Categories
AGENDA NASIONAL

TNB lepasi sasaran, pasang lebih 1.8 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Lebih 1.8 juta unit meter pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipasang, sekali gus mencapai matlamat pemasangan meter itu dalam usaha menambah baik perkhidmatan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata TNB berjaya melepasi sasaran memasang 1.8 juta meter itu sebelum penghujung 2021 hasil kerjasama pengguna dan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Suruhanjaya Tenaga, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Terima kasih kepada pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka, yang memberikan kerjasama hingga kami berjaya memasang lebih 1.8 juta meter pintar.

“Kejayaan ini membolehkan TNB mendukung usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna melalui penyediaan akses, ketelusan dan kawalan penggunaan tenaga lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemasangan meter pintar adalah satu daripada inisiatif Grid Masa Depan iaitu TNB perlu membuat pelaburan semula berjumlah RM9 bilion hingga RM10 bilion setiap tahun bagi memodenkan Grid Nasional.

“Grid Masa Depan mengadaptasi teknologi pintar, automatik dan digital bagi memastikan kecekapan, keboleharapan dan kelestarian yang maksimum di samping menyokong kelestarian tenaga masa depan,” katanya.

Baharin berkata melalui meter pintar itu serta gabungan portal dan aplikasi myTNB, pengguna boleh memantau corak penggunaan dalam Ringgit Malaysia atau kilowatt-jam (kWj), melihat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil, dan impak penggunaan tenaga terhadap alam sekitar.

Pengguna boleh mengamalkan tip kecekapan tenaga yang boleh dilayari di http://www.tnb.com.my/ untuk memanfaatkan maklumat meter pintar dan mengurangkan pelepasan jejak karbon.

TNB mula memasang meter pintar sejak empat tahun lepas di Melaka dan pemasangannya akan diperluaskan di Semenanjung secara berperingkat supaya 9.1 juta pelanggannya akan mendapat manfaat meter pintar menjelang 2026.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB nasihat pemilik premis tukar nama akaun elak tanggung bil penyewa

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pemilik premis untuk menukar nama pemilik akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa premis melalui proses Change of Tenancy (COT) agar penyewa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik.

TNB memaklumkan melalui langkah itu, pemilik premis dapat mengelak daripada menanggung tunggakan bil elektrik yang ditinggalkan penyewa sekiranya berlaku, dengan permohonan pertukaran nama perlu dilaksanakan oleh penyewa premis yang akan menandatangani kontrak baharu dengan TNB.

“Urusan pertukaran nama ini boleh dilakukan melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan. Langkah-langkah dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi tujuan permohonan pertukaran nama boleh diperoleh di portal myTNB,” menurut TNB dalam kenyataan.

TNB turut memaklumkan sekiranya penyewa telah berhenti menyewa premis, pemilik boleh menukar nama pemegang akaun kepada penyewa baharu atau kembali ke nama pemilik asal, sekiranya tidak menyewakan lagi premis tersebut.

Malah apabila berlaku pertukaran nama pengguna berdaftar daripada pemilik premis kepada penyewa, sebarang permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya akan diterima daripada pengguna berdaftar sahaja, menurut kenyataan itu.

TNB turut menyediakan perkhidmatan menerusi portal dan aplikasi myTNB agar pemilik premis dapat memantau corak penggunaan dan pembayaran bil bulanan penyewa dengan lebih mudah selain membolehkan mereka memastikan pembayaran bil sentiasa dibuat oleh penyewa.

Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, e-mel ke [email protected] atau menerusi Facebook TNB CareLine bagi sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan TNB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rebat 2 sen/kWj bagi setiap pengguna elektrik pada 2021

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pengguna domestik dan industri akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021, demikian diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata dengan pemberian rebat ini, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik antara 3.6 peratus dan 9.2 peratus manakala pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil antara 4.0 peratus dan 5.2 peratus.

Katanya bil elektrik untuk pengguna industri akan menurun antara 4.6 peratus dan 6.1 peratus.

Shamsul Anuar berkata kerajaan bersetuju untuk mengekalkan purata tarif asas Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tahun 2021.

“Rebat yang kali pertama dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Dis 2021,” katanya semasa mengumumkan kadar tariff elektrik baharu bagi tahun depan di sini hari ini.

Katanya kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh kedua tahun 2020.

Ini selaras dengan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Jan – 30 Jun 2021.

“Kerajaaan berharap pemberian rebat ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

TNB, Air Selangor diarah potong bekalan kilang pencemar air

KLANG, 8 SEPT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sudah diarahkan memotong bekalan elektrik dan air di kilang disyaki menjadi punca pencemaran yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas Khamis lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan berkata arahan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi mengelakkan kilang berkenaan dari kembali beroperasi.

“Untuk makluman, kilang tersebut tidak pernah mendapat lesen perniagaan kerana tidak mempunyai pelan kelulusan merancang (KM), sekiranya tiada KM, kita tidak boleh beri lesen.

“Oleh itu tindakan tegas akan diambil, kita akan potong bekalan elektrik dan air supaya mereka tidak lagi beroperasi,” kata Ng Sze Han kepada media berhubung isu kilang penyelenggaraan jentera dikesan mencemarkan air di Sungai Gong, Rawang dekat sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan lesen perniagaan sementara kepada penjaja di Tapak Penjaja Hadapan Econmart, Sungai Bertek dan Tapak Penjaja Simbang Empat, Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, MPS memaklumkan kilang itu dikesan beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sejak 2014 serta tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen.

Pihak berkuasa tempatan itu menampal notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membina bangunan tanpa kebenaran dan sekiranya pemilik gagal memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari, MPS akan merobohkan struktur bangunan didirikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarif elektrik dijangka lebih rendah tahun depan – TNB

BANGI, 3 SEPT: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan kemungkinan berlakunya penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun depan berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas semasa.

Bagaimanapun, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan keputusan itu akan bergantung kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang akan membuat penilaian lebih terperinci sebelum mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.

ST dijangka mengumumkan tarif baharu pada penghujung tahun ini bagi tempoh Januari-Jun 2021 selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau berkata, harga arang batu pada masa ini adalah sekitar RM43 satu tan berbanding RM65 satu tan tahun lepas, sekali gus memberi sedikit penjimatan.

Namun, tegas beliau, penilaian kadar tarif itu akan turut berdasarkan pergerakan dan anggaran harga arang batu dan gas bagi tempoh sehingga penghujung tahun ini.

“TNB adalah di bawah pengawasan ST dan ini berdasarkan skim kawal selia berasaskan insentif (IBRF). Segala perbezaan di antara harga arang batu dan gas akan diletakkan di bawah Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Oleh itu terpulang kepada Kementerian (Tenaga dan Sumber Asli) serta ST (bagi memutuskannya).

“Jika kita lihat, apa yang dibuat oleh kerajaan dalam Mac sehingga hujung tahun ini adalah menggunakan sebahagian wang daripada KWIE bagi tujuan diskaun (untuk pengguna ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) 2020 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Mahdzir berkata YTN telah menerima lebih 7,700 permohonan biasiswa bagi pengajian luar negara serta di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) bagi tahun ini.

Menurutnya, hanya 470 orang yang merupakan pelajar lepasan SPM 2019, telah disenarai pendek dan dipanggil menghadiri temu duga.

“TNB dan YTN berhasrat dapat membentuk pelajar-pelajar ini yang tidak hanya pelajar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memperkasakan bakat kepimpinan tinggi dalam diri mereka.

“Ini bertepatan sekali dengan kriteria pemilihan penerima biasiswa YTN iaitu bukan sekadar kecemerlangan akademik, tetapi faktor kemampuan memimpin, penglibatan aktif dalam sukan serta mempamerkan sikap positif,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kaji tarif elektrik, elak pengguna terbeban

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan digesa menurunkan tarif elektrik bagi mengurangkan beban rakyat, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diminta melanjutkan tempoh bayaran bil kerana ramai rakyat terkesan dengan penularan Covid-19.

“Sekarang bil elektrik melonjak naik. Alasan sangat remeh..kerana Covid-19 kita gunakan lebih tetapi lonjakan itu terlalu tinggi membebankan rakyat.

“Ada yang hantar (tunjukkan) notis kepada saya..mesti kena bayar kalau tak kena potong. Kita gesa TNB lanjutkan pembayaran. Jangan padam (potong) elektrik ikut jadual mereka,” katanya ketika siaran langsung di Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan pihaknya sedang mengkaji semula mekanisme bagi menangani aduan orang ramai mengenai caj bil elektrik tinggi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pengurusan TNB serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama-sama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti beberapa mekanisme untuk menangani rungutan yang disuarakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

6.3 juta pelanggan kediaman terima diskaun hingga 50 peratus – TNB

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Lebih 80 peratus pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mendapat diskaun antara 15 dan 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan dari tempoh 1 April hingga 30 September 2020.

Ketua pegawai runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kadar yang diperkenalkan menerusi pakej PRIHATIN tersebut akan dinikmati oleh pengguna sektor kediaman B40 dan M40 TNB yang berjumlah 6.3 juta daripada keseluruhan lebih 7.5 juta pengguna dalam sektor kediaman.

Di bawah pakej PRIHATIN, syarikat utiliti tersebut menawarkan diskaun bil tenaga pada 50 peratus bagi penggunaan tenaga di bawah 200 kilowatt, 25 peratus antara 201 dan 300 kilowatt dan 15 peratus antara 301 dan 600 kilowatt.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik pada tempoh tersebut.

“Seramai 6.3 juta pengguna kediaman daripada 7.5 juta adalah pengguna di bawah kategori B40 dan M40. Dalam erti kata lain, 85 peratus daripada pelanggan Tenaga Nasional akan mendapat diskaun antara 15 hingga 50 peratus,” katanya dalam program berita Buletin Utama TV3, baru-baru ini.

Kerajaan menerusi TNB memperuntukkan RM530 juta untuk pemberian diskaun berperingkat itu bagi tempoh enam bulan.

Selain itu, TNB turut memperkenalkan Pelan Bayaran Mudah yang ditawarkan secara automatik kepada lebih 7.5 juta pengguna sektor kediaman bagi menyelesaikan bil elektrik mereka yang tertunggak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Megat Jalaludin berkata menerusi pelan tersebut yang ditawarkan secara automatik, pengguna diberi kelonggaran untuk membuat pembayaran secara ansuran sehingga Disember tahun ini, sambil membayar bil semasa.

“Bagaimanapun bagi pengguna yang ingin menjelaskan sepenuhnya (bil mereka) boleh saja berbuat demikian tanpa terikat dengan Pelan Bayaran Mudah. Tapi kita menggalakkan supaya pengguna menggunakan skim bayaran mudah ini yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata untuk pelan berkenaan, pengguna boleh merujuk kepada bil sebenar semasa yang dikeluarkan TNB, yang terletak pada hujung sebelah kanan dalam kotak berwarna kuning.

Di dalam bil sebenar semasa, jumlah bayaran penuh akan tertera disamping jumlah bayaran minimum ansuran sekiranya pengguna memilih skim berkenaan.

Turut dilaksanakan, katanya, pengecualian surcaj lewat bayar sehingga akhir September dan penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kejayaan TNB kerana berani melawan arus – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Kejayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih pelbagai pengiktirafan adalah kerana berani melakukan perubahan walaupun dianggap melawan arus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu meletakkan TNB sebagai satu daripada “success story” dasar dan program penswastaan yang diperkenalkan sebelum ini.

“Bank Dunia dalam laporannya – Doing Business 2020 – menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga ke-4 bagi urusan mendapatkan elektrik. Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara/ekonomi dan pencapaian kita adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011, yang mana kita berada di tangga ke-60.

“… dan kejayaan ini telah secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur di ibu pejabat TNB di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dr Mahathir berkata melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1983, TNB yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) adalah antara agensi kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan.

“Antara objektif utama penswastaan adalah mengurang beban kewangan kerajaan. Pada masa yang sama ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu sendiri, termasuklah kakitangannya.

“Hasil penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini termasuk perkhidmatannya bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan berdasarkan prestasi.

Selain itu, katanya, lebih 60 peratus saham TNB dipegang oleh pelbagai Syarikat-Syarikat Pelabur Berkaitan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan.

Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati oleh para pelabur, tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.

“Kita merenung kembali perubahan dan pencapaian TNB sejak penswastaan supaya kita sedar bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha dan perancangan lampau,” katanya dan menambah kata TNB sudah tiga kali merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaru bagi tahun 2019.

Beliau kemudian mengucapkan tahniah kepada TNB dan warganya serta merakamkan penghargaan atas usaha syarikat itu yang terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB rancang pasang 9.1 juta meter pintar

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Hampir setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia tidak lama lagi akan mendapat kemudahan untuk mengesan corak dan penggunaan tenaga elektrik menerusi Advance Metering Infrastructure (AMI) atau meter pintar.

Ini berikutan rancangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memasang 9.1 juta meter pintar menjelang 2026 untuk memudah cara faedah AMI secara menyeluruh untuk pelanggannya, sebagaimana dimandatkan Suruhanjaya Tenaga.

Pengarah Operasi Industri Suruhanjaya Tenaga, Roslee Esman berkata di bawah Tempoh Kawal-Atur 2 (RP2) dari 2018 hingga 2020, sejumlah 1.5 juta meter pintar dijadualkan dipasang di premis pelanggan di Melaka dan kawasan tertentu di Lembah Klang.

Pada masa ini, beliau berkata hampir 300,000 meter pintar telah berjaya dipasang di Melaka di bawah RP2 Fasa 1 dalam 2018 sementara 1.2 juta lagi akan dipasang menjelang 2020 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya/Cyberjaya di bawah Fasa 2.

“Kami menyokong sepenuhnya langkah ini, dan RM1.2 bilion akan dibelanjakan untuk ini dalam tempoh tiga tahun (dari 2018 hingga 2020) di bawah RP2.

“Sementara 9.1 juta rumah kediaman dijangka dipasang dengan meter pintar menjelang 2026 (RP4),” katanya pada sidang akhbar selepas satu taklimat media TNB mengenai pemasangan meter pintar itu di sini hari ini.

Ditanya sama ada kos meter pintar akan berubah menjelang 2026, Roslee berkata beliau positif bahawa harga akan turun berdasarkan kemajuan teknologi.

“Kos RM1.2 bilion (kos RP2) adalah berdasarkan teknologi semasa. Harga (meter pintar) dari RP2 hingga RP4 akan menurun sewajarnya,” kata beliau.

Mengenai perkembangan lain, Pengarah Projek (AMI-Lembah Klang) Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB, Mohamed Ghous Ahmad berkata TNB sudah mendirikan 200 tiang untuk penghantaran data sejak April tahun ini di sekitar Lembah Klang.

“Kami tidak memasang meter pintar lagi kerana kami masih memasang tiang untuk mendapatkan sistem rangkaian. Kami akan memasang 740 tiang lagi secepat mungkin supaya kami boleh mula memasang meter,” kata beliau.

Mengulas berkenaan dakwaan meter pintar mengancam kesihatan, pakar daripada Pusat Komunikasi Wayarles Universiti Teknologi Malaysia, Chua Tien Han menyanggah pandangan sedemikian kerana meter pintar memancarkan paras radiasi yang amat rendah.

Beliau berkata meter pintar menggunakan gelombang frekuensi radio, sama seperti telefon pintar dan pendedahan radiasi adalah sangat kecil sebagai perbandingan.

“Jangan risau, meter pintar adalah selamat. Itu adalah persepsi umum, mereka fikir teknologi baharu akan mempunyai radiasi yang tinggi. Sebenarnya tidak,” katanya.

Turut hadir pada taklimat media itu Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman.

Dalam ucapan pembukaannya, Afifah berkata pemasangan meter pintar juga akan melonjakkan ekonomi negara kerana ia membuka peluang pelaburan untuk syarikat melibatkan diri dalam inisiatif itu, pada masa yang sama menjana 5,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata meter pintar juga diguna pakai di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Jepun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TNB: Amal penggunaan penghawa dingin secara bijak

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar mengamalkan penggunaan pendingin hawa secara bijak ketika fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

TNB dalam kenyataan medianya hari ini berkata, ia adalah untuk mengelakkan pengunaan tenaga yang tinggi dan memastikan penggunaan elektrik diuruskan dengan lebih baik.

“Antara langkah penjimatan penggunaan tenaga yang mudah dipraktikkan ialah melaraskan suhu sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah Celsius; menyenggara pendingin hawa secara kerap dan menutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar bilik,” kata kenyataan itu.

TNB turut menasihati pengguna agar lebih kerap menukar dan membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan potensi penyejukan kerana penapis kotor akan menghalang udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

“Pada waktu malam, pasang kipas dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Kos menggunakan kipas adalah lebih murah selain membantu pengedaran udara dalam bilik,” kata kenyataan itu.

Pengguna juga digalak menggantikan pendingin hawa yang lama kerana ia tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

Bagi pengguna yang ingin membeli pendingin hawa baharu, dicadangkan supaya memilih model yang mempunyai bilangan bintang kecekapan tenaga paling tinggi. Lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut Iebih cekap tenaga.

“Pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat iaitu bersesuaian dengan saiz bilik juga penting kerana kapasiti kuasa kuda (horsepower) pendingin hawa yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal, malah menggunakan tenaga elektrik yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TNB-tiga syarikat kerjasama bangun projek rumah pintar

 

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Energy Services menerusi anak syarikatnya, Maevi Sdn Bhd, menandatangani perjanjian persefahaman bersama tiga syarikat sebagai rakan strategik bagi sistem pengurusan tenaga dan projek rumah pintar.

Dalam perjanjian persefahaman tersebut, Maevi akan bekerjasama dengan dua syarikat berkaitan hartanah – Protasco Bhd dan Tan & Tan Development Bhd – serta syarikat perunding perisian dan kejuruteraan, DGB Bhd.

Perjanjian persefahaman bersama Protasco bertujuan membekal dan memasang perkhidmatan rumah pintar Maevi untuk projek pembangunan perumahan, kata TNB dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama bersama Tan & Tan Development pula bagi menjalin kerjasama pintar dalam kecekapan pengurusan dan pemantauan aset IGB Bhd.

Tan & Tan Development ialah anak syarikat milik penuh IGB.

Perjanjian persefahaman bersama DGB Berhad pula melibatkan kerjasama bagi meneroka pasaran pengurusan tenaga melalui program pengedaran bersama, kata TNB.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

TNB: Bukan semua permintaan dapat dipenuhi

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 21 JAN: Bukan semua permintaan penduduk berhubung isu pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu ditunaikan.

Pengurus Besar Kanan TNB, Husaini Husin berkata, permintaan itu kebiasaanya tertakluk kepada faktor lain seperti tapak tanah dan kos kerja terlibat.

“Kita tidak mahu penduduk beranggapan semua permintaan boleh TNB penuhi dan persoalkan mengapa kita melayan setengah kumpulan penduduk dan tidak kumpulan lain.

“Sebenarnya, sebarang keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keutamaan serta bukan berdasarkan ‘favoritism’.

“TNB bersikap profesional dan neutral pada masa sama dalam melayani sebarang aduan,” katanya di hadapan kira-kira 30 penduduk.

tnb logo 1Beliau berkata demikian di Majlis Kesyukuran penyelesaian Isu Alihan Tapak dan Jajaran Tiang TNB, di The Takun Templer Park Resort, di sini, hari ini.

Majlis turut disertai Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abdul Rahman.

Terdahulu, hadirin dimaklumkan dua menara pencawang berhampiran kediaman berkenaan bakal dianjakkan daripada tapak asal.

Zaidy berkata, anjakan itu dipersetujui TNB berasaskan faktor terdapat ruang mencukupi bagi melakukannya.

“Di belakang sana terdapat tanah luas milik kerajaan sehingga kawasan sebelum sungai, jadi tiada masalah mengalihkannya cuma terpaksa melibatkan kos tertentu.

“Situasi ini berbeza sekiranya pencawang terletak di kawasan terhad dan tiada ruang untuk dianjakkan,” katanya.

-nR-