Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang bakal miliki teksi air pada suku pertama 2021

SHAH ALAM, 15 OGOS: Perkhidmatan teksi air di Sungai Klang akan diperkenalkan pada suku pertama tahun depan.

Wakil perhubungan korporat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan sebelum menentukan jumlah kenderaan itu yang bakal beroperasi.

“Sekarang kita masih berbincang dengan persatuan nelayan dan Tourism Selangor bagi menentukan jumlah teksi air,” kata Janitha Sukumaran ketika dihubungi.

Teksi air di Sungai Klang adalah sebahagian pelan induk Gerbang Maritim Selangor yang dibangunkan LLSB iaitu anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Kenderaan itu mampu mewujudkan ekosistem perniagaan baharu di Klang sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan infrastruktur sungai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Teksi air bakal diperkenal di Sungai Klang

SHAH ALAM, 12 OGOS: Landasan Lumayan Sdn Bhd bakal mewujudkan teksi air di Sungai Klang sebagai sebahagian pelan induk Gerbang Maritim Selangor, kata ketua perancangan strategik dan pelaburannya.

Muhamad Fadhli Mansor berkata kenderaan itu mampu mewujudkan ekosistem perniagaan baharu di Klang sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan infrastruktur sungai.

“Teksi air ini berfungsi menarik orang ramai ke Klang dan membolehkan perniagaan berkembang maju. Ia dapat mempromosi Klang sebagai hab kediaman dan perniagaan baharu di Selangor, selain membuka banyak sektor ekonomi di kawasan ini.

“Saya percaya dengan kewujudan teksi air, penduduk tempatan dan pelancong yang menaikinya pasti kagum dengan keindahan flora dan fauna sepanjang sungai,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail percaya perkhidmatan itu memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung dan meningkatkan aktiviti keusahawanan, khususnya di sepanjang Sungai Klang.

“Teksi air berfungsi menghidupkan semula Sungai Klang sebagai pusat perniagaan, pelancongan dan kediaman di Selangor. Malah, ia akan menjadi tambahan yang membolehkan aktiviti ekonomi berjalan lancar,” katanya.

Teksi air yang bermula dari Pangkalan Batu Urban Park hingga Mangrove Point (Pusat Paya Bakau) itu akan berlayar sejauh 15 kilometer.

Landasan Lumayan diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Gerbang Maritim Selangor melibatkan pembersihan, pemulihan dan pembangunan Sungai Klang.