Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tebing runtuh, kerja pengukuhan dibuat serta-merta malam tadi (VIDEO)

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pengukuhan tebing yang runtuh di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang dilaksana serta-merta oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) malam tadi.

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya Azfarizal Abdul Rashid berkata punca runtuhan sedang dikenal pasti selain merangka pembaikan segera bagi mengelak insiden sama berulang.

“Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan parkir kereta dan sebahagian jalan. Lima kenderaan terkesan tetapi tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial turut diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Kenderaan di kawasan itu juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat,” kata Azfarizal.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam lima hingga enam meter dalam longkang besar di Lestari Perdana susulan runtuhan tebing akibat hujan lebat.

Insiden di hadapan bengkel kereta yang jaraknya tujuh meter dari lokasi kejadian pernah berlaku pada 2017.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tebing runtuh sangka gempa bumi – mangsa

KUALA LUMPUR, 3 OKT: “Saya terbangun dari tidur selepas dikejutkan dengan satu dentuman kuat serta lantai rumah bergegar seakan gempa bumi,” kata seorang mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah pangsapuri Persiaran Syed Putra, di sini pada Khamis lepas.

Mangsa kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah,16, berkata sewaktu kejadian dia tertidur selepas menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya terlena di atas sofa dan terkejut dengar dentuman itu, terus ke bilik ibu kerana ketakutan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya bersama ibu meninjau ke luar tingkap dan mendapati tanah dari tebing atas telah runtuh,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Sarah berkata dia terbangun pada kira-kira 9.45 malam dan bergegas melakukan pemeriksaan melihat tanah sudah memenuhi bahagian luar rumahnya.

“Akibat hentakan tanah runtuh itu saya melihat perabot dan barangan peribadi di dalam rumah berselerak manakala sebuah pintu kaca juga telah pecah,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Raymond Lee, 45, berkata beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk tinggal di hotel kerana bimbang keadaan tanah yang masih belum stabil.

“Tanah runtuh di pangsapuri ini pernah berlaku pada 10 tahun lepas namun tidak seteruk ini sehingga bergegar rumah dibuatnya.

“Sebenarnya tanah runtuh ini berlaku kerana tebing tanah yang tidak begitu kukuh dan menunggu masa untuk runtuh serta tidak mendapat perhatian pihak bewajib,” katanya.

Sementara itu, sumber polis daripada Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyatakan orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan pangsapuri berkenaan.

“Kawalan dilakukan di kawasan berkenaan sejurus kejadian bagi menjaga barangan awam dan keselamatan penduduk kawasan sekitar,” katanya sambil menambah punca tebing runtuh masih dalam siasatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan 11 penghuni di sebuah pangsapuri tiga tingkat di Persiaran Syed Putra berdepan detik cemas apabila tebing tanah berhampiran kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat pada 1 Oktober lepas.

Kesemua 11 penghuni rumah terlibat dinasihatkan meninggalkan kediaman mereka atas faktor keselamatan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat penilaian ia tidak selamat diduduki.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBSA terus pantau tebing runtuh Seksyen 9

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan terus melakukan kerja pemantauan di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9 berikutan kejadian tebing runtuh, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menerusi Seksyen Penyelenggaran Cerun, Jabatan Kejuruteraan sudah melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mendapan tanah dan runtuhan tembok berlaku di dalam kawasan kediaman pemilik rumah.

SHAHRIN“Kami juga sudah memaklumkan kepada pemilik rumah supaya melakukan kerja pembaikan kerana ia berlaku di dalam kawasan kediaman mereka.

“Hasil kajian dan pemerhatian MBSA mendapati tembok pagar dibina tanpa mempunyai asas kukuh dan diletakkan di atas dinding tembok parit yang asalnya bukan dibina untuk menampung beban tambahan daripada tembok pagar rumah berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Shahrin mengingatkan orang ramai khususnya pengguna jalan agar berhati-hati dan memperlahankan kenderaan semasa melalui lokasi kejadian.

“Kejadian bencana seperti pokok tumbang, banjir dan tanah runtuh boleh hubungi pasukan pantas MBSA ditalian 03-55105811 (24 jam),” katanya.

Terdahulu, sebanyak 147 keluarga dilapor terancam susulan kejadian tebing runtuh kali kedua berhampiran kawasan perumahan di Seksyen 9 itu.

Penduduk mendakwa kejadian itu disebabkan kerja penambahbaikan longkang di kawasan berkenaan dan menggesa MBSA memberi perhatian serius sebelum kejadian tidak diingini berlaku.