Categories
NASIONAL

Pasang Bendera Parti Langgar Undang-Undang Pilihanraya

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kegairahan Umno-BN menggantung bendera dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat sehingga sanggup memperalat agensi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  sebenarnya telah mencabul undang- undang pilihanraya.

Exco Selangor, Teresa Kok berkata, mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  semua kempen bermula hanya selepas Parlimen dibubarkan.

Tindakan ini jelas melanggar peraturan pilihanraya namun  sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau arahan yang dikeluarkan supaya bendera tersebut diturunkan atau ditarik semula.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya semua bendera parti dalam program Pakatan Rakyat hanya boleh digantung 48 jam sebelum dan selepas program.

“Bagi kerajaan Selangor,  kita telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT yang mana bendera parti Pakatan Rakyat hanya boleh digantung selama 48 jam sebelum atau selepas sesuatu program. Kami mahu mengikuti undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh  menambah, pelanggaran undang-undang ini  bukan sahaja berlaku di kawasan yang dikalsifikasikan sebagai harta awam sebaliknya mereka turut menggunakan lebuhraya sebagai kawasan untuk ‘berkempen’.

“Kita lihat mereka juga menggunakan lebuh raya. Mereka memberikan alasan lebuh raya dibawah penguatkuasaan kerajaan pusat. Waktu pilihanraya masih belum tiba untuk mereka mengedarkan bendera-bendera ke rumah pangsapuri dan kos rendah serta menggantungnya adalah satu kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang juga koordinator BN Selangor menafikan mengeluarkan arahan bendera dipasang di seluruh 28 stesen di Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan portal Malaysiakini, tujuh stesen Komuter bermula di laluan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang mendapati dua stesen dekat Shah Alam sudah dipasang dengan bendera BN. Kelihatan lebih 30 bendera di pasang, kebanyakannya di kawasan pagar di stesen Batu Tiga dan sekurang-kurangnya 10 bendera lagi dipasang di stesen Shah Alam.

Bagaimanapun, di Batu tiga, selain di pagar Komuter, kelihatan beberapa rumah sepanjang landasan kereta api juga kelihatan dipasang dengan bendera parti sama.

Categories
SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa : MCA Selangor Hipokrit Dalam Isu Kampung Sg Terentang, Air

SHAH ALAM 03 APR : Exco Kanan Selangor Teresa Kok menasihatkan Pengerusi MCA Negeri Selangor, Donald Lim Siang Chai agar berhenti daripada terus menyalahkan Kerajaan Selangor dalam isu air dan kabel bervoltan tinggi di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Katanya, Donald seharusnya berganding baru dengan Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu yang menjejaskan rakyat dan bukan bermain politik yang tidak produktif.

Jelas Teresa, yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Menteri Besar sudah berberapa kali membuat lawatan kerja ke kampung terbabit serta membiayai badan profesional bebas untuk mengenal pasti laluan alternative bagi mencari penyelesaian.

“Hal ini kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) enggan bertemu Kerajaan Negeri bagi membincangkan perkara ini,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Lim sebelum ini, meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengotakan janji bagi mengatasi masalah kabel bervoltan tinggi di Kampung Terentang, Rawang dan isu konsesi air di Selangor.

Teresa menambah kerajaan negeri cuba untuk melaksanakan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 yang diluluskan oleh Umno-BN.

“Dan mereka bersedia untuk mengambil alih pengurusan industri air oleh kerajaan negeri.

“Malangnya, selepas tiga kali rundingan dan tawaran rasmi diadakan, syarikat konsesi air yang disokong oleh kerajaan pusat menuntut pampasan yang tidak munasabah bagi aset dan ekuiti mereka dan lebih malang lagi mereka melanjutkan pajakan kepada konsesi swasta ini.?

Tambahnya, masalah itu sebenarnya berpunca dari sikap kronisme dan obsesi kerajaan pusat.

“Apabila Umno-BN serta pihak yang kepentingan berkomplot untuk membuat keuntungan yang lebih bagi diri mereka sendiri maka rakyatlah yang akan membayar harganya.

“Lim sebelum ini tiada pendirian tentang pembinaan kabel voltan tinggi di Kampung Terentang sehinggalah beliau menyatakan minat untuk bertanding kerusi Parlimen Selayang. Ini merupakan sikap hipokrasi yang begitu tinggi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelaburan Industri Selangor Tertinggi

SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan pembangkang BN bahawa jumlah pelaburan perindustrian Negeri Selangor jatuh setelah Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 disanggah Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor hari ini.

“Sebagai rumusan saya ingin memberitahu ahli-ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini bahawa Negeri Selangor mencapai jumlah projek, peluang pekerjaan dan pelaburan perindustrian paling tinggi di seluruh Malaysia.

“Tidak seperti apa yang dituduh ahli-ahli YB pembangkang bahawa pelaburan di Selangor telah pun jatuh selepas Pakatan menjadi kerajaan di Selangor,” ujar beliau.

Jumlah projek perkilangan yang diluluskan oleh Malaysia Investment  Development Authority (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Selangor dari 2008 hingga 2011 sebanyak 1,168 projek dengan peluang pekerjaan sebanyak 100,348.

Negeri Selangor turut berjaya merekodkan jumlah pelaburan tempatan yang bernilai RM15.61 juta dan pelaburan antarabangsa sebanyak RM22.39 juta dalam tempoh yang sama.

Teresa turut memberitahu persidangan DUN bahawa Negeri Selangor telah menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan pada 2011.

“Daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM56,806 bilion, sebanyak RM8,741 bilion iaitu 15.3 peratus daripada jumlah modal yang diluluskan oleh MIDA dan MITI di Malaysia adalah di negeri Selangor.

“Selangor mencatatkan jumlah pelaburan di tempat kedua tertinggi selepas Pulau Pinang yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM9.106 bilion daripada 109 projek perkilangan yang diluluskan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Automotive Belt Jana Pertumbuhan di Hulu Selangor

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor seperti Serendah dan Kuala Kubu Baru telah mengalami pembangunan
komersil yang memberangsangkan hasil daripada pelan Kerajaan Selangor untuk membangunkan Automotive Belt di daerah itu.

Pelan Automotive Belt ini telah menyebabkan wujudnya transformasi pembangunan tanah dari tanah pertanian ke perbandaran.

Ini melahirkan pusat pertumbuhan baru seperti Bandar Baru Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin dan Sungai Buaya.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata kerajaan negeri sentiasa mempertingkatkan
insfrastruktur kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi bagi menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut sekaligus
menarik minat pelabur.

“Sebagai rekod, pada tahun 2011, sebanyak RM 2.02 billion diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian ini.

“Peruntukkan ini ditambah lagi (RM 4.95 juta) untuk membesarkan kilang-kilang dan kursus-kursus kepada golongan belia,
penuntut di kolej dan universiti dalam bidang automotif, mekanikal dan kejuruteraan sebagai usaha menjana modal insan
dalam sektor ini,” jelas Teresa bagi menjawab soalan dari ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Selain merupakan pelengkap kepada Proton City di Tanjung Malim, lokasi ini menjadi tumpuan syarikat-syarikat pembuatan
barangan peralatan kenderaan yang merupakan vendor kepada Perodua, Nissan dan Proton.

Bagi mengalakkan lagi perkembangan dan pertumbuhan pesat sektor ini, Teresa berkata Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad
sedang giat mempromosikan kawasan-kawasan tersebut kepada pelabur yang berpotensi.

“Kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan dalam membangunkan kawasan ini antaranya mewujudkan corak pembangunan
berpusat selain meningkatkan kelengkapan insfratruktur.”

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Sabotaj Usaha Kerajaan Selangor Bina Sekolah Cina

SHAH ALAM,15 MAC : Kerajaan Pusat didakwa cuba mengagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk membantu sekolah Cina dan sekolah kanak-kanak autisme di Puchong dengan menolak permohonan pembinaan di saat-saat terakhir.

Walaupun Kerajaan Selangor telah meluluskan tanah rizab 13 ekar di Taman Tasik Prima Puchong pada 23 September tahun lalu untuk pembinaan cawangan tiga sekolah, permohonan itu ditolak oleh Kementerian Pelajaran (KPM).

Tiga sekolah itu ialah SJKC Yak Chee (2), SMJK Katholik (2) dan Sekolah Kanak-Kanak Autisme, menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Teresa berkata, KPM menolak permohonan ketiga-tiga sekolah tersebut kerana mahu menggunakan tanah rezab itu untuk membangunkan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) walaupun kawasan itu sudah mempunyai empat SK dan dua SMK.

“Pada 23 Sept 2011, Kerajaan Selangor telah meluluskan permohonan tanah lot bagi pembinaan. Tanah rezab sekolah tersebut masih belum dipohon oleh JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian) dan masih di bawah Kerajaan Negeri Selangor,? kata Teresa yang juga Exco Kerajaan Selangor dan ADUN Kinrara.

Pada 30 Sept, Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada KPM menyatakan sokongan terhadap permohonan SJKC Yak Chee dan SMJK Katholik untuk membina cawangan dan memohon kementerian untuk mengeluarkan permit kepada sekolah-sekolah itu.

Menurut Teresa, KPM menjawab Kerajaan Selangor dalam surat bertarikh 25 Nov dengan menyatakan bahawa KPM tidak dapat mempertimbangkan cadangan Kerajaan Selangor kerana mahu tanah tersebut bagi SK dan SMK Taman Prima Puchong.

?Cara KPM membuat permohonan di tanah rezab sekolah yang sama tersebut menunjukkan bahawa KPM memang tidak berhasrat untuk menyelesaikan masalah kekurangan sekolah Cina di kawasan Puchong dan Negeri Selangor.

?Mereka ingin sabotaj usaha Kerajaan Selangor,” kata Teresa, dalam kenyataan medianya bersama MP Puchong Gobind Singh Deo di Parlimen.

Sepatutnya, kata Teresa, KPM membuat permohonan kepada Kerajaan Selangor untuk tanah itu jauh lebih awal dan bukan selepas Kerajaan Selangor telah memberi tanah kepada lembaga pengurus ketiga-tiga sekolah berkenaan.

“Kini, semakin ramai ibubapa kaum bukan Cina menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah Cina, ini bermaksud sekolah Cina bukan untuk pelajar kaum Cina sahaja tetapi ia telah menjadi sekolah pelbagai kaum,” ujar beliau.

 

Categories
SELANGOR

MB: Tingkat Kredibiliti Untuk Jana Perkhidmatan Terbaik

SHAH ALAM, 5 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuhkan integriti kakitangan awam demi memastikan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Jika saudara menjadi pemimpin yang mempunyai kreadibiliti, maknanya bukan saudara yang menentukan,tetapi orang yang berhubung dengan saudara itu yang menentukan samada saudara mempunyai kreadibiliti,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan buku bertajuk “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It ” hasil tulisan Jossey-Bass, perlu dibaca oleh kalangan penjawat awam kerana buku tersebut memperincikan pengertian kreadibiliti dalam kepimpinan dan hubungan antara manusia supaya dapat diaplikasikan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Exco Selangor, Teresa Kok, Rodziah Ismail,Ronnie Liu, Dr Xavier Jeyakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Ean Yong Hian Wah, Dr Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.

” Masyarakat lebih cenderung untuk memilih pemimpin bukan disebabkan oleh kuasa tetapi adalah hasil yang ada pada kuasa dia, kerana pemimpin itu memimpin melebihi jangkaan iaitu maknanya pimpinan itu akan menghasilkan apa yang dijanjikannya.

” Lebih 80 peratus mereka menilai kepimpinan itu kalau pemimpin itu boleh dipercayai,apabila pemimpin itu dipercayai maka dia tidak lagi perlu menjerit untuk memberikan arahan ke sana dan ke sini agar pekerja bawahannya melaksanakan kerja , ” katanya.

Abdul Khalid juga mengingatkan penjawat awam juga terus melaksanakan dan menghayati konsep amanah dalam menjalankan tugas.

” Saya ingin membawa negeri Selangor menjadi satu negeri yang mempunyai kredibiliti,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan dalam ucapannya berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru berkeluasan enam puluh hektar di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Pertembungan antara kawasan penempatan manusia dan kawasan penternakan telah menyebabkan isu alam sekitar dan kacau ganggu semakin hangat diperdebatkan pada masa ini.

Notis penutupan ladang ternakan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana lokasi ladang ternakan berkaitan tidak lagi sesuai dengan pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, berlaku operasi penutupan ladang telah dikuatkuasakan melibatkan sembilan buah ladang lembu tenusu dan dijangkakan banyak lagi operasi seumpamanya akan digerakkan.

“Jabatan Perkhidmatan Veteriner akur dengan keputusan kerajaan ini, malah akan terus membantu pihak berkuasa tempatan yang berkaitan memindahkan ternakan yang terlibat ke tempat lain.

“Namun selaku penjana dan pemelihara industri haiwan tempatan,jabatan ini juga prihatin dengan masalah yang dihadapi penternak yang terlibat,” kata beliau.

Kira-kira lebih 400 penjawat awam dari Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor hadir dalam majlis perhimpunan bulanan itu.

 

 

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Isu Sekolah Cina : Wee Ka Siong Diminta Henti Pembohongan

SHAH ALAM 3 FEB : Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong digesa untuk berterus terang kepada masyarakat Cina di negara ini dan mengakui bahawa beliau tidak berupaya untuk membantu sekolah-sekolah Cina,tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, Ka Siong juga perlu menghentikan tindakan mengubah fakta dan bercakap bohong berkaitan dengan usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah Cina seperti yan telah diluluskan.

“Adalah jelas bahawa sebab Wee Ka Siong adalah berkali-kali memberitahu mengenai perkara itu – dengan menuduh kerajaan negeri Selangor hanya memberikan surat sokongan dan tidak memberi sekolah tanah rizab untuk SMJK Katholik dan SJKC Yak Chee untuk membina sekolah-sekolah cawangan.

“Ianya untuk menutup hakikat bahawa MCA tidak mempunyai kuasa dalam kementerian pendidikan dan mereka tidak dapat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk kedua-dua buah sekolah untuk membina sekolah-sekolah cawangan,” kata Teresa dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah Teresa, hakikatnya adalah kerajaan Selangor telah memutuskan dalam mesyuarat Exco pada 23 September 2011 lepas dengan memperuntukkan tanah lot 65768 dan lot 65766 di Tasik Prima Puchong kepada SJKC Yak Chee, Sekolah Tinggi Katolik dan sebuah pusat latihan autisme .

Kertas Exco mengenai keputusan ini adalah Kertas MMK. No 46/40/2011. Selain itu,jawatankuasa pembangunan sekolah-sekolah Cina Daerah Petaling Jaya dan lembaga sekolah dan PIBG telah diberikan kertas keputusan itu.

Disamping itu, surat yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Selangor kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, mengumumkan kelulusan tanah dan menyokong hasrat sekolah untuk membina cawangan, telah disediakan untuk pelbagai pihak.

Oleh itu sekarang, selagi Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan kedua-dua sekolah cawangan ini maka sekolah-sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk memulakan kerja-kerja.

“Wee Ka Siong terus berbohong untuk mengelirukan orang ramai dan ingin menghina kerajaan negeri dan menghina kebijaksanaan pemimpin jawatankuasa lembaga sekolah dan PIBG kedua-dua sekolah,” kata Teresa.

Justeru, tegas Teresa agar muslihat politik oleh MCA ini dihentikan daripada terus mempengaruhi pihak yang tidak bersalah seperti sekolah-sekolah dan pelajar yang mahu peluang menikmati persekitaran pendidikan yang selesa.