Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelajar 41 IPT dapat Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebanyak 41 insititusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri menerima Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan oleh Kerajaan Selangor.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata bantuan berupa pek makanan dan barangan kesihatan seperti pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Sebanyak 11 IPT menerima bantuan makanan dan barangan kesihatan sementara 30 lagi menerima barangan kesihatan sahaja yang diedar bermula 5 hingga 9 Oktober,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bantuan meliputi tiga kategori iaitu pelajar Selangor yang belajar di sini, pelajar dari negeri lain yang belajar di Selangor dan pelajar Selangor yang belajar di negeri lain.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban mahasiswa yang terkesan ketika ini,” katanya, memaklumkan sumbangan turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Oktober mengumum akan menyalurkan bantuan kepada penuntut IPT yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran secara bersemuka.

Pada 27 September, Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan semua IPT menangguhkan pendaftaran ke kampus yang dijadual bermula bulan ini susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor sumbang pek barangan untuk penumpang dari Sabah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sukarelawan Team Selangor menyediakan 500 pek barangan keperluan  untuk penumpang dari Sabah yang menunggu ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Dato’ Menteri Besar turut menyertakan dua keping foto bantuan berkenaan yang diserahkan kepada Malaysia Airports bagi tujuan berkenaan semalam.

“500 pek berupa makanan, minuman, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk penumpang dari Sabah yang menunggu giliran menjalani ujian saringan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter semalam.

Sementara itu, Team Selangor menerusi tulisan sama berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu penumpang di sana.

Dua lapangan terbang utama negara sesak pada Ahad kerana proses saringan Covid-19 terhadap individu yang pulang dari Sabah.

Keadaan itu menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia menambah bilangan kakitangan dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

 

Categories
SELANGOR

Jom sertai Team Selangor lawan aedes

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 NOV: Team Selangor melancarkan kempen ‘Bangkit Selangor Lawan Aedes’, sebuah kempen kesedaran dan gotong-royong untuk meningkatkan gaya hidup sihat selain membebaskan persekitaran daripada ancaman aedes.

Team Selangor dalam kenyataannya hari ini berkata, Kempen yang dilancarkan sejak 25 November lalu itu turut berjalan diatas talian dengan #BangkitSelangorLawanAedes di Facebook dan Instagram.

“Team Selangor akan terus mengadakan gotong-royong mencegah pembiakan nyamuk aedes dengan membersihkan kawasan di sekitar Selangor bersama masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, 59 kes kematian dicatatkan akibat denggi setakat 21 Oktober lalu.

Menyedari ancaman wabak denggi, Team Selangor melancarkan kempen tersebut bermula di Batu Caves pada 25 November lalu dan berakhir di Dengkil pada 20 Disember depan.

Berikut adalah tarikh dan lokasi gerak kerja lawan aedes Team Selangor sepanjang tempoh kempen.

25 November 2017 Batu Caves
26 November 2017 Teluk Gadung Kecil Selat Klang
26 November 2017 Selat Klang
26 November 2017 Bangi
26 November 2017 Kota Damansara
2 Disember 2017 Hulu Kelang
2 Disember 2017 Subang Jaya
3 Disember 2017 Sri Muda`
3 Disember 2017 Sri Andalas
10 Disember 2017 Teratai
10 Disember 2017 Rawang
16 Disember 2017 Permatang
17 Disember 2017 Sri Andalas
17 Disember 2017 Taman Medan
20 Disember 2017 Dengkil

Orang ramai berminat menyertai Team Selangor atau gerak kerja melawan aedes yang akan datang boleh menghubungi Sekretariat Team Selangor di talian 03-8210 1499 atau melalui Facebook Team Selangor.

Sebarang penjelasan lanjut boleh hubungi pegawai operasi kempen, Megat Hanis ditalian 013-357 9325.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menampung perbelanjaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi.

Sebahagian besar iaitu RM2.6 juta diperuntuk bagi melantik Pest Controller Operator (PCO) untuk membantu kawalan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara, RM1.2 juta lagi disalurkan kepada PBT bagi pembelian racun serta peralatan dan keperluan dalam melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan.

Categories
SELANGOR

Team Selangor realisasi pembangunan komuniti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas bagi merealisasikan program pembangunan komuniti yang diterajui Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana penubuhan Team Selangor dilihat mempunyai komitmen jitu yang berpegang kepada nilai dan idealisme iaitu asas kepada sesebuah negara.

Katanya, penubuhan program itu dirangka secara dasar untuk menyuntik nilai kenegaraan dan pemerkasaan komuniti dalam kalangan Gen Y.

“Kerajaan Negeri percaya masa depan negara bukan terletak di tangan pemimpin lama tetapi anak muda.

IMG_20170818_224010“Bagi merealisasikan matlamat Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri, kita bertanggungjawab memupuk semangat sayangi negeri dan melahirkan masyarakat peduli juga berdaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan penyertaan Team Selangor yang mencecah 3,000 orang sejak ditubuhkan, Januari lalu.

“Saya bangga anak muda di Selangor mampu wujudkan satu kumpulan sukarelawan yang sanggup turun ke bawah menyantuni rakyat, fahami denyutan dan aspirasi rakyat, hari ini.

“Kumpulan sukarelawan ini bukti tidak selesa dengan kebobrokan dalam negara ketika ini. Anak muda pada hari ini perlu berpegang kepada idealisme bukan usia yang menjadi penghalang,” katanya.

Beliau menggesa anak muda di negeri itu supaya menanam semangat membawa perubahan serta mempunyai prinsip dan idealisme tinggi.

“Kita mahu anak muda yang menjurus kepada tindakan. Lihat seperti anak muda di Perancis, gerakan itu menjurus kepada tindakan sehingga tokoh muda diangkat menjadi Presiden.

“Melihat kepada sambutan penyertaan, semangat ini dapat membawa negara ke arah lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berharap Team Selangor mampu mencapai sasaran penyertaan iaitu sebanyak 20,000 orang.