Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan papan anjal: Nasib berbeza Dhabitah Sabri dan Yan Yee

TOKYO, 30 JULAI: Nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo hari ini apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala rakannya Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nur Dhabitah, 22, bermula dengan bergaya apabila menduduki ranking ketiga selepas tamat pusingan pertama dengan 67.50 mata, sebelum kedudukan mula merosot namun berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 291.60 mata.

Bagi Nur Dhabitah, ini dalah penampilan keduanya di pentas Olimpik dengan pencapaian di tempat kelima acara 3m papan anjal seirama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong  pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara, Yan Yee yang bermula agak kurang baik, gagal memperbaiki kedudukan pada penampilan ketiganya di Olimpik, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata.

Bagaimanapun, Yan Yee yang pernah beraksi pada edisi London 2012 dan Rio 2016, berada dalam senarai penerjun simpanan untuk separuh akhir.

Penerjun China mempamerkan penguasaan mereka apabila juara bertahan Shi Tingmao mengungguli kedudukan selepas mengumpul 350.45 mata, diikuti rakan senegara yang juga bekas juara dunia Wang Han (347.25 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (332.40 mata).

Tingmao dan Wang Han mempunyai keyakinan tinggi di separuh akhir selepas meraih pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas.

Hanya 18 penerjun terbaik daripada 27 peserta di pusingan kelayakan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

Seramai 12 penerjun terbaik layak beraksi di final pada Ahad.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Agong zahir tahniah, bangga kejayaan Pandelela raih emas kejohanan dunia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

10 penerjun negara bawa harapan besar ke Tokyo

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Perisytiharan darurat di beberapa wilayah Jepun termasuk Tokyo berikutan peningkatan kes Covid-19 tidak menghalang semangat penerjun negara dalam misi merebut peluang terakhir ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS) Mae Chan berkata 10 atlet yang telah disahkan negatif ujian calitan Covid-19 akan berlepas menyertai Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang dijadual berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo pada 1 hingga 6 Mei.

Katanya, MS menyasarkan dua hingga tiga lagi slot Olimpik mampu diraih atlet negara dengan saingan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki dan acara 3m papan anjal seirama wanita dijangka berlangsung sengit.

“Satu lagi sasaran adalah dalam acara 10m platform wanita disertai Jun Hoong (Cheong Jun Hoong) yang saya jangka kita akan dapat. Tiga slot sangat selesa untuk pasukan, tetapi jika ada lebih ia mungkin datang daripada satu daripada acara platform lelaki, itu kira keempat.

“Semua yang pergi ke sana (Tokyo) ada peluang yang sama dan saya yakin penerjun negara sudah bersedia selepas sangat komited menjalani latihan secara intensif. Jadi bagi saya mereka sudah bersedia untuk berjuang di sana,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tahap keselamatan dan kesihatan penerjun yang menyertai kejohanan yang menjadi pentas kelayakan terakhir ke Olimpik itu turut terbela apabila bakal berada dalam gelembung sukan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Katanya, kesemua atlet dan pegawai termasuk jurulatih sudah dimaklumkan mengenai SOP ketat di Tokyo ketika ini.

“Kejohanan itu masih lagi diteruskan, mereka sudah bersedia untuk menerima atlet luar negara ke kejohanan ini,” tambah Mae Chan.

Penerjun negara yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016.

– BERNAMA