Categories
SELANGOR

Bekas ADN, lima ketua kampung gesa Chee Heng letak jawatan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

BANTING, 21 MEI: Lee Chee Heng digesa meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Telok Datok ekoran dipecat daripada DAP atas dakwaan melakukan penyelewengan peruntukan disalurkan Kerajaan Negeri.

Bekas ADN Telok Datok, Datuk Philip Tan Choon Swee, berkata Chee Heng juga didakwa gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dipilih pengundi dengan berkesan.

“Bersama saya, lima ketua kampung yang turut berpendapat Yang Berhormat Chee Heng gagal membantu dan menjalinkan hubungan baik dengan penduduk di sini,” kata Choon Swee pada sidang medianya di Restoren Saha Coffee and Fruit, di sini, hari ini.

Katanya, Ketua Kampung terbabit adalah Ketua Kampung Jenjarum, Kampung Seri Jering, Kampung Sungai Manggis, Kampung Baru Sungai Jarum dan Kampung Banting.

“Chee Heng perlu meletakkan jawatannya bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan itu dapat berjalan dengan lancar.

“Oleh kerana penggal ini sudah matang saya fikir mungkin tidak perlu diadakan pilihan raya sekiranya dia meletak jawatan tetapi tugas itu boleh dipikul oleh seorang Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik DAP,” katanya lagi.

Justeru Choon Swee menawarkan dirinya untuk dilantik sebagai Penyelaras DUN kerana selalu kerap turun membantu dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat di sini walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai ADN.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Manggis, Khairul Nizam Jumi berkata, Chee Heng sebelum ini didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap beberapa kampung di dalam kawasan DUN terbabit.

Tambah beliau, Chee Heng juga didakwa tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan dengan pemimpin kampung terlibat sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Ini berbeza dengan Choon Swee yang sudah dikenali. Sebab itulah kami bersetuju supaya Choon Swee dipilih sebagai Penyelaras DUN yang baru bagi melicinkan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Setakat ini belum ada sebarang reaksiĀ Chee Heng berkenaan isu desakan ini. Pihak kami sedang berusaha mendapatkan respon beliau berkenaan perkara ini.

EZY