Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Cadangan gabung Celcom Axiata, Digi diperingkat rundingan lanjut

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Axiata Group Bhd dan Telenor Asia, pemegang saham utama Digi.com Bhd, bercadang menggabungkan Celcom Axiata Bhd dan Digi menjadi sebuah syarikat yang akan di kenali sebagai Celcom Digi Bhd (MergeCo).

Axiata, bersama dengan dana-dana institusi Malaysia akan memiliki lebih 51 peratus pegangan dalam syarikat tersebut.

Axiata dalam satu kenyataan hari ini berkata sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan itu, syarikat tersebut akan menerima saham yang baru diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1 peratus pemegangan saham pasca urus niaga dan amaun penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi sebagai hutang baharu manakala baki RM300 juta daripada Telenor.

“Kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian berkaitan dengan cadangan urus niaga itu dalam suku kedua 2021 susulan penelitian terperinci.

“Urus niaga itu akan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Celcom dan Digi, kelulusan pengawal selia dan terma dan syarat lain, dan pihak-pihak menyedari bahawa tidak ada kepastian yang perbincangan ini akan membawa kepada sebarang perjanjian,” katanya.

Menurut Axiata, MergeCo akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia, dan dijangka meningkatkan mudah tunai dan profil bursa sebagai satu daripada syarikat teknologi terbesar di Malaysia dan merupakan antara syarikat pemodalan pasaran terbesar di bursa tersebut.

“Axiata mempunyai hak untuk mencalonkan pengerusi dan ketua pegawai eksekuti awal MergeCo, dan bersama dengan Telenor, bersetuju mencalonkan individu berikut memegang jawatan utama, iaitu pengerusi Datuk Izzaddin Idris, naib presiden Jørgen C. Arentz Rostrup, ketua pegawai eksekutif Idham Nawawi dan timbalan ketua pegawai eksekutif Albern Murty,” katanya.

Dari segi kakitangan, ia berkata kedua-dua pihak mengulangi komitmen mereka untuk melindungi kebajikan kakitangan tanpa pemberhentian kerja secara paksa.

Syarikat itu berkata, pelanggan akan mendapat banyak manfaat daripada penggabungan tersebut kerana syarikat yang digabungkan itu akan mempunyai kapasiti untuk melabur lebih banyak lagi bagi menyediakan kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada kadar kompetitif.

“Pelanggan juga boleh mengekalkan jenama pengendali mudah lain pilihan mereka, kerana jenama Celcom dan Digi akan diteruskan selepas penggabungan,” katanya.

Axiata dan Telenor juga bersetuju menubuhkan Pusat Inovasi bertaraf dunia bagi memangkinkan transformasi digital Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) pembangunan kes kegunaan 5G dan kemajuan teknologi lain.

Pusat Inovasi itu bukan sahaja akan memacu kemajuan teknologi di Malaysia tetapi juga memainkan peranan langsung dalam meningkatkan kemahiran kakitangan bagi ekonomi pada masa depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Axiata Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata penggabungan itu bakal menyaksikan pewujudan pengendali mudah alih terbesar negara dengan kapasiti untuk mencetuskan peluang amat besar dalam membantu Malaysia melangkah ke era IR 4.0 dan memenuhi matlamat pendigitalan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Dato’ Izzaddin Idris pula berkata MergeCo akan dapat membantu memulihkan pertumbuhan jangka panjang dan kapasiti industri terutamanya dari segi menambah baik keuntungan.

Sementara itu Digi dalam satu kenyataan berasingan berkata lembaga pengarahnya mengambil maklum mengenai cadangan penggabungan Celcom dan Digi itu serta prospek menarik mewujudkan peneraju pasaran Malaysia menerusi keupayaan kedua-dua syarikat itu yang telah terbukti dan kekuatan dua peneraju telekomunikasi antarabangsa, Axiata dan Telenor.

Pengerusi lembaga pengarahnya, Haakon Bruaset Kjoel, berkata penggabungan itu menyokong visi bersama untuk mewujudkan nilai menerusi inovasi produk dan pasaran dan kesalinghubungan data berkualiti tinggi bagi memperkasakan matlamat digital Malaysia pada masa akan datang.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Manfaatkan telekomunikasi, eratkan jalinan sesama insan

SHAH ALAM, 17 MEI: Dato’ Menteri Besar menyeru seluruh masyarakat di negeri ini supaya memanfaatkan perkhidmatan telekomunikasi yang tersedia pada masa kini dengan sebaik-baiknya.

“Dengan ada hubungan internet dan telefon, maka tiada alasan untuk kita tidak memanfaatkannya, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang amat mencabar seperti sekarang.

“Gunakanlah khidmat telekomunikasi yang tersedia dengan sewajarnya,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2020.

Beliau berkata perhubungan melalui telekomunikasi juga mampu mengeratkan jalinan sesama manusia dan masyarakat sekeliling.

“Malah, ia juga digunakan untuk menimba ilmu, melangsungkan perniagaan, berkongsi berita atau pengalaman untuk kebaikan bersama,” tulisnya.

Categories
AGENDA EKONOMI

Internet dalam Revolusi Industri 4.0, PKP jadi asas kehidupan

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Internet sebagai evolusi telekomunikasi kini berkembang pesat dan menjadi keperluan asas dalam rutin kehidupan seharian kepada setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor ekonomi dan sosial di negara ini.

Perkembangan teknologi ini juga sebagai platform komunikasi yang semakin interaktif dan inovatif perlu dimanfaatkan oleh semua pihak terutama dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Tharek Abdul Rahman menyifatkan dalam situasi dunia kini berdepan dengan krisis pandemik Covid-19, internet dilihat sebagai keperluan asas penting bagi setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor perniagaan dan sektor pendidikan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal, kehidupan seharian kita tidak lagi sama seperti kebiasaanya, tanpa akses internet ia akan menjejaskan aktiviti seharian kita sama ada secara individu, sektor ekonomi dan sosial.

“Dalam situasi Covid-19 ini kerajaan telah menyarankan rakyat agar ‘stay at home’ dan ‘work from home’. Justeru itu, kita dapat lihat internet adalah keperluan asas dalam kehidupan. Penggunaan internet melonjak sebab hampir seluruh orang bekerja dari rumah dan memerlukan capaian internet yang laju,” katanya kepada Bernama.

Tharek menyifatkan dalam mendepani cabaran normal baharu susulan Covid-19 ini, teknologi generasi keempat (4G) telah memberi kelajuan yang cukup tetapi kapasiti dan liputan internet di kawasan luar bandar masih rendah.

Beliau berkata kerajaan perlu membuat penambahbaikan kapasiti dan liputan internet di beberapa kawasan luar bandar agar penduduk sekitar tidak ketinggalan dalam capaian teknologi itu.

Bertepatan dengan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia hari ini, beliau berkata internet terbukti penting dalam kehidupan seharian bagi setiap lapisan masyarakat kerana ia berkait rapat dengan pelbagai bidang terutamanya membantu dalam pendidikan serta menjana pendapatan.

Tharek berkata, projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan kerajaan dalam teknologi 5G adalah bertepatan dalam meningkatkan kesalinghubungan digital negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hasmah Zanuddin turut bersetuju bahawa internet adalah satu keperluan asas yang perlu diberi tumpuan agar setiap lapisan masyarakat dapat manfaat daripada teknologi itu.

“Signifikasi dalam telekomunikasi ini bergerak selaras dengan perkembangan teknologi dalam pelbagai cara sehinggalah kita boleh membuat ‘wireless communication’. Kalau kita lihat impak telekomunikasi ini memberikan kesan kepada negara.

“Malaysia antara negara yang ke hadapan dalam perkembangan teknologi komunikasi ini. Kalau kita lihat semasa tempoh PKP, telekomunikasi adalah satu keperluan… semuanya dalam talian. Masyarakat menggunakan teknologi ini secara meluas seperti memesan makanan, pembelajaran, peniaga dan pelbagai lagi,” katanya.

Hasmah berkata, dalam krisis Covid-19 ini juga, peranan pembekal perkhidmatan internet amat penting dalam menyediakan liputan yang lebih stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau mengambil contoh, pelajarnya di beberapa kawasan luar bandar berdepan dengan masalah internet yang tidak stabil telah menyukarkan pembelajaran secara dalam talian.

“Ekoran itu saya perlu membantu mereka dengan berhubung secara aplikasi WhatsApp dan e-mel. Sebagai pensyarah, kehidupan kami ibarat bekerja dari pagi hingga malam agar pelajar tidak ketinggalan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau merumuskan skop internet amat signifikan kepada masyarakat di seluruh dunia terutamanya dalam memenuhi keperluan harian meskipun pergerakan terbatas akibat krisis Covid-19 yang mendorong kita beralih kepada normal baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat telekomunikasi tambah kapasiti jalur lebar, kurangkan gangguan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Syarikat telekomunikasi dan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) giat berusaha memenuhi komitmen mereka untuk mengurangkan gangguan dialami sambungan kediaman, yang disebabkan lonjakan permintaan Internet daripada isi rumah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata antara langkah yang diambil syarikat telekomunikasi termasuk menambah kapasiti lebar jalur bagi sambungan tetap dan mudah alih, serta mengoptimumkan rangkaian liputan untuk jalur lebar mudah alih.

“Aliran trafik Internet mencatatkan peningkatan 23.5 peratus bagi tempoh di antara 9 hingga 15 Mac (seminggu sebelum PKP) dengan 16 hingga 22 Mac (minggu pertama PKP) yang jelas menunjukkan kenaikan permintaan.

“Susulan pelaksanaan PKP ramai yang kini mengamalkan konsep bekerja dari rumah sekali gus menyaksikan peralihan trafik rangkaian daripada kawasan perniagaan kepada kawasan perumahan,” kata suruhanjaya itu kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

SKMM berkata inisiatif naik taraf infrastruktur dan rangkaian dengan nilai pelaburan RM400 juta oleh syarikat telekomunikasi seperti diumumkan baru-baru ini menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sedang dilaksanakan untuk menaik taraf, mempertingkat dan menyenggara rangkaian bagi meyelesaikan isu jalur lebar yang perlahan.

Ia berkata Telekom Malaysia Bhd (TM) dan TT dotCom Sdn Bhd (TIME) akan menyokong syarikat telekomunikasi dengan menyediakan kapasiti gentian optik tambahan untuk memenuhi permintaan trafik yang lebih tinggi.

Langkah peningkatan ini, yang antaranya meningkatkan kapasiti dan menambah baik liputan di lokasi penting termasuk hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media di seluruh negara akan diteruskan sehingga akhir suku kedua tahun ini, menurutnya.

“Semua pengendali akan terus melabur dalam aspek yang diperlukan selain mempunyai pasukan yang berkhidmat 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu sepanjang tempoh PKP ini untuk menyenggara tapak, menaik taraf kapasiti, mengoptimumkan rangkaian dan meningkatkan liputan,” kata SKMM.

SKMM berkata selain itu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesalinghubungan digital negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Terdapat enam projek yang menumpukan penempatan infrastruktur untuk rangkaian tetap dan mudah alih, iaitu NFCP 1 hingga NFCP 6, yang semuanya berjalan lancar untuk pelaksanaan tahun ini dan akan selesai secara berperingkat dalam tempoh 2021 hingga 2023, menurutnya.

NFCP 1, 2, 4 dan 6 bertujuan meningkatkan liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) pada kelajuan purata 30 Mbps di kawasan penduduk menjelang 2023, manakala NFCP 3 dan 5 pula untuk memastikan 20 peratus premis di kawasan subbandar dan luar bandar mencapai kelajuan jalur lebar sehingga 500 Mbps menjelang 2022.

“Buat masa ini, SKMM berharap semua projek di lapangan dilaksanakan seperti yang dirancang, tanpa penangguhan yang lama.

“Pelaksanaan projek NFCP sedang dipantau teliti oleh SKMM dalam usaha untuk memenuhi jadual projek yang ditetapkan sebaik mungkin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permintaan terhadap Internet semasa PKP atasi rekod – MyIX

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Permintaan terhadap kesambungan Internet di seluruh Malaysia semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatatkan rekod baharu dengan penggunaan lebih besar oleh isi rumah bagi kandungan audio-visual selain inisiatif e-Pembelajaran dan panggilan persidangan video.

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX), Chiew Kok Hin berkata ia telah mencatatkan paras tertinggi baharu bagi puncak trafik Internet iaitu 588 gigabit sesaat (Gbps), mengatasi 532Gbps yang direkodkan pada dua minggu pertama PKP dan mata puncak trafik tertinggi 2019, 500Gbps.

“Infrastruktur MyIX diklasifikasikan sebagai infrastruktur penting negara dan, dengan itu, keselamatan juga telah diperketatkan menepati garis panduan Majlis Keselamatan Negara.

“Kebanyakan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) dan Rangkaian Penyampaian Kandungan (CDN) secara langsung diselaraskan bersama MyIX dengan kapasiti yang mencukupi,” katanya.

Chiew berkata beberapa pengendali telekomunikasi telah menaik taraf infrastruktur mereka secara progresif untuk isi rumah susulan peningkatan permintaan bagi kesambungan Internet yang lebih pantas kepada isi rumah dengan menambahkan port di MyIX untuk mengurangkan kesesakan trafik.

Beliau juga berkata MyIX telah mengecualikan caj bagi port-port baharu ini selama tiga bulan, di samping mengetepikan caj untuk port sedia ada sepanjang April, untuk membantu ahlinya menghadapi tempoh mencabar ini.

Bagi penggunaan port, MyIX juga telah menyemak turun caj port sedia ada untuk semua ahli MyIX bulan ini, dengan caj terdiskaun di antara 20 peratus dengan 23 peratus bergantung kepada kapasiti port, katanya.

Beliau berkata MyIX dan pengendali telekomunikasi akan terus melakukan yang terbaik untuk memastikan kesambungan tanpa gangguan bagi baki tempoh PKP ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syarikat telekomunikasi digesa tingkat prasarana luar bandar

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kerajaan mengesa syarikat telekomunikasi membina lebih banyak prasarana baharu termasuk rangkaian gentian optik dan menara komunikasi di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, ia bagi mencapai sasaran 98 peratus kawasan berpenduduk memperoleh purata kelajuan jalur lebar sehingga 30Mbps menjelang 2023.

Katanya, usaha itu menuntut komitmen semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Ia melibatkan perancangan teratur di peringkat kampung, daerah dan negeri bagi memastikan liputan perkhidmatan jalur lebar dapat diberikan kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin yang antaranya ingin tahu adakah kementerian menjajarkan semula Pelan Gentian Optik di luar bandar agar jalur lebar di kawasan itu mencapai kelajuan 30 Mbps.

Untuk rekod, sasaran itu diletakkan di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan baru-baru ini.

Eddin Syazlee berkata, di bawah projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi, sebanyak 528 ibu sawat sedang dinaik taraf di seluruh negara yang dijangka siap pada 2019.

“Selain itu, kerajaan turut memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar di bawah inisiatif Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih yang melibatkan pembinaan menara komunikasi baharu dan penaiktarafan menara komunikasi sedia ada.

“Sebanyak 1,769 menara komunikasi baharu siap dibina dan diaktifkan dengan perkhidmatan 2G dan 3G manakala 266 menara sedang dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara terutamanya di kawasan di luar bandar,” katanya.

Katanya, sebanyak 4,896 menara komunikasi sedia ada dinaik taraf kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih 3G/4G manakala 667 menara komunikasi sedia ada masih dalam peringkat penaiktarafan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKMM beri tumpuan tingkat perkhidmatan telekomunikasi luar bandar

NASIONAL 30 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya memberi tumpuan kepada usaha menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan kampung di negara ini.

Beliau berkata ini kerana ia mampu memberi faedah kepada rakyat seluruh negara.

“Beberapa pandangan dan opsyen telahpun diketengahkan untuk perkara ini. Harap-harap ada keputusan dan pengumuman dalam masa terdekat. Terima kasih,” katanya di laman Twitter sebagai reaksi kepada cadangan pengguna akaun ‘@TuanAzmer’ berkaitan kualiti perkhidmatan internet dan talian komunikasi di luar bandar.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata beliau akan membangkitkan isu kandungan drama televisyen tempatan yang didakwa tidak mempunyai elemen yang mampu membina modal insan dalam mesyuarat kementerian itu akan datang.

Ia sebagai menjawab aduan pengguna akaun Twitter @MalequeArrasyid mengenai penyiaran drama televisyen yang hanya mengetengahkan kisah percintaan.

“Kalau ada cadangan-cadangan berkenaan jenis program yang lebih sesuai, sila maklumkan kepada saya. Terima kasih,” kata Gobind.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Monopoli khidmat telekomunikasi punca perkhidmatan lembab dan mahal

OLEH TAN KAR HING
Semakan saya di laman sesawang CFM menunjukkan jumlah aduan pada tahun lalu itu telah meningkat berbanding hanya 7,326 aduan pada 2015 dan 6,904 aduan pada tahun 2014.
Malah kebanyakan aduan tersebut berkaitan lebihan caj bayaran yang dikenakan kepada pengguna bagi perkhidmatan yang telah ditamatkan atau pertukaran talian seperti dinyatakan Ahmad Izham adalah sangat mengejutkan.
Timbul persoalan apakah kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi hak pengguna di negara ini.
1. Justeru ingin saya ingatkan, Putrajaya perlu menjalankan tanggungjawab mereka melindungi hak-hak pengguna di negara ini. Undang-undang bagi mengharamkan caj tersembunyi oleh syarikat Telco sehingga merugikan pengguna harus diperketatkan.
2. Selain itu kerajaan juga perlu lebih tegas menjalankan penguatkuasaan terhadap syarikat Telco, ia termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Telekom Malaysia atau mana-mana syarikat  yang mempunyai kepentingan untuk kerajaan.
3. Malah tribunal pengguna dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga seharusnya aktif turun padang menyiasat isu-isu syarikat telco dan tidak hanya sekadar menunggu aduan pengguna.
Dalam pada itu, saya turut menggesa agar kerajaan mengambil perhatian kepada kualiti perkhidmatan internet yang kurang memuaskan di negara ini walaupun rakyat dikenakan caj telekomunikasi yang mahal.
Kedudukan Malaysia di tangga ke-74 dunia dari segi purata kelajuan Internet seperti didedahkan  kaji selidik Akamai Technologies Inc pada 2016 tahun lalu membuktikan struktur perkhidmatan industri internet Malaysia perlu rombakan segera.
1. Saya berpendapat kerajaan perlu menyemak semula struktur industri internet Malaysia bagi memastikan perkhidmatan dapat dipertingkat dan harga perkhidmatan diturunkan.
2. Sudah sampai waktunya, hak monopoli TM sebagai penyediaan rangkaian telefon talian darat dan hampir semua perkhidmatan perhubungan pengguna akhir di negara ini disemak semula, langkah besar itu jika dilakukan mungkin dapat mewujudkan persaingan sihat dikalangan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang akhirnya memberi lebih pilihan dan manfaat kepada pengguna.
3. Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menyatakan caj langganan internet di Malaysia adalah 5 hingga 10 kali ganda mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura. Caj-caj di negara lain adalah seperti berikut;
a. Filipina RM73 (3Mbps Unlimited)
b. Singapore RM95 (15Mbps Unlimited)
c. Thailand RM80 (12Mbps Unlimited)
d. Korea Selatan RM64 (100 Mbps Unlimited) berbanding di Malaysia sebanyak RM199 (10Mbps).
Saya mengingatkan kerajaan agar mempunyai kemahuan politik yang kuat dalam menyelesaikan semua masalah berkaitan perkhidmatan telekomunikasi yang dihadapi pengguna. Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang beroperasi di negara ini dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan hati rakyat.
#Tan Kar Hing adalah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN