Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Jangan samakan kes Guan Eng dengan Najib

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak boleh disamakan dengan kesalahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedua-dua kes berkenaan perlu diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang, bukan aspek politik.

“Ada orang samakan kes Guan Eng dengan Najib yang dah jatuh hukum. Guan Eng tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya.

“Saya bercakap bukan sebab dia sahabat saya. Saya tidak pertikaikan siasatan berhubung rumah mahupun terowong tetapi ini babitkan pendakwaan,” katanya ketika Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini malam tadi.

Menegaskan KEADILAN menolak sekeras-kerasnya amalan pendakwaan terpilih, ketua pembangkang juga bimbang kes melibatkan Lim tidak telus dan berunsur politik.

“Kita harap siasatan Guan Eng dibuat tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan. KEADILAN akan teliti kes ini lebih dekat,” kata beliau lagi.

Semalam, setiausaha agung DAP didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan 10 peratus keuntungan yang akan diperoleh daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setiap satu kes salah guna kuasa itu.

Bagi tiga kes pecah amanah, ahli parlimen Pekan dihukum 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan manakala 10 tahun lagi untuk setiap kesalahan pengubahan wang haram.

Semua hukuman dijalankan serentak, menjadikan tempoh sebenar hanya 12 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Terowong dasar laut: Guan Eng mengaku tidak bersalah minta rasuah

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Lim, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM serah siasatan projek terowong kepada Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata ketika ini siasatan kes berkenaan berada pada fasa terakhir dan tidak ramai saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyiapkan siasatan.

“Sepatutnya hari ini (semalam), kami memanggil (bekas Menteri Kewangan) Lim Guan Eng untuk memberi keterangan kali kedua tetapi beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat

“Esok (Jumaat) juga beliau tidak dapat hadir kerana ada hal. Oleh yang demikian, SPRM akan meneruskan rakaman percakapannya sekali lagi Sabtu ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku ‘Modul Integriti dan Rasuah’ di sini semalam.

Semalam, Lim, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk dirakam keterangannya.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek terowong itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan serta beberapa exco dan bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega itu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai siasatan melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Azam berkata pihaknya sedang dalam peringkat terakhir menyiapkan siasatan.

“Siasatan melibatkan Syed Saddiq masih lagi dijalankan dan kes ini tidak ramai lagi saksi untuk dipanggil dan saya percaya pegawai penyiasat saya dalam peringkat akhir untuk selesaikan kes ini dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, SPRM menafikan menahan Syed Saddiq selepas beliau dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya, Mac lepas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai siasatan berhubung urus niaga pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan, Azam berkata pihaknya masih meneruskan siasatan kes berkenaan.

“Siasatan memang SPRM buat dan ada beberapa lagi siasatan yang masih belum selesai. Buat masa ini, saya tidak dapat mengumumkan keputusan kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pegawainya sedang memanggil beberapa lagi saksi lain untuk membantu siasatan, selain telah membuka beberapa lagi kertas siasatan kes itu.

Pada November tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah mengemukakan laporan siasatan 16 projek ‘land swap’ kepada SPRM.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gnanaraja kena 68 tuduhan kes wang haram RM11.4 juta

KUALA LUMPUR, 8 APR: Ahli perniagaan, M. G. Gnanaraja yang sebelum ini didakwa menipu seorang pengarah urusan berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Gananaraja, 38, didakwa atas 68 pertuduhan membabitkankan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

Gnanaraja yang memakai kot serba hitam yang sebelum ini bergelar ‘Datuk Seri’ namun telah ditarik balik gelarannya pada 13 Mac lepas, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, satu persatu secara bergilir-gilir oleh dua jurubahasa yang mengambil masa satu jam.

“Tak mengaku, yang Arif,” katanya ketika ditanya Rozina apakah pengakuannya terhadap pertuduhan-pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga Ke-68, Gnanaraja didakwa telah menggunakan dan melupuskan wang berjumlah RM11.4 juta dari akaun bank CIMB Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui cek kepada dua organisasi, 26 buah syarikat, dan 10 individu.

Organisasi itu adalah Kementerian Dalam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, manakala syarikat pula antaranya Mattew Ong Association, Mulia Motor Corporation Sdn Bhd, Digital Tourism Sdn Bhd, Desa Home Theatre Sdn Bhd, CK Films (M) Sdn Bhd, dan Zenith Consulting Services Sdn Bhd.

10 individu itu ialah Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta cagaran sebuah hartanah bernilai RM825,000 milik keluarga mertua tertuduh di Cheras Business Centre serta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Allan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, untuk didengar dan dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi Gnanaraja, Rabu lepas, berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja bersetuju dengan tawaran jaminan yang ditetapkan pendakwaan dan berkata pihaknya juga tidak membantah kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rozina membenarkan Gnanaraja diikat jamin RM50,000 beserta cagaran hartanah yang dikemukakan pendakwaan, dengan dua penjamin iaitu pemilik hartanah serta pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim itu juga membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 6 Mei di mahkamah tersebut.

Pada 3 April lepas, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas.

— BERNAMA