Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Harimau kumbang jantan serang anggota Perhilitan ditembak mati

IPOH, 10 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terpaksa menembak seekor harimau kumbang jantan yang menyerang kakitangan agensi terbabit di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini semalam.

Perhilitan memaklumkan tindakan pantas melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau itu sebagai langkah mempertahankan keselamatan petugas yang telah diserang berhampiran kawasan semak di kebun getah, kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya ketika kejadian berlaku, anggota berkenaan sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki Orang Asli berusia 18 tahun cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

“Empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemui Tok Batin Pos Perwor di lapangan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan menunjukkan lokasi kejadian serta turut membawa perangkap bersesuaian bagi menangkap hidupan liar tersebut.

“Setelah ditunjukkan lokasi kejadian, mereka mula menjejaki kesan-kesan yang ada dan telah menemukan beberapa kesan tapak dipercayai harimau dan kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang berkenaan didapati ia dalam lingkungan usia sembilan dan 10 tahun dan terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan paha harimau kumbang berkenaan semasa pergelutan dengan mangsa Orang Asli.

“Turut ditemukan pada karkas atau bangkai, seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang. Kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia.

“Sehubungan itu, Perhilitan  menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk proses bedah siasat.

“Penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tembak 1,453 ekor burung gagak

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 1,453 ekor burung gagak berjaya ditembak dalam operasi mengurangkan populasi haiwan berkenaan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Shahrin Ahmad berkata seramai 10 orang penembak mengambil bahagian dalam operasi bermula jam 6.30 pagi hingga 9 malam di kawasan pentadbiran MBSA.

“Tabiat burung gagak yang menyelongkar tong sampah menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu serta menimbulkan rungutan kepada orang ramai.

“Justeru, operasi ini merupakan inisiatif untuk mengurangkan jumlah populasi burung gagak di kawasan pentadbiran MBSA,”katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai diharap memberi kerjasama menjaga kebersihan terutama aspek pengurusan sampah bagi mengelakkan populasi burung gagak kembali bertambah.

Categories
AGENDA JENAYAH

Jangan sebar spekulasi kes tembak anggota TUDM – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar, berhubung insiden tembakan di Unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Kuching, pada Khamis yang mengorbankan empat anggota TUDM.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata ia bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit yang terlibat, sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris semua perajurit negara yang terkorban dalam insiden tembakan tersebut.

“ATM telah menyampaikan sumbangan kebajikan sewajarnya kepada waris mangsa. Semoga semua rakyat Malaysia dapat bersama berdoa dan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam kejadian semalam, empat anggota TUDM terkorban iaitu Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat, Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kpl U Ho Swee Boon dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN arah semua ketua polis daerah teliti, jaga kebajikan anggota

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua ketua polis daerah di seluruh negara agar menjaga kebajikan serta meneliti secara dekat sebarang permasalahan dihadapi anggota mereka agar ia dapat ditangani lebih awal.

Beliau berkata sekiranya ada anggota dikesan mempunyai masalah, mereka harus diberikan khidmat kaunseling atau bantuan awal bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Mengambil iktibar kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, Seremban, Rabu lalu, Abdul Hamid berkata beliau kecewa kerana pihaknya tidak dapat mengesan awal keadaan psikologinya.

“Saya berasa amat kecewa kerana kami tidak dapat mengesan keadaan psikologi anggota polis (detektif) itu. Ini bukanlah pertama kali kes ini berlaku, sebelum ini ada satu kes di Perak, seorang ibu mengunci diri bersama anak-anaknya dan membakar biliknya dalam kuarters polis.

“Selain itu, sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan ada anggota saya menembak dirinya di sekatan jalan raya kerana dia dikatakan mendengar suara halus menyuruhnya berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata sekiranya seseorang anggota polis menghadapi masalah psikologi dan tidak ditangani, ia amat berbahaya kerana anggota bertugas biasanya dibekalkan dengan senjata api.

“Banyak kes yang sama berlaku di luar negara dan saya akan kaji balik supaya perkara-perkara ini dapat dielakkan dengan intervensi awal,” katanya.

“Selain itu, maklumat yang saya terima daripada Ketua Polis Negeri Sembilan (Datuk Mohamad Mat Yusop) motif anggota polis itu membunuh diri adalah kecewa dan berdasarkan cerita saksi, anggota polis itu mempunyai masalah keluarga…dan ia sungguh tragis jika dia betul menembak anaknya sebelum menembak kepalanya. Bagaimana kes ini berlaku, ia masih dalam siasatan lagi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga mengarahkan Mohamad untuk menyemak kembali sejarah perkhidmatan anggota polis berkenaan di tempatnya bertugas.

Pada Rabu lalu, anggota polis berkenaan bersama anak lelakinya ditemukan maut selepas tembakan dilepaskan, dalam sebuah kereta jenis Proton Wira pada kira-kira 6.42 petang.

Categories
NASIONAL

Pemandu perkhidmatan e-hailing cedera dipukul, ditembak

 

KUCHING, 30 Mei : Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dan ditembak menggunakan senapang angin oleh penumpangnya di Jalan FAC Matang, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong berkata di awal kejadian, pemandu yang berusia 40 tahun itu telah mengambil seorang penumpang warga asing di Kuching Sentral untuk dihantar ke Jantayu Strawberry Farm.

“Semasa dalam perjalanan, suspek mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaan, sebelum bertindak memukul kepalanya menggunakan tukul dan menembaknya menggunakan senapang angin buatan sendiri.

“Lelaki yang cedera itu kemudian lari ke hutan yang berdekatan untuk menyelamatkan diri. Kini lelaki itu berada di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Denis berkata usaha untuk menjejaki suspek kini giat dijalankan. -BERNAMA