Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Permit pergerakan tamat tempoh 14 Jun masih diterima

PUTRAJAYA, 12 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menerima surat atau permit pergerakan pekerja sektor ekonomi perlu yang tamat tempoh pada 14 Jun sehingga sekatan pergerakan penuh tamat pada 28 Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata langkah itu bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).

“Susulan keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun, PDRM akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media rangkuman operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sekatan pergerakan penuh, di sini hari ini.

Hamzah berkata polis melakukan hampir 1,000 SJR dan menutup 129 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan permit pergerakan atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan permit kebenaran.

Mengenai tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP, Hamzah berkata PDRM telah mengeluarkan 9,808 kompaun dan melakukan 542 tangkapan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP, sejak 1 Jun hingga semalam.

Menurutnya Kementerian Dalam Negeri akan terus mempertingkat pemantauan pematuhan SOP menerusi PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap institusi raja-raja.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes penghinaan terhadap institusi raja-raja yang tular di media sosial ketika ini.

“Yang boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam, kita akan ambil tindakan mengikut lunas perundangan dalam negara kita ini,” katanya.

-BERNAMA