Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia gantung import lembu dan kerbau Thailand, elak rebak penyakit

PUTRAJAYA, 8 JUN:  Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar ketetapan tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri seperti pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar negeri serta daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

“Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit,” katanya.

Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula akan mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand, katanya.

Pada 2 Jun lepas, Pengarah Maqis Kedah P. Lily Rosalind dilaporkan berkata pihaknya telah mengesan penyakit LSD pada 42 ekor lembu yang diimport dari Thailand di stesen kuarantin dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, kesemua lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor lembu yang diimport pada 26 April lepas dan menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat 3,394 kes baharu, 29 kematian

BANGKOK, 19 MEI: Thailand mencatatkan 3,394 kes baharu Covid-19 termasuk 1,498 jangkitan dalam kalangan banduan, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 116,949 dalam tempoh 24 lalu.

Sebanyak 29 lagi kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 678 orang sejak wabak mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, dari 3,394 kes baharu itu, sebanyak 3,377 membabitkan penularan tempatan dan 17 import termasuk lima warga Thailand yang menyelinap masuk dari Kemboja.

“Bangkok di kedudukan teratas dengan jumlah kes tertinggi iaitu 876 kes. Dalam tempoh yang sama juga lima kluster baharu dilaporkan di Bangkok menjadikan jumlah kluster setakat ini sebanyak 34,” katanya semasa taklimat Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata kluster baharu itu ialah dua kem pekerja binaan, pasar, kilang ais dan gudang kargo.

Apisamai berkata pihak berkuasa berkaitan telah meningkatkan pengesanan kes aktif di kem pekerja itu.

“Semua 50 daerah di Bangkok mempunyai kem pekerja binaan. Sebilangan daerah mempunyai lebih 20 kem… ada beberapa kem menempatkan lebih 1,000 pekerja,” katanya.

Mengenai kes kematian baharu, Apisamai berkata ia melibatkan 19 lelaki dan 10 wanita berusia antara 42 hingga 92 tahun dari Bangkok (14), Samut Prakan (lima), Pathum Thani (dua) dan masing-masing seorang di Chachoengsao, Lamphun, Chon Buri, Saraburi, Nakhon Pathom, Kamphaeng Phet, Nong Khai dan Nonthaburi.

Sementara itu, Apisamai berkata pihak berkuasa kesihatan telah melakukan lebih 300,000 pengesanan kes aktif di Bangkok dan kawasan pinggir bandar.

“Daripada jumlah ini, kira-kira tiga peratus didapati positif,” katanya.

Berkenaan usaha vaksinasi, Apisamai berkata lebih 2.4 juta dos vaksin telah diberikan di Thailand sehingga kini.

“Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah menjadikan usaha vaksinasi sebagai agenda negara dan mengarahkan agensi berkaitan untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 100,000

BANGKOK, 16 MEI: Kes Covid-19 di Thailand kini melepasi angka 100,000, dengan 2,302 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 101,447.

Pada masa sama, Thailand mencatatkan 24 lagi kematian menjadikan jumlah korban seramai 589 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 2,279 kes babitkan jangkitan tempatan dan 23 kes import termasuk tiga warga tempatan yang pulang dari Malaysia.

Beliau berkata kes baharu kematian pula melibatkan 13 lelaki dan 11 wanita berusia antara 39 dan 91 tahun termasuk lapan dari Bangkok, masing-masing dua di Chon Buri dan Pathum Than.

Apisami turut menyuarakan kebimbangan berikutan kemunculan kluster baharu di sebuah tapak pembinaan di Lak Si, Bangkok selepas 559 pekerja didapati positif Covid-19.

Media tempatan melaporkan terdapat hampir 400 kem pekerja di Bangkok dengan kira-kira 60,000 pekerja binaan.

Meskipun jumlah kes baharu meningkat,Thailand akan melonggarkan sekatan termasuk membenarkan makan di restoran di wilayah yang berada di bawah kawalan ketat – Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Bagaimanapun, restoran di kawasan dan wilayah ini hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 25 peratus sehingga 9 malam dan dilarang menghidangkan alkohol. Perkhidmatan bawa pulang dibenarkan beroperasi sehingga 11 malam (waktu tempatan).

Arahan yang ditandatangani Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha itu telah dimasukkan dalam Warta Diraja malam tadi.

Bagaimanapun, semua institusi pendidikan di wilayah terbabit masih ditutup.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand tingkat kawalan sempadan menjelang hari raya

NARATHIWAT, 11 MEI: Thailand mempertingkatkan kawalan di sempadannya dengan Malaysia untuk mencegah kemasukan warga Thai yang cuba menyelinap masuk ke negara asal mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri, dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Komander Divisyen ke-15 Infantri Mej. Jen Paisal Noosang berkata pasukan keselamatan akan mempergiatkan rondaan di laluan-laluan tikus dan lokasi panas bagi menyekat warga Thai yang cuba menyeberangi sempadan secara tidak sah.

“Warga Thai yang bekerja di Malaysia dijangka pulang untuk menyambut Hari Raya dengan menggunakan laluan tikus untuk memasuki Thailand.

“Pasukan keselamatan akan memperketatkan rondaan di sempadan Thailand-Malaysia untuk mengekang kemasukan warga Thai dan asing secara haram serta mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori,” katanya.

Dalam usaha membendung penularan gelombang ketiga Covid-19, Thailand mewajibkan semua yang memasuki negara ini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Lebih 100,000 warga Thai yang berada di Malaysia dilaporkan telah pulang ke Thailand sejak penularan pandemik Covid-19 dan kira-kira 40,000 hingga 50,000 lagi warga Thai masih berada Malaysia.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan menahan hampir 16,000 individu cuba menyelinap masuk Thailand dari Malaysia, Kemboja, Laos dan Myanmar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pada Ahad, polis menahan 10 warga Myanmar yang dipercayai merupakan pekerja asing tanpa izin yang menaiki dua buah teksi cuba menyelinap masuk Thailand.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Suntikan vaksin Covid-19 di Thailand juga termasuk warga asing

BANGKOK, 6 MEI: Thailand yang menyasarkan untuk memvaksin 50 juta orang menjelang akhir tahun, hari ini menegaskan suntikan vaksin Covid-19 itu merangkumi warga asing yang tinggal di negara ini.

Pada sidang media di sini hari ini, Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata “Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat.”

Sebuah pusat vaksinasi untuk rakyat asing akan didirikan di Bangrak, Bangkok, katanya tanpa memperincikan bila dan bagaimana warga asing boleh mendaftar.

Dengan populasi hampir 70 juta, Thailand perlu menyuntik 70 peratus penduduknya atau 50 juta daripadanya untuk mencapai imuniti kelompok.

Baru-baru ini, warga asing di negara itu menyuarakan kebimbangan mengenai pendaftaran vaksinasi dan pengagihan vaksin termasuk yang disediakan pihak swasta.

Thailand memulakan rancangan vaksinasinya pada 28 Februari, bermula dengan petugas perubatan menggunakan 2.5 juta dos Sinovac dan 117,000 dos AstraZeneca.

Pelaksanaan vaksinasi Thailand lebih perlahan berbanding beberapa negara jiran di ASEAN.

Kempen vaksinasi di Thailand dijadual bermula Jun apabila kumpulan pertama vaksin AstraZeneca buatan tempatan tersedia.

Sementara itu, Thailand mencatat 1,911 kes baharu Covid-19 dan 18 lagi korban dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah jangkitan kepada 76,811 dan 336 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata dari 1,911 kes baharu, 1,902 adalah jangkitan tempatan dan sembilan kes import.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand lapor kes pertama varian Brazil

BANGKOK, 5 MEI: Thailand melaporkan kes pertama varian Covid-19 Brazil ketika kerajaan sedang mempergiat usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 2,112 kes baharu dan 15 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 74,900 dan korban seramai 318 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes membabitkan varian Brazil itu dikesan di sebuah pusat kuarantin, katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Thailand berdepan tugas getir berikutan peningkatan mendadak kes varian B.117 yang sangat mudah merebak. Varian B.117 pertama kali dikesan di United Kingdom.

Dari 2,112 kes baharu, Apisamai berkata 2,107 adalah penularan tempatan termasuk 1,955 mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, 152 melalui pengesanan kes aktif dan lima kes import.

Katanya, 15 kematian melibatkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 50 dan 86 tahun, empat di Bangkok, Nonthaburi dan Sukhothai (masing-masing dua) dan masing-masing satu dari Pathum Thani, Rayong, Yala, Ayutthaya, Prachuap Khiri Khan, Nakhon Phanom dan Nakhon Pathom

Sehingga kini, sejumlah 30,222 pesakit masih dirawat di hospital dan 1,042 kritikal termasuk 343 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan.

“Kadar jangkitan di Bangkok dan kawasan pinggir masih tinggi. Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan terus melakukan pengesanan kes aktif di kawasan berpenduduk padat,” katanya.

Kira-kira 30,000 pengesanan kes aktif telah dilakukan di daerah Pathum Wan, 162 daripadanya didapati positif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand catat korban Covid-19 tertinggi dua hari berturut-turut

BANGKOK, 2 MEI: Thailand mencatat 21 kes kematian baharu akibat Covid-19, yang tertinggi bagi tempoh dua hari berturut-turut dan menjadikan jumlah kematian setakat ini ialah 245 sejak pandemik itu melanda negara tersebut pada Januari tahun lepas.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 1,940 kes baharu Covid-19 termasuk 10 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 68,984 kes.

Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes kematian baharu itu melibatkan 12 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 38 dan 88 tahun iaitu lapan di Bangkok, empat di Chiang Mai, masing-masing dua di Chonburi dan Lamphun serta masing-masing satu di Nakhon Pathom, Nakhon Sawan, Rayong, Tak dan Udon Thani.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai kes tertinggi dengan 539 jangkitan diikuti Nonthaburi (276) dan Samut Prakan (145).

Katanya varian UK B.117 yang mudah merebak telah menyebabkan sejumlah 40,121 kes direkodkan di negara itu dengan 151 kematian sejak 1 April lepas.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan meningkatkan pengesanan kes aktif di bawah bidang kuasanya dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“BMA akan melaksanakan pengesanan kes aktif di lima daerah mulai esok. Dengan pengesanan awal, kami berharap dapat mencegah penularan Covid-19 dengan mengesan dan mengasingkan kontak rapat untuk memutuskan rantaian penularan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Ahad.

Mengenai vaksinasi, beliau berkata Thailand telah memvaksinasi hampir 1.5 juta rakyatnya setakat ini, kebanyakannya merupakan kakitangan perubatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi dengan vaksin Sinovac dan AstraZeneca Covid-19 yang diimport.

Kementerian Kesihatan Awam pula memaklumkan lebih 430,000 orang telah mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 yang bermula pada Sabtu.

Inokulasi itu ditetapkan pada Jun untuk rakyat Thailand yang berusia 60 tahun dan ke atas dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang menghidap penyakit kronik.

Kementerian itu menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 16 juta orang di bawah fasa pertama pendaftaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand rekod 21 korban Covid-19, angka tertinggi setakat ini

BANGKOK, 1 MEI: Thailand mencatat 21 kes kematian baharu akibat Covid-19, angka harian tertinggi sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lepas, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 224 orang ketika negara tersebut memulakan sekatan lebih ketat pada Sabtu dalam usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan virus yang merebak lebih pantas.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatat 1,891 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu setakat ini ialah 67,044 dengan 224 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kematian baharu membabitkan 12 wanita dan sembilan lelaki berumur lingkungan 39 hingga 90 tahun dengan purata tempoh jangkitan hingga kematian ialah lima hari.

Beliau berkata daripada 1,891 kes baharu, sebanyak 1,884 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,799 kes yang mendapatkan rawatan di hospital dan 85 daripada pengesanan kes aktif manakala tujuh merupakan kes import.

“Sebanyak 38,181 kes baharu dan 130 kematian dilaporkan ketika gelombang ketiga jangkitan yang bermula pada 1 April. Sepanjang tempoh 24 jam lepas, sejumlah 1,821 pesakit didiscaj dari hospital manakala 28,745 masih menerima rawatan termasuk 20,750 di hospital dan 7,970 di hospital medan.

“Jumlah pesakit yang berada dalam keadaan kritikal ialah 829 dan 270 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 pada Sabtu.

Bermula Sabtu, Thailand mengenakan tindakan lebih keras bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam seluruh negara atau berdepan denda sehingga 20,000 baht (RM2,628).

Selain itu, pihak berkuasa melarang makan di restoran di Bangkok serta lima wilayah yang diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko paling tinggi manakala taman awam, gimnasium, pusat hiburan dan institusi pendidikan ditutup di kesemua wilayah terbabit.

Setakat ini, sejumlah 15 wilayah mengenakan perintah berkurung yang ringan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memperlahankan kadar jangkitan.

Sementara itu, Thailand menghantar sebuah pesawat khas ke India pada Sabtu bagi membawa pulang rakyat Thailand termasuk tiga pegawai kedutaan yang dijangkiti Covid-19.

Selain itu, Thailand menghantar sejumlah 25 unit mesin oksigen dan katil sementara kepada Persatuan Palang Merah India bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sementara itu, Thailand pada Sabtu memulakan pendaftaran vaksinasi Covid-19 bagi rakyat negara itu yang berusia 60 dan ke atas dengan pesakit yang menghidap pnyakit kronik seperti sindrom pernafasan yang teruk, penyakit jantung dan koronari, penyakit serebrovaskular, diabetes serta kanser diberi keutamaan.

Kementerian Kesihatan Awam menyasarkan untuk memvaksinasi 16 juta orang melalui pendaftaran kumpulan pertama, lapor akhbar The Nation.

Vaksinasi secara massa di Thailand akan bermula pada Jun apabila kumpulan pertama dos vaksin Covid-19 jenama AstraZeneca yang dihasilkan di negara itu boleh didapati.

Thailand menyasarkan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Gagal pakai pelitup muka, PM Thailand didenda RM782

SHAH ALAM, 27 APRIL: Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha semalam didenda sebanyak RM782 (6,000 baht) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata tindakan itu selepas gambar perdana menteri menghadiri mesyuarat tanpa pelitup muka tersebar di media sosial, lapor AFP.

“Sebagai Gabenor Bangkok, saya mengajukan perkara itu kepada perdana menteri dan beliau menerima denda itu,” tulisnya di Facebook.

Thailand mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam berkuat kuasa semalam susulan pengesanan kes baharu terutama di premis hiburan.

Mereka yang ingkar peraturan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,606 (20,000 baht).

Negara itu mencatatkan 2,048 kes baharu Covid-19 semalam. Sehari sebelumnya, Thailand mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 11 kes.

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand catat angka korban Covid-19 harian tertinggi

BANGKOK, 25 APRIL: Thailand mencatat 2,438 kes baharu Covid-19 dengan 11 kematian, yang merupakan angka kematian harian tertinggi, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 55,460 kes dengan 140 kematian semasa pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut Thailand merekodkan kes harian Covid-19 melebihi angka 2,000 meskipun pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha bagi menangani penularan terburuk pandemik itu di negara tersebut setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,151 adalah jangkitan tempatan termasuk 282 yang dikenal pasti melalui pengesanan aktif manakala lima merupakan kes import.

Beliau berkata terdapat 24,207 orang masih dirawat di hospital termasuk 19,274 di hospital biasa dan 4,933 di hospital medan dengan 510 orang berada dalam keadaan serius manakala 142 memerlukan bantuan pernafasan.

“Gelombang ketiga telah merekodkan sejumlah 26,597 kes dengan 46 kematian sejak 1 April,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kematian baharu membabitkan mangsa berusia lingkungan 27 hingga 70 tahun termasuk seorang wanita berumur 32 tahun yang sedang hamil 25 minggu dari Bangkok.

Taweesin juga berkata Thailand akan memperlahankan pengeluaran dokumen perjalanan untuk rakyat asing yang melakukan perjalanan dari India susulan varian baharu B.1.617 yang pertama kali dikesan di negara itu (India) pada Oktober.

Bagaimanapun, beliau berkata 131 rakyat Thailand di India yang telah mendaftar untuk melakukan perjalanan ke Thailand pada Mei akan dibenar memasuki negara itu.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah mengarahkan penutupan venue awam dan premis sukan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu berkuat kuasa dari Isnin hingga 9 Mei depan.

Jurucakap BMA Pongsakorn Kwanmuang berkata sejumlah 31 venue dan perniagaan termasuk pusat spa, gimnasium, kolam renang, pusat jagaan kanak-kanak, pawagam, taman awam, zoo, muzium, perpustakaan, taman hiburan, klinik kecantikan dan padang sukan akan ditutup.

Katanya semua aktiviti sosial dan keagamaan, penerbitan filem, serta perhimpunan yang menyaksikan lebih 20 peserta turut dilarang.

Selain itu, semua institusi pendidikan dan kelab malam akan kekal ditutup sehingga bulan depan manakala penjualan alkohol di restoran turut dilarang.

Bangkok dan sekurang-kurangnya 40 wilayah di negara itu mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Sehingga kini, Thailand belum mengenakan perintah kawalan pergerakan atau perintah berkurung susulan penularan terkini di negara itu. Bagaimanapun, sesetengah gabenor wilayah menetapkan sekatan mereka sendiri.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah membenarkan gabenor wilayah mempertimbang langkah mengenakan perintah berkurung di sesetengah kawasan dan menutup premis sebagai tambahan kepada arahan penutupan oleh kerajaan.

“Jika pandemik semakin memburuk, tempoh kuarantin 14 hari bagi pesakit tidak bergejala yang dirawat di hospital mungkin dikurangkan kepada 10 hari bagi membolehkan mereka menjalani kuarantin kendiri di rumah dengan sistem pengesanan,” menurutnya dalam tulisan di laman Facebook seperti yang dipetik oleh Bangkok Post.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes harian baharu Covid-19, kematian di Thailand catat rekod tertinggi

BANGKOK, 24 APRIL: Thailand mencatatkan 2,839 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, kes harian tertinggi pada hari kedua berturut-turut dengan pihak berkuasa memberi jaminan katil hospital mencukupi di tengah-tengah gelombang jangkitan ketiga, pandemik terburuk di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan kepada 53,022 sejak pandemik itu bermula tahun lalu dan dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand juga merekodkan lapan kematian baharu, juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam sehari menjadikan jumlah kematian kepada 129.

Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata 2,827 adalah penularan tempatan dan 12 kes import.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai itu dengan jumlah kes tertinggi ialah 1,582 diikuti Chiang Mai (151), Chonburi (118), Nonthaburi (96) dan Samut Prakan (84).

Beliau berkata gelombang ketiga wabak itu telah mencatatkan 24,159 kes dan 35 kematian hanya dalam tempoh 24 hari.

“Sehingga kini seramai 22,327 orang dimasukkan ke hospital iaitu 17,924 dirawat di hospital dan 4,403 di hospital lapangan.

Terdapat 418 orang lagi berada dalam keadaan serius manakala 113 menggunakan ventilator,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Tambahnya, kematian baharu itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita – semua warganegara Thailand berumur antara 48 dan 89 tahun yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik kecuali pesakit berumur 48 tahun itu yang mempunyai masalah obesiti.

Mengenai katil hospital, Taweesin memberi jaminan katil hospital mencukupi di negara itu untuk menangani lonjakan kes Covid-19

Beliau berkata terdapat sejumlah 40,524 katil di hospital dan hospital lapangan dengan 21,138 masih kosong.

Memandangkan kes Covid-19 terus meningkat, beliau berkata Kementerian Kesihatan Awam sedang menambah lebih banyak katil hospital.

Lonjakan ketara jangkitan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan katil hospital kerana Thailand menetapkan semua pesakit Covid-19 dimasukkan dan dirawat di hospital bagi mengurangkan penularan.

Media tempatan melaporkan Bangkok mempunyai 262 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya 69 katil tidak didiami. Jika jangkitan Covid-19 terus meningkat sebanyak 1,500 kes sehari, semua katil ICU di Bangkok akan penuh dalam tempoh enam hingga lapan hari.

Bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19 di negara itu, pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan di 42 wilayah termasuk Phuket, Pattani, Songkhla, Kanchanaburi dan Samut Sakhon.

Selain itu, semua kompleks beli-belah dan bazar komuniti di kawasan zon merah termasuk Bangkok akan dibuka dari 11 pagi hingga 8 malam bermula esok hingga 2 Mei manakala pasar raya dan kafetaria akan ditutup pada 9 malam. Kedai serbaneka akan beroperasi dari 5 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen malam tadi, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meyakinkan rakyat di negara itu, kerajaan berupaya menangani wabak terbaru itu.

“Rakyat harus terus berhati-hati dan (malah) mematuhi langkah yang dikeluarkan oleh CCSA. Ini membantu meringankan beban petugas perubatan dan situasi Covid-19 harus segera terkawal,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat 1,470 kes baharu, tujuh kematian

BANGKOK, 23 APRIL: Thailand melaporkan tujuh lagi kematian akibat Covid-19 – jumlah tertinggi dalam sehari sejak pandemik bermula Januari tahun lalu – menjadikan jumlah korban seramai 117 orang setakat ini.

Sejak Rabu lalu, Thailand mencatatkan 1, 470 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 48,113.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kematian itu melibatkan pesakit berusia antara 24 hingga 86 tahun.

Menurutnya, daripada 1,470 kes baharu, Bangkok merekodkan jumlah kes tertinggi (446), diikuti Nonthaburi (118), Chiang Mai (99) dan Chonburi (97).

“Sejak gelombang terbaru 1 April 19,250 kes dan 23 kematian telah dilaporkan,” katanya pada taklimat harian Covid-19, di sini.

Sementara itu, Taweesin berkata Thailand tidak merancang untuk menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 Sinovac China walaupun terdapat laporan tujuh penerima termasuk enam kakitangan perubatan di wilayah timur Rayong mengalami gejala ‘seperti strok’ selepas menerima dos pertama.

– BERNAMA