Categories
ADN SELANGOR

346 ahli Tawas DUN Permatang terima bantuan sekolah

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 346 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang lahir pada 2015 layak menerima bantuan persekolahan.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata bantuan beg sekolah, bekas makanan dan minuman serta alat tulis boleh diperolehi di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) mulai hari ini hingga 12 Februari.

“Bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri ini dapat meringankan beban keluarga kerana seperti sedia maklum harga sebuah beg sekolah sahaja lebih RM50.

“Jika sebuah keluarga itu mempunyai lebih seorang anak, bantuan seperti ini sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut berharap bantuan tersebut menjadi pembakar semangat buat anak-anak yang pertama kali menempuh alam persekolahan tahun ini.

Semakan boleh dibuat dibuat melalui pautan https://tawas.yawas.my/admin/semakan_pbms.php atau hubungi Hafiz (03-32812069) dan Faten (010-5573736).

Pada 4 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 44,484 ahli Tawas seluruh negeri menerima bantuan persekolahan tahun ini.

Katanya, edaran dibuat melalui setiap PKM dengan ibu bapa perlu mengambil kelengkapan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan sekolah manfaat lebih 40,000 murid, ringan beban ibu bapa

SHAH ALAM, 13 DIS: Program bantuan masuk sekolah bagi anak Selangor memberi manfaat kepada 44,484 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan persekolahan merangkumi beg sekolah, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga bantuan ini memberi manfaat kepada anak-anak dan pada masa yang sama meringankan beban pada ibu-bapa menjelang permulaan sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya menerusi Facebook.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tawas edar 25,000 kit penjagaan diri, cegah penularan wabak

GOMBAK, 5 DIS: Sebanyak 25,000 unit kit penjagaan diri disumbang kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kelahiran 2009 sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata inisiatif Kit I-Safe meliputi pelitup muka guna pakai dan cecair pembasmi kuman 100 milimeter.

“Usaha ini digerakkan sebagai langkah awal bagi mengekang penularan wabak selain pelbagai inisiatif lain yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada ahli Tawas di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini.

Bantuan kepada ahli kelahiran 2015 yang bakal memasuki darjah satu tahun depan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Pei Nei berkata seramai 365,920 anak kelahiran Selangor berdaftar di bawah skim terbabit setakat ini dengan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

“Kita sentiasa memantau dan memastikan peralatan diberikan kepada ahli yang terbaik serta memenuhi kehendak semasa.

“Adalah menjadi tanggungjawab Yawas untuk memastikan bantuan diberikan menepati hasrat dan inspirasi Kerajaan Selangor sebagai negeri yang peduli rakyat,” katanya.

Beroperasi sejak 2008, Yawas bertanggungjawab mengurus program Tawas yang menjadi antara program kebajikan terawal di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau kini dikenali Inisiatif Peduli Rakyat.

Anak Selangor yang layak dan mendaftar bawah program berkenaan juga akan menerima tabungan bernilai RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 44,000 ahli Tawas terima bantuan sekolah, ringan beban keluarga

GOMBAK, 4 DIS: Seramai 44,484 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) menerima bantuan persediaan memasuki sesi persekolahan pada tahun depan.

Bantuan kepada ahli lahir pada 2015 meliputi beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bernilai RM50, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan edaran dibuat melalui setiap pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula hari ini dengan jangkaan selesai akhir bulan.

“Pejabat PKM akan memanggil semua ibu bapa untuk mengambil perkakasan atau menganjurkan program serahan berdasarkan jumlah dan nama penerima berdaftar.

“Jadi, saya minta supaya ibu bapa atau penjaga menghubungi PKM masing-masing dan Yawas (Yayasan Warisan Anak Selangor) jika ingin mendapatkan kepastian adakah mereka layak atau sebaliknya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima berdaftar bawah DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Seramai 2,157 ahli Tawas di DUN terbabit terpilih mendapat bantuan yang diagih secara berperingkat.

Amirudin yang juga wakil rakyat DUN Sungai Tua berkata program bantuan tahunan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban keluarga ahli Tawas.

“Diharap dengan hadiah ini, anak-anak Tawas yang bakal masuk tahun satu dapat menempuhi alam persekolahan dengan baik dan menjadi pemangkin semangat untuk berjaya dalam bidang akademik serta kokurikulum,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tabung Warisan Anak Selangor ditambah baik, sedia pakej biasiswa, kesihatan

KLANG, 10 OKT: Inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) bakal dikembalikan demi jaminan anak-anak pada masa depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan pakej-pakej pelaburan bagi menambah baik inisiatif tersebut.

“Masa kita laksanakan pada 2008, kita beri jaminan RM1,500 kepada penerima tetapi selepas beberapa tahun kita terpaksa hentikan sementara kerana kita tidak dapat sediakan peruntukan seperti dijanjikan.

“Kerajaan Negeri percaya boleh kembalikan Tawas tetapi kena cantumkan dengan biasiswa pelajaran dengan pakej kesihatan pada generasi masa depan,”katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini hari ini.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tawas 2.0 ditambah baik, dapat dividen

GOMBAK, 25 APRIL: Kerajaan Negeri bakal menambah baik Tabung Warisan Anak Selangor 2.0 (Tawas 2.0) yang lebih efektif, mulai tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tabung tersebut akan melibatkan elemen pelaburan yang bakal menjana pulangan dividen kepada pencarum Tawas.

“Sebelum ini Tawas yang kita ada tidak lengkap, tiada format simpanan bersama pelaburan. Oleh itu, setiap tahun kita tidak membebankan simpanan Kerajaan Negeri dan wang yang ada boleh belanja untuk pembangunan.

“Kita mahu Tawas 2.0 ini setidaknya seperti Amanah Saham Bumiputera. Insya-Allah kita akan muktamadkan dan umum dalam Belanjawan 2022 akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan dan serahan sumbangan di Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) cawangan Kampung Nakhoda di sini hari ini.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 1,000 pelajar DUN Batu Tiga terima bantuan Tawas, iSafe

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 899 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima sumbangan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Ahli Dewan Negeri Rodziah Ismail berkata serahan berupa beg sekolah, alat tulis, bekas makanan dan botol air.

“Penerima adalah murid tahun satu yang bakal mula sesi persekolahan tahun depan. Semoga pemberian ini beri semangat kepada mereka untuk mulakan sesi pembelajaran,” katanya ketika dihubungi.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri menambah seramai 294 pelajar tingkatan satu yang lahir pada 2008 turut menerima kit iSafe iaitu peralatan mencegah penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, antara barangan terkandung dalam kit yang mula diagihkan tahun ini termasuk pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Beliau menambah sumbangan mula diserah pada 19 Disember dan masih berlangsung sehingga 27 Disember ini di Pusat Khidmat Masyarakat DUN tersebut.

Categories
SELANGOR

Waris ahli TAWAS kelahiran 2013 diminta kemas kini maklumat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Yayasan Anak Selangor (YAWAS) meminta ibu bapa atau penjaga ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kelahiran 2013 untuk membuat semakan dan mengemas kini maklumat peribadi sebelum 28 Jun 2019.

YAWAS dalam pengumuman menerusi Facebok berkata, antara maklumat yang perlu dikemas kini termasuk nombor telefon dan alamat tempat tinggal jika ada perubahan.

“Selain itu, ibu bapa atau penjaga ahli TAWAS boleh memilih kawasan program bagi penyerahan bantuan masuk sekolah (tertakluk untuk ahli TAWAS kelahiran 2013 sahaja) yang dijangka akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini,” katanya.

Kemas kini dan pemilihan kawasan program hanya boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang tawas.org.my.

Categories
SELANGOR

TAWAS lulus 13,944 permohonan sepanjang 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak 13,944 permohonan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) diluluskan sepanjang 2018.

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) melalui laman sesawangnya berkata, sebanyak 24,634 permohonan diterima, pada tahun lalu berbanding 40,357 permohonan, pada 2017.

“Sehingga kini, jumlah keahlian TAWAS berjumlah 338,446 sejak mula dilancarkan, pada 2008.

“Daripada jumlah terbabit, 70 peratus ahli adalah berbangsa Melayu, 17 peratus Cina, 11 peratus India dan 3 peratus lain-lain bangsa,” katanya.

Sementara itu, melalui laman facebook rasmi, YAWAS mengumumkan permohonan baru TAWAS akan ditutup pada 31 Januari 2019, bermula jam 11.59 malam.

Bagaimanapun, permohonan terbabit hanya tertakluk kepada anak kelahiran tahun 2018 sahaja.

Selepas permohonan baru dibuat, pemohon perlu menghantar dokumen sokongan sebelum atau pada 22 Februari 2019, pada jam 5 petang.

Kegagalan menghantar atau melengkapkan dokumen sokongan diperlukan akan menyebabkan permohonan ditolak serta-merta.

 

Categories
SELANGOR

YAWAS sambut baik penjajaran TAWAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 3 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri mahu membuat penjajaran terhadap program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, keputusan Kerajaan Negeri itu tepat pada waktunya.

“Kita lihat Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan inisiatif seperti Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) bagi bayi baru lahir.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa sekiranya program ini dapat diselaraskan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita dapat optimumkan sumber yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Bantuan Sekolah Ahli TAWAS di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada masa sama, Pei Nei berkata, YAWAS komited mahu memberi fokus lebih terhadap program bersifat pendidikan awal kanak-kanak terutama golongan Orang Kelainan Upaya, pada masa akan datang

Sementara itu, ibu kepada salah seorang ahli TAWAS, Azura Husin, 38, berkata, beliau menyambut baik sumbangan Kerajaan Negeri dan optimis ia diteruskan pada masa akan datang.

Manakala, Tam Tzee Nee, 39, berkata, dua orang anaknya adalah ahli TAWAS dan beliau gembira Kerajaan Negeri mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit.

Selain itu, Murugan Andy, 44, berkata, selain TAWAS, keluarganya turut menerima beberapa inisiatif lain daripada Kerajaan Negeri.

“Saya gembira kerana Kerajaan Negeri sentiasa pedulikan rakyat tidak kira daripada kecil hingga warga emas, dan semoga pada era Malaysia Baharu ini kebajikan terus dijaga,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penjajaran TAWAS dilaksana demi manfaat remaja

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 3 DI : Penjajaran yang bakal dilaksanakan Kerajaan Negeri terhadap Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bakal memberi manfaat kepada golongan remaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program itu melalui proses pembaharuan, Hadiah Anak Masuk Universiti atau Hadiah Institut Pengajian Tinggi (IPT) mampu memberi manfaat secara langsung kepada remaja berusia 18 tahun.

“Bagaimanapun, Selangor masih negeri terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat baik daripada bayi sehingga yang sudah meninggal dunia.

“Penjajaran dilakukan bertujuan mengubah sesuatu ke arah memperkasakan rakyat supaya selain menerima mereka juga mempunyai kemahiran tertentu” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Bantuan Sekolah Ahli TAWAS di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri melihat penjajaran itu perlu kerana graduan kini lebih memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi kelengkapan di peringkat pendidikan tinggi.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi meneruskan dana tabungan permulaan bagi bayi baharu lahir menerusi program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Terdahulu, seramai 34,050 ahli TAWAS menerima set barangan sekolah daripada Kerajaan Negeri sebagai bantuan, bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

34,050 ahli TAWAS terima bantuan persekolahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 2 DIS : Seramai 34,050 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima set barangan sekolah daripada Kerajaan Negeri sebagai bantuan, bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Majlis penyampaian bantuan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Selangor bertujuan meringankan beban mereka.

“Bantuan ini sebagai inisiatif membantu ahli TAWAS terutama kanak-kanak yang baru ingin memulakan alam persekolahan tahun 1 pada 2019 nanti.

“Nilai mungkin tidak besar, namun ia sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri kepada rakyat di Selangor terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Bantuan Sekolah Ahli TAWAS, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADN Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Program TAWAS terbuka kepada anak-anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan serta perlu berdaftar sebelum anak berusia 3 tahun.

Tabung berkenaan diuruskan Kerajaan Negeri dan Ahli TAWAS menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Difahamkan, sejak ditubuhkan pada 2008, ahli TAWAS kini sudah seramai 334,063 di seluruh Selangor.