Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Sekinchan sedia 1,500 kg tembikai untuk berbuka puasa

SABAK BERNAM, 27 APRIL: Sebanyak 1,500 kilogram tembikai disediakan wakli rakyat Sekinchan untuk diedarkan kepada penduduk yang beragama Islam.

Ng Suee Lim berkata buah itu bagi meraikan mereka yang menyambut Ramadan dan sesuai untuk dijadikan pemanis mulut ketika berbuka puasa.

“Saya akan edarkan buah tembikai berkenaan kepada penduduk di kawasan kampung mulai esok. Bagi golongan asnaf kita bantu melalui bakul makanan serta wang tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan protes aman terhadap lanjutan konsesi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersama 50 petani yang mewakili 1,000 pesawah di sekitar Sekinchan.

Suee Lim berkata pihaknya juga mengenal pasti 500 asnaf untuk dibantu menerusi baucar Jom Shopping anjuran Kerajaan Negeri.

“Selain itu pada setiap hari Selasa saya akan edarkan kurma dan bubur lambuk kepada orang ramai di bazar Ramadan di sekitar Sekinchan,” katanya.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Empat sekawan manfaat usia muda usaha tanah terbiar

Oleh Balqis Jamaludin

JERTEH, 16 OGOS: Berbudi kepada tanah, tanah tidak pernah menipu. Peribahasa itu dipegang oleh empat anak muda ini sehingga mereka nekad mengusahakan tiga bidang tanah terbiar menjadi ladang tanaman jagung mutiara, tembikai dan labu.

Mat Zakie Mat Yeh, 40; Nor Ekwan Mamat, 31; Al Iman Mohd Nor dan Razin Nur Azri Rujunaidi, masing-masing berusia 29 tahun, berkongsi modal keseluruhan kira-kira RM17,000 mengusahakan tiga ladang yang setiap satu berkeluasan 1.4 hektar.

Peruntukan RM17,000 itu adalah untuk kos penyelenggaraan tanah dan pembelian benih serta baja.

Tiga ladang di atas tanah yang disewa itu terletak di Kampung Alur Keladi, Kampung Padang Tapong dan Kampung Padang Bual, di sini.

Tanpa Pendidikan Khusus Pertanian Bukan Penghalang

Tanpa pendidikan atau sijil yang khusus dalam bidang pertanian, empat sahabat yang sebelum ini bekerja sendiri dan melakukan kerja-kerja kampung mula mengusahakan ladang mereka sejak Januari lepas.

“Kami semua tidak mempunyai sijil berkaitan pertanian atau menjalani kursus di mana-mana. Kami hanya mendapatkan ilmu daripada orang-orang tua di kampung yang mempunyai banyak pengalaman mengusahakan ladang dan kebun,” kata Mat Zakie kepada Bernama ketika ditemui di ladang mereka di Kampung Ladang Bual di Hulu Besut, di sini.

Katanya ketiga-tiga tanaman itu diusahakan mengikut giliran iaitu jagung mutiara ditanam pada pertengahan Januari hingga Mac, labu dari Mei hingga Ogos manakala tembikai pada September hingga Disember.

Mat Zakie berkata idea untuk mengusahakan tanaman tersebut dicetuskan olehnya sebelum mengajak tiga lagi rakan bekerjasama merealisasikan hasratnya untuk menceburi bidang pertanian.

“Saya lihat tanah di Besut ini sangat subur. Apa sahaja ditanam insya-Allah akan menjadi. Namun masih banyak tanah di sini yang terbiar begitu sahaja. Jadi saya ajak kawan-kawan sertai saya. Kalau boleh saya ingin jadikan Besut ini sebagai hab tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Lagipun kami orang muda masih banyak tenaga dan kuat untuk melakukan kerja-kerja ladang. Jadi apa salahnya kami ceburi bidang pertanian,” katanya.

Usaha Gigih Buahkan Hasil

Kini keempat-empat sahabat itu boleh tersenyum bangga apabila usaha keras mereka sejak lapan bulan lalu mula mendatangkan hasil yang berbaloi.

Antaranya hasil setiap tuaian kira-kira 2,000 pokok labu mampu memberi pendapatan sehingga RM7,000 hingga RM8,000, yang sebiji labu dijual antara 50 sen hingga 60 sen sekilogram.

“Jagung mutiara pula biasanya kami tanam 50,000 pokok yang dijual RM1 setongkol manakala tembikai pula ditanam 4,000 pokok yang setiap biji dijual sekurang-kurangnya RM1 sekilogram,” kata Mat Zakie sambil memberitahu hasil tuaian ketiga-tiga tanaman itu dibeli oleh pemborong untuk pasaran di dalam dan luar Terengganu.

Sementara itu Al Iman berkata langkahnya menceburi bidang pertanian pada usia muda adalah keputusan yang tepat kerana beliau yakin segala penat lelah mengusahakan ladang itu akan mendatangkan hasil yang lumayan nanti.

Pemuda itu juga berasa bangga kerana ada rakan-rakan sebaya yang ‘mencemburui’ pekerjaannya kini.

“Kawan-kawan yang bekerja di bandar apabila pulang ke kampung menyatakan bahawa saya sangat bertuah kerana berpeluang memasuki bidang pertanian pada usia muda. Ada yang menyimpan hasrat untuk mengusahakan tanaman seperti saya nanti,” katanya.

Justeru, anak jati Hulu Besut itu mengajak golongan muda sepertinya supaya tidak lagi menganggap bidang pertanian sebagai bidang 3D iaitu difficult (sukar), dirty (kotor) dan dangerous (bahaya), kerana ia merupakan bidang yang menjanjikan masa depan yang baik.

-BERNAMA