Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan sebar video lama atau luar negara – Teo

BENTONG, 17 FEB: Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menggesa masyarakat untuk tidak menyebarkan klip video masalah disiplin pelajar yang sudah lama berlaku atau di luar negara.

Beliau berkata tindakan itu boleh menyebabkan pelaku kes yang sudah didakwa di Malaysia sekali lagi berdepan masalah sedangkan isu tersebut sudah selesai manakala isu di luar negara tidak berkaitan dengan kementeriannya.

Teo berkata beliau sendiri masih menerima klip video kejadian lama, malah ada antaranya berlaku pada tahun 2016 selain rakaman kejadian yang difahamkan berlaku di negara jiran.

“Saya minta pada orang awam supaya apabila hendak menghantar sesuatu video, pastikan ia adalah kes baharu …apabila kita kongsikan video lama, kita sebenarnya menjadikan pelaku video itu mangsa (sekali lagi) memandangkan kes itu sudah selesai antara murid, ibu bapa dan sekolah,” katanya.

Teo berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador

Pada perkembangan lain, Teo berkata statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar menunjukkan penurunan pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,249 orang berbanding 1,719 orang pada 2018.

Pada program itu, Teo turut melancarkan Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melibatkan kerjasama antara KPM dan PDRM dengan 75,000 naskhah akan diedarkan ke sekolah dan jabatan pendidikan negeri.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata setakat ini, terdapat 10,208 PPS di seluruh negara terdiri daripada pegawai inspektor dan sarjan yang dilihat dapat membantu meningkatkan disiplin pelajar serta sebagai langkah pencegahan jenayah.

“PPS juga perlu memberi pendedahan dan menyuntik kesedaran kepada komuniti termasuk pelajar supaya mereka tidak terjebak atau menjadi mangsa jenayah seperti love scam, black money, Macau scam dan penipuan lain.

“Selain itu, kita juga perlu mengekang penularan ideologi atau dakyah ajaran sesat, radikalisme, ekstremisme dan terrorisme daripada menyerap masuk ke sekolah,” katanya.

Abdul Hamid yang juga bekas pelajar SMK Sulaiman berkata pihaknya akan menilai cadangan mengecat logo PDRM di pondok pengawal sekolah sebagai peringatan kepada mereka yang ingin mempengaruhi pelajar dalam kegiatan jenayah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan mahu sifar keciciran murid masuk sekolah menengah

KULAI, 9 FEB: Kementerian Pendidikan menyasarkan sifar keciciran berhubung kemasukan murid sekolah rendah ke sekolah menengah tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata sasaran itu boleh dicapai kerana terdapat peningkatan peratusan dalam transisi kemasukan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah pada tahun lepas.

Beliau berkata pada 2019, peratusan bagi transisi kemasukan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah ialah 98.42 peratus berbanding 96.81 peratus pada 2018.

“Jadi pada tahun ini, kita memberi fokus terhadap perkara ini (sifar keciciran). Kalau boleh semua murid selepas tahun enam menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Kita akan bersungguh-sungguh mencapai matlamat tersebut,” katanyaselepas merasmikan Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Nie Ching berkata Ziarah Cakna adalah program yang dijalankan serentak di 16 lokasi di seluruh negara bagi membolehkan guru menyantuni keluarga murid kurang berkemampuan dalam usaha mengenal pasti permasalahan yang dihadapi mereka.

“Dengan program ini, guru-guru boleh mengambil peluang untuk mendidik ibu bapa dan komuniti setempat tentang kepentingan pendidikan.

“Bayangkan impak yang dapat dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka (keluarga pelajar) bahawa sekolah adalah satu tempat permulaan untuk mengubah masa depan mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guru, pelajar balik dari China perlu dikuarantin 14 hari

KULAI, 9 FEB: Semua guru dan pelajar yang baru pulang dari China perlu menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan koronavirus 2019 di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata kementerian telah mengeluarkan arahan itu pada 30 Januari lepas.

“Guru dan murid yang pernah pergi ke China baru-baru ini sama ada mereka pergi semasa cuti atau lawatan, mereka ini perlu dikuarantin di rumah.

“Apabila balik dari negara terbabit, saringan kesihatan perlu dilakukan… walaupun mereka tidak mengalami sebarang simptom, mereka perlu lalui pemantauan di rumah sepanjang 14 hari dan mereka tidak boleh ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Katanya Kementerian Pendidikan juga telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari negara tersebut di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk Malaysia mengambil langkah sama seperti Singapura iaitu melarang semua aktiviti luar di sekolah sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus.

Teo berkata sehingga kini tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar sekolah memandangkan situasi di Malaysia berbeza daripada Singapura.

“Selain langkah-langkah yang telah kita ambil tadi, apa-apa langkah seperti menangguhkan sebarang aktiviti luar di sekolah, kita akan dapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu dan setakat ini, belum ada arahan untuk melarang aktiviti luar.

“Ini kerana saya rasa situasi antara negara kita dengan Singapura berbeza memandangkan kes yang berlaku di Singapura lebih banyak dan tinggi daripada negara kita dan Singapura adalah sebuah negara yang berkepadatan tinggi,” katanya lagi.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif koronavirus adalah sebanyak 16 orang, iaitu 12 warga China dan empat rakyat tempatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Elak kanak-kanak jadi mangsa penganiayaan seksual – TPM

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan agresif dalam memantau aktiviti anak mereka di media sosial bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penganiayaan seksual.

Beliau berkata isu penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam era dunia tanpa sempadan, dengan kemudahan gajet dan Internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.

“Kita perlu tanamkan kesedaran mengenai wujudnya ‘cyber sex grooming’ (pengantunan siber) melalui pelbagai medium di media sosial dan kita mahu kanak-kanak dilengkapkan dengan maklumat dan panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pihak yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, dapatan terkini turut menunjukkan kejelikan dalam ‘Dark Web’ mengenai bahan lucah kanak-kanak yang dimuat turun oleh pengguna Internet di Malaysia,” katanya ketika berucap pada program #KidsTakeOverParliament: Kita Peduli di Dewan Bankuet, Parlimen.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan wakil tetap UNICEF di Malaysia Marianne Clark-Hattingh turut menghadiri program anjuran Kementerian Pendidikan dengan UNICEF Malaysia serta Project ID yang menyentuh isu buli di sekolah, dan disertai 40 pelajar dari seluruh negara.

Mengenai gejala buli, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau percaya dengan sistem pendidikan (formal atau tidak formal) serta sokongan daripada keluarga dan masyarakat, masalah buli boleh ditangani bersama-sama.

“Kita semua mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam memupuk persekitaran yang positif supaya gejala berunsur keganasan ini dapat dibendung supaya tidak terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching dalam ucapannya berkata KPM dengan kerjasama pelbagai agensi telah bekerjasama untuk merancang intervensi dan sokongan kepada mangsa untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan kesedihan, kemurungan serta hilang keyakinan diri.

Pada program itu, pelajar berkenaan, yang merupakan bekas mangsa buli, menyatakan pandangan mereka kepada Ahli-ahli Parlimen berhubung isu buli, selain menyampaikan syor dasar antibuli untuk diperkenalkan di sekolah kepada Teo yang turut disaksikan Dr Wan Azizah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

6.9 juta sertai program Pembelajaran Sepanjang Hayat

PUTRAJAYA, 7 NOV: Seramai 6.9 juta orang menyertai program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dari 2017 hingga Ogos tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Katanya tiga pembekal utama PSH dengan penyertaan tertinggi dalam tempoh tersebut ialah Kementerian Sumber Manusia iaitu seramai 2,914,424 peserta, Kementerian Kesihatan (930,240) dan Kementerian Pendidikan (900,868).

“Melalui penyertaan dalam program PSH ini, pelbagai lapisan masyarakat dapat meningkat pengetahuan, kemahiran dan sikap seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya ketika merasmikan Persidangan PSH Peringkat Nasional 2019 di sini hari ini.

Nie Ching berkata, sebagai penyelaras pelaksanaan PSH di peringkat nasional, Kementerian Pendidikan akan terus memastikan impak dan keberhasilan tinggi PSH, di mana 14 kementerian pelaksana, agensi kerajaan, wakil badan bukan kerajaan, wakil industri dan pihak berkepentingan lain akan dilibatkan.

Dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Nasional PSH yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Jawatankuasa Teknikal PSH yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan akan menyelaras dan memantau keberkesanan pelaksanaan program-program PSH, katanya.

Pada majlis itu, Nie Ching turut melancarkan portal nasional PSH yang akan berperanan sebagai One Stop Centre bagi semua portal PSH dari kementerian, jabatan dan agensi yang terbabit dalam melaksanakan program berkenaan.

Nie Ching berkata, portal itu akan menjadi platform untuk menyelaras segala maklumat berkaitan PSH di peringkat nasional bagi kemudahan komuniti awam, akedemia dan industri membuat rujukan mengenai pelaksanaan dan program PSH di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kehadiran murid Orang Asli ke sekolah hampir 90 peratus

SEPANG, 12 JUL: Kehadiran murid Orang Asli ke sekolah yang dicatatkan pada tahun ini sehingga 30 Jun lepas ialah 89.48 peratus, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

“Ia hasil usaha kementerian melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli di 98 sekolah rendah murid Orang Asli di negara ini,” katanya mengenai pencapaian itu yang menghampiri sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian iaitu 90 peratus.

Menurutnya, kehadiran murid Orang Asli ke sekolah pada 2016 ialah 86.25 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (A), Sepang di sini hari ini, Teo berkata peratus transisi murid Orang Asli dari tahun enam ke tingkatan satu juga meningkat sehingga 75.17 peratus bermula awal tahun ini sehingga kini berbanding 73.14 peratus pada 2017.

Beliau berkata antara inisiatif baharu yang dilaksanakan kementerian bagi memartabatkan pendidikan Orang Asli adalah dengan mewujudkan laluan khas bagi pelajar Orang Asli memasuki universiti yang diperkenalkan tahun lepas.

Terdahulu, Teo menyerahkan sumbangan buku kepada 40 sekolah murid Orang Asli di seluruh negara sempena kempen ‘Dekad Membaca Kebangsaan’ yang antara lain bertujuan memperkukuh budaya membaca. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Galak kerjasama swasta-kerajaan sedia makanan sihat untuk pelajar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sektor swasta supaya bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada murid sekolah terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kerjasama itu perlu digembleng kerana kira-kira 60 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia kini berdepan masalah pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan dan obesiti.

Beliau berkata, peratusan itu diketengahkan dalam Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas dan puncanya adalah disebabkan masalah malnutrisi serta amalan pengambilan makanan tidak berkhasiat.

“Laporan itu menunjukkan 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun di negara ini mengalami masalah pertumbuhan terbantut, 15 peratus kekurangan berat badan dan 23 peratus lagi obes. Kekurangan zat makanan adalah satu bentuk penafian hak terutamanya kepada murid-murid yang sedang membesar.

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan syarikat swasta menganjurkan pelbagai program penyediaan makanan sihat kepada golongan ini kerana kita mahu anak-anak kita membesar dengan sihat demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Mengulas berkenaan program itu, Teo berkata, usaha syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) menyumbang 20,400 pek mi kuning jenama NuMee Gardenia iaitu produk terbaharu mereka kepada sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia bagi penyediaan makanan sihat amat dipuji dan harus menjadi ikutan kepada lebih banyak syarikat swasta lain.

Katanya, sumbangan makanan sihat seumpamanya kepada murid sekolah oleh sektor swasta juga dilihat menyokong hasrat kerajaan yang bakal melaksanakan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada kanak-kanak menggunakan hasil cukai gula tahun depan.

Program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 itu melibatkan 100 buah kantin sekolah di seluruh negara yang mana 20,400 pek NuMee Gardenia akan diagihkan berperingkat secara percuma dan ia boleh menyajikan sebanyak 122,400 hidangan sihat kepada golongan murid di sekolah terlibat.

Selain itu, menerusi program berkenaan juga, pihak Gardenia membekalkan resepi dan kaedah penyediaan makanan seimbang untuk kanak-kanak kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gardenia Datuk Mohammad Zainal Shaari berkata pihaknya mengambil masa dua tahun untuk melakukan kajian dalam pembuatan dan penyediaan NuMee Gerdenia demi menghasilkan produk yang menepati cita rasa rakyat dan penuh khasiat.

“Kerjasama dengan KPM dilihat sebagai platform ideal kepada Gardenia menerapkan mesej pentingnya tabiat pemakanan sihat dalam kalangan warga sekolah untuk kekal aktif. Program ini dilaksanakan untuk membantu mengurangkan masalah malnutrisi murid,” katanya.

Mengulas mengenai produk terbaharu Gardenia itu, Mohammad Zainal berkata sejak dilancarkan pada pertengahan Mei lepas, NuMee Gardenia yang memperoleh pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah terjual sekitar 2 juta pek di seluruh semenanjung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pendidikan mahu tambah kelas PPKI

JOHOR BAHRU, 16 JUN: Kementerian Pendidikan bercadang menambah bilangan kelas bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, usaha itu dilihat dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang berkeperluan khas mendapatkan pendidikan PPKI.

Katanya setakat ini terdapat 1,545 sekolah kebangsaan (SK) dan 830 sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas PPKI di negara ini.

“Memang hasrat kita untuk tambah, ia dapat menampung lebih banyak murid berkeperluan khas dan ibu bapa juga senang untuk cari kelas berdekatan rumah mereka.

“Sasaran kita setiap daerah sekurang kurangnya ada (PPKI) kerana kita mahu lihat lebih banyak program itu ditawarkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan SMK Pulai Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Zainal Buang.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata usaha menambah kelas PPKI juga bagi memastikan pelajar berkeperluan khas berpeluang menimba ilmu di sekolah biasa.

“Kita percaya dan kajian menunjukkan kalau kita biarkan mereka dengan pelajar biasa dan bercampur akan lebih baik untuk kedua-dua kumpulan dan menepis segala stigma mengenai mereka,” katanya.

Mengenai pembinaan SK Pulai Emas dan SMK Pulai Jaya, beliau berkata kedua-dua sekolah berkenaan dijangka dapat beroperasi pada 1 Julai 2020.

Katanya setakat ini proses pembinaan SK Pulai Emas yang berkeluasan 2.2 hektar sudah siap sebanyak 52 peratus manakala SMK Pulai Jaya yang berkeluasan 3.7 hektar pula siap 43 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PROKHAS akan dperluas ke kawasan Orang Asli seluruh negara

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperluaskan lagi Projek Kelas Khas (PROKHAS) di kawasan yang mempunyai penempatan Orang Asli di negara ini dalam usaha untuk mengelakkan anak-anak komuniti itu terus tercicir daripada pelajaran akibat masalah sekolah yang jauh.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan mengambil masa kerana perlu menyedarkan mereka tentang kepentingan pendidikan untuk memajukan Orang Asli.

“Setakat ini, kita mempunyai 23 murid Orang Asli yang berumur di antara tujuh hingga sembilan tahun dari suku kaum Batek melalui kelas PROKHAS yang dilancarkan sejak April lepas…ia merupakan pilot project dan sekiranya formula ini berjaya, kita akan lakukannya di tempat lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penutup perasmian Simposium Antarabangsa Sekolah Berasrama Penuh (FRSIS) 2019 di SBP Integrasi Gombak, dekat sini, hari ini.

Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu bertemakan ‘Smart Industry Reforming The World’ melibatkan 324 pelajar sekolah berasrama penuh dari Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Pada masa sama, Nie Ching berkata kementerian turut menyediakan pelbagai inisiatif lain bertujuan untuk menggalakan komuniti Orang Asli agar mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

“Bagi menarik anak-anak Orang Asli ini untuk datang ke sekolah, semua murid yang mengikuti program PROKHAS ini akan menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah juga diberi bantuan makanan sebagai satu proses galakan,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching menafikan dakwaan seramai 45,000 pekerja kontraktor pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan hilang pekerjaan, susulan tindakan kementerian yang melaksanakan format tender baru bermula tahun.ini.

Bagaimanapun beliau mengakui akan berlakunya pengurangan pekerja kontraktor pembersihan disebabkan penukaran formula pengiraan yang kini berasaskan kepada kawasan berbanding bilangan pendaftaran murid sebelum ini tetapi angkanya lebih rendah daripada 45,000.

“Saya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat berhubung pengurangan pekerja kontraktor namun yang pasti ia bukanlah 45,000.

“Namun, kita akan cuba mendapatkan bajet tambahan RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak melibatkan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan cadang wujud akta pendidikan tinggi baharu

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan akta pendidikan tinggi baharu, bagi menghapuskan halangan kebebasan bersuara mahasiswa, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, akta baharu itu akan menggabungan akta berkaitan pendidikan tinggi iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 serta aktalain yang dilihat relevan.

Pada masa ini, katanya pihak kementerian sedang mengambil maklum balas daripada pemegang taruh institusi pendidikan.

“Jun nanti kita akan bangunkan kerangkanya dan selepas itu kita akan bawa penyediaan nota pengaluan kepada jemaah menteri.

“Pada bulan Julai hingga Oktober pula kita akan buat sesi ‘townhall’ untuk ‘public engagement’, dan kita harap rang undang-undang baharu ini dapat dibentang di Parlimen pada 2020 selepas mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan kabinet,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Teo menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr S. Ananthan yang bertanya apakah kerajaan akan meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dalam usaha menghapuskan halangan kebebasan bersuara mahasiswa universiti di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan adanya akta baharu itu nanti, ia juga akan memberi peluang dan ruang kepada kakitangan akademik untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan lebih efektif serta akan dapat memperkaya sistem pendidikan tinggi negara.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Kementerian Pendidikan sedia RM17.3 juta untuk tajaan ijazah pertama

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Sejumlah RM17.3 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan untuk program tajaan ijazah pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Katanya, peruntukan itu meningkat daripada RM14.8 juta yang ditawarkan tahun lalu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan senarai jenis biasiswa dan jumlah peruntukan ditawarkan kerajaan bagi peringkat ijazah pertama untuk tahun 2018 dan 2019.

Dalam isu lain, Teo berkata, tindakan kerajaan memberi dana kepada kolej swasta tidak harus dipertikai.

“Saya nak katakan di sini bukan sahaja di bawah kerajan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang memberi peruntukan kepada institut pengajian tinggi swasta. Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman sebelum ini memang tiap-tiap tahun menerima tajaan daripada Barisan Nasional (BN) tetapi masa itu Anggota Parlimen Jerantut dia tak bising.

“Selain itu, universiti islam yang berada di Cyberjaya kita juga memberi tajaan dan peruntukan RM15 juta.

“Jadi saya rasa janganlah kita mempertikaikan usaha kerajaan PAKATAN ataupun BN yang berhasrat membantu universiti kerana akhirnya pelajar dari universiti itu adalah kebanyakan anak Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut). -BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPS kunjungi sekolah sebulan sekali atasi isu disiplin

PUTRAJAYA, 18 FEB: Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), diminta melakukan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memberi nasihat berkenaan kepolisan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, PPS boleh membuat kunjungan pada bila-bila masa dan bukan hanya pada hari perhimpunan sekolah semata-mata.

Katanya selain hari perhimpunan, PPS juga boleh menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bertemu guru besar, bermesyuarat dengan guru atau berjumpa terus dengan pelajar.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian adalah untuk memastikan PPS masuk ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali dan kita percaya kehadiran polis mampu mengurangkan kes disiplin serta jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa dan Guru Besar Norihan Ismail.

Katanya, selepas tiga tahun dilaksanakan, program yang berjaya membantu pihak sekolah menangani isu disiplin dan jenayah itu kini diperkukuhkan dengan pengenalan papan kenyataan PPS di semua sekolah.

“Semua sekolah digalakkan menyedia dan menggunakan papan kenyataan itu untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan polis berkaitan aktiviti serta program yang berlaku di sekolah terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan yang dibacakan Rusdi sempena program itu berkata, PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat seperti digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Antara perkara yang dilakukan ialah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh kementerian dan PDRM.

“Jika perlu, kita akan melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal keselamatan kepada warga sekolah, katanya.

*Sumber: BERNAMA