Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas pesawat pejuang TUDM: Siasatan terperinci aspek teknikal dijalankan

BUTTERWORTH, 17 NOV: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi.

Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.

“Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen,” katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, di sini awal pagi ini.

Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.

Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan perkarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Difahamkan pihak hospital akan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lihat kesesuaian, kewangan negara sebelum ganti jet pejuang

KLANG, 8 SEPT: Cadangan menggantikan jet pejuang jenis Rusia SU dan MiG yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan jet pejuang versi baharu adalah bergantung kepada keadaan kewangan negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata cadangan itu masih dalam peringkat kajian malah kerajaan akan melihat terlebih dahulu kesesuaiannya untuk menggantikan jet pejuang berkenaan.

“Aset pertahanan milik negara memang sudah usang dan perlu diganti. Namun, kita akan lihat kesesuaiannya (untuk menggantikan jet pejuang sedia ada dengan versi baharu).

“Ia (langkah pembelian jet pejuang baharu) bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan rundingan (antara Malaysia dan Rusia mengenai pembelian itu),” katanya dalam sidang media selepas melepaskan kira-kira 12,000 peserta acara larian ‘Run For Peace 2019’ anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di sini, hari ini.

Pada 5 September lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang menggantikan kedua-dua jenis jet pejuang buatan Rusia dengan versi baharu itu.

Dr Mahathir turut menyifatkan penggunaan wang yang terlalu banyak untuk membeli jet pejuang mahal amat tidak produktif kepada negara kerana Malaysia tidak mahu berperang dengan mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pada Rabu lepas, Mohamad berkata siasatan masih dijalankan namun yakin siasatan tidak mengambil masa terlalu panjang.

“Perkara ini (siasatan mengenai insiden kematian seorang komado) masih dalam siasatan. Ia adalah suatu kemalangan. Sekejap saja siasatan itu, tidak lama,” ulasnya ringkas.

Dalam insiden itu, Mej Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah.

Sementara itu, mengulas mengenai acara larian pada hari ini, Mohamad memuji usaha persatuan itu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menghargai keamanan dan sentiasa menjaga alam sekitar.

Katanya, tahap kesedaran rakyat terhadap kedua-dua nilai murni itu dilihat masih rendah, justeru lebih banyak program menyantuni masyarakat seumpamanya harus dilaksanakan supaya sikap berkenaan dapat diterapkan demi generasi akan datang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masalah teknikal punca pendaratan cemas Nuri

JOHOR BAHRU, 3 OGOS: Insiden pendaratan cemas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Kem Gubir dekat Kedah, petang semalam, dipercayai berpunca daripada kerosakan mekanikal.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang berkata, masalah mekanikal yang dikesan berlaku pada bahagian sawat kipas helikopter berkenaan.

Affendi berkata, kipas rotor dipercayai tidak dapat mengekalkan kelajuannya sekali gus menyebabkan pesawat berkenaan kekurangan tenaga untuk terbang lebih tinggi.

“Kami belum dapat spesifik lagi, tapi daripada diskripsi juruterbang atau kapten pesawat, ia berkemungkinan disebabkan masalah mekanikal…rotor kipas tidak dapat kekalkan kelajuan.

“Itu yang kami tahu dan mungkin selepas selesai siasatan lebih lanjut baru kami akan dapat lebih terperinci lagi,” katanya.

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Menurutnya, TUDM kini menggantung sementara operasi helikopter Nuri sehingga keputusan siasatan punca sebenar diperoleh.

“Apa-apa pun, keputusan akan dibuat selepas lembaga penyiasatan membuat rumusan dan keputusan,” katanya.

Affendi dalam pada itu turut memaklumkan, TUDM masih menggunakan khidmat lapan pesawat Nuri yang diperoleh sejak 1970-an yang beroperasi di Skuadron Kuching, Sarawak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Semalam, TUDM dalam kenyataan berkata kejadian berlaku ketika pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth itu sedang membawa empat anak kapal serta 11 anggota Tentera Darat Malaysia dan sedang melaksanakan penerbangan untuk misi ulang bekal.

Semua anak kapal serta penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan tentera yang bertugas di kem tersebut, menurut kenyataan terbabit.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TUDM bantu ESSCOM, ATB2 pastikan sempadan Sulu selamat

TAWAU, 11 MEI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa bersedia memberi bantuan mengikut keperluan demi menjamin keselamatan negara dan juga sempadan kawasan Sulu.

Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato Abdul Mutalib Ab Wahab berkata di Sabah, aset dan anggota berada di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU) Tawau dan juga di Labuan.

“Kita membantu menangani sebarang bentuk ancaman di Sabah melalui pengawasan ruang udara dan menyokong keperluan operasi pada setiap masa.

“Kita juga sentiasa menyokong keperluan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) dan juga Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dalam memastikan keselamatan negara terus terjamin,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada petugas PBOU Tawau di sini, semalam.

Beliau berkata, PBOU adalah sebuah pangkalan hadapan menyokong operasi udara di persekitaran kawasan negeri Sabah dan juga berperanan melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan operasi.

“Bagi mendokong peranan ini, TUDM telah menempatkan aset udara dari No 7 Skuadron iaitu pesawat helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri bagi melaksanakan tugas operasi udara mengikut keperluan semasa,”katanya lagi.

Pada majlis itu, seramai 46 pegawai dan anggota yang akan bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri diraikan.

Semua pegawai dan anggota itu turut menerima duit raya sumbangan Tabung Kebajikan TUDM sebagai penghargaan ke atas pengorbanan tugas sehingga tidak pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dikhuatiri hilang: Pesawat HAWK TUDM terputus hubungan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Markas Tentera Udara mengesahkan sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis HAWK 108 dikhuatiri hilang di persekitaran Utara Kuantan iaitu di persempedanan Terengganu dan Pahang.

TUDM dalam kenyataannya berkata, pesawat telah berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11.00 pagi dan terputus hubungan pada jam 11.30 pagi.

“Pihak TUDM telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

16_9_hawk_over_malaysia”Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

TUDM mempunyai enam pesawat jenis Hawk 108 yang mempunyai dua tempat duduk yang digunakan sebagai pesawat latihan.