Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM80 juta untuk tingkat kemahiran, pekerja industri di Subang terima manfaat

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak RM80 juta disedia untuk memenuhi keperluan kemahiran pekerja industri termasuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Subang, Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan itu turut meliputi industri elektrik dan elektronik di Kulim, Kedah dan kimia di Gebeng, Pahang.

“Peruntukan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) disedia bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri.

“Inisiatif ini juga untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rangkaian 5G diperluas di Selangor, rapat jurang digital

SHAH ALAM, 29 OKT:  Perkhidmatan rangkaian 5G akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi dibeberapa bandar utama termasuk Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata rangkaian 5G turut diperluas di Johor,  Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan golongan penduduk di projek perumahan rakyat tidak ketinggalan, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 projek perumahan rakyat (PPR) sedia ada.

“Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Tengku Zafrul berkata rangkaian 5G juga merapatkan jurang digital dan mencipta peluang pekerjaan baharu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagaikan sumber hasil tingkat pendapatan negara

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kerajaan akan terus meneroka pelbagai pilihan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara termasuk mempelbagaikan sumber hasil kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata keutamaan dan fokus pada masa ini adalah untuk melindungi rakyat dan menyokong perniagaan agar ekonomi negara dapat diperkukuh dan dipulihkan.

Tengku Zafrul berkata defisit fiskal negara dijangka meningkat antara 5.8 peratus sehingga 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus KDNK yang diunjurkan sebelumnya.

Ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia pada purata US$41 setong antara Januari dan Jun tahun ini berbanding purata US$61 setong yang digunakan pada Belanjawan 2020, katanya.

“Bagi setiap penurunan harga minyak sebanyak US$1 setong, ia akan mempunyai impak sebanyak RM300 juta kepada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, defisit Kerajaan Persekutuan akan naik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion sebelum ini adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana dan panjang.

Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana secara berperingkat dan seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan pernah menurunkan kadar defisit sebelum ini kepada 3.8 peratus pada 2013 dan 3.4 peratus pada akhir 2019 daripada 6.7 peratus pada 2009 selepas krisis ekonomi dunia.

“Pada masa ini, kerajaan menggunapakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) di samping selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.

“Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus. Oleh itu, kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Tahap hutang negara mungkin cecah 55 peratus – menteri kewangan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

“(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

“Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dan Penjana di laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Dalam temu bual baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata suntikan fiskal langsung berjumlah RM10 bilion ke dalam Penjana dijana menerusi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Beliau juga berkata Malaysia juga mempunyai kemampuan terhadap nisbah hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

“Penganalisis, agensi penarafan dan pelabur memahami bahawa Malaysia seperti negara-negara lain, akan mencatatkan defisit yang lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi. Ya..defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8-6.0 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 mengunjurkan defisit itu pada 3.4 peratus.

“Memandang ke hadapan, apa yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan untuk memperbaiki keadaan ini.

“Kerajaan komited terhadap disiplin fiskal untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0 peratus dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang,” kata beliau.

-BERNAMA