Categories
AGENDA SUKANKINI

NSW FC benam The Footsouls, juara edisi sulung Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 26 JAN: Negeri Sembilan Women’s FC (NSW FC) melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai edisi sulung Liga Super Wanita FAS malam ini.

Jaringan tunggal Henrietta Justine pada minit ke-73 sudah cukup bagi skuad berkenaan membenam The Footsouls pada saingan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Pencapaian itu sekali gus melunaskan janji kapten pasukan terbabit Malini Nordin yang mahu memberi aksi terbaik hingga hujung permainan untuk bergelar juara.

Pada aksi separuh akhir 17 Januari lalu, skuad berkenaan membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta, Malini dan Noor Hartini.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Aksi akhir Liga Super Wanita: The Footsouls, NSW FC berentap rebut gelaran juara

SHAH ALAM, 26 JAN: Dua kapten yang membawa pasukan masing-masing ke perlawanan akhir Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berharap menjadi juara edisi sulung kejohanan.

Perlawanan akhir itu dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada jam 8.30 malam ini.

Kapten NSW FC Malini Nordin

Kapten Negeri Sembilan Women’s (NSW FC) Malini Nordin berkata pasukannya akan memberi aksi terbaik hingga ke hujung permainan untuk bergelar juara.

“Pemain, penyokong, warga Negeri Sembilan dan kami semua akan bersatu di atas nama iaitu NSW FC.

“Harapan kami di pentas final nanti adalah ingin mempersembahkan aksi yang menarik hingga ke wisel penamat serta menjadi juara sulung edisi pertama ini,” katanya seperti dikongsi di Facebook FAS.

Sementara itu, Kapten The Footsouls Gan Lay Pin berkata mereka sudah bekerja keras sejak dari awal dan pastinya mahu pulangan yang berbaloi pada malam ini.

Kapten The Footsouls Gan Pay Lin. Foto FB Persatuan Bola Sepak Selangor

“Kami sudah berusaha keras untuk sampai ke tahap ini dan akan akan bekerja lebih keras untuk memastikannya berbaloi. Harap pasukan yang terbaik akan menang,” katanya.

Aksi akhir kedua-dua pasukan akan berlangsung di MBSJ pada jam 8.30 malam juga boleh disaksikan menerusi Facebook Media Selangor.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan dengan empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Footsouls, Negeri Sembilan Women’s idam juara sulung Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pemenang separuh akhir Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengimpikan kejuaraan sulung di pentas akhir pada 26 Januari ini.

Ketua Pasukan The Footsouls Gan Lay Pin berkata beliau bangga dengan semangat juang rakan sepasukan sepanjang kejohanan meski mereka terpaksa berjuang hingga penghujung permainan sebelum layak ke peringkat akhir.

“Walau mulanya rentak kami agak perlahan dan mendapat tentangan hebat pasukan lawan, kami bangkit dengan menyusun taktik permainan lebih kemas hingga berjaya ke perlawanan akhir.

“Secara keseluruhannya, saya kagum dengan perkembangan pasukan serta semua pemain wanita yang menyertai liga ini,” katanya kepada Selangorkini.

Lay Pin juga yakin pasukannya akan berusaha keras memberikan cabaran sengit sekalipun menyifatkan pesaingnya Negeri Sembilan Women’s (NSW FC) sebagai pasukan hebat lagi berpengalaman.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong malam tadi, The Footsouls melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Sementara itu, NSW FC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Pengurus pasukan Mohammad Harfat Rusman berkata beliau berharap pasukannya terus mengekal momentum permainan pada perlawanan akhir kelak.

Meski dianggap pilihan juara, beliau berpendirian peluang kedua-dua pasukan terbuka, apatah lagi The Footsouls memiliki barisan pemain berpengalaman.

“Semangat juang dan komitmen tinggi yang ditonjol pemain pada latihan dan perlawanan menunjukkan mereka layak berada di perlawanan akhir.

“Kami tidak memandang rendah akan pihak lawan kerana mereka juga pasti berikan saingan hebat untuk merangkul kejuaraan edisi sulung ini,” katanya.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Negeri Sembilan Women’s, Footsouls mara ke pentas akhir Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pasukan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) dan The Footsouls akan membuat perhitungan di pentas akhir Liga Super Wanita FAS selepas menyingkirkan lawan masing-masing malam tadi.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong, NSWFC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Sementara The Footsouls pula melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.