Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Lebih 100 penduduk terkandas, berlindung di surau lebih lima jam

PASIR MAS, 27 FEB: Lebih 100 penduduk di Taman Perumahan Prima dekat Lubuk Jong, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih enam jam akibat banjir sehingga terpaksa berlindung di surau taman perumahan berkenaan sejak pukul 2 pagi tadi.

Siti Hariaty Bee Mohd Ismail, 39, berkata beliau terpaksa berlindung untuk menyelamatkan diri berikutan air di kawasan kediamannya naik secara mendadak sejak petang semalam.

“Saya bersama tiga anak berusia antara lima hingga 14 tahun terpaksa mengharungi banjir sejauh 300 meter pada pukul 2 pagi tadi selepas rumah saya dimasuki air hampir satu meter.

“Apabila hujan berterusan tanpa henti dan air naik dengan cepat, saya terus mengambil keputusan untuk berteduh di surau kawasan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Nazura Che Ali, 51, pula berkata beliau tidak menyangka kejadian menjadi buruk selepas paras air meningkat secara mendadak dalam tempoh yang singkat.

“Saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang keperluan termasuk barangan niaga habis rosak selain peti ais juga terbalik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Mas Kapten Pertahanan Awam Mohd Arif Mohd Zain ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk, memaklumkan kejadian itu sekitar 3 pagi tadi.

“Disebabkan faktor keselamatan pihak kami memulakan operasi memindahkan mangsa banjir bermula pukul 8 pagi dengan kekuatan anggota seramai lima orang menggunakan sebuah trak tujuh tan.

“Kita berjaya memindahkan mangsa banjir mengikut keutamaan terlebih dahulu seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU). Kesemua mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Apam Putra, Pasir Mas,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 2 DIS: Dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 1.44 tengah hari tadi.

Beliau berkata difahamkan terdapat sebuah lori dan sebuah kereta tertimbus dan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setakat ini seorang pemandu lori memberi respons daripada runtuhan berkenaan dan pihak bomba sedang menjalankan kerja mengalihkan tanah runtuh dan menyelamat semua mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jumlah mangsa terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini dan kejadian itu juga menyebabkan laluan utama ke Cameron Highlands di kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh terperangkap insiden kepala air di Sungai Kedondong

SHAH ALAM, 17 SEPT: Tujuh lelaki terperangkap akibat arus deras susulan kejadian kepala air di kawasan batu di Sungai Kedondong, Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata seramai sembilan lelaki melakukan aktiviti pendakian dan hanya dua sahaja yang melepasi sungai berkenaan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.55 malam dan menggerakan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba pada jam 8.27 malam dan mendapati dua lelaki berjaya melepasi sungai itu, manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa tidak lemas dan dilihat masih berada di kawasan batu berkenaan.

“Operasi menyelamat mangsa masih giat dilakukan anggota bomba,” katanya.