Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain skuasy negara janji tampil terbaik pada Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow berjanji menampilkan persembahan terbaik dalam usahanya mempertahankan gelaran pada Terbuka Malaysia 2021 yang akan bermula Selasa hingga Sabtu ini, di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Walaupun hampir dua tahun tidak menyertai sebarang kejohanan, juara dunia remaja 2016 itu yang menjalani latihan di Bristol, England di bawah bimbingan Hadrian Stiff, bersama para pemain profesional termasuk pemain nombor dua dunia Mohamed El Shorbagy dari Mesir, sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan itu.

“Saya yakin penyokong boleh mengharapkan satu persembahan yang baik daripada saya.

“Pastinya hebat apabila sebuah kejohanan besar dapat diadakan semula di Malaysia dan ia juga amat berfaedah untuk para pemain muda yang berpeluang melihat pemain-pemain terbaik dunia beraksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eain Yow, yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2019, merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Pemain berusia 23 tahun itu menerima ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan berdepan sama ada dengan seorang lagi pemain Malaysia Ivan Yuen atau Lau Tsz Kwan dari Hong Kong pada pusingan kedua.

Selain Eain Yow dan Ivan, tiga lagi pemain Malaysia yang turut bertanding Syafiq Kamal, Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam.

Bagi kategori wanita, cabaran Malaysia akan digalas oleh Rachel Arnold, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ooi Kah Yan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Terbuka Malaysia 2021 diteruskan selagi ada penyertaan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meneruskan penganjuran kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2021 selagi kuota pemain mencukupi.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata kejohanan berstatus Super 750 yang juga platform kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu masih diteruskan walaupun ada negara yang menarik diri daripada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 30 Mei ini.

“Selagi ada 32 pemain dan pasangan, kita akan teruskan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini, Kenny berkata BAM akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan bagi meneruskan kejohanan di samping membantu mengekang penularan wabak itu.

Kejohanan Terbuka Jerman pada Mac lepas menjadi kejohanan kelayakan Olimpik pertama dibatalkan manakala kejohanan Terbuka India yang dijadualkan pada 11 hingga 16 Mei di New Delhi ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Sebagai rekod, pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark hari ini dilaporkan diuji positif Covid-19 dan terpaksa menarik diri daripada aksi final Kejohanan Badminton Eropah berlangsung di Kyiv, Ukraine.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

BAM timbang kehadiran penonton di Terbuka Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Peminat badminton tanah air mungkin berpeluang melepaskan rindu menyaksikan pemain negara beraksi pada Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 30 Mei depan.

Ini berikutan kesediaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertimbangkan cadangan membenarkan kehadiran penonton ke venue Terbuka Malaysia itu selepas Aidilfitri nanti.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya kini sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan cadangan berkenaan.

“Dari segi peratusan (kemasukan), mungkin boleh gunakan panduan daripada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia). Ini merupakan pertandingan antarabangsa dan berskala besar.

“Jika Terbuka Malaysia berjaya, ia mampu menjadi penanda aras kepada sukan lain untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa di Malaysia,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Perlawanan bola sepak Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC pada 2 April lepas merupakan projek perintis protokol pengurusan semula penonton ke stadium.

Dalam pada itu, Mohamad Norza turut memaklumkan pihaknya akan menganjurkan Terbuka Malaysia mengikut konsep gelembung sukan bagi membendung wabak pandemik Covid-19 yang masih melanda negara dan dunia ketika ini.

Menurut beliau, BAM masih berbincang dengan MKN mengenai konsep gelembung sukan termasuk jumlah pemain yang dikuarantin, proses kuarantin serta bagaimana ujian calitan dilakukan.

Tambahnya, pihaknya berhasrat untuk mengaplikasikan konsep sama yang diguna pakai pada siri penganjuran sirkit Asia di Bangkok Thailand dan beberapa kejohanan terbuka di negara Eropah, dalam Terbuka Malaysiam kelak.

Katanya, BAM juga masih menunggu jumlah negara yang berminat menyertai Terbuka Malaysia nanti.

Pertandingan berbasikal Le Tour de Langkawi pada Februari 2020 merupakan kejohanan antarabangsa terakhir di Malaysia yang disertai penonton sebelum larangan penonton ke venue atau stadium untuk semua kejohanan sukan dikuatkuasakan susulan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad boling negara hadapi 2020 tanpa sebarang kejohanan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk membatalkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antara negeri, sekali gus menyebabkan atlet boling negara tidak menyertai sebarang kejohanan besar sehingga tahun 2021.

Perkara itu disahkan oleh Presiden MTBC Datuk Dr P.S Nathan kerana mengambil kira bajet serta keadaan penonton susulan pandemik Covid-19.

“Pertamanya, ia agak sukar untuk mendapatkan penaja, selain agaks ukar menarik minat penyertaan pemain daripada 14 buah negeri khususnya daripada Sabah dan Sarawak.

“Dari segi penonton pula, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan agar tiada penonton sama ada ketika kejohanan atau pun latihan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Kejohanan lain yang turut terjejas berikutan Covid-19 adalah Kejohanan Asia di Hong Kong pada 4 hingga 14 Julai, Piala Dunia Boling AMF di Kuwait (November) dan Terbuka Malaysia (22-28 November).

Bagaimanapun, Nathan berkata pemain boling negara sentiasa dipantau dan menjalani latihan dalam tempoh empat bulan ini bagi mengekalkan kecergasan sebelum menghadapi jadual padat tahun depan, dengan tiga kejohanan besar dijadualkan berlangsung pada tahun 2021.

Musim baharu bermula dengan Kejohanan Asia pada 15-25 Januari, diikuti Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Thailand pada 21-30 Mei dan Kejohanan Belia Dunia di Helsingborg, Sweden pada 26 Jun hingga 4 Julai.

“Bagi memastikan pemain sentiasa bersedia, kita menganjurkan kejohanan dan latihan kejohanan secara dalaman. Pemain dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mewujudkan suasana pertandingan. Kami sentiasa memantau perkembangan mereka menerusi kejohanan dalaman itu.

“Mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak diserap ke skuad elit tapi dimasukkan dalam pasukan pelapis. Peruntukan skuad pelapis adalah rendah berbanding skuad senior. Dengan ini, menjadikan semua pemain bersaing bagi merebut tempat mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nathan mengakui pusat boling di Malaysia terjejas susulan Covid-19 tapi menunjukkan tanda pemulihan selepas pemain dan orang ramai mula kembali bermain boling sebagai aktiviti rekreasi.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Terbuka Malaysia: LCW berdepan undian sukar

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan sukar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jali dari 26 Jun hingga 1 Julai ini.

Pemain ranking ketujuh dunia itu, akan berdepan pemain Jepun, Kazumasa Sakai di pusingan pembukaan pada 26 Jun, dan juara dua kali Sukan Asia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan di pusingan kedua, pada hari berikutnya.

Jika tiada kejutan, Chong Wei dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Viktor Axelsen dari Denmark di peringkat suku akhir pada 28 Jun.

Sekiranya berjaya menewaskan pemain Denmark itu, Chong Wei dijadual bertemu sama ada tiga pemain China, iaitu juara bertahan Lin Dan, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 Chen Long atau pemain nombor tiga dunia, Shi Yuqi di separuh akhir pada 29 Jun.

Untuk rekod, Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 adalah saingan Jelajah Dunia Super 750 BWF yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah A$700,000 (RM2.790 juta).