Categories
AGENDA NASIONAL

Lori bawa minyak masak terbabas, lebuh raya sesak lima kilometer

NILAI, 18 FEB: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer hari ini berikutan sebuah lori minyak masak terpakai terbabas di Kilometer 278.8 arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata kemalangan pada 6.45 petang itu menyebabkan muatan minyak masak terpakai di dalam tujuh tong mengalir hingga ke lorong keempat lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai lori jenis Hino berwarna putih itu terbabas akibat tayar belakang kenderaan itu pecah.

“Kejadian berlaku di lorong kedua dari kanan, pasukan bomba dan penyelamat sedang membersihkan laluan tersebut.

“Pemandu lori itu telah dibawa orang awam ke hospital terdekat untuk rawatan manakala kelindannya, seorang lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Fazley, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Pemandu bas bawa pesakit terbabas disahkan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pemandu bas yang membawa 40 pesakit Covid-19 dan terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang petang tadi turut disahkan positif virus itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintenden Azman Shari’at berkata pemandu berusia 41 tahun yang cedera di kaki sebelum itu dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan dan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan.

Ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah namun siasatan masih diteruskan.

“Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, bas yang membawa 40 penumpang hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong Touch ‘n Go sebelum merempuh pondok tol tersebut.

“Kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan sistem brek bas tersebut, berdasarkan kenyataan daripada pemandu bas itu,” katanya kepada Bernama.

Kenderaan itu antara 11 bas dalam konvoi membawa 431 pesakit Covid-19 dari Kluster Changkat Jong di Perak yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 di Selangor.

Kesemua penumpang, termasuk lapan yang cedera, dibawa ke PKRC MAEPS 2.0 untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA