Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: 69 tapak pembinaan diarah tutup

SHAH ALAM, 11 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menutup 69 tapak pembinaan selepas gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu sehingga semalam.

Lapor Berita Harian, CIDB dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 1,088 tapak pembinaan telah diperiksa sepanjang 10 hari sekatan penuh pergerakan dilaksanakan.

“Daripada jumlah itu, 944 daripadanya tidak beroperasi. Sebanyak 75 tapak pembinaan didapati mematuhi SOP manakala baki 69 tapak pembinaan diarah tutup kerana pelanggaran SOP,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penggiat industri pembinaan perlu mematuhi SOP sepanjang PKP atau berdepan penutupan tapak pembinaan jika didapati gagal mengikut garis panduan ditetapkan.

Garis panduan SOP sekatan pergerakan penuh boleh dimuat turun dari www.cidb.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa kaji denda ingkar SOP, rakyat terkesan

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan diminta mengkaji semula penguatkuasaan kompaun RM10,000 terhadap pelanggar tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu hanya membebankan serta mendera rakyat memandangkan golongan berkenaan akan dikenakan denda maksimum jika melakukan kesalahan.

“Berbanding orang besar, atasan dan berdarjat tinggi. Berapa ramai dah terbukti melanggar (SOP) tetapi mereka tak dikenakan (maksimum) dan jika didenda masing-masing boleh buat rundingan.

“Saya tak mengerti kenapa kerajaan bersikap angkuh tak pedulikan rakyat. Saya bukan memandang ringan pelanggaran SOP ini kerana kesihatan harus diutamakan namun tidak bersetuju dengan pendekatan diambil,” kata ketua pembangkang itu ketika bersiaran secara langsung di Facebook malam tadi.

Menurutnya kerajaan harus lebih fokus kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan perumahan rakyat berbanding meningkatkan jumlah denda terbabit.

“Kita bimbang pengisytiharan Proklamasi Darurat hanya dibuat bagi mengelak perbahasan (ahli parlimen) selain semua keputusan dibuat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan demi kepentingan politik,” kata pengerusi Pakatan Harapan.

Khamis lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, yang menetapkan individu melanggar SOP dikenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000 manakala bagi syarikat atau pertubuhan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk di KL dan Selangor paling ramai langgar SOP

SHAH ALAM, 27 OKT: Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor paling ramai dikompaun atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi membabitkan 229 individu, diikuti Selangor (162) dan Perak (94).

Beliau berkata kesalahan paling besar adalah kegagalan memakai pelitup muka dan gagal mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam.

“Saya sentiasa mengatakan ini SOP asas yang patut dipatuhi setiap individu, tujuannya untuk melindungi diri kita sendiri.

“Sebab itu, saya amat mengharapkan SOP asas ini menjadi budaya baru dalam kehidupan bagi melindungi diri kita,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP atau arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau memaklumkan seramai 156 individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga jarak sosial (145) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (134).

“Mereka yang dikenakan kompaun atas kesalahan aktiviti di pusat hiburan ialah 96 dan lain-lain 81,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lapor pihak berkuasa tempatan individu ingkar SOP

SHAH ALAM, 3 OGOS: Orang awam diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya terdapat mana-mana pihak melanggar tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata PBT dan pihak berkaitan turut melakukan pemantauan dan kawalan berkala di tempat awam bagi memastikan masyarakat kekal mematuhi SOP.

“Kerajaan berhak mengisytihar kembali PKP jika kes positif Covid-19 semakin meningkat. Justeru, saya menyeru masyarakat patuhi tatacara dan lapor kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang ingkar,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai kepatuhan penggunaan SELangkah, Sze Han menasihatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan sistem tersebut sebelum masuk ke mana-mana premis bagi membantu kerajaan mengesan mereka dijangkiti.

“Gunakan SELangkah dan pastikan anda beri maklumat seperti nama dan nombor telefon yang sahih kerana ia sedikit sebanyak boleh bantu kerajaan mengenal pasti individu bergejala,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 28 individu gagal patuh SOP kuarantin wajib

SHAH ALAM, 2 OGOS: Polis semalam menahan 28 individu yang pulang dari luar negara kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin wajib di rumah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan diambil menerusi pemeriksaan terhadap 2,263 individu yang menjalani kuarantin berkenaan selama 14 hari di kediaman masing-masing.

“Polis bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap golongan terbabit bagi memastikan mereka mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 4,286 individu yang pulang dari 24 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa menjalani kuarantin wajib setakat semalam.

Katanya, mereka ditempatkan di 16 hotel serta lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 13 individu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam ditahan ingkar SOP kuarantin, 134 langgar PKP

SHAH ALAM, 1 OGOS: Polis menahan enam individu kerana melanggar arahan kuarantin selama 14 hari di rumah, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka ditahan susulan pemeriksaan dan pemantauan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan sejak Isnin lalu hingga semalam.

“Sebanyak 2,271 individu yang menjalani kuarantin di rumah diperiksa dan enam daripadanya dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata seramai 134 individu ditahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

“Daripada jumlah ini 19 individu ditahan reman, 93 dikenakan tindakan kompaun manakala 22 lagi dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuhi SOP sambut Aidiladha – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak mengambil mudah pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, apatah lagi di saat petugas barisan hadapan masih berjuang untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam perlu sentiasa peka dan mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan, bertatasusila dan memakai pelitup muka sepanjang Aidiladha terutama ketika melaksanakan ibadah korban.

“Untuk ini (ibadah korban) kita mempunyai SOP yang digabungkan dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara justeru berharap orang ramai boleh merujuk dan mematuhinya.

Segala bentuk maklumat berkaitan SOP ini akan disiarkan di laman sesawang kami (mira.gov.my) serta laman sosial Facebook dan Instagram (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) untuk rujukan dan fahaman orang ramai,” katanya ketika ditemui Bernama.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, menurut pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman.

Dr Zulkifli berkata SOP yang digariskan kerajaan bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 dan umat Islam wajib mematuhi perintah kerajaan selagi mana ia mempunyai tujuan yang baik.

“Statistik kes Covid-19 di seluruh dunia semakin meningkat setiap hari, jadi ia merupakan tanggungjawab setiap individu untuk berusaha mematuhi segala arahan dan nasihat pihak kerajaan demi kebaikan seluruh masyarakat.

“Saya juga telah berinteraksi dengan ramai ulama dari seluruh dunia, dan semuanya sependapat agar masyarakat perlu mematuhi segala arahan kerajaan dalam usaha menjauhi jangkitan wabak Covid-19,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Sikap ambil mudah masyarakat beri kesan seluruh negara

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seluruh negara akan terkesan sekiranya masyarakat masih bersikap mengambil mudah dan sambil lewa terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia berikutan orang ramai kini dilihat kurang memberi perhatian dalam mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan sosial kerana beranggapan trend wabak Covid-19 dalam negara telah menurun.

“Jadi mereka santai (relaks) dan tidak berbuat apa-apa. Sungguhpun di tempat awam, mereka perlu memakai pelitup separuh muka tapi nampaknya ada ramai yang tidak memakainya.

“Tetapi yang lebih serius, saya melihat penjarakan sosial yang semakin hari semakin tidak diendahkan. Dari satu meter sudah jadi setengah meter. Ia sangat serius dan kita tidak mahu Covid-19 kembali dengan gelombang kedua,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam menzahirkan kebimbangan beliau terhadap kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh kawalan itu.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mengambil mudah dengan situasi Covid-19 di dalam negara ketika ini memandangkan kes positif wabak itu kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lepas.

Sehubungan itu, Lee berkata perutusan itu adalah sesuatu yang wajar dan tepat pada masanya selain turut menasihatkan setiap rakyat Malaysia untuk terus bertanggungjawab, berdisiplin, serta mengadakan kawalan kendiri dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Saya nampak ini situasi yang serius, saya harap masyarakat dapat mengambil berat seruan perdana menteri. Sebab kalau gelombang kedua muncul, saya rasa seluruh negara akan menderita,” katanya lagi.

Dalam perutusan sama, perdana menteri berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam dan perincian mengenainya akan dimuktamadkan kelak.

Perkara itu disokong sepenuhnya oleh ahli epidemiologi dan anggota pasukan petugas Covid-19 Selangor Datuk Dr Christopher Lee yang mengatakan pemakaian pelitup separuh muka adalah antara tindakan penting bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat.

Beliau berpendapat, masyarakat kini kurang peka dengan pemakaian pelitup separuh muka ketika melawat ke tempat awam dan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah mahupun premis makanan.

“Kami (kerajaan) harap semua rakyat boleh bekerjasama supaya kita tidak perlu kembali kepada tahap PKP dulu. Apa kita minta buat ini bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat di sekeliling kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2,981 tapak binaan patuh SOP, 19 diarah tutup

SHAH ALAM, 12 JULAI: Sebanyak 2,981 syarikat pembinaan patuh tatacara operasi piawai (SOP) di tapak projek selepas dibenarkan kembali beroperasi, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun masih ada syarikat yang gagal mematuhi SOP hingga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terpaksa mengeluarkan amaran kepada 525 tapak binaan.

“Semalam CIDB membuat pemeriksaan di sembilan tapak binaan seluruh Malaysia dan mendapati semuanya mematuhi SOP.

“Sehingga kini hanya 19 tapak berkaitan yang ingkar tatacara diarah tutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jun lalu, Ismail Sabri memaklumkan penguat kuasa CIDB mengarahkan penutupan 19 tapak binaan di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Empat tapak binaan, premis niaga diberi amaran

SHAH ALAM, 4 JULAI: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memberi amaran kepada pengurusan empat tapak binaan kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan terhadap 38 tapak di seluruh negara semalam melibatkan 80 penguatkuasa.

“Pemeriksaan CIDB mendapati 32 tapak binaan patuh SOP manakala dua lagi tidak beroperasi,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, 2,738 tapak tersebut mematuhi tatacara manakala 495 sebaliknya dan diberi amaran selain 19 daripadanya diarah tutup.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada empat pemilik premis perniagaan kerana tidak mematuhi SOP.

Beliau berkata 1,722 premis diperiksa dalam pemeriksaan khas SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 1,707 daripadanya patuh manakala 11 lagi diberi nasihat.

Categories
PBT SELANGOR

98 peratus penduduk Kajang akur SOP – Zulkefli

KAJANG, 25 JUN: Pematuhan orang ramai di bandar ini terhadap tatacara operasi piawai (SOP) mencapai 98 peratus sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata bagaimanapun kerjasama penduduk masih diperlukan dalam membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Berdasarkan tinjauan hampir setiap hari, pematuhan SOP berada cukup baik malah tidak berlaku pelanggaran arahan dan peraturan PKPP.

“Namun, kita berharap smasyarakat terus patuh dan jangan leka dengan kelonggaran diberikan kerana kita masih berusaha untuk memutuskan rantaian wabak,” katanya selepas meninjau Taman Rekreasi Sungai Chua di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau peniaga dan penjaja kecil bagi memastikan tiada yang melanggar arahan.