Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak, remaja wanita dipelawa sertai klinik asas bola sepak pada 12 Mac

SHAH ALAM, 4 MAC: Team Selangor dan FA Selangor bakal menganjurkan klinik asas bola sepak khas untuk wanita pada 12 Mac ini di Padang Kompleks 3K, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata acara itu berlangsung mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan ia bersempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac ini.

“Buat julung kalinya, kita akan mengadakan klinik asas bola sepak khas untuk wanita dan ia terbuka untuk mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

“Pada kali ini, acara ini melibatkan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya, pihaknya mata mengalu-alukan penyertaan kaum wanita dalam usaha mencari pemain pelapis baharu.

Bagi ibu bapa yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/KlinikBolaWanita atau menghubungi talian 013-5303578.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program kitar semula berjaya kumpul 799 kg minyak masak terpakai

SHAH ALAM, 21 FEB: Sebanyak 799 kilogram (kg) minyak masak terpakai berjaya dikumpul menerusi program kitar semula anjuran Team Selangor di tujuh lokasi ditetapkan.

Ketua sekretariatnya berkata tujuh kawasan itu adalah Bandar Tasik Puteri, Bukit Beruntung, Ampang, Taman Medan, Hulu Bernam, Kajang dan Kuang.

Syahaizel Keman menjelaskan program itu mula dilaksanakan sejak empat bulan lalu iaitu pada 6 November tahun lalu dan berakhir kelmarin.

“Kami akan meneruskan program ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai sekali gus dapat menjaga alam sekitar.

“Kami harap usaha ini terus mendapat sambutan kerana banyak manfaat diperoleh daripada aktiviti kitar semula,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semalam sebanyak 113 kg minyak masak terpakai berjaya dikumpul daripada orang ramai dan peniaga sekitar Kuang.

Program di lokasi itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Kuang.

“PWB Kuang turut mengadakan demostrasi pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai. Kami harap insiatif ini mampu menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor pelawa calon SPM sertai ulang kaji dalam talian percuma

SHAH ALAM, 19 FEB: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa menyertai program ulang kaji dalam talian kendalian Sukarelawan Team Selangor yang bermula esok.

Ketua Unit Sekolah Muhamad Haziq Fikri Jasni berkata program Pecutan Akhir SPM 2021 dibuka secara percuma untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) negeri ini.

“Kami menyasarkan seramai 600 pelajar tingkatan lima daripada keluarga B40 yang menetap atau sedang bersekolah di Selangor akan menyertai program ini.

“Tujuan diadakan program ini adalah ingin membantu mereka mempunyai akses dan peluang mengulangkaji pelajaran yang sama dengan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Jelas beliau, subjek yang ditawarkan ialah Fizik dan Matematik pada 20 Februari, Sejarah (21 Februari) dan Bahasa Inggeris (22 Februari).

Guru terbabit memberi tips dan bimbingan itu ialah cikgu Afiq (Fizik), cikgu Syamim (Matematik), cikgu Visva (Sejarah) dan cikgu Bella (Bahasa Inggeris).

Mereka yang berminat boleh mendaftar dengan mengimbas QRCode pada poster atau hubungi 0176127269.

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Team Selangor, Selangor FC pelawa kanak-kanak sertai Klinik Asas Bola Sepak Sabtu ini

SHAH ALAM, 9 FEB: Team Selangor dengan kerjasama Selangor FC mempelawa kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun untuk menyertai Klinik Asas Percuma Bola Sepak pada 12 Januari ini.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata program akan diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan penyertaan terhad kepada 200 orang sahaja.

“Program ini disertai oleh jurulatih pasukan Selangor FC yang akan mengendalikan sesi latihan pada hari tersebut.

“Kita mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak dalam usaha mencari pelapis bakat baharu, sekali gus memberi peluang pemain cilik itu beraksi Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Team Selangor mengingatkan keutamaan diberi kepada ibu bapa dan kanak-kanak berusia 13 tahun ke atas yang lengkap menerima dua dos pelalian vaksin Covid-19 sahaja.

Bagi ibu bapa yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/KlinikBolaSepakHuluLangat dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-5303 578.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor kutip lebih 2,500kg sampah, mahu pulihara alam

SHAH ALAM, 30 JAN: Sukarelawan Team Selangor mengutip 2,719 kilogram (kg) sampah pelbagai jenis di 14 kawasan tumpuan tahun lalu.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata sampah meliputi plastik (1,122 kg), kertas (1,320 kg), kaca (122 kg) dan aluminium (155 kg) dikutip menerusi program pemuliharaan alam sekitar.

“Aktiviti mengutip sampah itu dijalankan bermula 18 September hingga 4 Disember. Sepanjang tempoh itu kami juga kutip 188 pelitup muka yang di buang merata-rata.

“Lokasi melibatkan beberapa kawasan antaranya Semenyih, Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, Jeram, Kuang dan Sungai Tua dengan kekuatan 1,112 sukarelawan,” katanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu pasukan sukarelawan itu mula mengadakan program gotong-royong kutipan sampab bermula di Pantai Remis, Kuala Selangor sebagai langkah menyedarkan masyarakat kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kutip minyak terpakai, Team Selangor pupuk budaya pulihara alam sekitar

SHAH ALAM, 29 JAN: Team Selangor merancang untuk mempergiat program mengumpul minyak masak terpakai tahun ini sebagai inisiatif memulihara alam sekitar.

Ketua sekretariatnya berkata aktiviti tersebut menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sisa minyak ke saliran air terutama saluran paip dan longkang.

Syahaizel Keman menjelaskan beberapa lokasi bakal dipilih dan diagihkan botol bagi memudahkan penduduk mengumpul sisa yang akan dikutip selepas beberapa minggu.

“Kita harap usaha ini mendapat sambutan kerana manfaatnya yang besar kepada alam sekitar serta masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah program itu dibuat tahun lalu bersama 92 sukarelawan di Kuang, Kajang, Hulu Bernam dan Taman Medan yang berjaya mengumpul 520 kilogram minyak terpakai.

Sepanjang tahun lalu, Team Selangor juga aktif menjalankan program memulihara ekosistem alam sekitar antaranya mengutip sampah di pesisir pantai dan kawasan riadah awam.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Klinik Asas Bola Sepak Selangor tarik minat 200 peserta

SHAH ALAM, 18 JAN: Klinik Asas Bola Sepak anjuran Team Selangor dan FA Selangor di Stadium MBPJ semalam berjaya menarik minat 200 peserta.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata penyertaan peserta berusia 7 hingga 12 tahun itu bertujuan memastikan Selangor FC mempunyai barisan pemain pelapis pada masa hadapan.

“Sambutan amat menggalakan apabila semakin ramai kanak-kanak berminat untuk menyertai klinik ini di samping ibu bapa juga turut memberi sokongan terbaik buat anak mereka.

“Program ini mampu memberi ruang kepada semua kelab komuniti dan pasukan tempatan memantau dan mendapatkan bakat mereka inginkan sebagai persediaan menyertai pertandingan bola sepak khususnya liga akar umbi di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap kehadiran ramai pemain cilik ini dapat menjadikan arena bola sepak Selangor terus bersinar pada masa hadapan.

Program yang diadakan pada Ahad melibatkan tiga sesi dengan penglibatan kira-kira 70 orang bagi setiap sesi.

Menurut Syahaizel pihaknya akan meneruskan lagi program itu supaya lebih ramai bakat muda dapat dicungkil sekali gus berjaya mengembalikan zaman gemilangnya pasukan gergasi merah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan banjir: Team Selangor agih dapur masak, set penjagaan kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Sukarelawan Team Selangor akan mengagihkan bantuan kepada 450 lagi keluarga yang terjejas banjir bermula minggu ini, maklum ketua sekretariatnya.

Syahaizel Keman berkata edaran beras, bakul makanan, dapur masak, set penjagaan diri dan kesihatan, sabun basuh serta sejadah bagi meringankan beban ditanggung mangsa bencana bulan lepas.

Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti untuk agihan sumbangan itu adalah Batu Tiga, Sungai Pelek, Seri Serdang, Dengkil, Kota Kemuning dan Ijok.

“Kita masih mempunyai baki barang bantuan berkaitan untuk diagih kepada mereka yang memerlukan. Pegawai kita sudah berurusan dengan pusat khidmat masyarakat dan ketua kampung untuk proses penghantaran.

“Agihan bantuan ini dibuat mengikut keperluan yang mana bukan semua tempat akan memperoleh barang sama,” katanya kepada Selangorkini.

Sejak banjir melanda negeri ini tahun lalu, Team Selangor menyantuni lebih 3,000 rumah yang terkesan akibat banjir melibatkan 71 lokasi dengan disertai lebih 1,200 sukarelawan.

Sukarelawan terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya membersihkan rumah, mengagih air minuman serta membungkus dan menghantar bakul makanan.

Individu berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau hubungi 013-5303578 untuk sebarang pertanyaan.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor lupus al-Quran rosak akibat banjir

SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 50 sukarelawan Team Selangor melakukan pelupusan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir semalam.

Agensi menerusi Facebook berkata proses tersebut dilakukan dengan tertib di Pusat Pelupusan al-Quran, Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Proses pelupusan al-Quran dimulakan dengan meleraikan helaian al-Quran dan dikeringkan.

“Selepas kering, helaian al-Quran akan dibakar sehingga menjadi abu dan dikumpulkan sebelum dihanyutkan ke laut,” katanya.

Menurutnya lagi, proses pelupusan diteruskan hari ini dan menjemput mana-mana individu yang berkelapangan untuk turut sama membantu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,700 sukarelawan Team Selangor bantu cuci rumah, sedia makanan

SHAH ALAM, 4 JAN : Lebih 1,700 sukarelawan Team Selangor turun padang membersih kediaman dan menyediakan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir sejak 18 Disember lalu.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata kebanyakan aktiviti tertumpu di daerah yang teruk dibadai bah iaitu Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Sejak beberapa hari kebelakangan kita hanya membantu mencuci luar kediaman termasuk membuang sampah atau barangan perkakasan rumah yang musnah. Kebanyakan pemilik sudah membersihkan bahagian dalam.

“Sehingga kini, lebih 110 rumah sudah dibersihkan terutama kediaman golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya ketika dihubungi.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI SELANGOR

Pascabanjir: Team Selangor terima banyak permintaan mangsa, bantu bersih kediaman

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 90 sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti membantu mangsa banjir pada hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata aktiviti membantu membersihkan rumah itu meliputi dua kawasan iaitu di Bukit Lanchong, Subang Jaya dan Labohan Dagang, Banting.

“Jika ikut perancangan kita hanya ke Bukit Lanchong sahaja hari ini, namun mendapat permintaan dari komuniti di Labohan Dagang dan kita hantar juga sukarelawan ke sana untuk membantu.

“Pergerakan sukarelawan bermula jam 8.30 pagi dengan seramai 65 orang di Bukit Lanchong, manakala 25 orang lagi di Labohan Dagang,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Team Selangor menerima banyak permintaan mangsa banjir untuk membantu mereka membersihkan kediaman mereka.

“Justeru kita berharap lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan bukan sahaja untuk membantu mangsa banjir tetapi pelbagai program kemasyarakatan pada masa depan,” katanya.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lelaki warga Australia sertai Team Selangor bantu mangsa bah

SHAH ALAM, 2 JAN: Team Selangor menghargai kehadiran lelaki warga Australia, David Taylor yang menjadi sukarelawan semata-mata mahu membantu mangsa banjir.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata walaupun berusia 65 tahun, faktor usia bukan halangan untuk David melakukan kerja sukarelawan bersama isterinya.

“Pada awalnya, isteri David mengikuti proses pembersihan di Padang Jawa. Kemudian keesokan harinya David mengikuti isterinya dan menyertai operasi pembersihan di Hulu Langat.

“Saya ada bertemu dengannya sekali di Hulu Langat dan beliau mengatakan memang berminat dengan kerja sukarelawan yang memerlukan tenaga yang banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Syahaizel, Team Selangor sangat menghargai masa dan tenaga yang diberikan sukarelawan sepanjang proses pembersihan di beberapa lokaliti terjejas.

“Tidak semua meminati kerja sukarelawan kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi,”katanya.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.