Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota bomba bertugas ketika tengkujuh keutamaan terima dos penggalak

KOTA BHARU, 18 NOV: Pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit dalam tugasan pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh akan diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ini kerana mereka antara golongan berisiko yang terdedah dengan penularan Covid-19 ketika menjalankan tugas.

“Bertugas dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 memang mencabar termasuk ketika menguruskan mangsa banjir dan kita sentiasa mengambil berat mengenai aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang menjalankan tugas.

“Malah kesihatan anggota sentiasa dipantau agar berada dalam keadaan baik serta tidak mempunyai sebarang gejala sebab itu apabila mereka mengambil dos penggalak ini sekurang-kurangnya tahap kesihatan mereka terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat hari ini.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata bagi pegawai dan anggotanya di Sarawak pula, sebanyak 84 peratus telah menerima suntikan dos penggalak.

Selain itu, mengenai pemberian vaksin Covid-19 pula, beliau berkata setakat ini 98 peratus anggota dan pegawai seluruh negara telah lengkap dua dos dan hanya dua peratus sahaja tidak menerima suntikan itu kerana masalah kesihatan seperti penyakit berisiko.

“Bagi anggota dan pegawai yang tidak menerima vaksin ini, mereka bukan antivaksin tetapi disebabkan nasihat daripada pakar perubatan, menyebabkan mereka tidak boleh disuntik vaksin Covid-19.

“Setakat ini kita amat berpuas hati dengan penglibatan pegawai dan anggota yang menyahut seruan kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM siap sedia hadapi musim tengkujuh

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh ini termasuk dari segi penggunaan segala aset.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ketiga-tiga cabang ATM iaitu tentera darat, udara dan laut ketika ini berada dalam mod siap siaga.

Beliau berkata ini selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi dan memberikan bantuan ketika bencana banjir berlaku.

“Maknanya ATM sentiasa bersedia (untuk memberikan khidmat dan bantuan) sekiranya berlaku sesuatu bencana di mana-mana tempat… dan bagi pihak ATM, untuk tindakan menangani bencana negara atau keadaan banjir ini, kami sudah bersedia,” katanya.

Affendi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Peluang Kerjaya Kedua anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang turut dihadiri Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata bengkel itu, yang disertai veteran ATM, merupakan antara usaha dalam memastikan peluang kerjaya kedua bagi mengangkat martabat golongan berkenaan sebagai perwira negara.

“Bengkel ini juga amat signifikan kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM memandangkan input dan pembelajaran dalam bengkel ini bakal membantu peserta berdepan dengan majikan baharu dan dunia awam,” katanya.

Affendi berkata setakat ini, Keluarga Malaysia Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM ialah 204,020 dan daripada jumlah itu, seramai 73,863 orang bersara tanpa pencen.

Beliau berkata secara purata, lebih 5,000 warga ATM akan bersara setiap tahun dengan 63 peratus dalam lingkungan usia bawah 50 tahun iaitu kelompok yang masih produktif dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Lebih 47,000 majikan telah berdaftar dengan Perkeso manakala lebih 740,000 jawatan kosong turut ditawarkan menerusi portal Myfuturejobs,” katanya.

Affendi berharap veteran ATM yang memohon kerja menerusi portal itu mendapat tawaran selayaknya berbekalkan kemahiran dan pengalaman mereka serta gaji lebih menarik berbanding pemohon lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengkujuh: Pekebun kecil, penoreh getah terima bantuan RM164 juta

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sejumlah RM164 juta diperuntuk kepada 274,639 pekebun kecil getah terdiri daripada 255,997 pemilik pengusaha dan 18,642 penoreh bukan pemilik melalui Bantuan Musim Tengkujuh 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kadar bantuan RM600 seorang akan disalurkan dalam dua peringkat terus ke akaun pekebun kecil, iaitu RM300 pada Disember 2019 dan RM300 pada Januari 2020 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sehubungan itu, pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA dan mengusahakan kebun getah tidak lebih 2.5 hektar digalak untuk segera membuat permohonan dan mengemaskini maklumat mereka sebelum 15 Disember 2019 di Pejabat RISDA seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh akan diteruskan dalam Belanjawan 2020 dengan RM200 juta disalur kepada pekebun kecil RISDA dan pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah bagi membantu mereka mengharungi cabaran musim tengkujuh.

“Peningkatan peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh dari tahun lalu pastinya mengurangkan beban pekebun kecil dalam mengimbangi kos sara hidup harian ketika berlaku penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Tengkujuh rezeki pengusaha pekasam

PASIR PUTEH, 8 DIS: Kedatangan musim tengkujuh biasanya akan merisaukan ramai orang kerana khuatir dilanda banjir namun, ia adalah musim yang ditunggu-tunggu bagi pengusaha ikan pekasam seperti di Kampung Tok Ajam, Jelor di sini yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Seorang pengusaha, Normala Muhammad, 34, berkata sepanjang musim itu, beliau boleh meraih pendapatan RM5,000 sebulan berbanding RM3,000 pada musim biasa hasil daripada memproses ikan air tawar daripada spesies sepat, puyu, tilapia dan lampam menjadi ikan pekasam.

“Ini kerana musim ini orang ramai menjadikan ikan pekasam sebagai bahan pencicah ubi kayu rebus dan pulut yang sesuai dihidangkan pada waktu pagi dan petang,” katanya.

Kampung Tok Ajam adalah satu-satunya lokasi pembekal ikan air tawar daripada pelbagai spesies yang terbesar di Kelantan.

Normala berkata, setiap hari beliau dapat memasarkan antara 40 hingga 50 kilogram ikan pekasam bagi memenuhi permintaan penduduk Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur termasuk mendapat pesanan dari Sabah.

– Gambar Hiasan

Katanya, ikan pekasam yang dihasilkannya diproses dengan mengambil masa selama setahun sebelum dipaket dan diedarkan kepada orang ramai dan tahan disimpan selama tiga tahun tanpa menjejaskan kualitinya.

Beliau berkata, selain ikan pekasam, beliau turut membekalkan ikan kering haruan istimewa untuk ibu-ibu yang baru bersalin dan ikan air tawar sejuk beku yang boleh didapati pada bila-bila masa tanpa mengira musim.

Normala berkata, ikan-ikan yang diprosesnya terdiri daripada ikan segar yang baru ditangkap oleh penduduk kampung dari sungai-sungai berdekatan dan dijual kepadanya setiap hari.

“Pernah satu ketika saya membeli ikan sebanyak 5,000 kilogram daripada penduduk kampung dan secara tidak langsung saya juga memberi sumbangan membantu mereka menerusi pasaran mudah dan terjamin selain memberi pekerjaan tetap kepada tiga penduduk untuk membantu saya,” katanya.

Normala berkata beliau memulakan perusahaan itu sejak tahun 2013 dan melebarkannya selepas mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Perikanan iaitu bagaimana kaedah memprosesnya daripada secara tradisional kepada mengikut kaedah terkini.

Katanya, Jabatan Perikanan Kelantan juga membantu menyediakan peralatan peti sejuk dan rak yang bernilai RM10,000.

– BERNAMA