Categories
AGENSI SELANGOR

Sultan bimbang kes Covid-19 tinggi di Selangor – Tengku Permaisuri

SHAH ALAM, 11 DIS: Kes Covid-19 yang tinggi di Selangor menjadi kebimbangan utama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj setiap hari.

Perkara itu didedahkan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin apabila baginda sentiasa ingin mengetahui statistik terkini wabak berkenaan.

“Jikalah rakyat dapat menyaksikan betapa paniknya Tuanku bila melihat statistik kes harian, terutama bila kes di negeri ini meningkat. Soalan yang biasa ditanya Tuanku kepada saya setiap hari pada jam 6.30 petang “ahhh hari ni Selangor berapa ramai?”.

“Jadi, untuk rakyat di Selangor dan semuanya di Malaysia, ketahuilah anda semua di dalam doa baginda Tuanku, sentiasa…,” titah Tengku Permaisuri Norashikin menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berkongsi ingatan itu menerusi ucapan istimewa sempena Ulangtahun Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut bertitah, sambutan kali ini jelas berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya berikutan tiada perayaan yang akan diadakan pada hari istimewa Sultan Sharafuddin.

“Sempena hari istimewa baginda Tuanku, patek terus mendoakan semoga ALLAH SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindunganNya, serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dikurniakan segala taufik dan hidayah semoga dapat memerintah Selangor dengan adil dan saksama,” titah baginda lagi.

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin sambut ulang tahun ke-49 hari ini

SHAH ALAM, 4 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-49 hari ini.

Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini memaklumkan buat julung kalinya sempena ulang tahun itu baginda mengenakan perhiasan mahkota yang pernah dipakai nenda DYMM Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj iaitu Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Raja Jemaah.

“Merafak sembah tahniah dan ucap selamat sempena Ulang Tahun Hari Kelahiran Yang Ke-49 DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

“Semoga Allah swt lanjutkan usia tuanku dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan.

“Semoga tuanku dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, dunia dan akhirat. Daulat Tuanku!,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Dari bilik berita ke singgahsana

“Assalamualaikum. Salam sehati sejiwa. Nasional 8 bersama saya Norashikin Abd Rahman.” Tepat jam 8 malam pada tanggal 31 Ogos 2016, berkumandang di televisyen suara lunak dan penuh kelembutan.

Ayat itu diungkap pada hari bersejarah negara dan hari paling bermakna buat penyampai pemberita berkenaan, namun penonton tidak sedar betapa istimewanya berita itu. Ia dibaca oleh Tengku Permaisuri Selangor!

Sebelum tampil buat kali terakhir di kaca televisyen malam itu, baginda diijabkabulkan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sebelah pagi.

Norashikin, yang datang ke masjid istana sebagai wartawan biasa, kemudian meninggalkan tempat pernikahan diraja sebagai permaisuri Selangor.

Kehidupan awal baginda sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan cukup indah dalam buku ‘My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’.

Mengenang kisah itu, Tengku Permaisuri Norashikin bersolek sendiri dan memandu ke Masjid Istana Diraja, Klang untuk majlis istimewa itu, malahan baginda sempat menghantar Sultan Sharafuddin ke Istana Mestika sebelum menyambung tugas di Angkasapuri.

Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa Tengku Permaisuri Selangor tidak bercuti pada hari itu? Namun, baginda mempunyai alasan tersendiri, yang jelas menunjukkan amanah dan tanggungjawab terhadap kerjayanya selama dua dekad.

Tengku Permaisuri Norashikin sebenarnya bimbang rahsia pagi itu terbongkar terutama dalam era media sosial kerana pemakluman pernikahan tersebut hanya dibuat beberapa hari kemudian. Namun, bahasa tubuh dan perbualannya pada malam itu berjaya menenggelamkan sebarang syak.

Seusai menyampaikan berita utama, baginda membaca pesanan WhatsApp daripada kakaknya: “Cincin berlian di jari itu sungguh menyilau mata kakak. Tolonglah sorokkan sikit.”

“Hahaha. Rahsia saya masih tersimpan kukuh,” jawab baginda.

Pada malam itu, baginda meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyampai berita selepas berkhidmat sejak 1996. Tengku Permaisuri Selangor pernah berkhidmat sebagai pramugari antara 1987 hingga 1994.

Baginda mahu meneruskan khidmat di RTM tetapi Dewan Diraja Selangor pastinya tidak dapat menunaikan hasrat tersebut. Dalam buku berkenaan, yang dilancarkan pada 16 Disember tahun lalu, beberapa foto eksklusif majlis pernikahan tersebut turut dimuatkan.

Cerita di balik tabir

Selain jalan cerita di sebalik tabir yang disampaikan dengan dekat dan lancar, foto-foto eksklusif dalam buku setebal 133 halaman ini pasti menjadi rakaman sejarah yang memikat perhatian pembaca.

Dalam karya karangan kakak baginda Datin Dr Norely Abd Rahman, Tengku Permaisuri Norashikin berkongsi cerita ditegur kerana tidak menutup aurat dengan sempurna di sebuah masjid ketika mahu menunaikan solat sunat Aidiladha.

Wanita itu menegur “Saya berharap tuanku dapat menutup aurat dengan sempurna apabila ke masjid sekali lagi”. Walau agak tersentak, baginda berharap wanita itu memahami keadaan yang berlaku sebelum ke masjid berkenaan.

Kemuliaan hati Tengku Permaisuri Selangor terserlah apabila sangat menghargai teguran dan mendoakan kesejahteraan wanita berkenaan serta berharap baginda dapat menjadi muslimah yang lebih baik.

Pengalaman pertama ketika mengiringi Sultan Sharafuddin ke acara rasmi yang berprestij di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur pada 17 September 2016 turut dikongsi Tengku Permaisuri Norashikin. Perasaan gementar, penampilan dan tingkah laku baginda turut digambarkan.

Sewaktu majlis tiga toast diadakan, baginda yang baru dua minggu bersama Tuanku Sultan tidak jelas bagaimana harus berdiri. “Beta tidak pasti patut berdiri pada kali pertama atau duduk sahaja, jadi beta hanya menunggu isyarat Tuanku,” buku itu dipetik.

Lawatan pertama Tengku Permaisuri Norashikin ke rumah penjagaan warga emas yang dikendalikan Lembaga Zakat Selangor dan mangsa banjir pasti menyentuh hati.

Tidak kekok

Sebelum berangkat pulang, seorang penghuni wanita berbisik dan mengatakan cucunya juga mempunyai nama “Norashikin”.

“Beta memeluknya lembut dan berkata ia adalah nama yang istimewa,” cerita baginda lagi, yang menyifatkannya penamat lawatan yang indah itu. “Beta pasti akan senantiasa mengingati makcik ini dan cucunya Norashikin.”

Baginda juga tidak kekok dan sedia turun padang apabila diundang oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat mangsa banjir di Klang pada malam 19 Oktober 2016.

Sifat keperibadian dan rendah diri baginda amat menenangkan dan boleh menjadi contoh tauladan kepada rakyat jelata, seperti diceritakan apabila Tengku Permaisuri Selangor tidak memparkir di kawasan VVIP selepas satu acara larian.

Selepas itu, baginda bersama keluarga menikmati nasi lemak yang terkenal di Kampung Baru, tempat baginda membesar.

Selain itu, pengalaman manis pada sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Selangor ke-71 apabila baginda harus berlatih beberapa kali untuk mengikut protokol yang tetapkan.

Langkah demi langkah diatur kerana baginda perlu mendahului senarai penerima darjah kebesaran tertinggi, Darjah Kerabat (D.K.) pada 11 Disember 2016. Selepas perkahwinan, baginda dianugerah pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.).

Rindu kebebasan

Tengku Permaisuri Norashikin digambarkan melalui buku ini sebagai seorang yang ringkas. Baginda yang sangat merendah diri serta tidak lokek dengan senyuman disifatkan penyeri hati rakyat Selangor.

Baginda membawa Tuanku menziarahi rumah ibu bapa baginda tanpa polis atau pengiring ketika sambutan Aidiladha.

Bab terakhir buku ini menggambarkan bagaimana baginda terkenang-kenangkan akan kebebasan sebagai rakyat biasa. Untuk bergelar insan istimewa, cerita baginda, ramai orang hanya boleh bermimpi tetapi baginda sedar bahawa kehidupan baharunya itu bukanlah pelangi yang sentiasa indah.

“Beta rindukan kebebasan seperti sebelum bergelar Permaisuri. Makin sukar untuk tidak dikenali waktu ke kedai dan membeli-belah. Hari-hari kebebasan berpakaian beta juga berakhir. Jika dahulu tiada siapa kisah apa yang disarungkan tetapi sekarang beta akan dinilai dengan teliti oleh orang awam dan cakap-cakap mereka, positif atau negatif, boleh tersebar meluas.”

Namun baginda lega apabila pendandan rambutnya ketika hari pernikahan masih tidak menyedari siapa baginda sebenar sehingga hari ini.

Baginda menjelaskan Tuanku berpesan supaya menjadi diri sendiri dan perlu terus seperti sekarang.

Dicetak 1,500 naskhah, ‘My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’ boleh diperolehi di Galeri Diraja Klang dengan harga RM160. Sebahagian hasil jualan disumbangkan kepada SPCA Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin serikan Majlis Ramah Mesra PUSPANITA

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA), hari ini.

Ketibaan baginda disambut Penaung PUSPANITA, Masdiana Muhamad dan Pengerusi PUSPANITA Selangor, Datin Habbulmatain Maliki di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Tengku Permaisuri Norashikin (dua,kiri) bersama Masdiana Muhammad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli PUSPANITA yang mengalami masalah kesihatan ketika Majlis Ramah Mesra Tengku Permaisuri Selangor Bersama PUSPANITA Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 18 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Baginda berkenan melafazkan ucapan perasmian, sekali gus menyempurnakan gimik majlis dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua ahli badan bukan kerajaan terbabit yang mengalami masalah kesihatan.

Pada masa sama, Tengku Permaisuri turut berkenan berangkat ke gerai pameran PUSPANITA yang mempamerkan pelbagai barangan buatan antaranya tulisan khat, anyaman, kerepek, kraftangan dan produk tradisional.

PUSPANITA Selangor adalah badan bukan kerajaan bernaung di bawah PUSPANITA Kebangsaan yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1983.

Sehingga kini, PUSPANITA Selangor mempunyai kira-kira 7,583 ahli dianggotai penjawat awam wanita dan isteri kepada kakitangan Kerajaan Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tengku Permaisuri kesal insiden penangkapan anjing secara ganas

SHAH ALAM, 7 OKT: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa kesal berhubung insiden anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas yang tular menerusi sebuah klip video dalam media sosial baru-baru ini.

Tengku Permaisuri Selangor, yang juga Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya itu masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran telah dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

“Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas.

“Di sini saya ingin menggesa agar pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes membabitkan haiwan terbiar di jalanan,” titah Baginda menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Baginda turut difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam serta Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han telah memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.

Dalam pada itu, Baginda berharap prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

“Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya prosedur ini dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan terbabit. Prosedur ini juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi tertentu.

“Buat kesekian kalinya saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan terbiar yang memerlukan bantuan,” titah Baginda.

Tengku Permaisuri Selangor bertitah semua pihak perlu mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 di mana memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun boleh dikenakan ke atas sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri rasai pengalaman mendaki di Santuari Ikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 7 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melakukan aktiviti mendaki di Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Yang Dimuliakan Engku Orang Kaya Mahabijaya, Raja Muzaffar Raja Redzwa dan pegawai-pegawai dari Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangor.

Sebaik tiba, Tengku Permaisuri berkenan melepaskan sejumlah benih ikan kelah ke dalam sungai berkenaan.

Baginda kemudian menelusuri denai hutan sejauh hampir empat kilometer dan meranduk air sungai menuju ke Air Terjun Sungai Chiling.

Baginda juga berkenan memberi makan kepada ikan-ikan kelah yang memenuhi segenap santuari sungai berkenaan.

Untuk rekod, Santuari Ikan Sungai Chiling dibuka kepada umum sejak 2009 dan hanya boleh dikunjungi orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Satu-satunya tarikan utama santuari ikan di Selangor ini adalah ikan-ikan kelah dan tengas boleh dilihat serta mudah didekati sepanjang laluan ke air terjun.

Kawasan ini dijaga rapi oleh Jabatan Perikanan dan aktiviti-aktiviti perkelahan dihadkan bagi mengelak dicemari dengan sampah sarap yang boleh menjejaskan hidupan spesis ikan kelah yang kini diancam kepupusan.

SUMBER: Fb Selangor Royal Office

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rai Aidilfitri eratkan silaturahim – Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam.

Baginda berharap, amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah SWT.

“Ambillah kesempatan cuti perayaan kali ini untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan keluarga dan juga masyarakat. Bagi mereka yang akan melakukan perjalananan jauh untuk menziarahi sanak saudara, Beta menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu di jalan raya.

“Beta berdoa semoga kita semua mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda juga sentiasa berdoa supaya Selangor yang dikasihi terus dipelihara Allah SWT sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, kehidupan rakyat yang harmoni serta dijauhi daripada malapetaka, bencana dan segala musibah tidak diingini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor zahir kesedihan pemergian Dr Khoo Kay Kim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, yang meninggal dunia pagi ini.

Baginda yang mengenali mendiang sejak sekian lama menerusi aktiviti dalam Royal Asiatic Society menyifatkan pemergian Kay Kim sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Beta ingin menzahirkan perasaan sedih dan dukacita apabila mendengar berita mengenai pemergian Sejarawan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim.

“Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan takziah kepada isteri mendiang, Puan Sri Rathi Khoo dan anak-anak mendiang, Eddin, Rubin dan Mavin,” titah baginda yang dimuatnaik menerusi laman Facebook, Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah, sumbangan mendiang sebagai salah seorang individu yang menggubal Rukun Negara juga sangat dikagumi.

Selain itu, mendiang telah banyak memberi pandangan dan nasihat kepadanya mengenai isu-isu semasa khususnya yang menyentuh aspek-aspek sejarah dan arena sukan.

“Baru-baru ini, mendiang telah membantu Beta untuk menerbitkan sebuah buku yang merangkumkan sejarah Bola Sepak Selangor yang bakal dikeluarkan akhir tahun ini.

“Bagi mengenang jasa-jasa mendiang kepada negeri Selangor, Beta telah menganugerahkan mendiang dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada 2009.

“Beta yakin legasi mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim akan terus terpahat dalam sejarah Malaysia dan akan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini,” titah baginda.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor singgah bazar Ramadan Stadium Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli dengan singgah di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, petang semalam.

Melalui akaun instagram Selangor Royal Official itu, baginda diiringi pegawai istana ke bazar yang cukup terkenal di sini sekitar jam 6 petang.

Tambah menarik apabila baginda turut membawa mangkuk tingkat untuk mengisi juadah yang dibeli tanpa menggunakan beg plastik.

Tindakan permaisuri itu diantara contoh yang patut diikuti rakyat Selangor.

Terletak di Seksyen 13, Bazar Ramadan Stadium Shah Alam diantara lokasi yang menjual juadah berbuka puasa paling popular, sepanjang Ramadan.

Menyediakan lebih 200 gerai, lokasinya yang cukup strategik serta mempunyai tempat letak kereta yang banyak membuatkan orang ramai lebih berminat untuk mengunjunginya.

Antara menu popular ialah ayam golek, nasi ambeng, popia penang, roti john, teh ais kaw, kek dan pelbagai kuih muih yang sedap.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat The Secret Garden

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 2 MEI : Homestay dalam bas, itulah tarikan The Secret Garden yang akan menjadi produk pelancongan terbaru di lokasi yang terkenal dengan kecantikan sawah padi, di sini.

Selain rumah inap yang dibina menggunakan bas lama, pemiliknya, Laurenzius Gan Chinshen turut menggunakan papan lama untuk membina chalet bagi produk agro-pelancongan di Sekinchan.

Katanya, beliau berbangga penat lelahnya selama ini terbayar setelah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli dengan mengadakan sesi lawatan ke tempatnya.

“Memang saya rasa berdebar dan berasa terharu, selain turun padang, baginda juga dihidangkan dengan mentarang bakar serta pelbagai jenis kerang iaitu produk dari Sekinchan sendiri.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Tuanku Permaisuri serta rombongan kerana sudi ke The Secret Garden,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, Permaisuri berkenan untuk bersantap di situ serta dihidangkan dengan pelbagai menu menarik termasuk mentarang, lala dan udang galah.

Lawatan itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari berkenaan bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7 dan Kilang Khind.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Blue Tears Kuala Selangor kagumkan rombongan Tengku Permaisuri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 MEI: Kecantikan fenomena ‘Blue Tears’ atau Air Mata Biru di permukaan pantai di sini membuatkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rombongannya berasa teruja.

Baginda berkenan menaiki bot bersama Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim bagi melihat fenomena yang hanya berlaku di Kuala Selangor serta terletak berdekatan dengan lokasi tarikan pelancong paling popular iaitu Sky Mirror, malam tadi.

Suee Lim berkata, Blue Tears adalah produk pelancongan terbaru yang membawa pelancong datang pada waktu malam, ke daerah itu.

“Hari ini kita bawa Permaisuri pula melihat keindahan Blue Tears yang jarang kali berada di tempat lain, ia hanya berada di Kuala Selangor.

“Tujuan lawatan ini diadakan kerana mahu menggabungkan produk Sekinchan dan Kuala Selangor supaya akan wujudnya pakej tiga hari dua malam buat pelancong sekali gus mampu mempelbagaikan produk tarikan di kedua-dua daerah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pemilik Sky Mirror Tour & Travel, Dyven Wong berkata, fenomena ‘Blue Tears’ terhasil daripada fitoplankton iaitu sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air.

Wong berkata, ia kemudiannya menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

Katanya, mereka mula menemui fenomena itu pada sekitar tahun lalu dan ia semakin kerap dilihat.

“Kami adalah satu-satunya syarikat pelancongan berlesen untuk membawa pelancong menyaksikan keajaiban alam berkenaan.

“Lawatan ini disediakan setiap malam pada jam 8, 9 dan 10 malam. Kawasan sekitar yang lebih gelap membolehkan seseorang melihat Blue Tears dengan lebih baik.

“Walaubagaimanapun, ia mungkin tidak sama apabila anda cuba menangkap dengan kamera, hanya mata kasar boleh melihat kecantikan ini,” katanya.

Lawatan itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini, semalam.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, Kilang Khind dan Restoran Secret Garden.

Categories
SELANGOR

Nelayan teruja lawatan Tengku Permaisuri Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melawat dan melihat aktiviti pendaratan ikan di Jeti Ah Hee, Kampung Bagan, yang menceriakan nelayan di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee tidak menyangka Tengku Permaisuri Selangor sudi melihat aktiviti pendaratan ikan yang menjadi rutin harian nelayan mencari pendapatan.

Malah, katanya, mereka sungguh teruja dengan keberangkatan baginda itu.

“Kami sangat gembira apabila Tengku sudi ke tempat kami bagi melihat aktiviti nelayan.

“Di sini kami berpeluang menceritakan kepada Tengku bagaimana gerak kerja harian yang menjadi rutin nelayan di sini selepas menangkap ikan,” katanya kepada SelangorKini.

Tian Hee berkata, pihaknya mengalukan kedatangan baginda sambil berharap ia bukan kali terakhir.

“Saya sangat berharap Tengku berkenan mengadakan lawatan ke sini lagi,” katanya.

Terdahulu, baginda meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat pelbagai jenis ikan antaranya siakap, tenggiri, kembong, bawal, jenahak dan sebagainya di bawa ke jeti.

Baginda diiringi Speaker Dewan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Selain itu, baginda turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan penduduk sekitar.

Lawatan ke jeti itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek serta pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasil dan membekalkan barangan eletrik ke seluruh Malaysia.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)