Categories
SELANGOR

SELCAT Cadang Yayasan Selangor Jadi Badan Berkanun

SHAH ALAM, 6 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) akan mencadangkan kerajaan negeri supaya meluluskan satu enakmen untuk menjadikan Yayasan Selangor sebahagian daripada badan berkanun.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berjata, Yayasan Selangor kini adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah pendaftaran syarikat dan tidak tertakluk kepada pemantauan ketua audit.

Jelasnya, cadangan ini masih di peringkat awal dan akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Saya rasa mungkin sudah sampai masanya, tetapi ia melibatkan proses undang-undang yang rumit kerana Yayasan sekarang adalah sebuah syarikat. Tetapi saya akan serahkan perkara ini kepada kerajaan negeri kerana pihak SELCAT baru menerima gambaran dan maklumat lengkap.

Dalam mesyuarat SELCAT akan datang, kita akan mendalami perkara ini sebelum kita membuat rumusan bertulis dan laporan bertulis kepada pihak Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang jawapan berulang yang diberikan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki semasa sesi pendengaran awam hari ini, Teng menjelaskan ia berlaku disebabkan Ilham bukanlah seorang pegawai kerajaan, sebaliknya dilantik dari luar.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak kerajaan memberi taklimat atau kursus insentif di masa akan datang sekiranya ingin melantik individu perseorangan untuk menjawat sebarang jawatan bagi memahami tugasan mereka.

“Saya kira ada hikmah daripada kes Yayasan Selangor ini walaupun ada sedikit kelemahan. Tetapi ketirisan yang dilaporkan itu berlaku pada masa yang singkat, jadi secara tidak langsung jawapan yang diberikan berulang-ulang,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Teng, secara keseluruhannya, pihak SELCAT berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Yayasan kerana terdapatnya pengakuan jujur, sekaligus membincangkan langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah yang berlaku.

Beliau turut memuji tindakan Yayasan yang memulangkan semula kesemua elaun yang dibayar kepada ahli lembaga pengarah sewaktu menghadiri mesyuarat.

Ia adalah merujuk kepada laporan audit dalaman pejabat Setiausaha kerajaan Negeri yang menunjukkan ahli lembaga pengarah yang menghadiri mesyuarat akan dibayar antara RM50 hingga RM500 setiap kali bermesyuarat.

“Elaun-elaun mesyuarat yang dibayar telah dikembalikan semula termasuk bayaran kepada pakar. Saya rasa kalau pakar, tidak adil jika tidak dibayar. Cuma soalnya, adakah kadarnya munasabah.

Perkara itu kita serahkan kepada pihak pengurusan sama ada bayaran itu munasabah atau tidak. Apa yang jelas, kakitangan yang terlibat dalam mesyuarat tersebut tidak harus dibayar elaun yang tinggi atau tidak perlu dibayar langsung dan perkara ini telah dibetulkan,” jelasnya beliau ketika sidang media sejurus selepas sesi SELCAT hari kedua berakhir.

Sesi SELCAT akan bersambung esok setelah bermula semalam.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Yayasan Perlu Hentikan Majlis Tidak Berkepentingan

SHAH ALAM 6 MAC: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menasihatkan Yayasan Selangor supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak menganjurkan program yang tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan matlamat yayasan berkenaan.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata, berdasarkan kesimpulan laporan perbelanjaan untuk empat majlis yang dilaksanakan Yayasan Selangor menelan belanja hampir RM1.4 juta.

Empat majlis yang dimaksudkan adalah Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40, Majlis Korban Perdana, Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Sambutan Aidilfitri.

Katanya tindakan ini dianggap boros memandangkan terdapat banyak perbelanjaan tambahan dan melibatkan tander terhad.

“Program seperti majlis aidilfitri misalnya saya rasa boleh dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kalau semata-mata untuk jabatan, kita mempunyai banyak jabatan dibawah kerajaan negeri. Ianya akan memakan belanja yang banyak,” katanya.

Perbelanjaan Majlis Makan Perdana sempena Majlis Ulangtahun ke-40 terdiri daripada empat perkara iaitu jamuan makan perdana (RM270,750), Pertandingan Memancing (RM179,000), Cenderamata (RM52,900) dan lain- lain perbelanjaan (RM396,370).

Untuk Majlis Berbuka Puasa, jumlah perbelanjaan bernilai RM167,400, Majlis Jamuan Aidilfitri sebanyak RM303,476 manakala Majlis Korban Perdana bernilai RM44,452.

Selain itu, penggunaan tander terhad juga seperti tidak relevan memandangkan syarikat yang dipanggil untuk memasuki tander dimaklumkan melalui panggilan telefon.

Dalam maklum balas oleh Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata pihaknya telah melakukan perubahan yang besar berhubung segala perbelanjaan mulai 2011.

“Majlis Jamuan Hari Raya pada tahun lalu yayasan cuma memperuntukan RM1,000 sahaja.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Kesal Dengan Tuduhan Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) melahirkan kekesalan terhadap tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap penyelewengan dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), namun tidak tampil mengemukakan sebarang bukti.

Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim berkata, SELCAT sebagai jawatankuasa dewan hanya berkuasa untuk membuat siasatan berdasarkan bukti yang dikemukakan, tetapi tidak mempunyai kuasa untuk membuat rampasan, sitaan dan menangkap orang perseorangan bagi mendapatkan keterangan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak-pihak tertentu yang suka membuat tuduhan sama ada tehadap jabatan kerajaan mahupun anak-anak syarikat negeri Selangor untuk membentangkan bukti.

“Saya rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah membuat kenyataan dan tuduhan terhadap KSSB dan SELCAT, yang kononnya banyak bukti tetapi langsung tidak membantu pihak Selcat dalam pendengaran awam.

Kita memang mengalu-alukan bukti tersebut. Tanpa bukti tersebut, kita tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya bergantung kepada bukti yang dibentangkan. Adalah lebih baik sekiranya kita mendapat laporan berhubung perkara berkenaan,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan pendengaran Awam Selcat pagi tadi.

Teng berkata, isu penyelewengan yang dibangkitkan terhadap KSSB ini tidak mempunyai laporan audit, sebaliknya hanya berdasarkan kepada laporan negatif oleh pihak tertentu.

Sementara bagi pendengaran awam ke atas Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan turut didengar pada hari berikutnya, ia bergantung kepada laporan audit yang disediakan.

Justeru jelasnya, tugas SELCAT akan menjadi lebih mudah kerana mendapat bantuan dan rujukan daripada laporan audit kedua-dua syarikat berkaitan (GLC) kerajaan Selangor tersebut.

Beliau dalam pada itu turut berharap supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih mendalam lagi peranan sesebuah jawatankuasa dewan seperti Selcat yang hanya bertindak berdasarkan laporan atau bukti yang diterima.

“Ada menteri yang menuduh SELCAT ibarat mati hidup semula. Tapi sekurang-kurangnya Selcat hidup semula. Tapi menteri ini perlu tahu kalau di parlimen yang sudah bersidang lebih 50 tahun, jawatankuasanya seperti hidup segan mati tak mahu. Itu lagi teruk.

Tetapi dalam SELCAT kita dapat menjalankan beberapa pendengaran awam ke atas tuduhan-tuduhan terhadap jabatan kerajaan dan berdasarkan laporan audit kita berjaya mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran dalam kerajaan sama ada kelemahan itu berpunca daripada kerajaan dahulu atau sekarang tanpa perlu menyorokkan apa-apa,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa terdapatnya kegiatan rasuah dengan pemberian permit perlombongan pasir dan mencabar kerajaan negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun Noh tidak mengemukakan sebarang prosiding bagi membolehkan beliau memberi keterangan dalam sesi SELCAT.

 

 

Categories
NASIONAL

Noh Omar Tak Buat Permohonan Hadir SELCAT

SHAH ALAM 2 MAC: Setakat ini tiada permohonan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar untuk memberi keterangan di dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Hari ini adalah peluang terakhir bagi orang awam memohon untuk memberi keterangan di dalam sesi tersebut yang akan bermula Isnin hingga Rabu depan.

Mereka yang tidak mendapat kelulusan permohonan tidak akan diberi peluang untuk memberi keterangan di dalam pendengaran tersebut.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim, berkata orang awam yang ingin memberi keterangan di dalam sesi SELCAT mesti mendapat persetujuan jawatankuasa tersebut terlebih dahulu melalui permohonan bertulis.

Ini bagi melancarkan proses pendengaran dengan memastikan setiap keterangan atau bukti yang hendak diberi relevan dengan kes yang akan bincangkan.

?Kalau kita beri peluang kepada siapa-siapa untuk datang beri keterangan tanpa permohonan, orang itu boleh datang dan cakap apa sahaja yang dia suka samada ia relevan atau tidak dengan kes yang hendak dibincangkan.

?Ini akan mengambil masa SELCAT. Jadi setiap orang yang mahu memberi keterangan mesti memohon dulu supaya kita dapat pastikan yang keterangannya relevan,? kata Teng, apabila dihubungi TVSelangor hari ini.

Minggu lepas, Teng dan setiausaha politik Menteri Besar Selangor Faekah Hussin telah mengesa Noh agar tampil memberi keterangan dan bukti kepada SELCAT.

Ini berikutan dakwaan Noh yang beliau mempunyai bukti penyelewengan di dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan (GLC) kerajaan Selangor.

Pendengaran awam Selcat kali ini melibatkan tiga kes GLC. Selain KSSB, kes yang melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut akan didengar.

Yayasan Selangor dipanggil berkenaan satu laporan audit dalaman tentang perlantikan pengurus besarnya.

Manakala dua anak syarikat PKPS, PKPS Agro-industri dan PKPS Premium Agro Produks dipanggil berkenaan pinjaman RM180 juta yang diambil bagi membeli peralatan pertanian.

ends

 

Categories
SELANGOR

Pendengaran Awam Selcat isu pasir 5 – 7 Mac

SHAH ALAM 20 FEB : Jawatankuasa Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam bagi tiga kes pengurusan anak syarikat kerajaan Selangor termasuk yang mengendalikan perlombongan pasir.

Pendengaran awam tersebut akan di adakan pada 5 hingga 7 Mac dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang dakwaan berlaku penyelewengan di dalam kontrak pasir di Selangor, samada menteri, blogger atau individu, diminta tampil ke hadapan.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim meminta orang awam memberi keterangan bertulis kepada Selcat supaya jawatankuasa itu boleh menentukan samada ia ada kaitan dengan kes-kes yang akan didengarkan nanti.

“Saya harap beberapa pihak yang mendakwa mereka mempunyai bukti penyelewengan dalam jabatan kerajaan atau Kumpulan Semesta atau PKPS atau Yayasan Selangor memaklumkan kepada pihak kami supaya kami dapat mengesahkan kaitan keterangan yang meraka akan berikan,” katanya di dalam satu sidang akhbar di sini.

Teng berkata tiga kes itu termasuk dakwaan ada penyelewengan di dalam pemberian kontrak perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)

Tambahnya, Selcat juga akan memanggil pegawai tertinggi Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi memberi keterangan.

Yayasan Selangor dipanggil berkenaan satu laporan audit dalaman tentang perlantikan pengurus besarnya.

Manakala dua anak syarikat PKPS, PKPS Agro-industri dan PKPS Premium Agro Produks dipanggil berkenaan pinjaman RM180 juta yang diambil bagi membeli peralatan pertanian.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau mempunyai bukti tentang penyelewangan kontrak pasir KSSB dan akan tampil memberikan keterangan kepada Selcat.

Teng menjelaskan tujuan pendengaran awam tersebut adalah bagi memperbaiki cara pentadbiran kerajaan selangor dan anak syarikat dibawahnya dan bukan untuk menyiasat atau mendakwa sesiapa yang salah.

“Bidang kuasa dan fungsi Selcat dan polis dan SPRM berlainan. Selcat bertumpu kepada pentadbiran dan pemantauan.”

“Kita lebih lihat dari segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawapan dan ketelusan.

“Sementara itu kalau ada orang yang melakukan kesalahan jenayah, samada di bawah bidang kuasa polis atau SPRM, maka mereka perlu jalankan siasatan berdasarkan undang-undang berkenaan.”jelas Teng lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng Chang Kim: SELCAT Minta Noh Beri Keterangan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar keterangan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata Noh boleh berhubung dengan jawatankuasa SELCAT bagi membolehkan beliau mengemukankan pendengaran dan pembuktian berhubung pelbagai isu.

“Bukan sahaja isu pasir malah apa sahaja isu boleh di kemukakan kepada SELCAT.

“SELCAT tidak memilih bulu dan segala tindakan juga tidak memilih sesiapa sama ada menteri, Menteri Besar atau perdana Menteri sekali pun.” ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, Noh perlu mengikuti prosiding yang ditetapkan supaya semua dapat berjalan secara lancar.

“SELCAT tidak akan memanggil Noh untuk memberi keterangan kerana SELCAT tidak akan menjadikan kenyataan media sebagai asas untuk memanggil seseorang untuk memberi keterangan.

“Sebagai sebuah institusi dibawah kuasa Dewan Undangan Negeri SELCAT tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan media Noh.

“Sekiranya Noh mahu memberikan keterangan dan membuktikan apa-apa berhubung apa sahaja isu, beliau dipersilakan untuk berbuat demikian.”kata beliau yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam kenyataan media semalam, Noh berkata beliau sendiri akan hadir dan tampil bersama saksi dan bukti kepada SELCAT.

Noh berkata beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang bakal dikemukakan kerajaan negeri sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Lembaga Pengarah Bebas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) dan Transparency International bertemu Noh untuk mendapatkan keterangan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Noh Omar Dicabar Tidak ‘Lidah Bercabang’ Cabar Selcat

SHAH ALAM,3 JANUARI : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar digesa agar tidak bersikap ‘lidah bercabang’ dalam mempersoalkan kedudukan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sedangkan pada masa yang sama pimpinan Umno dan Barisan Nasional itu tidak mengiktiraf Selcat di sisi undang-undang.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim yang dihubungi Selangor Kini berkata pendirian Noh Omar yang mempersoalkan kes Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dilihat tidak konsisten apabila mencabar Selcat ke mahkamah dengan alasan tidak mengikut perlembagaan.

” Saya minta Noh Omar menyatakan pendirian sebenarnya, jika Selcat itu sah, maka mengapa Umno mencabar kedudukan Selcat di mahkamah, kalau dia cabar Selcat daripada segi kedudukan undang-undang, maka mengapa Noh Omar amat mengharapkan Selcat melaksanakan siasatan, apa pendiriannya yang sebenarnya pimpinan Umno ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Noh Omar mencabar Chang Kim untuk memperjelaskan situasi sebenar perjalanan kes KSSB dalam jawatankuasa tersebut yang turut menuduh Chang Kim mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyelesaikan kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berbanding Barisan Nasional (BN).

” Berhubung siasatan terhadap Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), semasa kes itu ditangguhkan pada masa itu dalam proses pendengaran telah pun dimaklumkan yang mana pendapat Selcat pada masa itu tidak ada bukti-bukti rasuah .

“Dan sebenarnya, saksi-saksi yang perlu hadir dalam kes ini telahpun menarik diri, justeru sebenarnya kes-kes seperti ini bergantung kepada kerjasama pegawai kerajaan dan orang ramai , kalau mereka tidak memberikan keterangan maka tidaklah dapat Selcat membuat sebarang rumusan,” jelas Chang Kim.

Menurut Chang Kim lagi, Selcat yang hanya dianggotai seramai tujuh anggota mempunyai bidang tugas dan kuasa yang terhad berbanding agensi PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh membuat serbuan dan tangkapan dalam siasatan sesuatu kes.

” Selcat hanya boleh menyaman orang agar datang kepada kita, namun jika kita mengkehendaki seseorang itu hadir tetapi beliau sendiri tidak mahu hadir memberikan sebarang keterangan, maka Selcat pun tidak mempunyai apa-apa kuasa lain.

“Orang Umno yang disaman untuk hadir sendiripun tidak datang, seperti kes Khir Toyo dan isterinya yang tidak mahu hadir . Jadi dalam keadaan orang Umno sendiri yang tidak mahu memberikan kerjasama, maka bagaimana mahukan rumusan yang sempurna daripada Selcat,” katanya.

Justeru, Chang Kim mencabar Noh Omar agar membawa kes KSSB kepada SPRM jika yakin mempunyai asas dan bukti rasuah kerana SPRM mempunyai kuasa yang lebih luas berbanding Selcat.

” Seperti kes Khir Toyo dalam isu Balkis yang mana Selcat sudah mengeluarkan keputusan, pihak kerajaan persekutuan tidak membuat apa-apa tindakan.

“Jadi Noh Omar kena fahamlah yang mana dia pun peguam dan menteri yang lama di Parlimen, jadi dia perlu tahu bidang kuasa antara Dewan Undangan Negeri dan bidang kuasa Parlimen,” katanya.