Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program harga ayam, telur murah terus mendapat sambutan

SABAK BERNAM, 28 FEB: Program Intervensi Harga Ayam dan Telur terus mendapat sambutan orang ramai apabila lebih 20,000 ekor ayam terjual sejak dilancar 7 Februari lalu.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain ayam, lebih 15,000 biji telur ayam terjual menerusi program dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kedua-dua barangan ini terjual di Wisma PKPS, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Lori Ehsan yang digerakkan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan segar.

“Walaupun Program Jualan Prihatin Rakyat dilaksanakan, program ini tetap berjalan seperti biasa,”katanya selepas merasmikan program itu di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini semalam.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah PKPS.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Faktor cuaca tidak menentu jejas bekalan telur ayam

SHAH ALAM, 27 JAN: Keadaan cuaca yang tidak menentu antara punca kurangnya penghasilan dan pengeluaran telur ayam dalam negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata faktor berkenaan bukan hanya mempengaruhi hasil keluaran sektor pertanian malah menjejaskan bekalan haiwan ternakan dan perikanan.

Selain itu, faktor yang turut mempengaruhi pengeluaran telur berkurangan adalah susulan kejadian banjir luar jangka baru-baru ini di samping peningkatan kos harga bekalan makanan ternakan yang diimport.

“Kalau ikut trend pengeluaran (telur ayam) kita (sebelum ini), Januari bekalan kurang tapi menjelang Februari bekalan akan meningkat balik kerana perkara ini bermusim,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini, malam tadi.

Ahmad berkata kementerian tidak menyangkal dakwaan wujudnya kawalan harga telur ayam di pihak peruncit.

“Kita (kementerian) dapati, memang ada kebenaran berhubung kawalan harga (di pihak peruncit). Orang sentiasa berikan perhatian pada pengeluar. Kita perlu memahami harga dan kos pengeluaran.

“Jadi di situ kita akan sentiasa berikan perhatian melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana kita membekalkan dan kementerian itu memastikan harga (tidak tinggi),” katanya.

Ahmad mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam berhubung bekalan telur ayam pelbagai gred di seluruh negara yang didakwa bukan sahaja sema­kin berkurangan, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Harga telur ayam stabil di pasaran

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Harga purata runcit telur ayam berada pada kedudukan stabil dengan harga semasa bagi gred A adalah 44 sen, gred B (40 sen) dan gred C (36 sen).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan semalam berkata harga runcit telur ayam yang dijual dalam kuantiti 30 biji lebih menjimatkan berbanding dalam kuantiti 10 biji.

Ia adalah hasil pemantauan KPDNHEP melalui pelaksanaan OPS PASAR (telur ayam) sejak 2 Ogos melibatkan pemeriksaan terhadap 136 premis iaitu 41 premis pengeluar telur dan 95 premis pemborong.

“Berdasarkan syarikat yang diperiksa, anggaran pengeluaran telur ayam dalam sehari adalah sejumlah 34 juta dan ia mampu menampung keperluan harian rakyat dengan anggaran penggunaan berjumlah 34 juta biji sehari,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata sejumlah 136 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan kepada pengeluar dan pemborong bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan peningkatan harga yang berlaku di peringkat peruncit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP tidak tergesa-gesa sambung eksport telur ke Singapura

KUCHING, 3 APRIL: Kerajaan tidak mahu tergesa-gesa untuk kembali mengeksport telur ayam ke Singapura sebelum memastikan produk itu betul-betul selamat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, perkara pertama yang perlu dipastikan sebelum mengeksport ialah tiada lagi bakteria Salmonella Enteritidis (SE) dikesan pada produk tersebut.

“Kami akan berhubung dengan pihak Singapura (untuk tindakan selanjutnya) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin hari ini.

Dilaporkan baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia (CEM 014) selepas mengesan adanya SE dalam produk terbabit.

Terbaru, JPV dalam kenyataan semalam memaklumkan tiada bakteria SE dikesan di ladang ayam penelur CEM 014 Linggi Agriculture Farm, selepas ujian dijalankan ke atas sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman yang diambil dari ladang ayam penelur tersebut.

Pencemaran SE boleh berlaku di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan kurang baik, aspek biosekuriti dan kebersihan ladang atau di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur kurang bersih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM analisis ratusan sampel telur tercemar

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap ladang pengeluaran telur di Jeram, Kuala Selangor berikutan penemuan bakteria.

Pengarah kanan keselamatan dan kualiti makanannya berkata daripada 364 sampel telur ayam yang dianalisis, hanya dua daripadanya mengandungi Salmonella Enteritidis (SE), lapor Berita Harian.

“KKM mengambil maklum isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dicemari bakteria SE seperti yang dilaporkan Agensi Makanan Singapura (SFA) Jumaat lalu.

“Laporan berkenaan juga menyatakan pihak SFA sudah mengarahkan telur ayam terbabit ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria SE,” katanya.

Mohd Salim berkata SE hadir melalui pencemaran silang najis ayam atau semasa pembentukan telur jika jangkitan berlaku terhadap tisu pembiakan ternakan terbabit.

Jelasnya, pengendalian tidak sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan (Salmonellosis) dan mengalami gejala seperti demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

“Jika ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Kelmarin, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor penternakan telur ayam terjejas akibat Covid-19 – persatuan

MELAKA, 8 NOV: Penularan pandemik Covid-19 di negara ini memberi kesan pada sektor penternakan telur ayam yang didakwa telah menyebabkan penternak mengalami kerugian jutaan ringgit.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia Lee Yoon Yeau berkata wabak berkenaan menyebabkan permintaan terhadap telur ayam berkurang manakala harga dedak iaitu jagung dan soya yang diimport dari luar negara meningkat kira-kira 30 peratus.

Beliau berkata 75 peratus daripada dedak tersebut terdiri daripada jagung dan soya yang diimport dari Brazil, Amerika Syarikat dan Argentina.

“Situasi ini berlaku kepada semua penternak ayam telur di negara ini dan penternak terpaksa menjual di bawah harga kos kerana kami tidak mempunyai pilihan.

“Penternak juga rugi kira-kira 10 sen bagi sebiji telur ayam untuk semua gred telur khususnya gred B,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Lee yang juga Pengerusi Persatuan-Persatuan Penternak Melaka berkata dasar kerajaan Singapura yang mengurangkan jumlah import telur ayam dari Malaysia sebanyak 25 peratus turut memberi kesan terhadap industri itu.

Menurut beliau, sebelum ini, sebanyak empat juta biji telur ayam dari Malaysia dieksport ke Singapura sekali gus menyebabkan berlakunya lebihan dalam pasaran tempatan ketika ini.

“Di Melaka, pengeluaran telur ayam adalah sebanyak lapan juta biji sehari membabitkan lima penternak utama dan ia adalah untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 800,000 hingga satu juta biji telur sehari adalah untuk pasaran Melaka,” katanya yang juga Pengurus Pemasaran Lian Foo Poultry Farm di Masjid Tanah.

Sementara itu, beliau berkata salah satu langkah yang boleh dilakukan penternak bagi mengurangkan beban kerugian adalah dengan menghentikan pengeluaran telur ayam dalam tempoh dua hingga tiga bulan agar dapat mengimbangi harga.

Selain itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi khususnya makanan ternakan ayam telur selain meminta rakyat makan lebih banyak telur ayam bagi meningkatkan permintaan sekali gus memberi kesan kepada harga telur.

Sebelum ini, seorang pengurus ladang penternakan menulis surat kepada sebuah portal berita mengenai kenaikan harga bahan makanan ternakan sebanyak tiga kali sejak Februari lepas, yang turut memberi kesan terhadap harga makanan.

Isu kenaikan harga bahan makanan ternakan itu juga dikatakan tular di semua kumpulan WhatsApp dan Facebook penternak.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

MyCC-KPDNHEP kerjasama siasat isu kenaikan harga telur

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengenalpasti sebarang elemen anti-persaingan yang mungkin berlaku di dalam pasaran telur ayam tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, selain isu pencatutan yang mungkin menjadi penyebab kepada isu kenaikan harga telur ayam, MyCC turut melihat perlakuan anti persaingan yang diamalkan perusahaan.

Katanya, ia seperti kartel penetapan harga, pembahagian kawasan persaingan dan menghadkan pengeluaran secara sengaja.

“MyCC menggunakan segala kuasanya di bawah Akta Persaingan 2010 untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang relevan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan kartel.

“Ia demi memastikan kesejahteraan serta kepentingan pengguna kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, MyCC juga mengambil kira harga harian dan jumlah pengeluaran telur ayam dalam menilai perkara itu.

Katanya, MyCC turut melihat dengan teliti aktiviti mengeksport telur ayam ke pasaran luar negara yang semakin meningkat kebelakangan ini.

– BERNAMA