Categories
AGENDA NASIONAL

Tawaran masuk Tingkatan 1 dan 4 MRSM boleh disemak mulai esok

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Keputusan berhubung kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2021 boleh disemak secara berperingkat mulai esok.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun berkata bagi calon yang berjaya, mereka akan menerima permakluman menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm di portal Mara dan sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon dianggap terbatal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi permohonan rayuan, Azizah berkata ia akan mula dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei depan dan permohonan perlu dilaksanakan secara dalam talian.

Pada tahun ini, katanya MARA telah menerima 102,329 permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 adalah 7,783 orang pelajar manakala bagi Tingkatan 4 adalah 2,426 orang pelajar.

“Setakat Februari 2021, pelajar MRSM sedia ada berjumlah 28,087 orang di 53 MRSM,” katanya.

Sementara itu Azizah berkata MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40), dengan keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.

“Pelajar B40 yang mengikuti pengajian di MRSM tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program Budi MARA. Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya.

“Melalui pendekatan ini, ia akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut memaklumkan dua MRSM baharu iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak akan mula beroperasi pada awal Jun depan, sekali gus memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.

MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

“Tawaran” PAKATAN mampu atasi TN50 BN

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) bakal memperkenalkan Tawaran Anak Muda (Tawaran) dalam tempoh dua bulan lagi khusus untuk memberdaya belia di negara ini, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan bersama manisfesto PAKATAN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan diyakini mampu mengatasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, Tawaran lebih menyeluruh merangkumi cadangan dasar seperti pendidikan percuma untuk semua dan perubahan kepada dasar perumahan memudahkan golongan belia memiliki kediaman sendiri.

“TN50 berkata Bangsa Malaysia bakal menjadi kenyataan pada 2050 tetapi PAKATAN menawarkan Bangsa Malaysia sekarang, dalam 2017 atau 2018.

“Tiada keperluan menunggu sehingga 2050 kerana kami akan melakukannya sekarang jika dipilih, bersama pendidikan, perumahan dan pekerjaan yang lebih baik,” katanya dipetik MalaysianInsight.

Nik NazmiPada masa sama, Nik Nazmi yang juga Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi yakin rakyat akan menerima kekuatan dimiliki Tawaran berbanding TN50.

“Tawaran juga memasukkan usul untuk menjadikannya lebih berkemampuan bagi peminat bola sepak menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris dan Sepanyol La Liga.

“Manifesto biasa mempunyai dasar pendidikan, pekerjaan dan perumahan jadi kami akan mengambil komponen belia serta menjadikan ia pakej dalam Tawaran untuk diberi kepada Pemuda PAKATAN,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) memulakan inisiatif TN50 untuk mendapatkan idea golongan muda berkenaan dasar diingini mereka dalam tempoh tiga dekad akan datang selepas 2020.