaan berdaftar, risiko seperti penderaan dapat dikurangkan kerana mereka yang menjadi pengasuh wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA /KAP).

“Kursus ini boleh membimbing pengasuh dalam proses mengasuh beserta pendidikan yang lebih berkualiti disertai elemen penuh empati dan sifat sabar yang tinggi.

“Di taska dan pusat jagaan tidak berdaftar pula terdapat risiko sesiapa sahaja boleh diterima untuk bekerja tanpa mengira latar belakang kerana tiadanya peraturan yang menggariskan tenaga pengasuh perlu mempunyai sijil atau kelayakan tertentu untuk mengasuh kanak-kanak,” jelasnya.

Tekanan punca dera

Dalam pada itu, Mariani berkata, tindakan segelintir pengasuh yang tergamak melakukan kekasaran dan penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan stres atau tekanan sedia ada.

Ini ditambah dengan masalah lain yang berlanjutan tanpa penyelesaian serta tiadanya sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang lazimnya aktif, lasak dan agresif boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada pengasuh yang seterusnya membawa kepada isu penderaan malah lebih teruk kes kematian yang menyayat hati hanya kerana disebabkan tekanan yang gagal dikawal.

Menurut beliau lagi, kajian di dalam dan luar negara kebanyakannya menunjukkan peratusan tinggi penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan oleh stres serta beberapa masalah sampingan lain.

“Kanak-kanak yang didera boleh membesar sebagai pendera dan menjadi agresif bergantung kepada tahap penderaan telah berlaku pada mereka.

“Mereka juga mungkin bersifat pasif, tidak mudah percaya kepada orang lain, bersikap kurang yakin diri serta mempunyai estim kendiri yang rendah, ” katanya.

Justeru, kata Mariani, amat penting untuk setiap pengasuh mempunyai ilmu keibubapaan serta pendidikan awal kanak-kanak, yang boleh menjadi panduan dalam membimbing dan mengasuh agar kanak-kanak dapat membesar menjadi insan yang seimbang dari aspek fizikal, mental dan rohaninya sekali gus menjadi pemimpin pelapis kepada masyarakat.

“Ilmu berkaitan penjagaan kanak-kanak boleh menyumbang dalam mencorakkan masa depan mereka. Pengasuh ibarat ibu bapa pada waktu siang (ketika ibu bapa keluar bekerja), maka ilmu ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap pengasuh bagi memastikan proses kemenjadian anak-anak berlaku pada landasan yang sepatutnya.

“Pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak perlu mempunyai sifat kepunyaan dan kasih sayang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, ” katanya.

Permintaan tinggi

Sementara itu, permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak daripada ibu bapa dan penjaga untuk penyelesaian mudah serta segera, turut menyumbang kepada lambakan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar.

Anggota Exco Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Shahida Musa memberitahu Bernama, di samping faktor ibu bapa keluar bekerja, terdapat juga kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan apabila berlakunya masalah dalam institusi keluarga seperti penceraian, masalah kewangan dan isu keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, selain isu yuran taska atau pusat jagaan berdaftar yang mahal, ada juga ibu bapa yang mementingkan diri, tidak memikirkan perkembangan pertumbuhan anak-anak mereka sehinggakan sanggup meletakkan mereka di pusat jagaan tidak berdaftar.

Keadaan ini juga, tambah beliau, menyumbang kepada kemunculan premis ini ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pusat jagaan yang beroperasi disebabkan faktor ingin mengaut keuntungan hasil daripada kutipan derma orang ramai.

Shahida berkata, memandangkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak, maka ada pengusaha sama ada berniat baik atau demi keuntungan semata-mata, bertindak membuka dahulu pusat jagaan dan kemudian baru membuat permohonan kepada JKM.

“Terdapat pengusaha yang memperoleh pelbagai kemudahan serta pengiktirafan daripada masyarakat setempat hasil daripada kerja kebajikan mereka selain turut mendapat imbuhan kewangan kerana mengusahakan pusat jagaan.

“Apabila sudah memegang duit yang banyak hasil daripada sumbangan orang ramai, mereka menjadi ‘gelap mata’ dan tidak lagi memikirkan akta atau undang-undang yang sepatutnya dipatuhi,” jelasnya, sambil menambah, pengusaha pusat jagaan wajar menambah ilmu berkaitan aspek penjagaan dan kesihatan kanak-kanak, ilmu pentadbiran pusat jagaan serta ilmu pengurusan kewangan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Urusan daftar taska, jagaan kanak-kanak rumit, melecehkan?

Oleh Erda Khursyiah Basir & Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pasti ramai yang masih ingat kisah seorang remaja perempuan istimewa bernama Bella, 13, yang tular di laman sosial pada awal tahun ini.

Remaja sindrom down ini dilaporkan mengalami kesan lecur dan luka pada anggota badan, dipercayai akibat didera di pusat jagaan yang dikenali sebagai Rumah Bonda (RB) .

Susulan pendedahan itu, pengasas pusat berkenaan bukan sahaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyita premis RB yang terletak di Wangsa Maju itu, selepas mendapati ia tidak pernah berdaftar dengan JKM.

Proses pendaftaran menyusahkan?

Isu banyak taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan yang tidak berdaftar, lazimnya terbongkar apabila berlaku kes penderaan atau kematian di premis berkenaan, yang membawa kepada siasatan penuh pihak berwajib.

Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506), Fasal 4 di bawah JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mewajibkan pendaftaran pusat jagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendaftaran ini juga mesti memenuhi keperluan piawaian minimum JKM dan pihak yang melanggar Akta ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, penutupan premis dan pendakwaan di mahkamah.

Hukuman bagi kesalahan taska dan pusat jagaan tidak berdaftar ialah denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya diajar mematuhi penjarakan sosial ketika bermain atau belajar bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika tinjauan di taska tersebut pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA

“Urusan pendaftaran rumit, melecehkan dan mengambil masa yang lama”. Ini adalah antara alasan utama yang sering digunakan oleh pengurusan taska atau pusat penjagaan apabila “pecah tembelang” premis mereka beroperasi secara haram.

Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, Amy Bala, urusan pendaftaran taska atau pusat penjagaan memang mengambil masa kerana pengusaha perlu melengkapkan beberapa dokumen.

Ini termasuk memberi senarai pekerja dengan kelayakan dan pengalaman yang sesuai, serta mengambil kira mereka ada mengambil kursus bersesuaian seperti kursus perkembangan kanak-kanak, memahami psikologi remaja, pengurusan serta pentadbiran dan kewangan pusat jagaan.

Beliau menambah, sebelum mendapatkan kelulusan pendaftaran dari JKM, pengusaha perlu mendapatkan kebenaran dari agensi lain yang terlibat sebagai contoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Pihak bomba perlu memastikan sesebuah pusat jagaan dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan yang sesuai seperti pintu keluar (selain pintu masuk utama), kamera litar tertutup serta alat pemadam api.

“Sekiranya tiada, pihak bomba tidak boleh memberi kebenaran untuk pusat ini beroperasi, ” katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Di samping itu, Amy berkata, pengurusan berkenaan juga perlu memastikan sistem pengudaraan di dalam premis berada dalam keadaan baik dan sesuai dengan jumlah tingkap yang mencukupi

Sebelum memulakan operasi, pengusaha juga perlu mendapatkan kebenaran daripada jiran tetangga memastikan kehadiran kanak-kanak yang ramai tidak mengganggu persekitaran kejiranan.

“Jumlah kanak-kanak yang ramai boleh menyebabkan bunyi bising yang ketara,” jelasnya, sambil menambah, dengan dokumen yang lengkap, kelulusan untuk pendaftaran biasanya mendapat kelulusan JKM dalam tempoh tiga minggu.

Tempat perlindungan dipercayai

Kanak-kanak yang di tempatkan di taska atau pusat jagaan ialah mereka yang memerlukan perlindungan di tempat yang selamat dari segi mental dan fizikal, terutama bagi ibu bapa mereka yang keluar bekerja.

Pada masa yang sama, ibu bapa turut meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengasuh dan penjaga untuk menjaga anak-anak mereka.

Justeru, Amy berpendapat, adalah tidak wajar menjadikan urusan pendaftaran yang leceh dan merumitkan sebagai alasan untuk tidak mendaftar.

“Apa niat utama pengusaha menubuhkan taska atau pusat jagaan kanak-kanak jika awal-awal lagi gagal memenuhi semua prosedur yang telah ditetapkan JKM? ” katanya.

Menyentuh isu penderaan yang berlaku di taska, beliau yang berpengalaman selama lebih 30 tahun sebagai aktivis kanak-kanak berkata, antara yang menjadi punca ialah premis yang beroperasi tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memastikan bilangan pekerja sosial (pengasuh atau penjaga kanak-kanak) mengikut nisbah yang ditetapkan pada satu-satu masa.

“Ada pekerja yang terpaksa bekerja lebih masa sebagai contoh, lebih daripada 10 jam sehari sehingga mengakibatkan mereka mengalami keletihan melampau.

“Apabila pengasuh ini tertekan, mereka akan mula melampiaskan kemarahan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Maka berlakulah kejadian seperti pukul, merotan malah sehingga tahap mendera kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut menambah, terdapat taska yang terlalu memfokuskan kepada program akademik dan keagamaan sekali gus mengabaikan fitrah kanak-kanak yang ingin bermain, bersosial dan meneroka perkara baharu.

“Inilah akibatnya sekiranya taska atau pusat jagaan tidak mengikut modul penjagaan dan pendidikan yang telah ditetapkan oleh pihak JKM,” katanya.

Kanak-kanak istimewa

Sementara itu pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran yang juga merupakan Pengerusi Raudhah Autisme berkata terdapat perbezaan aspek penjagaan kanak-kanak normal dan istimewa yang memerlukan pihak terlibat terutamanya JKM untuk lebih peka akan perkara ini.

Beliau yang juga pakar bidang Pendidikan Khas dan Intervensi Awal berkata, kanak-kanak istimewa seperti autisme, sindrom down atau yang mengalami kecacatan fizikal perlu diurus oleh pengasuh yang benar-benar terlatih.

“Pengasuh di taska dan pusat jagaan biasa diwajibkan menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA (KAP)) di bawah kelolaan JKM, tetapi untuk pusat jagaan kanak-kanak istimewa, perkara ini sebaliknya (tidak diwajibkan).

“Perkara ini secara langsung lebih mudah mengundang kejadian seperti penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak istimewa kerana pengasuh mereka tidak mempunyai kemahiran dan ilmu penjagaan yang sewajarnya.

“Tambahan pula individu yang mengendalikan kanak-kanak istimewa ini perlu mempunyai kesabaran yang tinggi,” katanya, mencadangkan agar kursus seperti KAP, namun pengisiannya khusus untuk kanak-kanak istimewa, diwajibkan kepada semua petugas di pusat jagaan kanak-kanak istimewa.

Beliau pada masa sama berkata, proses untuk memohon lesen pusat jagaan kanak-kanak istimewa juga sukar berdasarkan pengalaman rakan-rakan terdekat selain garis panduan yang ditetapkan tidak dikaji semula bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Hanya dua tempat yang boleh memberi kelulusan untuk permohonan lesen iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai pusat pendidikan khas swasta atau melalui JKM sebagai pusat rehabilitasi atau sebagai pusat jagaan,” katanya.

Suasana pembelajaran di taska yang mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai.

Berpendapat kanak-kanak istimewa terutama yang mengalami kurang upaya ringan perlu digalakkan untuk menghadiri taska atau tadika bersama-sama dengan kanak-kanak lain sebagai perlaksanaan pendidikan inklusif, beliau bagaimanapun berkata implementasi pendidikan inklusif perlu dijelaskan tatacara serta garis panduannya.

Pusat intervensi awal khas

Usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan intervensi awal kanak-kanak istimewa atau taska pendidikan khas masih terlalu kurang, dan setakat ini hanya terdapat dua Pusat Genius Kurnia iaitu yang terletak di Sentul dan Putrajaya.

Pusat Genius Kurnia adalah pusat intervensi awal untuk kanak-kanak yang mengalami masalah autisme.

Dalam memberikan pandangan ini, Hasnah berkata, kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta, dengan kerajaan menyediakan modul pembelajaran atau kursus manakala pihak swasta menyediakan fasiliti dan kemudahan infrastruktur.

“Kanak-kanak istimewa yang tidak mendapat intervensi awal dan masuk ke alam persekolahan apabila berusia tujuh tahun, KPM pula akan mewarisi isu dan masalah yang sama kerana ia tidak diselesaikan sejak di peringkat akar umbi.

“Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis) dan Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC), bagi tujuan memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa wajar diberikan pujian,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek pemantauan bagi memastikan kelancaran operasi taska dan pusat jagaan sekali gus mencegah berlakunya insiden seperti penderaan.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pilih pengasuh, taska bertauliah jamin keselamatan anak

Oleh Erda Khursyiah Basir & Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Nov lepas yang mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, kembali mengingatkan masyarakat akan isu pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh mahupun taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan.

Adam Rayqal, bayi berusia lima bulan, dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 3 Julai 2018, sebelum mayatnya ditemukan di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya itu pada lewat malam hari kejadian.

Pengasuhnya Noor Aqilah Abd Rahman, 36, yang kemudian dihadapkan ke mahkamah, bukan sahaja mengaku mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian kepala, malah turut mengaku bersalah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman.

Bagaikan tiada kesudahan

Ironinya, sekalipun insiden pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak termasuk yang meninggal dunia akibat kecuaian di rumah pengasuh ataupun taska dan pusat jagaan sentiasa dilaporkan oleh media, kejadian terus berlaku seolah-olah tiada keinsafan dalam kalangan mereka yang diberikan amanah itu.

Antara yang terbaharu ialah pada 13 Okt lepas, seorang wanita warga Singapura yang videonya tular di media sosial kerana mengasari seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun di sebuah Pusat Intervensi Autisme, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu pada 1 Okt lepas.

Media sebelum ini melaporkan insiden terbongkar selepas bapa mangsa menemukan kesan lebam pada bahu kiri dan kedua-dua mata anaknya sewaktu mengambil mangsa di pusat jagaan.

Curiga akan perkara itu, dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati penjaga berkenaan bertindak kasar terhadap anaknya kerana mangsa enggan makan.

Sebelum itu, pada 6 Okt lepas, dua beradik dilaporkan didera dengan cara dipukul menggunakan rotan dan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok, dipercayai perbuatan pengasuh, dalam kejadian di Iskandar Puteri, Johor.

Bernama pada 5 Okt lepas melaporkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan lebam pada muka, pipi, telinga kiri dan paha kiri selepas dihantar buat pertama kali ke rumah pengasuh di Taman Selayang Jaya, Selayang.

Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada paha kiri serta bahagian kiri muka dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.

Itu belum lagi disentuh isu kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kes seperti tersedak susu, tercekik makanan, terlilit tali buaian atau lemas di dalam besen mandi dan pelbagai lagi.

Bagi seorang guru, Ramisah (bukan nama sebenar), 42, naluri keibuannya tersentuh setiap kali membaca laporan berita seperti itu kerana mengingatkannya kepada insiden yang berlaku terhadap anak lelakinya yang kini berusia tiga tahun, pada tahun lepas.

“Kejadian umpama mimpi ngeri buat saya apabila mendapat panggilan daripada pengasuh memberitahu anak jatuh tangga dan dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri. Anak saya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut selama lima hari, syukur Alhamdulillah tiada kecederaan serius berlaku.

“Pengasuh memberitahu anak saya cuba menaiki tangga dan terjatuh. Saya bagaimanapun berasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mendesak pengasuh menceritakan kejadian sebenar. Pengasuh akhirnya mengaku dia sebenarnya sedang mop lantai dan anak terjatuh disebabkan lantai yang licin,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Tiada pengalaman

Berkongsi lanjut, Ramisah berkata mengambil iktibar daripada insiden itu, dia tidak lagi menghantar anaknya kepada pengasuh di rumah, sebaliknya memilih taska berdaftar sebagai tempat penjagaan anaknya apabila dia keluar bekerja.

Ditanya sebab dia memilih pengasuh di rumah, wanita itu berkata faktor lokasi yang dekat dengan rumahnya selain berpengalaman selama 10 tahun menjaga kanak-kanak dan kos lebih murah berbanding taska berdaftar antara punca dia meninggalkan anaknya di bawah jagaan pengasuh tersebut.

“Saya juga sebenarnya agak tergesa-gesa membuat keputusan memilih pengasuh kerana memikirkan faktor perlu kembali bertugas selepas habis tempoh berpantang. Tambahan pula saya tidak mempunyai pengalaman sebelum ini kerana ini anak pertama kami,” katanya.

Sementara itu, tidak menolak kebanyakan kes berlaku disebabkan pengasuh tiada kemahiran dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad berkata kejadian seumpama lazimnya dikaitkan dengan mereka yang tidak berdaftar.

Menurutnya, semua individu berkenaan, sama ada pengusaha, penyelia, pengasuh taska atau pendidik awal kanak-kanak ataupun pengasuh di rumah, wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (Kursus Asuhan Permata (KAP)) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta lulus ujian amali dan bertulis.

“Sijil KAP menjadi ‘lesen’ untuk mereka berdaftar sebagai pengasuh sah dengan JKM melalui taska, selain wajib mengikuti semua tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan semasa mengasuh dan menjaga kanak-kanak baik, di taska institusi, taska tempat kerja, taska komuniti ataupun taska di rumah.

“Bagi pengasuh, terutama suri rumah yang menjaga lebih daripada empat orang kanak-kanak pula, mereka perlu berdaftar dengan JKM sebagai taska di rumah, berdasarkan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kekangan kewangan

Mereka yang tidak berdaftar boleh dikenakan hukuman mengikut Akta 308, Peraturan-Peraturan Taska (Pengkompaunan Kesalahan) 2011, Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 30 hingga 32, Akta Kanak-Kanak 2001 pula, individu yang memelihara kanak-kanak dan menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya atau bertindak cuai yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal, emosi atau seks boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Anisa berkata antara kriteria lain yang perlu ada pada pengasuh berdaftar ialah mereka mesti mempunyai pengalaman mengasuh sama ada anak sendiri, anak saudara-mara ataupun anak orang lain serta sifat keibuan yang tinggi dan menyayangi kanak-kanak.

Mereka juga diwajibkan mengikuti kursus pertolongan cemas dan penyediaan makanan serta wajib mendapatkan suntikan vaksin seperti pelalian anti-tifoid dan terbaharu mesti lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Antara SOP yang perlu diikuti ialah setiap pengasuh wajib menyediakan buku log untuk setiap kanak-kanak bawah asuhan mereka sebagai rekod aktiviti harian bagi tujuan pemantauan dan rujukan ibu bapa, mempamerkan Sijil Perakuan Pendaftaran Taska yang dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN) di premis atau di rumah serta pemantauan dari masa ke masa oleh pihak penguat kuasa JKM.

“Mengikut nisbah, seorang pengasuh boleh menjaga maksimum tiga bayi berusia setahun ke bawah, seorang pengasuh untuk lima kanak-kanak (1:5) berusia satu hingga tiga tahun dan seorang pengasuh untuk 10 orang kanak-kanak (1:10) berusia tiga hingga empat tahun,” katanya.

Turut mengaitkan faktor yuran taska berdaftar yang agak tinggi menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk meletakkan anak-anak mereka di rumah pengasuh atau taska atau pusat jagaan tidak berdaftar, perkara itu kata Anisa memerlukan perhatian pihak berwajib agar isu berkenaan tidak terus memberi tekanan kepada ibu bapa dan seterusnya membawa permasalahan yang lebih besar.

“Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Namun bukan semua orang mampu menghantar anak-anak ke taska berdaftar yang menawarkan perkhidmatan yang baik dan teratur, jadi terpaksa meletakkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh tidak bertauliah dan tidak berdaftar demi meneruskan kelangsungan hidup mencari rezeki,” katanya, menambah terdapat juga taska yang mengenakan yuran terlalu murah sehinggakan dilihat tidak wajar kerana dikhuatiri ‘lepas tangan’ jika berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tip mencari pengasuh

Anisa pada masa sama menasihati ibu bapa agar tidak mempercayai iklan di media sosial dalam mencari pengasuh untuk anak-anak mereka, sebaliknya pergi sendiri ke rumah pengasuh atau taska untuk lebih mengenali latar belakang pengasuh dan melihat cara asuhan mereka.

“Pastikan pengasuh atau taska berdaftar dengan JKM serta mempamerkan Sijil Perakuan Pendaftaran Taska yang dikeluarkan oleh PKMN kerana kebanyakan mereka terlatih, selain ibu bapa juga boleh menyalurkan sebarang cadangan ataupun aduan kepada JKM secara terus.

“Semasa berjumpa dengan pengasuh, ibu bapa hendaklah menyelidik asal-usul dan sejarah pengasuh dengan menemu bual mereka ataupun bertanyakan pelbagai soalan bagi menguji pengetahuan dan pengalaman mereka.

“Jika jawapan yang diberi meyakinkan dan persekitaran rumah pengasuh ataupun taska memuaskan, barulah anak-anak boleh dihantar ke pengasuh atau taska berkenaan,” katanya, menambah tindakan mencari pengasuh pada saat-saat akhir perlu dielakkan.

Untuk rekod, Seksyen 2 Akta 308 menyatakan “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun, lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.

Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) “jagaan” termasuk perlindungan, pengawasan, pemulihan dan latihan, manakala “pusat jagaan” pula bermaksud pusat jagaan berkediaman dan pusat jagaan harian.

Pusat jagaan berkediaman merujuk kepada premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan sebagai penghuni di dalamnya, sama ada menerima upah atau selainnya, manakala pusat jagaan harian pula adalah premis yang menerima empat orang atau lebih untuk jagaan selama tempoh yang berterusan melebihi tiga jam sehari, sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, sama ada menerima upah atau tidak.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Dera kanak-kanak hingga badan lebam, dua petugas taska ditahan polis

SHAH ALAM, 11 JUN: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak yang dipercayai berlaku di sebuah taska dalam sebuah hospital di Selangor.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata kedua-dua wanita, yang merupakan petugas taska berusia lingkungan 20-an, ditahan pada kira-kira 3 petang Rabu selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Beliau berkata penangkapan itu susulan laporan kes penderaan yang diterima daripada ibu seorang kanak-kanak berusia 20 bulan pada hari sama.

“Kanak-Kanak itu luka di pipi serta lebam di beberapa bahagian anggota badan. Siasatan lanjut mendapati terdapat seorang lagi kanak-kanak berusia 21 bulan yang menjadi mangsa penderaan di taska sama.

“Mangsa dipercayai telah dipukul di bahagian kaki dan kepala dengan bantal. Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Arjunaidi berkata pihaknya turut merampas sebiji bantal bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bimbang kawalan di taska, suami isteri bawa anak buat saringan percuma

KLANG, 31 MEI: Bimbang tahap kebersihan dan keselamatan di taman asuhan kanak-kanak (taska) mendorong sepasang suami isteri membawa dua anak mereka membuat saringan Covid-19 semalam.

Nor Najihah Nordin, 32, berkata dia dan suami, Mohd Syafiq Azmal, 33, mengambil langkah itu bagi memastikan Muhammad Aryan Rizqi, 5, dan Muhammad Areez Rifqi, 8 bulan, bebas jangkitan wabak.

“Kami memilih kaedah pandu lalu kerana tidak mahu beratur panjang selain mengelak berkumpul dengan orang ramai. Kami hanya perlu menunggu giliran kurang 10 minit untuk disaring.

“Proses saringan berjalan lancar walaupun mereka berdua baru pertama kali merasainya,” katanya yang menetap di Setia Alam dan menjalani saringan di Dewan Eng Ann, Klang.

Nor Najihah yang berkhidmat sebagai jurukur bahan turut menyeru ibu bapa memanfaatkan program percuma ditawarkan Kerajaan Selangor kerana mampu menjimatkan kos tanpa perlu ke klinik swasta.

Menurutnya, langkah itu juga bagi mengenal pasti status kesihatan diri berikutan kes Covid-19 ketika ini agak membimbangkan terutama dengan penemuan varian baharu yang cepat berjangkit.

Nur Syahirah Mohd Yusoff dan Nurina Hassan

“Ambil peluang ini dan bawa keluarga sebab virus kita tidak nampak, apatah lagi orang yang tiada simptom pun boleh positif. Kita pergi kerja dan anak pula di pusat jagaan jadi risau jika antara kami menjadi ‘pembawa senyap’.”

Sementara itu, dua rakan sekerja mengambil kesempatan cuti hujung minggu melakukan saringan melalui kaedah sama kerana salah seorang daripada mereka mengalami simptom demam dan sakit kepala.

Nur Syahirah Mohd Yusoff dan Nurina Hassan, masing-masing 21 tahun membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak tiga hari lalu.

“Kami hanya menunggu giliran kurang 30 minit walaupun banyak lagi kenderaan lain berbaris, malah ujian calitan sekejap sahaja dan berharap keputusan saringan negatif,” kata Nur Syahirah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabika, taska Kemas mula operasi 1 Mac

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mula beroperasi 1 Mac ini termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan pengumuman pengoperasian semula semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara bersemuka yang melibatkan murid-murid prasekolah, tahun 1 dan tahun 2 yang akan bermula pada tarikh tersebut.

“Pembukaan operasi tabika dan taska adalah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui antara Jabatan Kemajuan Masyarakat, KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kemas berharap ibu bapa tidak khuatir untuk menghantar anak-anak mereka kerana 10,517 pendidik masyarakat tabika dan 1,790 pendidik masyarakat taska Kemas diberi panduan berkaitan pematuhan SOP yang dikeluarkan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Mohon buka taska di tempat kerja melalui JKM

SHAH ALAM, 24 FEB: Agensi kerajaan yang ingin mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja perlu memohon melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata langkah itu membolehkan ibu bapa terutama petugas hadapan bekerja dengan tenang selain menjamin keselamatan anak.

“Kebanyakan pusat asuhan sementara inisiatif Kerajaan Negeri beroperasi secara kekal di hospital dan jabatan kerajaan, justeru saya mohon agensi kerajaan lain untuk mohon segera di JKM.

“Panduan atau syarat permohonan juga boleh didapati menerusi laman sesawang jabatan tersebut,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas mengagih kit pembasmi Covid-19 di sini semalam.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan meletakkan syarat wajib Kebenaran Merancang meliputi taska di kawasan berkapasiti besar.

Kerajaan Negeri menyediakan taska dan pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor yang menelan belanja RM1 juta memanfaatkan hampir 400
keluarga petugas di seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

351 anak petugas hadapan terima manfaat pengasuhan

SHAH ALAM, 18 FEB: Seramai 351 anak petugas barisan hadapan daripada 272 isi rumah seluruh Selangor menerima manfaat pengasuhan setakat ini, kata ketua pegawai eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Norita Mohd Sidek berkata mereka terdiri daripada kanak-kanak berusia sehingga enam tahun yang ditempatkan di 12 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan sementara.

Menurutnya, Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan, sebahagian Pakej Kita Selangor dibantu Persatuan Cakna Anak Malaysia melalui pemantauan dan pengawasan 75 sukarelawan berpengalaman.

“Seramai 400 anak kakitangan kesihatan di hospital kerajaan serta petugas keselamatan seperti polis, tentera dan bomba disasar berdaftar untuk mendapatkan perkhidmatan percuma ini.

“Kebanyakan mereka menghadapi kesukaran mencari perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan, jadi anak-anak perlu dikumpulkan dalam satu kumpulan sama,” katanya selepas menyantuni anak-anak kecil barisan hadapan di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad dan Presiden Persatuan Taska Selangor Mahanom Basri.

Dalam majlis itu, Norita menyerahkan kit sanitasi mengandungi cecair pembasmi kuman, penyukat suhu, pelitup muka dan mesin semburan untuk kegunaan sukarelawan serta kanak-kanak terbabit.

Pusat asuhan berkenaan yang kini memiliki 28 kanak-kanak turut menerima bahan bacaan sumbangan PPAS.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif tersebut untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari bagi meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Inisiatif menelan belanja RM1 juta melibatkan pembukaan dan pengoperasian taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam termasuk di beberapa premis sementara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska anak petugas kesihatan di Maeps mula operasi hari ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Taska yang menempatkan anak petugas hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang memulakan operasi hari ini.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri berkata kemudahan tersebut memberi kelegaan kepada kepada ibu bapa yang memerlukan tempat jagaan anak.

“Operasi taska berjalan mengikut waktu pejabat dan setakat hari ini seramai 41 kanak-kanak mendaftar, kita jangka bilangannya akan bertambah lagi.

Taska menempatkan anak petugas hadapan di Maeps, Serdang. Foto ihsan Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri

“Kita berharap inisiatif ini meringankan beban petugas hadapan yang banyak berkorban nyawa mengekang perebakan Covid-19,” kata Muhamad Shah Osmin kepada SelangorKini hari ini.

Pada 2 Februari, Dato’ Menteri Besar menganggar seramai 2,000 petugas hadapan atau sebahagian yang berkhidmat di PKRC akan menghantar anak ke taska.

Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari memperuntuk RM1 juta melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu melibatkan pembukaan taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang memberi manfaat hampir 400 keluarga petugas hadapan di
seluruh negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska daftar bawah JKM dibenar operasi, patuhi SOP – KPWKM

PUTRAJAYA, 13 JAN: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kebenaran beroperasi taska tersebut adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagaimanapun, kebenaran beroperasi ini adalah terbatal sekiranya terdapat arahan terkini daripada pihak berkuasa,” menurut KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

KPWKM memberitahu setiap taska diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 yang diterbitkan KPWKM serta diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pengusaha taska diminta memaklumkan kepada JKM mengenai rancangan beroperasi,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan pengusaha taska di premis kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri harus memohon kebenaran daripada kementerian atau agensi berkaitan terlebih dahulu.

“KPWKM juga akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua taska berdaftar yang beroperasi semasa PKP bagi memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi,” menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengusaha taska perlu patuhi SOP, elak kanak-kanak kongsi mainan

SHAH ALAM, 3 JAN: Pengusaha taska diingatkan supaya merancang aktiviti mengikut tatacara operasi piawai (SOP) serta mengurangkan unsur perkongsian antara anak asuhan.

Presiden persatuan taska Selangor berkata langkah berkenaan mampu menghindar risiko penularan Covid-19 membabitkan kanak-kanak.

“Selain merekodkan kehadiran, suhu dan memakai pelitup muka, pengusaha juga perlu memastikan setiap bahagian dalam taska serta alat permainan dinyah kuman.

“Dalam masa sama, persekitaran taska perlu sentiasa bersih, selamat dan ceria supaya kanak-kanak gembira,” kata Mahanom Basri kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, kerjasama ibu bapa juga diperlukan terutama dalam mendidik kanak-kanak berhubung wabak Covid-19.

“Ibu bapa mesti selalu ingatkan atau bercerita kepada anak tentang keburukan pandemik ini supaya mereka faham.

“Pastikan keadaan anak baik sebelum menghantar mereka ke taska serta menandatangani borang deklarasi untuk menjamin kesihatan,” katanya.